Anda di halaman 1dari 2

ERTI SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad pernah mengingatkan bahawa
tanpa semangat patriotik, kita tidak boleh yakin bahawa kita dapat bertahan dan mengekalkan
hak kita, kemungkinannya ialah Malaysia akan tinggal nama dalam sejarah cuma.

Yang saya hormati tuan pengerusi yang berwibawa,

Kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti,

Rakan rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti

Seterusnya warga dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit
dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya bertajuk
“Erti Sambutan Bulan Kemerdekaan”

Kemerdekaan sesebuah negara pada amnya bererti kebebasan daripada belenggu


penjajahan. Negara memiliki kedaulatan pemerintahan, wilayah dan keselamatan demi
kebajikan, kelangsungan, kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan, pembangunan dan
pertumbuhan yang bakal dikecapi oleh rakyat jelata seluruhnya. Sesebuah negara yang
merdeka diterajui oleh para pemimpin yang amanah dan adil, tanpa berlaku penindasan dan
pengkhianatan terhadap kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat jelata.

Para penonton penuh santun,


Kemerdekaan sebenar, sejati dan tulen bukan sahaja indah dari segi kata-kata dan
retorik, bahkan suatu sistem rasa yang meresap ke dalam jiwa pemimpin dan rakyat jelata.
Hubungan yang harmoni antara pemimpin dengan rakyat jelata dizahirkan menerusi perasaan
senang dan tenang, iaitu agihan nilai dan sumber yang menjunjung tinggi prinsip keadilan.
Semangat cinta negara dan jati diri sentiasa berkobar-kobar bagi membawa negara ke mercu
kegemilangan, di samping bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang cuba mencalar
nikmat kemerdekaan yang diperoleh menerusi proses perjuangan yang panjang.

Setelah lebih 400 tahun dijajah silih berganti oleh kuasa asing, negara kita mula
mengecapi kemerdekaan dengan turunnya bendera Union Jack, dan berkibar megah bendera
kebangsaan yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Teriakan keramat merdeka pada
tanggal 31 Ogos 1957, iaitu 62 tahun yang lalu, ialah kemuncak kemenangan yang telah
dirintis sekian lama oleh pejuang-pejuang yang kental seperti Dato' Sagor di Pasir Salak, Dol
Said di Negeri Sembilan, Mat Kilau di Pahang, Tok Kenali di Kelantan, Abdul Rahman
Limbong di Terengganu dan banyak lagi. Bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu atau
Malaya, pembentukan negara Malaysia telah bertambah kukuh menerusi kemasukan Sabah
dan Sarawak pada 16 September 1963, walaupun negara telah kehilangan Singapura dua
tahun kemudian.

“Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah
ungkapan yang telah dikatakan oleh Presiden Pertama Indonesia, Soekarno. Ungkapan ini
menggambarkan betapa gahnya peranan generasi muda sebagai penentu pembangunan dan
kemajuan Negara pada masa depan. Hakikatnya, generasi yang sempat menyaksikan
peristiwa bersejarah kemerdekaan negara 62 tahun yang lalu kita sudah meniti usia emas, 60-
an dan 70-an, selain telah ramai yang telah tiada lagi bersama generasi pascamerdeka. Orang-
orang muda dan pelajar remaja hanya menelusuri kisah dan sejarah kemerdekaan negara
menerusi pembelajaran di bilik darjah, pembacaan dan paparan media yang lain. Namun,
semangat patriotik atau cinta negara hendaklah sentiasa bersemi kerana jika cuai, leka dan
alpa, tidak mustahil bahawa sejarah pahit penjajahan secara fizikal akan berulang tanpa
diduga, moga dijauhkan oleh Allah.

Warga dewan yang budiman,


Walaupun penjajah telah lama pergi, hakikatnya berlaku pula penjajahan bentuk
baharu yang lebih dahsyat, iaitu penaklukan minda, psikologi, budaya, cita rasa dan cara
berfikir. Mentaliti penjajah Barat berjaya dikekalkan menerusi rasa kagum yang keterlaluan
terhadap apa-apa sahaja yang datang daripada bangsa bekas penjajah, termasuk sikap, bahasa,
fesyen, makanan dan jenama. Sebaliknya, masih ada perasaan rendah diri terhadap segala
yang berasal dari punca tempatan, termasuk dalam urusan penggunaan barang dan
perkhidmatan.

Semangat kemerdekaan yang meluap-luap perlu dilengkapkan dengan pengisian erti


kemerdekaan yang tepat. Sumbangan kita antara lain ialah kesungguhan dalam meningkatkan
akses ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang menjurus terhadap proses penjanaan
modal insan minda kelas pertama acuan sendiri. Kita juga harus sentiasa bersiap sedia
menempuh cabaran dan pancaroba dalam persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan
yang begitu pesat.

Sidang dewan yang mulia,


Sebelum mengakhiri pidato ini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa makna
kemerdekaan harus disematkan dalam jiwa setiap warga kita serta disyukuri bukan dalam
bulan kemerdekaan sahaja tetapi kekal sepanjang zaman.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai