Anda di halaman 1dari 7

Contoh karangan - Pelancongan

Usaha Menggalakkan Kemajuan Pelancongan Negara


Industri pelancongan membawa sumber pendapatan negara. Huraikan usaha-usaha yang mampu dilakukan
untuk meningkatkan industri pelancongan negara.
............Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan industri
pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor pelancongan juga perlu dimantapkan kerana sektor
ini mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh
dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti di Cameron Highland, Genting Highland, bandar
raya Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri
pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.
Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan
perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi
peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya,
kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah
dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi
tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan
berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia.
............Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu
ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang
mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai
contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta
makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.Justeru,
sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke
Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.
............Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti
pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan
karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya,
kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di
Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi
maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet
dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan
aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan
disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.
............Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan
dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik.
Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu
juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai
contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan.
Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai
destinasi pelancongan yang diminati.
............Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka
membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan
melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap duta pelancongan negara
haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing
bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana
bahasa menunjukkan bangsa. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong
tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di
sepanjang hidup mereka.

............Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu
bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan
memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti ekopelancongan, pelancongan alam sekitar, pelancongan
pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, tak kenal maka tak
cinta. Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat
diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De
Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu
menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.
............Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan amat kurang
dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia
menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua
pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan
menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka

PENDERAAN KANAK-KANAK

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai kepada setiap pasangan suami isteri. Senyuman,
tawa dan tangisan mereka mewarnai lagi bumi Tuhan ini. Kelahiran cahaya mata sebersih kain putih ini menandakan
bermulanya tanggungjawab ibu bapa untuk membina watak, mengasah minda, mencetus akal dan membina pakai
perlindungan kanak-kanak. Namun sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak
berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan media-media
massa. Kanak-kanak ini sering didera sama ada dari segi fizikal mahupun dari segi mental. Penderaan dari segi
fizikal ialah penderaan yang meninggalkan kesan-kesan di tubuh,seperti luka,parut atau lebam sebagai akibat
dipukul atau dikenakan benda-benda panas. Manakala penderaan dari segi mental berlaku sebagai akibat dibiarkan
atau diabaikan oleh penjaganya.Mangsanya akan mengalami tekanan jiwa,gangguan emosi,dan mental atau proses
pembesarannya.
Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah
dengan mengadakan kempen Keluarga Bahagia bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka.
Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita.
Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di
samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kes
penderaan anak-anak. Kesedaran dapat mewujudkan masyarakat penyayang.
Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang
berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undangundang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat
perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan. Masyarakat boleh melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat
kes-kes penderaan berlaku di persekitaraan mereka.
Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan
keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada
setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga.
Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri
dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.
-Peranan masyarakat sekeliling sebagai mata dan telinga pihak berkuasa perlu digerakkan.
-Tingkatkan pendidikan agama dalam kalangan masyarakat agar masyarakat lebih terdidik dengan ajaran agama
yang secara langsung dapat menyekat kejadian yang tidak bertamadun ini.
Kesimpulannya, jenayah penderaan perlu dibanteras dengan berkesan. Kerjasama daripada semua pihak amat
penting untuk membendung gejala ini daripada berleluasa. Ibu bapa janganlah bersikap bengis terhadap anakanak,sebaliknya pupuklah semangat ingin maju dalam diri anak-anak dengan cara psikologi.Bukan dengan cara
mendera atau menghukum mereka.Kegembilangan Malaysia di mata dunia tidak akan bermakna jika terdapat
sebilangan masyarakat yang masih mengalami kepedihan dan kesengsaraan. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah
kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini. Jelaskan peranan ibu bapa dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara
kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan
sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara
yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada
zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam
diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan
negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita.
Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa
masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan
menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat
ke tempat-tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah,
Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan
melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya
akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri
Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke
tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat
menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga.
Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa
sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel
bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui
proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah
dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam
memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih bukubuku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca bukubuku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca
buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila
anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu
sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan
sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu,
ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak
yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu
menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang
berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata

pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu
bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk
Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa bolehl
juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan didera
semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan
mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa
juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anakanak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu,
anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu
timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau
kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik
berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah
dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita
yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab
dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari
kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat
bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang
kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan
sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik
kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri
mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti
sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan
daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan
tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat
membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat
patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa tiada
anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia.
Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan
individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

PENGAJARAN

Terdapat banyak pengajaran yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian pembaca. Antara pengajaran
awal yang dapat dikesan dalam novel ialah kita mestilah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita yang
diinginkan. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui watak Hilmi yang gigih mempelajari muzik sehingga berjaya
menjadi pemuzik dan pencipta lagu yang terkenal. Dia juga gigih mencipta lagu walaupun menghadapi konflik
dengan isterinya Azizah.
Selain dairpada itu, kita juga mestilah sentiasa mengamalkan kerjasamauntuk menjayakan sesuatu rancangan.
Contohnya Hayati menggantikan tempat Hilmi semasa beliau dibawa ke hospital. Kerjasama daripada hayati
membolehkan konsert perdana tersebut dapat diteruskan dengan jayanya dan mendapat tepukan gemuruh daripada
penonton.
Kita juga mestilah menyayangi antara satu sama lain walaupun mereka tidak setaraf dengan kita. Pengajaran ini
dapat ditunjukkan melalui kasih sayang yang ditunjukkan oleh Hayati dan Azizah kepada Hilmi. Kasih sayang itu
pada bermula daripada rasa simpati terhadap Hilmi. Hayati dan Azizah bersimpati dengan nasib Hilmi.
Kita harus kembali kepada ajaran agama untuk mendapat ketenangan hidup. Contoh yang paling baik ialah
perubahan yang berlaku pada diri dan sikap Hayati. Pada mulanya dia seorang gadis yang hidup dengan kebebasan
tetapi telah berubah dan berasa tenang setelah mula mendekati agama dan melakukan ibadah solat. Dia juga telah
membaca buku buku agama seperti Hidup Sesudah Mati.
Kita mestilah menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik. Contohnya Hilmi menjalankan
tugas dan tanggungjawabnya sebagai tukang kebun dengan penuh dedikasi dan kreatif sehingga taman rumah Datuk
Johari menjadi sangat cantik. Demikian juga dengan Encik Bakar yang telah menjalankan tanggungjawabnya
dengan baik mengajar Hilmi sehingga Hilmi mahir dalam bidang seni muzik.
Pengajaran lain ialah kita hendaklah saling memaafkan dan tidak menyimpan dendam antara satu sama lain.
Contohnya Hilmi tidak pernah memburukkan Datin Salmah dan Datuk Johari walaupun mereka telah memberikan
layanan buruk kepadanya. Sebaliknya Hilmi memuji mereka dan memberitahu bapanya bahawa merekalah yang
membiayainya belajar bermain piano.
Kita mestilah membantu orang yang memerlukan bantuan dengan ikhlas. Pengajaran ini dapat diperhatikan melalui
watak Encuk Bakar. Encik Bakar mengajar muzik kepada Hilmi tanpa sebarang bayaran kerana ingin membantu
Hilmi menjadi pemuzik terkenal.

1. Dua peristiwa yang dapat dijadikan ikhtibar:


Encik Muaz al-Khalibi telah melakukan perbuatan yang terkutuk sebanyak beberapa kali dengan pengemas
biliknya yang berwarganegara Indonesia. Ekoran perbuatan tersebut, wanita terbabit telah mengandung. Wanita itu
telah ditinggalkannya sebaik sahaja dia menamatkan pengajiannya. Ikhtibar yang diperoleh daripada peristiwa ini
ialah kita hendaklah menjauhi perbuatan mungkar dan mestilah bertanggungjawab atas perbuatan dan kesalahan
yang telah kita lakukan.
Julia telah terdengar perbualan antara Mak Cik Noraini dengan Jeffri tentang niat Jeffri untuk berkahwin lagi. Julia
berbual dengan papanya untuk mendapat butiran lanjut. Dalam perbualan tersebut, Julia ditampar oleh Jeffri kerana
mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati Jeffri. Ikhtibar yang diperoleh daripada peristiwa tersebut ialah
seseorang anak janganlah terlalu mengikut kata hati apabila bercakap dengan ibu bapa. Sebaliknya, jagalah tutur
kata agar tidak menyinggung perasaan orang tua.

Anda mungkin juga menyukai