Anda di halaman 1dari 3

PERANAN MASYARAKAT UNTUK MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

PENDAHULUAN

(T) Cabaran ketujuh dalam Wawasan 2020 ialah mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya
penyayang. Masyarakat penyayang boleh diertikan sebagai kelompok masyarakat yang hidup dalam
suasana saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi,
melakukan kebajikan, menunjukkan rasa kasih dan belas kasihan, bertimbang rasa dan pemurah
terhadap mereka yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Cara hidup ini juga dikenali sebagai
‘budaya ikram’. Tun Dr Mahathir mentafsirkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang sebagai
sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri. (I) Sayangnya, kehidupan dalam
suasana pemuafakatan antara ahli-ahli keluarga yang terjalin mesra, bertimbang rasa, faham-memahami,
hormat-menghormati sudah semakin terhakis dan telah diganti dengan sikap individualistik bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan tidak peduli yang menebal. Sama ada kita mahu
menerima hakikat ini ataupun tidak, fenomena inilah merupakan salah satu daripada punca berlakunya
gejala sosial dalam masyarakat seperti yang dihidangkan oleh media massa setiap hari. Malah boleh
dikatakan, hampir setiap hari akhbar-akhbar melaporkan berita kejadian penyalahgunaan dadah,
pembuangan bayi, pergaduhan yang berakhir dengan kematian, penculikan kanak-kanak, remaja lari dari
rumah, murid ponteng sekolah, sumbang mahram dan bermacam-macam lagi masalah yang melibatkan
setiap lapisan individu dalam masyarakat. (A) Sebelum bisul menjadi nanah, setiap anggota masyarakat
tanpa mengira usia, bangsa, agama dan status harus memainkan peranan masing-masing untuk
menangani masalah ini supaya masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan.

(P1) Peranan masyarakat yang signifikan ialah setiap individu masyarakat haruslah mempunyai didikan
agama yang mantap dan utuh. (M) Membentuk sebuah masyarakat adalah sama seperti membina
sebuah bangunan. Sekiranya dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka
begitu jugalah dengan pembentukan masyarakat yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya iaitu
didikan agama. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap agama mengajar umatnya supaya berkasih
sayang sama ada kasih sayang kepada Pencipta, kasih sayang sesama manusia dan kasih sayang kepada
makhluk yang lain di muka bumi ini. Tanpa didikan agama, sudah pasti kehidupan manusia akan
keberantakan lantaran nipisnya keimanan yang dimiliki senipis kulit bawang. (B) Sekiranya kita
mempunyai keimanan yang tebal sudah pasti kita tidak akan melakukan kezaliman dan penganiayaan
kepada insan lain seperti kes penganiayaan bayi, kes pembunuhan, perogolan, penindasan dan
sebagainya. Bukan sahaja itu, kemusnahan alam sekitar juga dapat dielakkan. (K) Sejajar dengan itu,
masyarakat yang penyayang dapat mengurangkan kadar jenayah dan setiap anggota masyarakat dapat
hidup dalam keadaan yang harmoni. Lebih-lebih lagi pembangunan yang lestari dan mapan dapat
dipraktikkan disebabkan sifat penyayang telah mulai membenih dalam jiwa masyarakat kita. (P) Maka
jelaslah di sini bahawa didikan agama yang mantap mampu melahirkan masyarakat yang penyayang
demi kebaikan bersama.
(P2) Jika kita kaji dari dimensi yang lain, peranan masyarakat yang lain adalah dengan menjadi suri
teladan kepada golongan yang masih hijau atau separa matang. Dalam hal ini, ibu bapalah yang
memainkan peranan utama. (M) Hal ini disebabkan setiap individu yang dilahirkan dalam negara kita
dilahirkan oleh kesemua ibu bapa dan ibu bapa sepatutnya berusaha membentuk seorang anak yang
memiliki sifat-sifat penyayang. Jika setiap ibu bapa terlibat dalam usaha ini dan penggabungan kesemua
anak di Malaysia sudah mampu melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang. (B) Oleh itu, ibu bapa
perlu menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak bak kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’.
Pepatah ini membuktikan bahawa ibu bapa sendiri perlu bersifat penyayang supaya jejak langkah meraka
akan diikuti oleh anak mereka. Dalam pada itu, ibu bapa sendiri perlu mencurahkan kasih sayang kepada
anak mereka supaya anak-anak yang membesar tidak akan rasa kekurangan kasih sayang. (K) Keadaan ini
secara tidak langsung akan menjadikan seseorang anak yang membesar itu untuk mempunyai sifat kasih
sayang kerana mereka mengetahui perasaan kebahagiaan kasih sayang. Akhirnya, masyarakat yang
penyayang yang lahir daripada insititusi keluarga yang penyayang dapat dilahirkan. (P) Tegasnya, sebagai
sebahagian daripada anggota masyarakat ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk melahirkan
masyarakat yang penyayang.

(P3) Selain itu, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab pihak sekolah juga haruslah
memikul obligasi untuk melahirkan masyarakt yang penyayang. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana
pihak sekolah juga merupakan salah satu ejen yang penting dalam membentuk masyarakat yang
penyayang. Lagipun, golongan kanak-kanak dan remaja banyak menghabiskan masa mereka di sekolah
selain rumah dan sekolah dianggap sebagai rumah kedua mereka. (B) Pendedahan nilai-nilai murni harus
didedahkan dan seterusnya disemai ke dalam jiwa setiap pelajar. Oleh itu, pihak sekolah tidak
seharusnya hanya mendedahkan nilai-nilai murni kepada para pelajar dalam subjek Pendidikan Moral
dan Agama Islam sahaja tetapi nilai-nilai ini perlu diterapkan pada setiap masa walaupun di luar waktu
dua subjek tersebut. Guru-guru pula mesti menyemai sifat penyayang kepada para pelajar sejak mereka
kecil lagi seperti kata peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Seterusnya
pendekatan-pendekatan yang bersifat penyayang semasa proses pembelajaran dan pengajaran
seharusnya dikreatifkan. (K) Dengan ini, para pelajar dapat membesar dengan persekitaran yang
penyayang dan harmoni sekali gus impian untuk melahirkan masyarakat penyayang dapat direalisasikan.
Bukan itu sahaja, impian negara untuk melahirkan modal insan bermentaliti kelas pertama dapat
dilahirkan. (P) Jadi, peranan masyarakat pendidik untuk melahirkan masyarakat penyayang tidak dapat
dipertikaikan lagi.

(P4) Peranan masyarakat yang seterusnya ialah aktiviti-aktiviti kemasyarakatan diperbanyakkan. (M)
Melalui aktiviti kemasyarakatan yang diadakan, setiap anggota masyarakat akan bersatu kudrat dan
sebulat suara untuk menjayakan aktiviti yang dijalankan persis kata orang tua-tua, “bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Bukan itu sahaja, sifat penyayang akan terserlah melalui
amalan tolong-menolong dan bertoleransi dalam aktivti-aktiviti tersebut. (B) Sebagai tamsilannya,
amalan rumah terbuka akan menggalakkan aktiviti ziarah-menziarahi jiran tetangga, saudara-mara dan
rumah-rumah kebajikan pada hari-hari perayaan. Manakala penyertaan masyarakat setempat dalam
aktiviti gotong-royong dan kerja sukarela juga perlulah diperbanyakkan. (K) Aktiviti-aktiviti sosial ini
sudah pasti dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain di samping memupuk sikap
pemurah, ikhlas, sentiasa sanggup membantu dan menghulurkan tenaga untuk golongan yang tidak
berkemampuan ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Akhirnya, masyarakat yang
berjiwa penyayang dapat dilahirkan untuk membentuk sebuah negara yang harmoni dan bertaraf kelas
pertama. (P) Deduksinya, penganjuran aktiviti-aktiviti masyarakat setempat yang banyak merupakan
antara elemen yang penting bagi melahirkan masyarakat penyayang.

(P5) Meninjau dari skop yang berbeza, masyarakat yang penyayang juga dapat dilahirkan melalui kempen
kesedaran yang efektif. Usaha ini dapat dilaksanakan oleh golongan masyarakat media sama ada media
elektronik atau media cetak. (M) Seperti yang diketahui umum bahawa media merupakan wahana yang
berkesan untuk menyedarkan masyarakat umum tentang kepentingan amalan penyayang dalam
menjalani kehidupan harian kita. Pihak media lebih menitikberatkan aspek sosial iaitu hubungan sesama
manusia untuk didedahkan tatapan umum. (B) Oleh itu, pihak media yang merupakan sebahagian
daripada anggota masyarakat yang prihatin haruslah menggiatkan pelaksanaan kempen ‘Keluarga
Bahagia’, ‘Penerapan Nilai-nilai Murni’ dan ‘Cintai Sungai Kita’ untuk menerapkan budaya penyayang
dalam kalangan masyarakat kita. Kempen-kempen ini haruslah diadakan secara berterusan dan bukannya
bermusim atau hangat-hangat tahi ayam. (K) Sehubungan dengan itu, masyarakat sedar akan
kepentingan amalan penyayang dalam konteks kehidupan bermasyarakat. Sikap menganiayai, menindas
dan memusnahkan kepentingan orang lain dapat dihindarkan sekali gus dapat menyemai sikap prihatin
dalam kalbu masyarakat kita hari ini. (P) Izharlah bahawa peranan masyarakat media melalui kempen-
kempen yang diadakan dapat membentuk masyarakat yang penyayang.

PENUTUP

(K) Bulan semakin terang bahawa peranan setiap anggota masyarakat amat penting untuk melahirkan
masyarakat yang penyayang. Kasih sayang merupakan suatu fitrah yang amat bernilai dalam diri
manusia. Kasih sayang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan masyarakat. Pernyataan ini
disokong oleh sabda Rasulullah S.A.W dalam memupuk amalan kasih sayang yang bermaksud, “ Tidak
beriman seseorang itu selagi dia tidak kasihkan saudaranya sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri”. (C)
Oleh itu, setiap individu dalam kalangan masyarakat harusnya mengambil inisiatif untuk melakukan
anjakan paradigma bagi merealisasikan pembentukan masyarakat penyayang dalam kalangan rakyat
Malaysia. Kita tidak seharusnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja untuk menjayakan matlamat ini
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Ibu bapa seyogianya memainkan peranan penting
untuk melahirkan generasi muda yang bermoral, berakhlak baik dan bersifat suka menbantu orang lain.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bekerjasama dan saling membantu serta saling menyayangi ibarat
yang tua dihormati, yang muda disayangi. Kita juga harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang
ditetapkan oleh kerajaan. (H) Dengan cara ini, masyarakat kita akan dipandang tinggi sebagai sebuah
bangsa yang bukan sahaja maju dari aspek kebendaannya justeru kaya dengan budaya penyayang. Secara
tidak langsung juga imej negara akan harum di persada dunia dan masyarakat Malaysia akan dianggap
sebagai masyarakat kelas pertama kerana ketinggian akhlaknya. Tokoh pujangga yang bernama Ahmad
Shauqi Bey berkata, “Sesungguhnya bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh. Jika akhlaknya
sudah lumpuh, mereka pun akan lenyap”. Diharapkan pembentukan masyarakat penyayang dapat
merealisasikan visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 dengan mudahnya.

Anda mungkin juga menyukai