Anda di halaman 1dari 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan Hakim yang arif lagi bijaksana yang sedang menjunjung
keadilannya, penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para peserta yang saya kagumi serta hadirin yang
saya hormati. Hadirin yang dihormati, tajuk pidato saya pada hari ini ialah “Berbelanja Secara Berhemah”.
Sesungguhnya pengguna yang bijak dalam merancang perbelanjaan, melakukan perbandingan harga dan meneliti
maklumat produk boleh mengurangkan berbelanja. Persoalannya, apakah kebaikan dan cara-cara berbelanja secara
berhemah.

Sebagai lontaran idea yang pertama, berbelanja secara berhemah boleh membantu kita menjimatkan wang
perbelanjaan. Hal ini demikian kerana kita boleh membeli barangan keperluan sahaja untuk mengurangkan kos
keseluruhan. Selain itu, kita boleh buat senarai barangan yang hendak dibeli untuk mengelakkan diri daripada membeli
barangan yang tidak perlu seperti makanan ringan, minuman berkarbonat, permainan dan sebagainya . Kesannya, wang
yang dijimatkan boleh disimpan untuk perbelanjaan lain atau disimpan untuk keperluan masa depan. Bak kata pepatah,
sediakan payung sebelum hujan.

Hadirin yang dirahmati,

Seterusnya, sikap menabung perlu diterapkan dalam diri setiap individu. Hal ini berlaku demikian kerana wang yang
dijimatkan boleh digunakan pada waktu yang tidak diduga seperti kemalangan kerana malang tidak berbau. Tambahan
pula, ibu bapa juga memainkan peranan untuk mendidik anak-anaknya mengamalkan amalan menabung supaya boleh
digunakan pada masa hadapan dan mengurangkan beban ibu bapa kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Contoh manfaat menabung untuk masa hadapan ialah menyambungkan pelajaran, mas kahwin, melancong ke luar
negara dan sebagainya. Kesannya, sesiapa yang rajin menabung tidak akan terbebani oleh krisis kewangan.

Hadirin yang dihormati,

Di samping itu, pengguna juga perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kad kredit semasa berbelanja
sebaliknya menggunakan kad debit atau bayaran tunai. Hal ini demikian kerana penggunaan kad kredit boleh
menyebabkan diri dibebani hutang dalam tempoh yang panjang. Misalnya, sejumlah 60 peratus daripada keseluruhan
individu muflis di Malaysia kerana berbelanja melebihi pendapatan. Kesannya, negara akan rugi jika rakyat tidak
mengambil kesempatan dan menggunakan pengalaman mereka yang muflis dalam membangun dan membina semula
ekonomi negara.

Hadirin yang dimuliakan,

Bukan itu sahaja, mendisiplinkan diri merupakan salah satu cara untuk berbelanja secara berhemah. Hal ini demikian
kerana kita boleh membuat perancangan dengan teliti terlebih dahulu sebelum berbelanja untuk mengelakkan
pembaziran. Impaknya, kita akan dapat menguruskan kewangan dengan baik supaya menghindari sikap boros kerana
kalau boros lekas kerugian.

Kesimpulannya, kita hendaklah menanamkan sikap rajin menabung kerana ianya terdapat banyak faedah pada diri
dan orang sekeliling. Ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka supaya menjadi seorang yang tidak boros ketika
berbelanja. Pihak kerajaan perlu mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk memperbaiki krisis
kewangan yang berlaku dalam negara kita supaya negara kita menjadi negara yang maju.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara
yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai