Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN MATA PELAJARAN SEJARAH

Maksud sejarah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah peristiwa yang benar-benar
berlaku. Di dunia kita, peristiwa sejarah seperti Perang Dunia telah meninggalkan banyak impak
malah emosi kepada masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan subjek sejarah
untuk semua pelajar. Namun begitu, masih ada pelajar yang tidak mengambil tahu tentang betapa
pentingnya subjek sejarah bak kata peribahasa endah tak endah. Apakah kepentingan mempelajari
subjek sejarah bermula di bangku sekolah untuk setiap pelajar.

Memang tidak dinafikan bahawa dengan mempelajari subjek Sejarah, kita dapat melahirkan
orang yang berilmu pengetahuan. Kita tidak boleh mengabaikan bahawa ilmu pelita hdup. Malaysia
akan menjadi setanding dengan negara-negara hebat yang lain kerana ilmu sejarah yang ada di dada
dapat membantu diri kita daripada dimanipulasi oleh pihak luar buat kali kedua. Dengan ini,
pembangunan negara dapat dimajukan dan juga dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat
serta tiada lagi gangguan anasir-anasir luar. Maka jelaslah bahawa kita dapat melahirkan orang yang
berilmu pengetahuan dengan subjek sejarah.

Pada masa yang sama, kita dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa. Hal ini akan
membantu dalam melahirkan generasi muda yang cintakan akan negara. Ramai rakyat Malaysia
sudah tidak lagi menghargai jasa-jasa pejuang yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi
mempertahankan negara tanpa berfikir panjang. Jadi, subjek sejarah dapat mengajar masyarakat
bahawa jika tidak kerana pejuang-pejuang terdahulu, kita mungkin masih akan berada di bawah
penjajahan kuasa-kuasa luar yang kejam. Pengajaran subjek sejarah perlu diajar kepada
pelajar-pelajar mulai sekarang supaya mereka tidak lupa kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Maka jelaslah bahawa sejarah dapat membantu memupuk semangat patriotik dalam
jiwa.

Kita juga tidak dapat menepis tolak bahawa kita juga boleh memupuk nilai perpaduan dalam
kalangan masyarakat di negara kita. Hal ini dapat mengelakkan supaya tidak berlakunya pergaduhan
dan perselisihan faham antara kaum. Pihak kerajaan boleh membina tugu dan melaksanakan
hari-hari peringatan pahlawan untuk menghargai jasa-jasa mereka. Negara kita pernah mencatatkan
sejarah hitam selepas merdeka iaitu tragedi persalahfahaman antara kaum pada 13 Mei 1969.
Tragedi ini meragut banyak nyawa dan perpaduan negara pada masa tersebut adalah ibarat telur di
hujung tanduk. Jadi, kita mestilah merpatkan perpaduan kaum supaya peristiwa ini tidak akan
berulang lagi. Atas rasional tersebut, sudah pasti sejarah boleh membantu dalam memupuk nilai
perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Satu perkara yang tidak dapat disangkalkan ialah kita dapat mewujudkan bangsa yang
berjaya. Hal ini adalah kerana, kita boleh mengambil iktibar melalui peristiwa-peristiwa yang lalu.
Sebagai contohnya, kita boleh mengambil pengajaran daripada peristiwa pendudukan Jepun dan
bagaiman mereka memanipulasi rakyat tanah air kita. Dengan memahami subjek sejarah, kita tidak
akan mudah percaya dengan pujukan-pujukan oleh pihak asing supaya pisang tidak akan berbuah
dua kali. Justeru itu, kita tidak akan lagi ditindas oleh orang-orang luar yang hanya ingin memenuhi
ketamakan mereka. Ringkasnya, sejarah dapat mendorong untuk mewujudkan bangsa yang berjaya.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai kepentingan mempelajari subjek
sejarah. Kita janganlah alpa dengan dunia pada masa sekarang sahaja sehingga melupakan
peristiwa-peristiwa penting yang mampu memberikan kesedaran kita dalam menjalani kehidupan.
Semoga kita akan terus berusaha untuk menyedarkan semua orang betapa pentingnya sejarah.
Marilah kita sama-sama berusaha menghidupkan mata pelajaran sejarah di mata rakyat demi
keamanan dan kesejahteraan negara kita tanpa alasan kerana hendak seribu daya tah hendak seribu
dalih.

(521 patah perkataan)

Disediakan oleh: Aisyah Humaira binti Ikhsanudden

Anda mungkin juga menyukai