Anda di halaman 1dari 1

Dalam meniti era globalisasi pada hari ini, masyarakat di negara kita mengalami perubahan

norma masyarakat dalam menerima maklumat secara pantas melalui media massa atau sosial yang
menyebabkan anggota masyarakat mudah terpedaya dengan propaganda sesetengah pihak yang
tidak bertanggungjawab. Demi memastikan kedaulatan negara kita kekal utuh, masyarakat kita perlu
sentiasa belajar untuk memanfaatkan segala kemudahan pada hari ini untuk kebaikan sejagat dan
bukan kepentingan diri sendiri sahaja. Polemik perkauman dan perbezaan fahaman di arena politik
sedikit sebanyak akan mengganggu ketenteraman yang dinikmati selama ini oleh masyarakat kita.
Oleh itu, kepentingan semangat patriotik kepada negara harus dititikberatkan.

Semangat patriotik penting untuk mengeratkan hubungan antara ahli masyarakat atau
penduduk setempat. Jika kita melihat kembali sejarah, negara kita mengecapi kemerdekaan daripada
penjajah hasil daripada semangat kebangsaan setiap penduduk di negara ini. Tanpa mengira latar
belakang dan warna kulit, tokoh seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock membuktikan
semangat patriotik dapat menghubungkan tali persaudaraan antara semua lapisan masyarakat.
Secara tuntas, masyarakat hari ini perlu sedar dan merai semangat kebangsaan supaya hubungan
antara satu sama lain kekal harmoni dan sejahtera. Persis kata mutiara, bersatu kita teguh, bercerai
kita roboh.

Pada masa yang sama, salah satu kepentingan lain semangat patriotik ialah mampu menjadi
pendorong untuk memajukan negara. Pada era sains dan teknologi ini, kita bebas untuk melihat
kemajuan yang dikecapi oleh negara lain. Kita tidak boleh menjadi seperti katak yang berada di
bawah tempurung. Sebaliknya, setiap di antara kita memainkan peranan masing-masing untuk
membawa negara kita ke tahap kemajuan yang lebih baik daripada hari semalam. Sebagai
masyarakat kita seharusnya menggunakan semangat kebangsaan untuk belajar bersungguh-sungguh
dan melakukan yang terbaik dalam kerjaya masing-masing agar manfaat sejagat dapat dicapai.
Izharnya, jika setiap diantara kita memiliki semangat kebangsaan, pastinya negara kita mampu
mengecapi kejayaan dalam apa bidang sekalipun demi mengharumkan nama negara tercinta.

Bukan itu sahaja, negara juga perlu memastikan semangat patriotik dipupuk dalam diri setiap
ahli masyarakat supaya kita dapat memelihara sejarah, budaya dan warisan negara. Khazanah yang
tidak boleh dibeli secara tunai ini sangat penting untuk dipelihara agar tidak hilang dek ditelan
zaman. Hanya dengan semangat kebangsaan antara kita, timbul nilai penghargaan terhadap sejarah,
budaya dan warisan yang kita miliki daripada nenek moyang kita terdahulu. Misalnya, kawasan-
kawasan bersejarah di Melaka yang diancam kemajuan pembangunan sekitarnya. Jika masyarakat
kita mempunyai semangat kebangsaan, kita akan cuba sedaya-upaya untuk mengekalkan elemen-
elemen sejarah yang terkandung dalam kawasan tersebut. Bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas. Intihannya, semangat kebangsaan penting untuk memastikan sejarah, budaya dan
warisan bangsa kita terjamin dari zaman ke zaman.

Kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan lahir daripada semangat kebangsaan terhadap


sesebuah negara. Sebagai warganegara yang menikmati kehidupan yang aman dan sentosa di tanah
air ini, kita seharusnya memupuk semangat ini dalam diri sendiri dan orang sekeliling kita supaya
nikmat tersebut kekal selamanya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Peribahasa ini jelas
menunjukkan permuafakatan akan memudahkan sesuatu tugas atau amanah sepertimana kita
bertanggungjawab ke atas kemajuan, keharmonian dan kedaulatan negara yang kita cintai ini.

Anda mungkin juga menyukai