Anda di halaman 1dari 2

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang.

Kebanyakan masyarakat dewasa ini


kurang menunjukkan sikap saling menyayangi antara satu sama lain berbanding
dengan  masyarakat zaman silam. Mereka tidak sedar bahawa nilai tersebut penting
diamalkan oleh setiap insan untuk membentuk satu masyarakat harmoni. Oleh sebab
kesibukan bekerja dan kemajuan dunia yang mementingkan kecanggihan teknologi sahaja,
nilai tersebut makin diabaikan oleh masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri masyarakat
penyayang ?

Tidak dapat dinafikan masyarakat penyayang ialah sekumpulan manusia yang


menunjukkan kasih sayang sesama mereka. Hal ini kerana mereka tidak mementingkan diri
sendiri sahaja bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi prihatin
terhadap masyarakat sekeliling juga. Mereka selalu prihatin dengan situasi masyarakat
sekeliling dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan.
Contohnya, pertolongan diberi kepada mangsa banjir dan mangsa kebakaran. Tegasnya, salah
satu ciri masyarakat penyayang adalah dengan saling menyayangi antara satu sama lain dan 
mempunyai sikap mengambil berat terhadap makhluk  yang lain.
            Selain itu, sikap sayang akan alam sekitar juga merupakan sifat masyarakat
penyayang. Hal  ini dikatakan sedemikian kerana alam sekitar juga merupakan satu ciptaan
Tuhan yang perlu dihargai dan dipelihara seperti manusia. Sudah terang lagi bersuluh,
masyarakat penyayang merupakan golongan yang sentiasa melestarikan kebersihan alam
sekitar. Sebagai contoh, gotong-royong kerap dilakukan, sampah-sarap tidak dibuang merata-
rata dan hutan tidak ditebang secara sesuka hati. Amalan-amalan tersebut menunjukkan ciri
masyarakat penyayang kerana kegiatan itu dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar.
Jelaslah bahawa masyarakat penyayang bukan sahaja prihatin terhadap insan tetapi juga
terhadap segala ciptaan Tuhan seperti alam sekitar.

Akhir sekali, ciri-ciri masyarakat penyayang adalah dengan menyayangi dan


menghargai haiwan. Segelintir masyarakat tidak memandang haiwan sebagai organisma
hidup dan sering mengabaikan atau mendera binatang-binatang tersebut. Namun masyarakat
penyayang tidak membuat demikian tetapi akan menjaga haiwan dengan penuh kasih sayang
bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, mereka akan membawa binatang peliharaan
untuk mendapat rawatan yang sepatutnya dan akan memberi makanan kepada haiwan liar
yang kelaparan. Intihanya, sayang akan haiwan juga merupakan satu ciri mustahak yang
dipupuk dalam kalangan masyarakat penyayang.

            Kesimpulannya, masyarakat penyayang bukan sekadar menyayangi sesama manusia


sahaja tetapi sikap kasih sayang juga ditunjukkan kepada alam sekitar dan haiwan. Dengan
adanya sikap kasih sayang ini, keadaan harmoni dan perpaduan dapat diwujudkan antara
masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan
tebing menggembleng kudrat untuk membentuk masyarakat yang penyayang. Hal ini bukan
sahaja untuk kebaikan dan kestabilan negara tetapi juga dapat memanfaatkan diri
masayarakat itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai