Anda di halaman 1dari 2

Lihat ilustrasi di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang ciri-ciri pengguna yang bijak.

Panjang
huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
membuat perbandingan harga
membeli barangan yang berkualiti
membuat senarai barang
Mutakhir, isu berkaitan dengan pengguna yang bijak saban waktu diuar-uarkan dalam media arus
perdana malah sering menjadi polemik yang hangat diperdebatkan di negara kita. Justeru, semua pihak mestilah
beriltizam dan komited untuk menjadi seorang pengguna yang bijak kerana di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. Persoalannya, apakah ciri-ciri pengguna yang bijak?
Pada hemat saya, antara ciri yang paling dominan adalah dengan membuat perbandingan harga. Hal
ini demikian kerana, harga sesuatu barangan yang dibuat perbandingan terlebih dahulu dapat mengelakkan
pengguna daripada dieksploitasi oleh peniaga yang bersifat lintah darah. Dengan berbuat demikian, pengguna
yang bijak dapat memilih barangan pada harga yang lebih murah tetapi berkualiti. Sebagai contoh, seseorang
pengguna tidak terlalu ghairah dengan pelbagai tawaran menarik daripada jualan murah yang dipromosikan.
Sebaliknya, mereka perlulah membuat perbandingan harga barangan tersebut terlebih dahulu kerana biar alah
membeli asal menang memakai. Tegasnya, pengguna yang membuat perbandingan harga terlebih dahulu
sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu barangan dapat dikategorikan sebagai pengguna yang
bijak.
Selain itu, membeli barangan yang berkualiti juga merupakan antara kriteria pengguna yang bijak.
Saya berpendapat demikian kerana barangan berkualiti yang dibeli oleh pengguna dapat memberi kepuasan
yang maksimum kepada mereka berbanding dengan barangan tiruan. Dalam konteks ini, pengguna yang
membeli barangan yang berkualiti tidak berkira tentang harga sesuatu produk asalkan mereka memperoleh nilai
faedah yang tinggi daripada barangan tersebut. Cuba kita bayangkan, jika pengguna tidak membeli barangan
yang berkualiti mungkin mereka akan terdedah kepada pelbagai risiko penipuan. Buktinya, kerajaan sentiasa
menyarankan para pengguna supaya membeli barang yang berkualiti melalui pelbagai media massa dan dalam
masa yang sama, kerajaan amat serius dalam membanteras barangan tiruan. Bagaikan sudah terang lagi
bersuluh, pengguna yang mengutamakan pembelian barangan yang berkualiti dapat digolongkan sebagai
pengguna yang bijak.
Elemen-elemen pengguna bijak yang berikutnya ialah membuat senarai barang sebelum membeli.
Analoginya cukup mudah. Senarai barang yang dibuat sebelum membeli akan banyak membantu pengguna
daripada membeli secara boros dan membazir kerana perbuatan membazir itu adalah amalan syaitan. Hal ini
bermaksud, seseorang pengguna seharusnya merancang pembelian terlebih dahulu agar mereka tidak mudah
terpesona dengan pelbagai tawaran yang ada kalanya bersifat ada udang di sebalik batu. Realitinya pada hari
ini, pengguna sudah kurang membuat senarai barangan untuk dibeli kerana mereka terpengaruh dengan kaedah
beli-belah yang bersifat window shopping yang menjadi trend masyarakat pada hari ini. Justeru, saya optimis

pengguna yang membuat senarai barangan terlebih dahulu sebelum membeli merupakan pengguna yang
menepati ciri-ciri pengguna yang bijak.
Sebagai natijahnya, setiap pengguna mestilah berusaha untuk menjadi pengguna yang bijak supaya
tidak mudah dieksploitasi dan dimanipulasi oleh peniaga yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut
keuntungan dengan cara yang tidak bermoral. Kita mestilah menggembleng tenaga untuk merealisasikannya
kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

Anda mungkin juga menyukai