Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan : Peranan Warga 

Tua
Jun 23, 2007 — mindabahasa

Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau
golongan veteran.  Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke
atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat
sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat
sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka
sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah
pembangunan negara dan bangsa.  

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan
diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut
agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. 
Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai
jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda
menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa
beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar
orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh
diberikan oleh warga emas ini?  Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh
mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus
melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea
yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah
semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia
di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam
memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang
penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda
akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang
jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu,
golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan
pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih
bermakna.  

Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga
dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. 
Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-
pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-
artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat
dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas
guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar
rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis
atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit
pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan
yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan
sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 

Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka
sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. 
Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak
perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang
besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama
menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai
impak yang besar pada kemudian hari.  Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah
warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka
berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu
pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan
kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat
berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 

Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya
mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.  Untuk menjamin sumbangan yang
lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping
itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat
digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang
dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah
laku dan pemikiran seseorang.  Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini
perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea
dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda
dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  

Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada


sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini.  Walaupun meningkat usia,
sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu
kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk
menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Anda mungkin juga menyukai