Anda di halaman 1dari 8

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan
perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban
kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi
kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia
perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan
perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak
100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang
selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di
pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat
mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti.
Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud
barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga
hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan
sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula,
tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya
naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam
pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah
membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli
memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut
akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat
kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan
secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang
menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka
hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk
mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak
haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak
pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat
Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk
mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah
memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi
genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

1
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

Teruja kenari di tepi pulasan,


Pegun nak dara gemersik suara:
Remaja kini tinggi wawasan,
Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah
negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan
datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu
mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung
aspirasi negara.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang diperlukan
di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi. Selaras
dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi.
Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur,berjalan, makan dan minum
serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka
dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan
mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada
di dalam kesusahan,bak kata peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga
tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat
kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja
berwawasan.

Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai
pengetahuan yang tinggi. Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui
pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu.
Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan adanya
ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal didepani oleh negara
kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan
tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa
,ibarat duri dalam daging. Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja
mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu
menggalas aspirasi negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang
yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang
pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan
sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak
akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya
mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan, bak kata Adelucia
Longbotton, satu pintu akan tertutup, pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat

2
dan menyesali pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah
terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana
hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja
berwawasan sentiasa gigih berusaha.

Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah
mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam
semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai
sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah
tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah
terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan
sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali
dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi
merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.

Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan
aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira
kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita
negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.a api
sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam
kepada mereka.

3
CARA-CARA ANDA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan
dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora.
Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh
golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi
remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau
masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan
dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber
kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran
kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca
daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi
bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.

Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah
untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering
dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya
lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan
memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi
tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat
melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab
kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala
masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada
waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan
sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi,
mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya
menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri
di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri,
terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa
menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal
dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya
akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada
udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya
menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan,
saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu
sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas
dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik
kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang
ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat
menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan

4
terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan
fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik
antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa
saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan,
walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan
ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber
ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan
melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan
menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan.
Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya
turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit
perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal
ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan
daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan
sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya
mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam
minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap
hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana solat merupakan tiang
agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya,
solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk
akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan
betapa dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga
menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang penceramah gaya hidup sihat,
Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan
kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih
sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal
serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan.
Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian
kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat
membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik
untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu
akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia,
China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya
dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang
membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada
masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika
melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping

5
menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud
peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan
Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka
walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan
mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang
syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan
beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan
seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah
cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam
kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala
tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan
tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok
yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik
ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya
dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping
rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang
mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan
keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak


perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi
dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang
penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum.
Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan
penumpang menaiki pengangkutan awam.

6
LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGGALAKKAN ORANG RAMAI MENGGUNAKAN PENGANGKUTAN
AWAM

“Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama
menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk
menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk
memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita
boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah
Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong
pengangkutan awam, siapakah lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik
hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran
rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepaduyang
dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah
menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara
kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih
dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti
Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api
dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat
menjimatkan wang tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau
sistem tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah
diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah
dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam
haruslah dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah
mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen
(bullet train). Dengan menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat
meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian
penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan
kekerapan pengangkutan yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu
komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan pengangkutan awam akan merumitkan
kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam.
Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan rakyat terhadap
pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak
komen yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan
mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan
mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk
menarik lebih banyak penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para
penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat
patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangancinta akan negara, rancangan

7
mengimbas kembali detik-detik sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain
seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya
rakyat dapat mendapat informasi yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan
mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini
telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi
dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat
menarik perhatian para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikansejak
kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan
awam. Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan
perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam
konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada
menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi kepada pelajar yang kecil, tetapi juga
harus diberi kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati
mereka. Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan
kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang
menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan
menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep
kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak


perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi
dan sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang
penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum.
Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan
penumpang menaiki pengangkutan awam

Anda mungkin juga menyukai