Anda di halaman 1dari 2

Kebersihan diri merupakan kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh

setiap individu bagi menjamin kesejahteraan hidup.


Sebagai remaja yang mengutamakan kesihatan, cadangkan cara-cara anda
menjaga kebersihan diri.

Pendahuluan : Bagi memulakan arena perbincangan dalam isu ini, saya tergerak
hati untuk memetik pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu
sebahagian daripada iman”. Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut,
jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun utama untuk menentukan tahap tinggi
atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliq. Kebersihan juga menjadi
lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama ada bertaraf maju
atau primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan sering menjadi kayu ukur akan
kesejahteraan hidup berdasarkan slogan, “Rakyat Bersih Negara Sejahtera”. Oleh
itu, sebagai remaja pascamilenium ini, saya amat beriltizam untuk mengamalkan
gaya hidup bersih dan sihat sejajar dengan matlamat melahirkan generasi sihat,
cerdas, pintar dan berdaya saing menjelang Wawasan 2020.
Kebersihan yang nyata adalah yang tampak pada zahirnya. Walau
bagaimanapun, kebersihan yang hakiki hendaklah bermula daripada kebersihan
batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama ada zahir
mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati dalam diri
seseorang. Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya pernah menyatakan,
“Mahu melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan
batin bercerminlah pada wajah. Oleh itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu
menghiasi jiwa dan rohani. Mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur dan
amanah merupakan santapan jiwa yang akhirnya akan terpancar pada peroman. Hal
demikian amatlah tepat dengan kata-kata dalam lirik ‘Wajah Cerminan Hati’
dendangan penyanyi tersohor 1960-an, iaitu A Ramlie, yang berbunyi;
Andai hati tak sayang wajahmu lain sekali
Andai hatimu jujur, wajah cerminan hati.
Disiplin dan amalan secara rutin ialah anak kunci kepada kebersihan diri.
Dalam hal ini, saya amat sedar bahawa tanpa disiplin tiada apa-apapun yang kita
lakukan boleh berjaya. Sehubungan dengan pengurusan penjagaan diri, rutin harian
hendaklah saya susun bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Perkara-
perkara penting seperti mandi, bersiap, makan, belajar, beriadah dan berehat
hendaklah dilakukan secara berjadual dan berlangsung selagi hayat dikandung
badan. Sikap melakukan sesuatu kerja secara sambalewa amat mudah menjadi
virus untuk menyerang minda dan habit kita supaya mengabaikan pengurusan diri.
Kesudahannya, diri kita menjadi tidak terurus, kurang bersedia dan yang lebih
malang lagi mudah diserang penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun penyakit
emosi seperti kemurungan. Benarlah seperti yang pernah difatwakan oleh tokoh
bijaksana bahawa, “Apabila kita gagal merancang, justeru kita merancang untuk
gagal”.
Aspek penampilan diri juga wajar saya ambil kira dalam hal menjaga
kebersihan diri. Penampilan diri yang tampan, segak dan bergaya boleh memberi
saya keyakinan diri dan yakin pula untuk berkomunikasi dengan khalayak. Saya
seharusnya menjaga kebersihan pakaian, cara berpakaian dan cara bercakap
apabila berkomunikasi. Inilah beberapa sifat yang boleh menonjolkan diri kita agar
dilihat harmoni hati nurani, tajam minda dan mata hati serta matang akal budi. Pokok
pangkalnya, kebersihan hendaklah meliputi segala perkara sama ada badaniah,
rohaniah, insaniah dan alamiah.
Kesihatan ialah aset besar yang membolehkan seseorang itu tampil sebagai
individu seimbang dan harmonis sama ada dalam aspek fizikal mahupun rohani.
Oleh hal yang demikian, saya sangat mengutamakan perihal kesihatan dalam
memastikan diri dilihat bersih, kemas, berkeyakinan dan terampil. Kecaknaan
terhadap kebersihan tubuh badan memberi impak yang besar terhadap penjagaan
kesihatan. Oleh itu pemilihan makanan, berehat dan riadah hendaklah diberi
perhatian yang teliti. Selain itu, kesihatan mental dan emosi boleh membuka dimensi
yang luas dalam persahabatan. Di sinilah terminologi utama yang boleh membentuk
insan seimbang dalam aspek jasmani, emosi dan rohani. Sesungguhnya, amatlah
kontradiksi untuk merealisasikan kebersihan diri sama ada zahir atau batin
seandainya kesihatan diri kita tidak terurus.
Kebersihan diri turut terpancar apabila kebersihan persekitaran tempat tinggal
kita turut terjaga. Hal ini amatlah penting kerana kehidupan yang mesra alam itu
merupakan teras utama untuk hidup sihat dan selamat. Hal-hal yang berkaitan
dengan kebersihan rumah tangga seperti tempat tidur, bilik mandi dan tempat
makan hendaklah saya jaga. Semua elemen ini menjadi persekitaran tetap kepada
diri kita. Seandainya tidak diuruskan dengan baik, justeru banyak anasir yang boleh
mengancam kebersihan dan kesihatan. Pelbagai penyakit seperti penyakit
berjangkit, serangan kuman dan udara yang tidak bersih boleh membawa musibah
penyakit. Sewajarnya, kawasan sekitar hendaklah dibersihkan dan dihiaskan dengan
pokok-pokok bunga serta landskap yang menarik. Sebenarnya, semua perkara
tersebut menjadi aset untuk jiwa, minda dan emosi saya menjadi tenang dan stabil.
Kesimpulannya, kebersihan diri menjadi perhiasan zahir dan batin seseorang
insan. Insan yang bersih ialah insan yang kenal tentang dirinya dan tahu tentang
matlamat dirinya dijadikan Tuhan. Dalam Islam, Allah amat mementingkan perihal
kebersihan dan keindahan sejajar dengan firman yang bermaksud, “Allah itu cantik
dan amat suka akan kecantikan”. Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda
harapan bangsa dan negara saya harus memperlengkap diri dengan pakej
penampilan diri yang segak, kemas dan sihat. Saya juga perlu menyempurnakan
sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan pekerti yang baik. Demikian pakej anak
muda yang bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat negara
berpendapatan tinggi yang diidam-idamkan.

Anda mungkin juga menyukai