Anda di halaman 1dari 1

Pencemaran alam merupakan isu yang sering menjadi buah mulut masyarakat sejak belakangan ini.

Setiap hari
terdapat laporan media tentang gejala pencemaran alam. Hal ini telah menyebabkan pelbagai pihak berasa bimbang
akan gejala tersebut. Pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk
memastikan alam sekitar terpelihara. Walau bagaimanapun, gejala pencemaran alam masih lagi berleluasa seolah-
olah tidak ada penghujungnya. Jika ditinjau dengan mendalam, terdapat beberapa langkah yang konkrit untuk
menangani gejala ini
Pada hemat peribadi saya,punca-punca berlakunya pencemaran alam sekitar di Malaysia yang dominan ialah
kerana sikap individu dan organisasi yang tidak bertanggungjawab.Hal ini berlaku demikian kerana individu dan
organisasi tersebut tidak mempunyai kesedaran sivikdalam diri mereka untuk menjaga alam sekitar.Sesetengah
daripada individu tersebut akan sewenang-wenangnya membuang sampah sarap merata-rata tempat tanpa
menghiraukan kawasan persekitaran dan mungkin mereka merasakan itu adalah perkara remeh apabila
mencampakkan secebis tisu atau sisa makanan di tepi jalan.Jika direnungkan andai ada seratus orang pengguna yang
bersikap sedemikian sudah semestinya jalan raya akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap.Kilang
yang menjalankan operasi pengeluaran yang melibatkan sisa toksik dalam penghasilan keluaran mereka, pada
kebiasaannya kilang itu akan mengambil langkah mudah apabila membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut
dan sungai jika kilang itu didirikan berdekatan dengan kawasan tersebut dan mengakibatkan pencemaran air,kilang
juga melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara dan asap-asap tersebut akan menyebabkan terjadinya
pencemaran udara.Ini diesebabkan kerana sikap individu dan pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab dan peka
pada persekitaran sekeliling hasil dari pencemaran alam sekitar yang mereka cipta sendiri.
Salah satu langkah yang dapat digunakan untuk mengatasi pencemaran alam ialah pihak berwajib menghukum
individu atau organisasi yang telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Pihak berwajib seperti Kementerian
Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-
pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit
mencemarkan alam. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap
memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batok di tangga. Individu dan organisasi yang
mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji
ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda
kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas
melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas
dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan pencemaran.
Selain itu pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah.
Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu
kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh
diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk
menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar
didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan
pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka
dewasa nanti. Langkah ini akan mengatasi gejala pencemaran alam pada masa akan datang, bak kata pepatah
melentur bulu biarlah dari rebungnya. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan
satu langkah untuk mengatasi pencemaran alam.
Langkah untuk mengatasi pencemaran alam seterusnya ialah pihak kerajaan perlu melaksanakan kempen dengan
lebih berkesan. Kempen merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat tentang
pelbagai perkara. Pelbagai media massa dapat digunakan untuk menjadi wadah penyampaian maklumat melalui
kempen. Contohnya, televisyen merupakan media yang paling dekat dengan masyarakat. Pada umumnya setiap
rumah di negara kita mempunyai set televisyen. Oleh itu televisyen wajar digunakan sebaik-baiknya untuk
menyalurkan maklumat tentang langkah-langkah mengatasi pencemaran alam. Media-media lain seperti surat
khabar dan radio juga wajar digunakan sepenuhnya untuk menjadi wadah kempen penjagaan alam sekitar. Selama
ini kempen yang dilaksanakan tidak begitu berkesan. Pihak yang terbabit hanya melaksanakan kempen tidak ubah
seperti pahat dengan penukul. Adakalannya kempen yang dilaksanakan bersifat aktiviti bermusim. Oleh yang
demikian, kempen yang lebih berkesan dan dijalankan dengan bersungguh-sungguh dapat mengatasi masalah
pencemaran alam sekitar.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat mengatasi masalah pencemaran alam sekitar
jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan
langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar
sampai ke pangkal lengan. Jika alam sekitar terus terabai, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam
sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat
mengatasi gejala pencemaran alam dengan lebih berkesan kerana kelestarian alam tanggungjawab kita semua.

Anda mungkin juga menyukai