Anda di halaman 1dari 4

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari

segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang


implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang
pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis
pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan
Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang
dihormati sekalian. Pada era dotcom ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba
untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia,
sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan
Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC)
di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga
ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata
meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada
implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek
pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan.
Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi
media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan
adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat
telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan
pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan
lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di
Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat
ini. Iklan tersebut berbunyi, Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami
akan menghantar guru ke rumah anda! Iklan tersebut memaparkan gambar seorang
budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu
pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan
efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang e-
niaga atau e-commerce, cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga
muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang
mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau
sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini www.sesuatu.com.my
bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli
melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini.
Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa
lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah
tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa
perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti
keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak
membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan
cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya
emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan
negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah,
kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi
media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di
dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan
pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan
seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan
multi media membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah
dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara
rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang
berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan
dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh
diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan
pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam
kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh
lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran
surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh
perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan
kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum.
Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi
negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di
Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan
kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih
ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit,
Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-
burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku.
Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan
generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada
ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan
sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga
mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka
itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak
dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini
turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari
ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat
memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan
perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-
aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan
vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh
melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan
agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk
bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan
kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif
tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara
di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang
berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita.
Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil
dan kaum wajiblah dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa
yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita.
Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai