Anda di halaman 1dari 1

cara-cara menjaga kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal 

 kita.

    Kebersihan dan keindahan  kawasan tempat tinggal kita sememangnya hal yang
perlu diberi  perhatian agar hidup kita sentiasa sihat dan ceria. Sekiranya tempat
tinggal kita kotor dan tidak ceria maka masyarakat yang mendiaminya mudah
diserang pelbagai penyakit yang berbahaya. Banyak cara yang boleh kita lakukan
agar kebersihan dan keindahan kawasan tempat tinggal kita terjaga.

       Untuk menjaga kebersihan dan keindahan tempat tinggal,  kita mestilah sentiasa
mengamalkan sikap kerjasama dengan masyarakat yang tinggal di kawasan yang
sama. Hal ini demikian kerana tanpa kerjasama anggota masyarakat maka sukarlah
untuk  menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran tempat tinggal kita. Amalan
bergotong-royong membersihkan dan menceriakan kawasan taman atau kampung
perlu selalu dilakukan.

         Selain itu, Semua orang yang tinggal di sesuatu kawasan perlu sentiasa menjaga
kebersihan dan keindahan rumah masing-masing.  Setiap orang perlu membuang
sampah di tempat yang disediakan untuk memudahkan pihak bertanggungjawab
memungut sampah-sarap dan dibawa ke tapak pelupusan. Sekiranya hal ini
diamalkan, maka sesuatu kawasan tempat tinggal akan sentiasa bersih dan ceria.

       Amalan mengitar semula bahan buangan juga salah satu cara menjaga
kebersihan dan keindahan tempat tinggal. Bahan buangan seperti botol, tin
aluminium,kertas dan besi-besi  lama boleh dikitar semula. Bahan-bahan ini boleh
kita bawa ke pusat kitar semula. Amalan kitar semula sebenarnya sangat baik
diamalkan kerana selain daripada menceriakan kawasan tempat tinggal kita ia juga
membantu kita menjaga kelestarian alam negara kita.

      Penanaman pokok-pokok hiasan juga adalah cara menjaga keindahan  kawasan
tempat tinggal. Pokok-pokok hiasan yang hidup subur dan menghijau sudah tentu
menyejukkan mata yang memandang. Hal ini pastinya mewujudkan kawasan tempat
tinggal  berudara bersih , nyaman dan ceria.

    Kesimpulannya,  pelbagai cara boleh dilakukan untuk menjaga kebersihan dan
keindahan tempat tinggal kita. Walaubagaimanapun pelibatan seluruh anggota
masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan sangatlah mustahak untuk mewujudkan
kawasan tempat tinggal yang bersih dan indah.

Anda mungkin juga menyukai