Anda di halaman 1dari 2

Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang.

Kebanyakan masyarakat dewasa ini


kurang menunjukkan sikap saling menyayangi antara satu sama lain berbanding
dengan masyarakat zaman silam. Mereka tidak sedar bahawa nilai tersebut penting diamalkan
oleh setiap insan untuk membentuk satu masyarakat harmoni. Oleh sebab kesibukan bekerja
dan kemajuan dunia yang mementingkan kecanggihan teknologi sahaja, nilai tersebut makin
diabaikan oleh masyarakat. Persoalannya, apakah ciri-ciri masyarakat penyayang ?

Tidak dapat dinafikan masyarakat penyayang ialah sekumpulan manusia yang


menunjukkan kasih sayang sesama mereka. Hal ini kerana mereka tidak mementingkan diri
sendiri sahaja bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi prihatin
terhadap masyarakat sekeliling juga. Mereka selalu prihatin dengan situasi masyarakat
sekeliling dan sudi menghulurkan bantuan kepada mereka yang mengalami kesusahan.
Contohnya, pertolongan diberi kepada mangsa banjir dan mangsa kebakaran. Tegasnya, salah
satu ciri masyarakat penyayang adalah dengan saling menyayangi antara satu sama lain
dan mempunyai sikap mengambil berat terhadap makhluk yang lain.
Selain itu, sikap sayang akan alam sekitar juga merupakan sifat masyarakat penyayang.
Hal ini dikatakan sedemikian kerana alam sekitar juga merupakan satu ciptaan Tuhan yang
perlu dihargai dan dipelihara seperti manusia. Sudah terang lagi bersuluh, masyarakat
penyayang merupakan golongan yang sentiasa melestarikan kebersihan alam sekitar. Sebagai
contoh, gotong-royong kerap dilakukan, sampah-sarap tidak dibuang merata-rata dan hutan
tidak ditebang secara sesuka hati. Amalan-amalan tersebut menunjukkan ciri masyarakat
penyayang kerana kegiatan itu dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar. Jelaslah bahawa
masyarakat penyayang bukan sahaja prihatin terhadap insan tetapi juga terhadap segala ciptaan
Tuhan seperti alam sekitar.

Akhir sekali, ciri-ciri masyarakat penyayang adalah dengan menyayangi dan


menghargai haiwan. Segelintir masyarakat tidak memandang haiwan sebagai organisma hidup
dan sering mengabaikan atau mendera binatang-binatang tersebut. Namun masyarakat
penyayang tidak membuat demikian tetapi akan menjaga haiwan dengan penuh kasih sayang
bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, mereka akan membawa binatang peliharaan
untuk mendapat rawatan yang sepatutnya dan akan memberi makanan kepada haiwan liar yang
kelaparan. Intihanya, sayang akan haiwan juga merupakan satu ciri mustahak yang dipupuk
dalam kalangan masyarakat penyayang.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang bukan sekadar menyayangi sesama manusia


sahaja tetapi sikap kasih sayang juga ditunjukkan kepada alam sekitar dan haiwan. Dengan
adanya sikap kasih sayang ini, keadaan harmoni dan perpaduan dapat diwujudkan antara
masyarakat. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing
menggembleng kudrat untuk membentuk masyarakat yang penyayang. Hal ini bukan sahaja
untuk kebaikan dan kestabilan negara tetapi juga dapat memanfaatkan diri masayarakat itu
sendiri.

Anda mungkin juga menyukai