Anda di halaman 1dari 5

Contoh Karangan Cemerlang PMR (Usaha Memajukan Sektor Pelancongan)

Sektor pelancongan di negara kita banyak memberi sumbangan bagi menggerakkan ekonomi negara.
Pelancong asing yang datang dari seantero dunia menjadi punca pengaliran pertukaran wang asing
yang meningkatkan ekonomi negara. Oleh itu, kita seharusnya berusaha untuk memajukan sektor
pelancongan bagi menjamin kestabilan ekonomi. Terdapat pelbagai usaha yang boleh kita aplikasikan
bagi memajukan sektor pelancongan negara.
Pihak kerajaan memainkan peranan penting dengan melancarkan kempen 'Cuti-cuti Malaysia' dan
yang terbaru 'Malaysia My Second Home' bagi mempromosikan negara kita sebagai negara
pelancongan. Kerajaan mengeksploitasi keunikan negara kita melalui kepelbagaian budaya yang
berbeza di samping ekopelancongan yang menampilkan hutan hujan tropika yang sudah berjuta tahun
umurnya bagi menarik pelancong dari negara luar. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus
bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan pihak kerajaan bagi menjayakan kempen pelancongan.
Contohnya, kita boleh menawarkan diri untuk menyertai program 'homestay' iaitu program yang
mendedahkan kehidupan tradisional yang sebenar kepada pelancong asing. Hal ini dapat membantu
menarik lebih ramai pelancong yang berminat untuk merasai kehidupan warga Malaysia.
Selain itu, kerajaaan juga boleh mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang bertaraf
antarabangsa. Contohnya, Piala Thomas, Le Tour De Langkawi dan Grand Prix Formula One di
Sepang. Peminat acara sukan bertaraf antarabangsa sudah semestinya tidak mahu ketinggalan melihat
acara seperti ini secara langsung. Bagi menggalakkan acara sukan yang bertaraf antarabangsa
diadakan, pihak kerajaan perlu meningkatkan infrastruktur yang sedia ada bagi melicinkan lagi acara
tersebut dijalankan. Tamsilnya, Litar Antarabangsa Sepang yang berteknologi tinggi telah dibina bagi
mengadakan pelbagai acara perlumbaan seperti Formula One dan MotoGP. Kemudahan yang lengkap
akan mendapat pujian daripada peserta mahupun penonton dan hal ini semestinya dapat meningkatkan
ekonomi dan menjulang nama negara di mata dunia.
Masyarakat setempat juga memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pelancongan
melalui kebersihan. Pelancong yang datang dari luar amat mementingkan kebersihan terutamanya
pelancong dari negara-negara Barat. Setiap individu dapat meningkatkan tahap kebersihan bagi
memajukan sektor pelancongan. Contohnya, mengutip sampah-sarap yang bertaburan di tempat
awam. Hal ini juga dapat mengurangkan risiko penyakit dan virus yang menular. Pihak berkuasa
tempatan seperti dewan bandar raya atau majlis daerah juga turut berperanan dalam menjaga
kebersihan dengan mengadakan kutipan sampah secara berjadual. Dengan kebersihan yang terjaga,
negara kita berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing dan seterusnya memajukan sektor
pelancongan negara.
Di samping itu, kita sebagai warga Malaysia harus berbudi bahasa apabila berdepan dengan
pelancong asing. Adat Melayu yang mementingkan budi bahasa janganlah dilupakan kerana
pelancong asing akan berasa dihormati jika kita berbudi bahasa. Sebaliknya, jika kita memaki hamun
pelancong tersebut, mereka tidak akan kembali ke negara kita pada suatu masa nanti.Oleh itu, peranan
masyarakat yang perlu menjaga budi amat penting bagi membantu sektor pelancongan negara secara
tidak langsung.
Konklusinya, seluruh warga Malaysia berperanan bagi memajukan sektor pelancongan negara.
Setara dengan cogan kata negara iaitu 'Bersekutu Bertambah Mutu', kita seharusnya bersatu dengan
meningkatkan hospitaliti dan produktiviti pelancongan negara. Sektor pelancongan yang maju penting
bagi menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain serta dihormati
negara-negara serantau.

Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan Negara


Sebagai sebuah negara yang beriklim Khatulistiwa, Malaysia mempunyai alam semula jadi yang unik dengan
deretan pulau yang menawan. Oleh itu, negara kita mampu menjadikan industri pelancongan sebagai sumber utama
pendapatan negara jika alam semula jadi itu dieksploitasi sepenuhnya. Berdasarkan jumlah pelancong yang semakin
bertambah ke negara kita sejak belakangan ini, jelas menunjukkan bahawa negara ini mempunyai daya tarikannya yang
tersendiri. Keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi aset penting dalam usaha negara menarik kedatangan
pelancong. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, menyarankan agar tugas menarik kedatangan pelancong
harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja. Saya berpendapat bahawa masih
banyak usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak pelancong mengunjungi Malaysia dan
tinggal di negara ini.
Antara faktor utama pelancong datang di sesebuah negara ialah adanya kemudahan prasarana seperti
pengangkutan dan perhubungan. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan
mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkap kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada
khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang
datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah
kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk
memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih
berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan
pengangkutan tersebut.
Kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, dan sebagainya turut menjadi faktor penting dalam
menarik ramai pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana ini akan menentukan sarna
ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap, hal ini
akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh
lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas
hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan
pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah
hotel yang dibina itu.
Kerajaan melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat lengkap
tentang sesuatu destinasi menarik yang terdapat di negara ini, khususnya di tempat- tempat baharu yang dikenal pasti
boleh menjadi daya tarikan yang menguntungkan. Hal ini dapat dilakukan sama ada menerusi media cetak seperti
risalah, buku, poster, majalah, dan akhbar atau media elektronik seperti radio dan televisyen. Selain itu, dengan
mewujudkan halaman pelancongan dalam internet juga merupakan cara terbaik untuk memperkenalkan Malaysia
sebagai sebuah negara yang wajar dikunjungi oleh pelancong asing. Usaha LPPM mempromosi Malaysia dengan
mengiklankan negara kita pada dinding 60 buah bas di kota London pada tahun lalu menandakan usaha serius pihak
terbabit dalam nenarik lebih banyak pelancong datang ke negara ini. Jika maklumat yang lengkap sampai ke
pengetahuan pelancong, mereka tentunya akan datang melawat negara kita pada suatu hari kelak.
Kepelbagaian kebudayaan dan adat resam penduduk tempatan juga dapat menarik banyak pelancong datang ke
negara ini. Malaysia yang memang kaya dengan pelbagai jenis kebudayaan seperti tarian Melayu, India, Cina, dan suku
kaum di Sabah serta Sarawak mampu menghiburkan pelancong, khususnya kepada pelancong yang gemar kepada
sesuatu yang baru. Kebanyakan pelancong memang gemar melihat kehidupan masyarakat di sesuatu tempat. Rumah
Budaya di Kuching, Sarawak menempatkan pelbagai jenis rumah dan kebudayaan suku kaum di negeri berkenaan dan
sentiasa menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke sana. Kementerian terbabit harus menjadikan pelbagai
budaya yang unik di negara kita sebagai daya tarikan utama dalam membangunkan industri pelancongan dengan
rnemperkemas persembahan yang sedia ada.
Seterusnya, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. Sikap ramah dan suka membantu
pelancong harus diutamakan oleh rakyat negara ini. Pelancong tidak suka rakyat negara ini mengambil kesempatan atau
menipu mereka selama mereka berada di negara ini. Keramahan rakyat negara iini harus dibuktikan melalui sikap
ikhlas melayan tetamu kita itu. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong
tempatan atau asing ini dengan lebih baik.
Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa pelbagai cara boleh dilakukan dalam usaha menarik pelancong
datang ke negara ini. Oleh itu, pihak terbabit harus memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan, mudah, dan tidak
memerlukan perbelanjaan yang besar sejajar dengan keadaan ekonomi negara yang meruncing dewasa ini. Jadi,
tanggungjawab untuk mempromosi keunikan dan keindahan alam semula jadi negara kita kepada pelancong harus
dikongsi bersama kerana rakyat juga akan mendapat manfaatnya. Industri pelancongan di negara ini akan terus
berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara jika diusahakan secara lebih profesional.

TAJUK: FAKTOR-FAKTOR MENARIK KEDATANGAN PELANCONG ASING KE MALAYSIA


Pendahuluan (TIA)
(a) Takrif - Industri pelancongan memang merupakan suatu sektor yang penting bagi sesebuah negara. Hal
ini dikatakan demikian kerana industri ini menyumbangkan hasil dan pulangan yang banyak kepada
sesebuah negara dalam aspek pendapatan negara.
(b) Isu - Dasawarsa ini, industri perlancongan kian berkembang pesat di negara kita dan bilangan
pelancong asing ke negara kita turut meningkat. Daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pelancongan, jumlah pelancongan ke Malaysia dari Januari hingga Disenber 2010 ialah 24.6 juta orang.
(c) Arahan - Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia?
Isi 1
(a) Isi - Faktor perdana kedatangan pelancong asing ke negara kita ialah keistimewaan fizikal Malaysia
yang kaya dengan tempat yang menarik.
(b) Mengapa dan ungkapan menarik - Sebanyak 37% pelancong asing datang ke negara kita disebabkan
tempat-tempat menarik di negara kita. Di Malaysia, terdapat banyak tempat peninggalan sejarah yang tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan tempat-tempat yang menjadi lagenda negara.
(c) Bagaimana - Sebagai contoh, Pulau Pinang yang mempunyai gabungan unik warisan dan budaya
sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong asing sebagai lokasi pelancongan mereka.
(d) Kesan - Sehubungan dengan itu, ibu negeri Pulau Pinang, George Town, telah disenaraikan sebagai
tapak warisan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebaris dengan Tembok Besar China, Taj
Mahal di India, Grand Canyon di Amerika Syarikat dan Great Barrier Reef di Australia.
(e) Penegas - Tegasnya, kewujudan tempat-tempat menarik di negara kita dapat menggamit kedatangan
pelancong asing.
Isi 2
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan
banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara
kita termasuklah Pulau Redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini
dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para
pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai 'syurga dunia' dengan melakukan aktiviti skuba di
kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban
dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut,
kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut,
Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekali gus dapat menjana kemajuan industri
pelancongan negara.
Isi 3
Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di
negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka
pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah
berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan
tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga
kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu
misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal
dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Pendek kata, keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah
berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.
Penutup
(a) Kesimpulan - Sebagai konklusinya, izharlah bahawa terdapat banyak sebab yang menarik kedatangan
pelancong asing ke bumi bertuah ini, Malaysia. Sememangnya pelancongan menjadi suatu bidang
pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya
berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
(b) Cadangan - Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing
dalam merealisasikan modus operandi untuk memajukan industri pelancongan negara.
(c) Harapan - Diharapkan peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya dapat
memakmurkan Malaysia di mata dunia luar dan dapat menaikkan nama negara di mata dunia walaupun
negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta.

Kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita.

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan
bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini
berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin
meningkat. Persoalannya, apakah kebaikan yang diperoleh negara dalam usaha mempromosikan negara yang kita
cintai ini, iaitu Malaysia kepada pelancong dari luar negara.
Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero
dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita
dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan
bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan
prasarana. Slogan Malaysia Boleh telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang
bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosikan ke seluruh
dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini membuktikan
bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara
kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima bertepatan
dengan maksud peribahasa, Sambil Menyelam Minum Air.
Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk
ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa menukar mata wang negara mereka kepada mata
wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan
mahupun di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika
membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat
keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan
sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk
rakyat tempatan dari luar negara.
Sektor pelancongan dapat memajukan industri kraftangan di Malaysia. Barangan kraftangan buatan rakyat
tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan
rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi
reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf
tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, dan lain-lain sebagai buah tangan buat keluarga atau rakan
mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara
kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan.
Sektor pelancongan dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Pelancong asing yang datang ke Malaysia
memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan
perkhidmatan lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisional mahu pun
makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel
bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak
di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di
atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara
segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas
kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di
kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel
bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti Eco-Tuorism yang membolehkan pelancong
asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan
tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu
lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van,
bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Tidak dinafikan peluang yang datang
memberi rezeki yang melimpah ruah kepada peniaga yang ringan tulang.
Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini
demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India,
Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara
pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan
dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia.
Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian
tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang

untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain.
Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan songket boleh cuba dipakai oleh
pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori
indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Keunikan budaya masyarakat Malaysia
yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara
Malaysia.
Akhir kalam, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar terutama dari segi ekonomi
kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk mempromosikan
Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.

Anda mungkin juga menyukai