Anda di halaman 1dari 2

Kejadian keracunan makanan di sekolah sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Berikan pendapat anda tentang punca-punca keracunan makanan di sekolah. Kebelakangan ini kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah sering menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar tempatan.Perkara yang menjadi persoalan kepada kita adalah mengapakah perkara ini semakin kerap berlaku? Apakah tiada tindakan yang diambil untuk menanganinya dari terus berlaku? Semua persoalan ini tentunya sentiasa bermain-main di fikiran kita.Apakah punca yang menyebabkan kejadian ini terus berlaku? Antara punca utama keracunan makanan di sekolah adalah disebabkan sikap pengusaha kantin yang mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Kebanyakan daripada mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan kurang mengambil berat tentang kualiti makanan yang dijual. Sehubungan dengan ini, mereka tidak akan mempedulikan sama ada makanan tersebut boleh dijual atau tidak kepada para pelajar. Sebagai contoh mereka tidak mencuci dengan sempurna bahan mentah yang digunakan sebelum memasak sesuatu hidangan. Perbuatan mereka ini boleh diibaratkan umpama anjing makan muntahnya.Sikap ini jika dibiarkan berterusan pastinya akan membawa kepada keracunan makanan. Selain itu, terdapat pengusaha yang tidak menjaga persekitaran kawasan kantin. Kawasan di sekeliling kantin dan dapur dibiarkan kotor tanpa penjagaan yang sewajarnya. Dengan ini, kawasan tersebut akan dicemari dengan pelbagai jenis haiwan dan serangga yang membawa pelbagai jenis kuman. Sebagai contoh, serangga seperti lipas, semut, cicak, tikus dan sebagainya akan berkeliaran dan kadangkala masuk ke dalam makanan. Sewajarnya sikap ini dijauhi bagi mengelakkan makanan daripada tercemar. Di samping itu, sikap para pelajar yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan diri juga merupakan punca berlakunya keracunan makanan di sekolah. Kebanyakan pelajar memandang remeh kepada soal kebersihan diri dan kualiti sesuatu makanan.Sehubungan dengan itu, mereka akan mengabaikan aspek kebersihan dan membeli makanan yang sudah tercemar. Sebagai contoh, mereka tidak mencuci tangan dengan sabun sewaktu hendak menjamah sesuatu makanan. Selagi pelajar tidak mengambil berat soal kebersihan diri, pastinya masalah ini akan terus berlarutan. Konklusinya, pelbagai punca telah dikenalpasti menyebabkan berlakunya keracunan makanan di sekolah. Masalah ini boleh diatasi dengan menamatkan kontrak pengusaha yang terlibat dengan masalah ini. Dengan ini, akan dapat memberi pengajaran kepada pengusaha kantin yang lain supaya sentiasa peka dalam soal kebersihan di kantin sekolah.Jelaslah bahawa masalah ini akan dapat diatasi sekiranya punca-punca kepada permasalahan ini dapat ditangani secara bersepadu.

Karangan BM T2 - Keruntuhan Akhlak Remaja Keruntuhan Akhlak Remaja Zaman ini, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja semakin bertambah. Di dada akhbar, saban hari pelbagai masalah yang berkaitan dengan keruntuhan akhlak diberitakan. Antaranya termasuklah kes buli, gangsterisme, dan vandalisme. Justeru, tidak hairanlah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan. Banyak faktor yang mendorong kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Namun begitu, punca utama ialah kegagalan remaja itu sendiri mengawal diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran. Mereka hendak mencuba perkara baharu tanpa memikirkan kesannya. Mereka terlalu ghairah menunjukkan kehebatan diri sehingga mendorong golongan remaja terlibat dalam gejala merokok, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme. Selain itu, golongan remaja agak mudah dipengaruhi oleh kawan sebaya. Mereka akan terburu-buru menurut ajakan dan suruhan kawan sebaya, apatah lagi jika remaja berkenaan bergaul dalam kumpulan remaja yang bersikap negatif dan bermasalah dalam kehidupan sehari-hari. Seterusnya, remaja juga agak mudah terpangaruh oleh paparan negatif dalam media massa. Pada masa yang sama juga, kemudahan Internet, yakni dunia tanpa sempadan turut menawarkan cukup banyak laman negatif yang mudah dilayari oleh remaja. Laman-laman inilah jika tidak dikawal selia akan mempengaruhi jiwa raga remaja pada hari ini. Keluarga yang porak-peranda turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini. Ibu bapa remaja kurang menunjukkan teladan yang dapat dijadikan ikutan atau contoh yang baik. Sebaliknya, sesetengah ibu bapa kurang mengambil tahu masalah anak-anak mereka. Justeru, anak remaja yang terbiar tanpa bimbingan dan kasih sayang yang sepatutnya mula mencari jalan keluar dan bergaul dengan anasir-anasir negatif di luar rumah. Mereka mula bergentayangan di pusat beli-belah, kafe-kafe siber dan menjadi ahli samseng jalanan. Kesimpulannya, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja kini haruslah ditangani dengan bijak dan segera. Semua pihak, termasuklah ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, jiran tetangga, serta segenap lapisan masyarakat haruslah berganding bahu dan bersama-sama mengatasi masalah yang kian runcing di negara kita pada hari ini. Sesungguhnya, para remaja pada hari ini merupakan umarak (pemimpin) nusa bangsa pada masa depan.

Anda mungkin juga menyukai