Anda di halaman 1dari 5

Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup

Purata kenaikan gaji rakyat Malaysia 2.5% setahun tetapi kenaikan harga barang-
barang keperluan adalah sebanyak 8.5% setahun. Kenaikan harga barangan keperluan
yang sangat tidak seimbang dengan peningkatan pendapatan rakyat tentunya
membawa kesan negatif yang berpanjangan kepada sosio-ekonomi rakyat. Natijahnya,
bila barang naik harga, jatuhlah air mata rakyat

Perhatikan senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau


sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib
antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran
kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan
minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil lektrik dan air juga gas memasak,
pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan,
saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu
menggugat keharmonian kehidupan. Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap
keperluan perlu dibeli.

Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup,
bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk
mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula
menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.

Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai,
ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan
generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan
masa dengan masyarakat dan persekitaran.

Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh mengundang
pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi
syariat dan undang-undang.

Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan
sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas
memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti
secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu,
keluarga, masyarakat dan negara.
Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong
perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita
yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit,
rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan.
Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini,
yang ada hanyalah pelarasan subsidi!

Bagaimana kenaikan harga barangan boleh berlaku?

Pengeluaran yang banyak tetapi tidak dapat menampung permintaan pengguna.


Negara kita kaya dengan kesuburan tanah dan sumber asli, tetapi kerajaan gagal
memanfaatkannya secara optimun, baik dalam sektor pertanian mahu pun pengeluaran
sehingga keperluan rakyat gagal dipenuhi.

Antaranya, krisis ketiadaan bekalan minyak masak telah menjadi fenomena rutin yang
telahberulang entah untuk kali yang ke berapa walaupun Malaysia memegang status
sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan
minyak masak ini menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah pihak pengeluar,
pengilang, pemborong atau pengedar yang menjadi puncanya atau siapakah yang
menjadi dalang dengan bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa
sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat
terpaksa menanggung kesukaran?

Bekalan gula juga pernah mengalami nasib sama sehingga Idris Jusoh pernah menjual
gula dihadapan Wisma Darul Iman ketika menduduki kerusi MB Terengganu dulu.
Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan telah menikkan harga gula sebanyak 3 kali.
Tanggal 16 Julai 2010, Kerajaan UMNO-BN mengumumkan kenaikan harga gula
sebanyak 25 sen/kilo. Pada 4 Disember 2010, Kerajaan mengumumkan lagi kenaikan
harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Kira- kira 6 bulan kemudian pada 9 Mei 2011,
diumumkan sekali lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Semuanya atas
alasan rasionalisasi subsidi.

Umum mengetahui bahawa Malaysia antara pengeluar gula utama dunia. Pengeluaran
gula di Malaysia dikuasai 4 kilang iaitu; Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd atau
dikenali sebagai Gula Prai, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap
Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd.
Kalau bukan pengeluar utama gula, manakan mungkin Raja Gula Malaysia, Robert
Kuok Hock Nien boleh menyandang gelaran manusia terkaya di atas muka bumi
Malaysia dan di Asia Tenggara untuk beberapa tahun berturut-turut. Pemimpin negara
jangan berlagak seperti Pak Pandir dengan mengeluarkan kenyataan, bila gula naik
harga, ianya bagus untuk gaya hidup sihat rakyat Malaysia dan menurunkan kadar
diabetes.

Kenaikan harga minyak dan kesannya terhadap kenaikan harga barangan

Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran


bermula dari ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna. Tindakan
peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga membebankan
pengguna akan berlaku, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa,
walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan
keperluan.

Minyak dan gas asli adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa sahaja
yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan
kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut magnet tarikan
ekonomi berasaskan petroleum. Kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos
pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian,
pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke
tangan pengguna.

Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap
kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan
kepada teori dan kaedah ekonomi.

Pergantungan kepada sumber import

Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang


diimport. Lantas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut
memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang
susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga
kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan. Semua ini disebabkan kita masih
bergantung kepada sumber makanan dari luar khususya negara jiran.
Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan
selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi
atau terlibat dalam kancah peperangan. Krisis makanan tentulah akan memuncak dan
mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita
seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang
mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang
mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana
pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan
begitu bijak oleh Nabi Yusof a.s sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak
menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut
rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan
asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka
bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang
membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting
tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk
diimport. Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah
membelanjakan sejumlah RM13 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan
makanan seperti sayur, ikan, daging, kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah
import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah
terbiar tanpa dapat diusahakan lantaran masalah infrastruktur seperti pengairan. Ada
projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek
ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar
Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai
semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan. Wang peruntukan lesap tapi
di mana kambing, ikan dan kelapa pandan? Gahnya bunyi genderang projek dengan
sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek
tanaman strawberry yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang
Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita
untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Kelemahan penguatkuasaan dan urus tadbir


Kelemahan penguatkuasaan masih belum berjaya diperbaiki sepenuhnya sehingga
berlakunya monopoli dan memberi ruang kepada peniaga menaikkan harga
sewenangnya. Tindakan menyorokkan barangan keperluan bagi tujuan menaikkan
harga oleh para peniaga memburukkan lagi keadaan.

Persoalan kuota bekalan juga sering dibangkitkan. Sering terdengar rungutan yang
menyatakan punca kekurangan bekalan barangan di pasaran seperti minyak masak
adalah disebabkan pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan
kuota baru yang ditetapkan kerajaan. Kuota yang digunakan dalam kes minyak masak
pula telah berusia hampir empat tahun. Sekiranya itulah antara sebabnya, maka tentu
sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia
perlu ditambah. Mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh
sama seperti sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai
runcit serta bilangan pengguna.

Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan


itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan
membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan dan pembelian oleh
rakyat negara jiran menjadi punca kekurangan malah ketiadaan bekalan untuk rakyat
tempatan. Kalau sungguh bagai dikata, di mana keberkesanan agensi penguatkuasaan
kita?

Antaranya, alasan pembelian minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai
didakwa menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini. Sebenarnya masyarakat
muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran
Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status
kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri. Apatah lagi bila kekurangan
bekalan dilaporkan turut berlaku di seluruh negara dan bukan hanya melibatkan negeri-
negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Anda mungkin juga menyukai