Anda di halaman 1dari 2

Latihan 25/5/18

Petikan dan Soalan Contoh Pembacaan Kritis dan Analitis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjangkakan kira-kira 255 jenis barangan
terutamanya keperluan harian akan meningkat ekoran daripada kenaikan harga petrol baru-baru ini. Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengesahkan bahawa sudah berlaku peningkatan
ketara harga barang-barang bukan kawalan di pasaran pada masa ini. Kenaikan tersebut sudah pasti akan
membebankan pengguna terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Jadi, sudah sampai
masanya para pengguna menggunakan kebijaksanaan dan kuasa beli mereka untuk menangani kenaikan harga
barangan ini.

Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang. Mereka tidak
boleh lagi menerima sebarang kenaikan harga barangan begitu sahaja tanpa melakukan sesuatu tindakan.
Langkah berjimat-cermat dan membeli barang jika perlu sahaja patut menjadi amalan seharian. Pengguna harus
berbelanja berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut perasaan. Pengguna perlu melakukan pemantauan
sendiri harga barangan dan hanya memilih premis yang menjual barangan dengan harga yang berpatutan.

Para peniaga yang suka menangguk di air keruh ini memang tidak bertanggungjawab dan hanya
mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka terlupa akan tanggungjawab mereka untuk menyediakan
barang dan perkhidmatan yang berkualiti dan setimpal dengan harga barang atau perkhidmatan tersebut.
Sebenarnya keuntungan yang diperoleh secara menipu memang tidak baik dan tidak diberkati oleh Tuhan.
Namun demikian, para peniaga tersebut kebanyakannya tidak menghiraukan kesusahan yang dialami oleh
pengguna. Jadi para pengguna perlu menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk bersatu dan mengambil
tindakan yang berkesan terhadap peniaga yang tidak jujur.

Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal ini iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna perlu melakukan pemantauan ke serata tempat di negara ini. Hal ini membolehkan harga
barang-barang dipantau dan dikawal daripada terus meningkat. Jika harga barang tidak dikawal oleh pihak
berkuasa, sudah tentu perkara ini akan menyebabkan masalah inflasi yang tidak terkawal berlaku di negara kita.
Setakat ini, kadar inflasi di negara kita masih dapat dikawal dan berada pada paras kurang daripada tiga peratus.
Oleh sebab peniaga bergantung pada pengguna untuk membeli barangan mereka, maka penggunalah
sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ untuk menentukan harga di pasaran.

(Disesuaikan daripada Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005)

1. Jelaskan maksud frasa


(a) ... mengesahkan sudah berlaku peningkatan ketara (baris 4 dan 5) [2m]

(b) ... suka menangguk di air keruh (baris 18) [2m]

2. Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penulis melalui petikan di atas? [6m]

3. “Hak sebagai pengguna perlulah digunakan sepenuhnya semasa hendak membeli barang.” (baris 7)
Berikan ulasan anda tentang pendapat ini dengan mengemukakan bukti-bukti yang sesuai.
Panjang jawapan anda hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan. [20m]
Jawapan Cadangan

1. Maksud frasa
a) ... mengakui bahawa telah meningkat dengan banyak
b) ... gemar mengambil kesempatan

2. Mesej yang hendak disampaikan oleh penulis ialah pengguna hendaklah menggunakan kebijaksanaan dan
kuasa beli mereka untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang. Para pengguna haruslah bertindak dengan
membeli barangan yang perlu sahaja. Para peniaga pula tidak boleh mengambil kesempatan dan hendak
mengaut keuntungan yang banyak semata-mata.

3. Pengguna mempunyai hak yang perlu digunakan semasa hendak membeli barang. Hak itu terdapat dalam
undang-undang atau akta yang berkaitan dengan pengguna. Oleh itu, pengguna harus menggunakan hak itu
untuk kebaikan mereka.
Hak pengguna yang pertama menjamin pengguna untuk memilih dan mendapatkan barangan yang kualitinya
setara dengan harga barangan tersebut. Hak ini perlu dipertahankan dan sekiranya pengguna tidak mendapat
barang yang tidak setara dengan harganya, perkara ini menunjukkan bahawa hak pengguna sudah dilanggar.
Hak seterusnya ialah pengguna berhak mendapat ganti rugi terhadap barangan yang rosak. Sekiranya
pengguna mendapati barang yang dibelinya itu rosak, maka dia berhak untuk mendapatkan barang gantinya.
Pengguna juga mempunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Oleh itu, sekiranya
pengguna berasa tertipu atau diperdayakan selepas membeli sesuatu barang, pengguna berhak untuk membuat
aduan kepada pihak berkuasa.
Kesimpulannya, hak pengguna ini sebenarnya melindungi pengguna daripada sebarang penipuan. Oleh itu,
hak pengguna ini perlu digunakan dengan sebaik-baik yang mungkin.

Anda mungkin juga menyukai