Anda di halaman 1dari 2

KESAN JEREBU

Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia telah digemparkan
lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Kuala Lumpur yang meningkat
secara mendadak akibat berlakunya jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara
tahunan telah menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut. Masalah
jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan daun nyiru telah mendapat
liputan meluas daripada pihak media massa dan dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan
jerebu bertambah serius akibat berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor
dominan berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan penting
dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera. Oleh sebab setiap yang
berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah mendatangkan pelbagai impak yang negatif
kepada negara kita dan juga rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara kita akan terjejas.
Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi oleh debu dan asap setiap kali jerebu
melanda sehinggalah jarak penglihatan mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50
meter. Sebagai contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk
dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Selangor dan
Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di Malaysia sehingga darurat
diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut, justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan
dan kebanyakan sekolah, pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang
lagi bersuluh bahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang lebih lemah seperti
kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan
badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk
akan mudah merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah diserang
penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka menjadi tidak baik dan
ditambah pula udara yang kurang bersih maka kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam
jangka masa yang panjang, kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan
mata dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif kepada
kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara turut terjejas akibat
kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti
luar disekat dan industri perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin
keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang
perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari pendapatan buat
sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin meruncing, kesan negatif yang lebih
serius akan timbul. Sumber pendapatan negara turut terancam akibat jerebu. Sumber
pendapatan negeri-negeri yang berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak
akan merosot kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan sahaja
dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke Malaysia sekiranya jerebu
masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan keselamatan dan kesihatan mereka semasa
melancong ke Malaysia. Secara tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan fauna di negara kita.
Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida berlipat ganda daripada kandungan yang
biasa, sebaliknya kandungan oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan
menyebabkan tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan
hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis yang terjejas
akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses pernafasan yang melibatkan
penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau
tumbuh dengan lebih lama. Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang
untuk matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga 30 peratus.
Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara yang bergantung pada pertanian
turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang
terlarut dalam air pula akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan
mendapat oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan flora
dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan berganding bahu
dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi mendukung kebenaran yang kita sepakati,
persis kata cendekiawan, bagai aur dengan tebing. Sekiranya masalah ini dipandang enteng,
nyawa modal insan negara kita akan menjadi seperti telur di hujung tanduk. Kebobrokan sikap
anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa
tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk mengatasi masalah jerebu dan seterusnya
menggapai impian Wawasan 2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan
segera, lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan serta sukar
untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal tetapi sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna lagi.

Anda mungkin juga menyukai