Anda di halaman 1dari 2

PBS Tingkatan 6 - Esei berformat Syarahan

Soalan Contoh: Anda akan mewakili sekolah dalam


pertandingan syarahan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia
(PUSPANITA) di daerah anda. Tajuk syarahan itu ialah “Punca-punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat
untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.” Sediakan teks syarahan itu selengkapnya.

Karangan ini ditulis oleh Mohd Azrin bin Salleh, 6 A3 SMK. BBST.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Arif panel hakim, para pelajar, dan hadirin sekalian,
assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada penganjur pertandingan ini. Pada pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk
“Punca Rakyat Tempatan Tidak Berminat untuk Bekerja Sebagai Pembantu Rumah.”
Hadirin sekalian,
Kini, masyarakat tempatan memang tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu
rumah. Kesan daripada permasalahan ini menyebabkan pekerjaan sebagai pembantu rumah banyak
dikuasai oleh warga asing. Sebagai contohnya, pembantu rumah itu kebanyakannya berasal dari
Indonesia, Kampuchea, dan Filipina. Fenomena ini menyebabkan berlakunya pergantungan terhadap
pembantu rumah warga asing. Sebenarnya terdapat pelbagai punca yang menyebabkan rakyat tempatan
tidak berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
Satu daripada puncanya disebabkan oleh faktor gaji yang rendah. Gaji sebagai pembantu rumah
lebih rendah jika dibandingkan dengan pekerjaan yang lain. Selain itu, gaji yang diterima oleh pembantu
rumah tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka. Oleh hal yang demikian, masyarakat
tempatan tidak tertarik untuk berkecimpung dalam bidang ini. Akibat daripada permasalahan ini, majikan
terpaksa menggunakan khidmat warga asing yang sanggup menerima gaji yang rendah. Perkara ini
membuktikan bahawa gaji yang rendah menyebabkan masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai
pembantu rumah.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Tahap pendidikan warga tempatan yang tinggi tidak menggalakkan mereka untuk menceburkan diri
dalam bidang ini. Hal ini demikian kerana tahap pendidikan masyarakat tempatan yang tinggi
membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik. Di negara ini, tahap pendidikan masyarakat
sekurang-kurangnya hingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh hal yang demikian,
masyarakat tempatan boleh memilih pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka daripada
menjadi pembantu rumah. Mereka lebih suka untuk bekerja sebagai kerani atau pembantu tadbir di
sektor awam atau swasta daripada bekerja sebagai pembantu rumah.
Bertititik tolak daripada itu, persepsi negatif masyarakat turut menyebabkan masyarakat tempatan
tidak mahu menceburkan diri dalam bidang ini. Perkara ini disebabkan oleh masyarakat menganggap
bahawa pekerjaan sebagai pembantu rumah dianggap hina dan rendah statusnya. Selain itu, mentaliti
masyarakat negara kita hanya memandang ke arah pekerjaan yang bergaji tinggi. Oleh itu, masyarakat
tempatan berasa segan atau malu untuk bekerja sebagai pembantu rumah kerana takut dipandang
rendah oleh orang lain. Jelaslah bahawa persepsi negatif masyarakat merupakan salah satu punca
masyarakat tempatan tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.
Di samping itu, pekerjaan sebagai pembantu rumah ini tidak menjamin masa depan yang cerah.
Hal ini demikian kerana pekerjaan ini kebiasaannya tidak dilaksanakan mengikut saluran undang-undang
buruh atau pekerja. Perkara ini menyebabkan orang gaji boleh diberhentikan pada bila-bila masa oleh
majikan. Selain itu, mereka juga tidak diberikan perlindungan insurans, caruman KWSP, dan SOCSO.
Hal ini tentunya akan menyebabkan masyarakat tempatan tidak berminat untuk bekerja sebagai
pembantu rumah.
Punca lain yang menyebabkan masalah ini berlaku ialah pekerjaan ini memerlukan tahap
kesabaran yang tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana pembantu rumah harus melayan kerenah
majikan dan anak-anak majikan itu sendiri. Selain itu, pembantu rumah perlu melakukan kerja yang
banyak seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak, dan sebagainya. Perkara ini
menyebabkan mereka tidak mempunyai masa rehat yang cukup atau tiada masa untuk berehat
langsung. Oleh itu, jelaslah bahawa perkara ini menyebabkan warga tempatan tidak tertarik untuk
menjadi pembantu rumah.
Hadirin yang budiman,
Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai punca rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja
sebagai pembantu rumah. Oleh hal yang demikian, pihak yang bertanggungjawab haruslah bertindak
untuk menarik minat masyarakat tempatan untuk menceburi bidang ini. Pekerjaan sebagai pembantu
rumah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang hina seperti anggapan masyarakat sebelum ini. Pekerjaan
ini juga halal di sisi agama jika semuanya dilakukan dengan betul dan mengikut saluran undang-undang.
Jadi, kita berharap agar masalah kekurangan pembantu rumah ini dapat diselesaikan dengan segera
untuk mengelakkan majikan yang memerlukannya menghadapi masalah yang lebih serius. Selain itu,
alternatif lain juga perlu difikirkan untuk mengelakkan kebergantungan terhadap pembantu rumah.
Sekian sahaja syarahan saya kali ini. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai