Anda di halaman 1dari 4

KARANGAN CEMERLANG SPM - Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

Kebaikan Amalan Rumah Terbuka

            Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah untuk sambutan perayaan di


negara ini termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari
Krismas. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga
pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang amat sinonim
dalam kehidupan mereka sejak turun-temurun.  Kerajaan Malaysia pada tahun 2000
telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum dianggap sebagai perayaan
utama negara yang diraikan pada peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan
pusat dan kerajaan negeri.  Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan
rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di
gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?

            Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan


kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan
anggota masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat
memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka
memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai perpaduan yang
harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis terhadap keharmonian kaum.
Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan
pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti
politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Keadaan ini persis peribahasa buang
yang keruh, ambil yang jernih. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina,
Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa
sebarang kekangan yang perlu dibimbangi. Kesannya, perasaan muhibah antara satu
sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep
penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.

            Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat
Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu
bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan agama. Amalan
ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain selain
didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka
sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta. Sebagai contoh, orang-orang India,
Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama
dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka
mempelajari budaya kaum lain, malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat
toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Tuntasnya, budaya dan
adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
           
            Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga
merupakan daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara
kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati
keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan menghayati sendiri
keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan
kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata mutiara jauh perjalanan,
luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri
berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan
Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di
Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan
industri pelancongan negara. Izharnya, konsep rumah terbuka dapat memberikan
persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
           
            Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim
dalam hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya
amalan rumah terbuka merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk
memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat
dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu,
bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan
silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan
lesap dalam kehidupan generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-
saudara mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan
dapat melepaskan kerinduan  di samping mendapat perkembangan terkini antara satu
sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat
dalam pertemuan ahli keluarga ini. Situasi ini dapat mencerminkan yang tua
dihormati, yang muda disayangi. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat
diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan.

Tempias daripada amalan rumah terbuka ini menyebabkan suburnya


hubungan silaturahim dalam masyarakat. Kesibukan bekerja dan mencari nafkah
menyebabkan rapuhnya institusi kejiranan yang dahulunya kukuh. Namun ikatan
hubungan ini dapat kembali disuburkan melalui amalan rumah terbuka. Rumah
terbuka menyediakan ruang serta peluang bagi masyarakat untuk mengenali jiran
tetangga. Ghalibnya, masyarakat setempat akan dijemput menghadiri rumah terbuka
yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Jiran tetangga yang sebelumnya tidak dikenali
atau jarang bertemu dapat berkumpul dan berbual-bual bagi mengukuhkan hubungan
yang renggang. Segala salah faham dapat diredakan melalui pertemuan serta
perbincangan semasa amalan rumah terbuka. Menurut Saidina Abu Bakar,
‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar
orang dengan batu, tetapi dibalasnya dengan buah’. Malahan, hubungan antara
pemimpin dan rakyat juga menjadi lebih erat apabila mereka menganjurkan majlis
rumah terbuka seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri
Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak setiap tahun. Jelaslah bahawa amalan rumah
terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota
masyarakat. 

            Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi
melihat serta merasai kepelbagaian masakan.  Rumah terbuka yang dianjurkan di
negara kita telah memberikan kelebihan kepada masyarakat peribuminya. Setiap
perayaan mempunyai corak atau cara sambutan yang berbeza-beza, maka heterogen
adat dan tradisi mula diketengahkan menyebabkan masyarakat kini mampu
mengenalinya secara dekat. Keunikan adat dan tradisi yang diamalkan telah menjadi
faktor penarik bagi masyarakat lain untuk mula menyesuaikan diri serta merasai
kepelbagaian juadah yang disajikan. Sebagai contoh, rumah terbuka bagi masyarakat
Iban biasanya menyajikan sagu, manakala masyarakat India pula mementingkan
manisan. Tetamu yang menghadirinya pasti teruja apabila mereka dapat merasai
juadah yang berbeza dan pelbagai, justeru tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata
aforisme Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan
inilah masyaralat dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka masakan daripada
latar masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh.

               Pada kaca mata berbeza, pendapatan negara semakin meningkat apabila
industri pelancongan di negara kita semakin maju. Pelancong asing akan
bertandang ke negara kita kerana mereka teruja akan cara-cara masyarakat majmuk
menyambut rumah terbuka. Jabatan Perangkaaan Negara juga menjelaskan bahawa
hasil terimaan pelancong meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2011 dan
dijangka akan terus meningkat saban tahun. Rumah terbuka dapat menjadi salah satu
platform dalam meningkatkan industri pelancongan Malaysia. Selain itu, sikap
toleransi dan persefahaman multi etnik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah
menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing kerana
konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan
menjadi pegangan utuh masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat
kebudayaan yang sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala
kebudayaan yang unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan
tetamu yang hadir mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang
dihidangkan juga mengutamakan hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia
mahupun masyarakat antarabangsa dapat menyelami budaya semua kaum di negara
ini dengan lebih dekat. Hasilnya, kesemua keunikan ini telah menjadi magnet tarikan
kepada pelancong.

            Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang kepada pembentukan


identiti Malaysia melalui budaya bangsa nasional. Sebenarnya, rumah terbuka
berlandaskan konsep seruan beragama dan adat budaya kaum masing-masing. Namun
demikian, perayaan masing-masing telah diasimilasikan sehingga melahirkan budaya
bangsa secara nasional. Senario ini bermakna perayaan negara kita telah berkonsep
ala- Malaysia. Pertembungan budaya antara dua atau lebih budaya sebenarnya
membawa kepentingan kepada semua pihak. Tamsilnya, masyarakat Cina tidak
menyediakan hidangan yang tidak boleh dijamah oleh masyarakat Melayu dan begitu
juga dengan masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya bertujuan
menjaga perasaan sahabat handai. Hal ini disebabkan penghormatan itu merupakan
asas keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup. Keindahan, keunikan dan
kehalusan budaya ini akan menyebabkan generasi baru berasa banggsa dengan
warisan yang dimiliki selagi adat initidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek
panas. Kebudayaan kebangsaan Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini akan
menjadi identiti rakyat Malaysia.
            Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan
rumah terbuka memang banyak membawa  manfaat kepada masyarakat dan
negara. Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua
pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, kemungkinan amalan ini
akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya.
Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap pahat berbunyi  apabila
menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan, sudah pasti hasrat
negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan
bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil
dalam peta dunia, namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang
berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada negara-negara di dunia.

Anda mungkin juga menyukai