Anda di halaman 1dari 2

AKTIVITI YANG BOLEH DIJALANKAN UNTUK MEMASTIKAN MURID MAHIR MENJAGA

KESELAMATAN DIRI

Sekolah adalah tempat murid untuk menimba ilmu. Dewasa ini, masalah keselamatan murid
di dalam dan luar sekolah adalah amat membimbangkan. Masalah ini adalah amat merisaukan
kerana boleh mengundang kepada banyak perkara negatif. Saban tahun, kes-kes penculikan dan
kecederaan murid dikatakan semakin meningkat. Murid perlu tahu tentang apa yang boleh dilakukan
untuk menjaga keselamatan diri. Apakah langkah untuk memastikan murid mahir menjaga
keselamatan diri.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pihak sekolah perlu menjemput pihak
bertanggungjawab seperti pihak bomba untuk memberi penerangan tentang laluan kecemasan dan
cara mengendalikan sekiranya berlaku kebakaran di sekolah. Penerangan ini bertujuan untuk
memastikan murid dapat bersedia untuk menghadapi kemungkinan kebakaran berlaku di sekolah
mereka. Pihak bomba juga boleh mengadakan latihan kebakaran untuk menilai tahap kesediaan
murid untuk menghadapi kebakaran. Selain dapat mempelajari tentang laluan yang sepatutnya
digunakan ketika kebakaran berlaku, murid juga boleh belajar tentang cara mengendalikan kebakaran
dengan tenang dan teratur. Aktiviti ini perlu dijalankan kerana murid perlulah sediakan paying
sebelum hujan untuk memastikan keselamatan mereka tidak terancam. Maka benarlah bahawa
pihak sekolah perlu menjemput pihak bomba untuk memberikan penerangan tentang laluan
kebakaran dan cara mengendalikan sekiranya berlaku kebakaran di sekolah akan membantu menjaga
murid supaya keselamatan mereka terjamin.

Pada masa yang sama, pihak sekolah juga perlulah menjemput pihak polis untuk
memberikan ceramah tentang cara penjagaan keselamatan diri di dalam mahupun luar sekolah. Hal
ini adalah kerana murid perlu tahu tentang bahaya yang mungkin mereka akan hadapi di setiap
kawasan. Pihak polis mesti menerangkan tentang jenis-jenis bahaya yang mungkin akan dilalui oleh
mereka seperti kes penculikan dan kecurian. Dengan ini, murid akan lebih peka tentang keselamatan
diri mereka dan tidak akan bertindak untuk melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir panjang kerana
berfikir sebelum dikata, berunding sebelum dibuat. Maka jelaslah bahawa pihak sekolah perlu
menjemput pihak polis untuk memberikan ceramah tentang cara penjagaan keselamatan diri supaya
murid bersedia untuk menghadapi bahaya yang mungkin akan menimpa mereka.

Kita juga tidak dapat menepis tolak bahawa murid boleh mengikuti persatuan atau kelab
yang mengajar tentang kemahiran untuk mempertahankan diri yang disediakan oleh pihak sekolah.
Murid perlu tahu cara mempertahankan diri sekiranya berhadapan dengan perkara yang berbahaya
seperti cubaan penculikan atau cubaan meragut. Kelab atau persatuan ini perlu mengajar murid
tentang cara mempertahankan dan menongkah diri daripada bahaya. Sebagai contohnya, cara untuk
mempertahankan diri ketika adanya cubaan penculikan terhadap mereka. Selain dapat
mempertahankan diri, murid juga dapat membantu orang lain yang mungkin akan menghadapi
situasi ini. Maka benarlah jika murid menyertai kelab atau persatuan yang mengajar tentang
kemaiharan untuk mempertahankan diri, mereka dapat memastikan keselamatan mereka dapat
dijaga.

Satu perkara yang tidak dapat disangkalkan ialah pihak pentadbiran sekolah perlulah
memastikan situasi dan pembangunan sekolah adalah selamat serta kukuh untuk digunakan oleh
murid. Mereka perlu memastikan bahawa pembangunan sekolah telah dibina dengan kemas dan
cermat untuk mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku. Pihak bertanggungjawab
perlu memeriksa tahap kekukuhan pembangunan di kawasan sekolah supaya tidak berlaku perkara
yang tidak diingini kepada murid seperti berlaku keruntuhan konkrit bangunan sekolah yang akan
mencederakan mereka. Justeru itu, kepastian bahawa bangunan sekolah adalah kukuh dan selamat
digunakan akan memastikan murid tidak ditimpa kemalangan yang berbahaya kerana malang tidak
berbau. Pendek kata, pihak pentadbiran perlulah memastikan bahawa pembangunan sekolah adalah
selamat dan kukuh supaya murid tidak akan ditimpa kemalangan yang mungkin akan membahayakan
nyawa mereka.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai aktiviti yang dialukan untuk
memastikan murid mahir menjaga keselamatan diri. Sehubungan dengan itu, pihak-pihak berkenaan
perlulah menjalankan aktiviti-aktviti tersebut supaya keselamatan murid akan terjamin. Kita tidak
boleh leka dengan perkara ini kerana bahaya boleh berada di mana-mana sahaja. Semoga
aktiviti-aktiviti ini dapat memabntu murid dalam penjagaan keselamatan mereka. Marilah kita
bertindak dari sekarang untuk memastikan murid dapat berada dalam keadaan selamat kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

(614 patah perkataan)

Disediakan oleh: Aisyah Humaira binti Ikhsanuddeen

4 Zainab

SMKAP

Anda mungkin juga menyukai