Anda di halaman 1dari 1

BELIA HARAPAN NEGARA

Belia harapan negara. Inilah cogan kata yang sering diungkapkan serta selalu meniti di bibir-
bibir segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan pemimpin tertinggi negara. Golongan
belia pada zaman ‘dunia tanpa sempadan’ ini merupakan penggerak kepada peningkatan dan
pembangunan negara. Mereka ialah golongan yang akan memacu negara ke arah yang lebih
moden dan maju pada masa akan datang. Oleh yang demikian, peranan belia untuk memajukan
negara amat penting dari segi kepimpinan, berdaya upaya, patriotik, keusahawanan, kreatif
serta berilmu tinggi.
Demi membangunkan negara yang kita cintai ini, sebagai seorang belia, saya berperanan dan
mempunyai tanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memantapkan diri dengan
ilmu pengetahuan agar dapat memberi sumbangan kepada negara pada masa akan datang.
Golongan belia hendaklah menjadikan perkara ini sebagai pengajaran serta tidak bersikap
‘seperti katak di bawah tempurung’. Mereka hendaklah membuka minda kepada pengaruh luar
yang baik serta wajar dicontohi dan mengaplikasikan perkara tersebut untuk pembangunan
negara.
Selain itu, saya juga berperanan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial
yang boleh meruntuhkan kerajaan demi menyokong pembangunan negara. Belia masa kini
hendaklah mengatakan ‘tidak’ dan benci kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti
budaya hedonisme, iaitu suka berfoya-foya dan berhibur secara keterlaluan dan melalaikan
bahkan sering kali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, seks bebas, keganasan, jenayah,
ragut dan lumba haram.
Sesungguhnya, golongan belia mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan negara.
Belia hendaklah sedar akan perkara ini serta mengorak langkah untuk mencapai aspirasi negara
agar matlamat pembangunan negara dapat direalisasikan. Bagi diri saya, saya akan terus
berusaha gigih bagi mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehadiran saya sebagai
warga Malaysia benar-benar bermakna dalam membantu pembangunan negara.

Anda mungkin juga menyukai