Anda di halaman 1dari 3

Punca Berlakunya Kes Penderaan Kanak-kanak dan

cara-cara menangani masalah ini


Penderaan merujuk kepada penderaan secara fizikal dan mental terhadap manusia.
Penderaan kanak-kanak bukanlah suatu isu yang baharu di Malaysia bahkan telah menjadi
isu yang membelenggu masyarakat di negara kita. Jika diselak dada akhbar, kita akan
mendapati bahawa bilangan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia terus meningkat tanpa
titik noktahnya bak cendawan tumbuh selepas hujan. Sebenarnya, anak-anak merupakan
anugerah Tuhan yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka
merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Maka benarlah bahawa
kanak-kanak ibarat kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Ironinya,
apa yang berlaku, harapkan pagar, pagar makan padi. Mengikut laporan yang dikeluarkan
oleh Utusan Malaysia baru-baru ini, sebanyak 70 peratus kes penderaan kanak-kanak
dilakukan oleh ibu bapa sendiri manakala 30 peratus dilakukan oleh pengasuh dan
pembantu rumah. Senario yang menggemparkan ini haruslah ditangani secepat mungkin.
Persoalannya, apakah punca yang menunjangi masalah sosial ini dan apakah cara
mengatasinya? Saya akan rangkaikan satu per satu.

Masalah institusi keluarga merupakan salah satu pemangkin berlakunya kes penderaan
kanak-kanak. Dalam banyak kes, penderaan dilakukan oleh ibu bapa yang menghadapi
konflik kekeluargaan seperti hubungan rapuh antara suami dan isteri akibat campur tangan
pihak ketiga. Maka, pergaduhan antara suami dengan isteri akan berlaku dan seterusnya
penceraian.  Senario ini menyebabkan produktiviti ibu bapa di tempat kerja merosot dan
seterusnya tekanan oleh majikan pun meningkat. Ditambahkan pula dalam perjalanan
pulang ke rumah, masalah kesesakan jalan raya akan meningkatkan ketegangan emosi dan
stres ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berfikir matang mampu melepaskan geram dan tekanan
mereka kepada anak-anak yang merengek. Sudah terang lagi bersuluh, tekanan emosi ibu
bapa dalam institusi keluarga yang tidak terkawal akan mengakibatkan kanak-kanak menjadi
mangsa penderaan. 

Selain itu, kesempitan hidup juga menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak.
Masalah kewangan dan kos hidup yang tinggi menyebabkan ibu bapa terpaksa membanting
tulang di dunia luar. Situasi ini mendorong ibu bapa untuk menyerahkan anak kepada orang
lain, misalnya saudara terdekat untuk menjaga dan membesarkannya dengan janji akan
memberikan kadar upah yang tertentu pada setiap bulan. Walau bagaimanapun, apabila ibu
bapa gagal untuk memberikan upah seperti yang dijanjikan, maka saudara yang tidak
berperikemanusiaan akan mendera kanak-kanak dengan tali pinggang, mencucuk mereka
dengan puntung rokok ataupun membiarkan mereka dalam keadaan kelaparan. Yang
menggemparkan lagi, terdapat segelintir pengasuh yang melakukan keganasan seksual
terhadap kanak-kanak itu. Apabila anak bertemu dengan ibu bapa semula, ibu bapa yang
prihatin akan mendapati bahawa tubuh anak mereka lebam dan lemah dan seterusnya
melaporkan kejadian ini kepada pihak polis. Namun demikian, terdapat sesetengah ibu bapa
yang tidak mempedulikan hal ini kerana tidak mahu menjejaskan hubungan kekeluargaan
dengan saudara mereka. Jelaslah bahawa masalah kewangan semasa membesarkan anak
akan mengakibatkan kes penderaan kanak-kanak berlaku.

Di samping itu, kekurangan didikan agama dalam kalangan ibu bapa merupakan faktor lain
kejadian penderaan kanak-kanak. Ilmu agama merupakan tunggak utama yang menjamin
keutuhan dan perpaduan sesebuah institusi keluarga. Agama juga memberikan panduan
terbaik dalam menguruskan keluarga. Namun demikian, terdapat ibu bapa yang tidak
mempraktikkan ajaran agama mereka dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Kedangkalan ilmu
agama akan menyebabkan sesebuah keluarga dipandu dengan cara yang kontra dengan
didikan agama kerana bak kata pepatah, bengkok batang bengkoklah bayangnya. Hal ini
menyebabkan ibu bapa bersikap bagai haruan makan anak dan sanggup mendera darah
daging sendiri. Kajian menunjukkan bahawa pendera kanak-kanak ramai yang merupakan
pasangan muda. Hal ini disebabkan pasangan muda masih berkelakuan seperti remaja dan
tidak berfikir secara logik ataupun rasional. Tambahan pula, orang muda sering berdarah
panas dan mudah naik angin dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan anak-anak.
Penghayatan ajaran agama yang tidak mantap akan menyebabkan pasangan muda tidak
mampu berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata serta mencurahkan kasih sayang penuh
terhadap anak-anak mereka. 

Untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan perlu


diimplimentasikan dengan rancak. Melalui pendidikan ini, ibu bapa akan didedahkan kepada
cara betul untuk mendidik anak-anak dan melayan pasangan mereka dengan baik. Mereka
perlu diberikan kesedaran bahawa penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang
dilarang keras oleh agama dan undang-undang. Melalui kempen "Keluarga Bahagia", ibu
bapa akan dididik tentang tanggungjawab mereka dalam membina institusi keluarga yang
bahagia dan sejahtera. Mereka perlu berusaha untuk memajukan cara-cara menjaga dan
mendidik anak serta menyayangi mereka bak menatang minyak yang penuh. Pendidikan ini
perlu diberikan tekanan dan bukan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Terbuktilah
bahawa ibu bapa perlu kerap dididik tentang cara-cara untuk hidup berkeluarga bagi
mengurangkan masalah penderaan kanak-kanak. 

Selain itu, peranan masyarakat amat signifikan dalam usaha membendung masalah
penderaan kanak-kanak daripada terus menular. Masyarakat haruslah membuang sikap
seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan usahlah mementingkan
diri sendiri. Sebaliknya, masyarakat patutlah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling
mereka. Jika mendapati bahawa terdapat salah seorang jiran yang melakukan penderaan
terhadap anak-anak, kita haruslah melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis secepat
mungkin. Lagipun, pengawalan keselamatan di kawasan kediaman penduduk seharusnya
diperketat untuk memastikan tiada mana-mana pihak yang berani mendera kanak-kanak
sesuka hati. Dalam konteks ini, masyarakat haruslah menyemai sikap jaga tepi kain orang
dan melakukan rondaan bergilir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada
berlaku. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang tinggi dapat membantu membanteras
kes penderaan kanak-kanak kerana terdapat semangat perpaduan dalam kalangan
masyarakat. 

Seperkara lagi, langkah lain untuk mengurangkan bilangan kes penderaan kanak-kanak
ialah penguatkuasaan undang-undang. Parlimen mestilah menggubal rang undang-undang
bagi mencegah perbuatan mendera kanak-kanak kerana bak kata pepatah harimau ditakuti
disebabkan giginya. Mereka yang bersalah mesti dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan
hukuman berat. Anggota masyarakat sepatutnya berani tampil ke muka pengadilan untuk
menjadi saksi. Pesalah-pesalah ini perlu dianggap sebagai penjenayah dan dihukum rotan
atau dipenjara. Hukuman ini bertujuan untuk memberikan pengajaran dan kesedaran
kepada pesalah serta amaran kepada pasangan lain supaya tidak mendera anak-anak
mereka. Sesi bimbingan dan kaunseling juga patut diberikan untuk menyedarkan pasangan
bersalah tentang tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa. Usaha ini perlu
diimplimentasikan berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Jelaslah bahawa pihak kerajaan berperanan penting dalam usaha menangani masalah
penderaan kanak-kanak.

Tuntasnya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh
agama dan sisi undang. Semua pihak perlulah menggembleng tenaga dan berganding
usaha untuk membanteras gejala ini dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi. Jika
setiap pihak memainkan peranan masing-masing, pastilah kes penderaan kanak-kanak
akan ditangani kerana bak kata pepatah, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.
Maka, masyarakat kita tidak lagi dibelenggu oleh isu ini dan dapat hidup dengan sejahtera.
Akhir kata, kanak-kanak merupakan aset negara yang akan meneruskan pembangunan
negara dan mengharumkan nama negara di pentas dunia serta mencapai Wawasan 2020,
iaitu visi mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad. 

Anda mungkin meminati juga:

Karangan SPM Student KoolAid

Anda mungkin juga menyukai