Anda di halaman 1dari 4

Dewasa ini, terdapat pelbagai produk kosmetik yang berada di negara kita sama ada buatan tempatan

mahupun yang diimport. Antara jenama produk kosmetik yang boleh didapati ialah Simply Siti, Safi,
Shurah, Tia Amelia, Olay, Avon dan banyak lagi. Apakah yang dimaksudkan dengan kosmetik?
Berdasarkan Kamus Pelajar, kosmetik bermaksud alat solek atau bahan yang digunakan untuk
mencantikkan rupa seseorang. Oleh yang demikian, penggunaan produk kosmetik dapat menjadikan rupa
paras lebih cantik dan menarik dari segi fizikal. Antara produk kosmetik yang digunakan ialah krim
kecantikan, maskara, gincu, bedak dan sebagainya. Penampilan fizikal iaitu dibahagian muka amatlah
dititikberatkan setiap wanita terutama ketika berhadapan dengan orang ramai. Justeru itu, penggunaan
produk kosmetik yang sesuai amat diperlukan agar mereka kelihatan lebih cantik dan menarik.

Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Malah perumpamaan Melayu seperti rambut
ikal bak mayang mengurai, mata bersinar bak bintang kejora, pipi licin bagai pauh dilayang, bibir
mongel ulas limau, pinggang ramping bak kerengga, kulit putih gebu bak telur rebus dikupas dan
pelbagai lagi menggambarkan kecantikan lahiriah wanita yang sempurna. Produk kosmetik yang
dahulunya dianggap tidak penting kini menjadi satu keperluan kepada pengguna. Wanita kini yang
maju dari segi pendidikan dan ekonomi, amat menitikberatkan kecantikan dalam hidup mereka.
Produk kosmetik menjadi kemestian agar penampilan mereka menjadi lebih menarik dan nampak
hebat sehinggakan mereka terlalu obses dengan produk kosmetik tanpa memikirkan baik dan buruk
sesuatu produk. Apa sahaja yang membuatkan mereka cantik, mereka sanggup mencuba dan terus
mencuba tanpa memikirkan risikonya.

Kurang kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya kandungan produk di samping ingin mengambil
jalan pintas untuk kelihatan cantik menyebabkan pengguna berdepan risiko yang boleh membawa maut.
Ada yang mengambil produk tanpa mematuhi peraturan sehingga mengundang kemudaratan. Ada juga
yang sanggup pejam sebelah mata terhadap kandungan bahan kimia berbahaya asalkan hajat mereka
tercapai. Pengguna yang obses dengan produk kosmetik tidak memikirkan buruk dan baik sesuatu
produk yang dipakai. Pengguna tidak meneliti bahan yang terkandung dalam sesuatu produk kosmetik.
Terdapat sesetengah produk kosmetik di pasaran mengandungi bahan kimia beracun yang boleh
memudaratkan pengguna contohnya steroid. Justeru itu, pengguna harus lebih peka dalam membeli
sesuatu produk serta mendapat nasihat pakar jika perlu. Kulit yang sensitif dan tidak sesuai dengan
sesuatu produk juga menyebabkan kesan buruk pada kulit dan kesihatan.

Selain itu, saya mengatakan wanita terlalu obses dengan produk kosmetik kerana mereka sanggup
membelanjakan wang yang banyak untuk membeli produk kosmetik dengan harga yang mahal. Pengguna
merasakan harga yang tinggi tidak penting asalkan mereka kelihatan lebih cantik dan menarik. Tiap-tiap
bulan pengguna akan memperuntuk wang yang banyak tanpa memikirkan tabungan masa depan
keluarga dan anak-anak. Wang ringgit dilaburkan hanya untuk kecantikan luaran tanpa memikirkan
kecantikan dalaman yang patut juga dipelihara. Wanita kini tidak sedar bahawa kecantikan bukanlah
sekadar dari segi paras rupa sahaja tetapi hati juga turut berperanan. Kecantikan dalaman haruslah
seiring dengan kecantikan luaran. Pengguna yang bijak haruslah membelanjakan wang yang ada
mengikut keperluan dan kemampuan. Pengguna juga harus berfikir dahulu sebelum membeli sama ada
sesuatu produk itu adalah sesuai atau tidak dengannya. Keghairahan wanita untuk cantik membuatkan
mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan memberi kesan yang cepat tanpa memikirkan kesan
negatif.

Terikut-ikut dengan gaya artis yang diminati juga menyebabkan pengguna terlalu obses dengan produk
kosmetik. Hal ini kerana pengguna mahu mengikut cara penampilan artis yang diminati sama ada dari segi
pakaian hinggalah produk kosmetik yang digunakan oleh artis tersebut. Pengguna ingin kelihatan cantik
dan bergaya seperti artis yang dilihat di media massa. Selain itu, artis atau model cantik yang menjadi duta
sesuatu produk juga menggalakkan pengguna membeli produk kosmetik yang dipasarkan. Hal ini kerana
mereka mahu cantik seperti duta produk kecantikan tersebut. Pengguna seharusnya sedar bahawa
sesetengah kandungan produk kosmetik mungkin sesuai dan selebihnya tidak sesuai bagi seseorang
sehingga jika pengambilannya salah, ia boleh mengundang padah. Hal ini kerana ada pengguna yang alah
dengan kandungan bahan dan menyebabkan ia tidak sesuai untuk digunakan. Pengguna janganlah mudah
terpedaya dengan iklan menggunakan model cantik yang lazimnya membuatkan kita cepat tergoda.
Pengetahuan mengenai produk harus diambil kira. Cara memakai produk kecantikan juga jangan diabaikan
sebab tangan yang tidak dibersihkan dengan betul boleh mengundang padah. Oleh itu, kita sebagai
pengguna janganlah mudah terpengaruh dengan kecantikan artis dan model-model kerana jika kita
menggunakan produk yang sama dengan model tersebut belum tentu akan kelihatan cantik tetapi tidak
mustahil akan menjadi lebih buruk.

Di samping itu, kehidupan kini yang mengalami perubahan dan peningkatan dalam pelbagai bidang sama
ada dalam bidang teknologi maklumat, pengangkutan, pendidikan membuatkan pengguna bergerak seiring
dengan kepesatan dunia. Wanita kini yang lebih mementingkan kerjaya dalam kehidupan tidak lagi
mundur dalam bidang ekonomi. Wanita kini setanding dengan kaum Adam dalam semua bidang. Wanita
dahulu yang tinggal di rumah dengan berkain batik dan berbaju kurung kedah di rumah kini telah bersedia
bersama-sama kaum Adam keluar bekerja. Mereka tidak lagi menjadi suri rumah tangga sepenuh masa
tetapi turut sama-sama berjuang membangunkan ekonomi. Justeru itu, penampilan wanita ini haruslah
seiring dengan kerjaya mereka. Tanpa produk kosmetik, hidup dirasakan kurang sempurna hingga mereka
terlalu obses dengan produk kosmetik. Semakin ramai wanita berjawatan tinggi dalam kerjaya semakin
tinggilah permintaan terhadap produk kosmetik. Permintaan yang tinggi terhadap produk kosmetik inilah
menyebabkan berlakunya kebanjiran terhadap produk dalam negara sama ada diimport mahupun
keluaran dalam negara. Wanita yang berkerjaya akan tampil menarik setanding dengan jawatan yang
disandang.

Fitrah wanita itu sendiri yang amat menitikberatkan kecantikan juga menyebabkan mereka terlalu obses
dengan produk kosmetik. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan dari hujung rambut
hingga hujung kaki. Semua wanita ingin kelihatan cantik tidak kira tua atau muda. Golongan berusia
menjaga penampilan mereka melalui cara yang tersendiri manakala golongan muda juga turut melalui
kaedah yang tertentu. Semua wanita ingin kelihatan cantik dan bergaya. Wanita mempunyai sembilan
nafsu manakala lelaki hanya mempunyai satu nafsu. Salah satu nafsu wanita ini ialah untuk mendapatkan
kecantikan. Lantaran itu, tidak wujud istilah berputus asa dalam hidup mereka. Mereka akan terus
berusaha untuk kelihatan cantik walaupun ada sesetengah kaedah yang agak membahayakan. Justeru itu,
tidak hairanlah mereka terlalu obses dengan produk kecantikan.

Wanita yang obses dengan produk kosmetik juga sanggup mencuba pelbagai produk kosmetik yang berada
di pasaran. Mereka akan mencuba dan terus mencuba. Penggunaan alat kosmetik akan berubah mengikut
peredaran zaman sepertimana fesyen pakaian. Produk kosmetik yang lama akan ditinggalkan dan
digantikan dengan produk kosmetik jenama terkini. Syarikat-syarikat produk kosmetik juga turut
mengambil kesempatan dengan mengeluarkan pelbagai produk mengikut citarasa pengguna yang kadang-
kala tidak mementingkan mutu dan mendapat kelulusan kementerian. Ada juga barangan tiruan dengan
mengambil label produk lain untuk produk mereka. Produk kosmetik tiruan inilah amat ditakuti dan
membahayakan pengguna kerana produk mereka tidak mendapat kelulusan daripada kementerian.
Pengguna janganlah mudah tertipu dengan membeli produk tiruan ini. Pengguna hendaklah meneliti
sebelum membeli dan syarikat yang mengeluarkan produk asal hendaklah mengambil langkah berhati-hati
contohnya membuat cop hologram untuk produknya.

Selain itu, perspektif atau pandangan berbeza masyarakat terhadap wanita yang cantik dan wanita
kurang menarik juga menjadi punca pengguna obses kepada produk kosmetik. Apabila masyarakat
banyak memberi peluang dan laluan mudah kepada wanita cantik dan menarik dari segi luaran, manakala
wanita kurang menarik menerima laluan agak sukar. Keadaan itu menjadikan wanita tertekan. Contohnya
wanita cantik mudah mendapat pekerjaan kerana mereka memiliki kecantikan luaran yang dapat
meyakinkan majikan untuk mengambilnya bekerja manakala wanita yang kurang menarik agak sukar
untuk diterima bekerja. Oleh itu, wanita sedaya upaya untuk kelihatan cantik dan memilih produk
kosmetik dengan harapan mereka akan lebih menarik

Kesimpulannya, pengguna yang bijak harus berfikir dahulu sebelum membeli sesuatu barangan. Tidak
salah untuk menjaga kecantikan dan penampilan diri tetapi hendaklah mengikut kemampuan dan
keperluan. Jangan mengikut hawa nafsu tanpa memikirkan baik dan buruk sesuatu barangan. Pengguna
hendaklah lebih peka kandungan bahan dalam sesuatu barangan kosmetik. Sikap berwaspada dapat
mencegah sesuatu perkara tidak baik. Pihak pengeluar produk kosmetik juga jangan hanya mementingkan
keuntungan yang ingin dicapai tanpa menjaga kepentingan pengguna. Sikap tidak bertanggungjawab boleh
menyebabkan terjadinya sesuatu perkara buruk terhadap pengguna. Kita sebagai pengguna berhak untuk
membuat pilihan yang terbaik dan jangan membeli membuta tuli tanpa mengetahui akibatnya.

Anda mungkin juga menyukai