Anda di halaman 1dari 13

Latihan ayat aktif dan ayat pasif.

Contoh:
1. Mereka tidak dapat menjelaskan hutang sebelum hujung bulan ini.
Subjek : Mereka
Objek : hutang
Kata kerja transitif: menjelaskan
Jawapan:
Hutang tidak dapat dijelaskan oleh mereka sebelum hujung bulan ini.
2. Ia/Dia sentiasa membersihkan dan mengemaskan rumah kami dengan penuh tanggungjawab.
Subjek : Ia/Dia
Objek: rumah kami
Kata kerja transitif: membersihkan dan mengemaskan
Jawapan:
Rumah kami sentiasa dibersihkan dan dikemaskannya dengan penuh tanggungjawab.
3. “Kalian perlu menjelaskan hutang selewat-lewatnya hujung bulan ini”, kata ceti haram itu.
Subjek : Kalian (Kata ganti diri kedua)
Objek: hutang
Kata kerja transitif : menjelaskan
Jawapan: (Jika subjek ialah kata ganti diri pertama atau kedua, kata kerja pasif tidak boleh ada
imbuhan “di”.)
“Hutang perlu kalian jelaskan selewat-lewatnya hujung bulan ini, “ kata ceti haram itu.
Sebelum membuat latihan ayat aktif dan ayat pasif, semua murid perlu membezakan kata ganti diri
pertama dan kedua daripada yang lain. Selain itu, para murid perlu menguasai imbuhan “Me” dengan
huruf-huruf tertentu, seperti berikut:

Imbuhan
Me l, m, n, r, y, ng, ny
Mem b, (p), (f), pr,pl
Men c, d, j, (t), z, sy
Meng a, e, i, o, u, g, h, (k), kh, kl,kr
Meny s
Satu suku kata seperti tin, pos, bom, syor,
menge
sah,……
Latihan tukar ayat aktif kepada ayat pasif.
1. Encik Sofiah membuat pinjaman bank untuk menjalankan projek penternakan ikan tawar.
2. Beberapa orang pekerja sedang menebas semak samun di kiri dan di kanan lebur raya itu.
3. Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap peragut yang
menyebabkan kematian seorang wanita yang mengandung.
4. Hakim telah menjatuhi ketua sindiket itu hukuman gantung sampai mati.
5. Kini kaum petani telah mengetinkan hasil buah-buahan setelah menjalani kursus industri kecil
dan sederhana anjuran MARA.
6. “Saudara perlu segera menghadiri temu duga itu jika hendak mendapat pekerjaan itu,” kata kerani
itu kepada saya.
7. Saya telah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih bola sepak pasukan sekolah kamu.
8. Ibu telah memasakkan ayah kari kepala ikan.
9. Saya telah memasak lauk ikan untuk ayah.
10. Setelah membuat segala persiapan, kami sekeluarga pun menyambut para tetamu di luar dewan
.
11. Kami telah mengesyorkan usul itu kepada pihak berkuasa agar mengambil tindakan dengan
segera.
12. Selain berbuat bising, pelajar-pelajar itu juga suka mengganggu guru yang sedang mengajar di
dalam kelas.
Rumusan
Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya alam sekitar kawasan
sekolah yang kondusif akan mempengaruhi pelajar menuntut ilmu dan menelaah
pelajaran. Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah.
Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak
kata peribahasa, “Hendak seribu daya, tak hendak dalih”. Oleh itu, pihak sekolah perlu
mengaturkan strategi yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah.
Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah
mengadakan program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong harus diadakan
berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga
sekolah. Gotong-royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat
bekerjasama untuk menjaga kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan
dengan cepat dan mudah, bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dengan dijinjing. Pada hujung minggu, pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-
royong. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan
longkang.
Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah.
“Program Sekolah dalam Taman” patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga
dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran
sekolah lebih nyaman dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh
membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap
sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan gunung-gunungan serta pondok
atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan minat untuk menuntut
ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang kaku.
Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat
bangunan boleh mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang
ke sekolah yang berseri-seri. Cogan kata ada menyatakan, “sekolahku
syurgaku.” Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh
menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama bagai ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan
sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah.
Mereka boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan
kata. Dalam konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.
Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap
minggu. Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk
membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan
mengemaskan meja dan kerusi. Guru bertugas harian akan memantau dan menilai
kebersihan kelas setiap hari. Kelas terbersih dan terkotor akan diumumkan dalam
perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil penghargaan. Sebaliknya
kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada petang, seperti
mencuci tandas dan kantin. Secara anjakan paradigma, pelajar akan mengamalkan
tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka.
Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K bermaksud
mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak
sekolah perlu memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan
selamat. Hal ini demikian kerana pihak sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan
penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan
membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini akan memangkinkan semangat
pihak sekolah untuk memastikan program berjaya diadakan. Sebagai impaknya, program
3K perlu diadakan di sekolah.
Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan
sekolah. Dalam hal ini, guru, pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama
menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria.
Contoh Karangan : Langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian

Langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian.

Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang
pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan
dalam arus pembangunan sejak 1980-an. Bagaimanapun di bawah Misi Nasional, kerajaan telah
meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan
Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997
dan1998, minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi negara kita. Selain itu kerajaan
juga mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport
makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya, banyak makanan dapat
dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan
sektor pertanian? Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”, semua pihak yang
terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di tanah air.

Untuk memajukan sektor pertanian, kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat
perubahan atau sedia membuat reformasi terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih
mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya hasil tanaman atau ternakan
mereka hanya sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak
perkembangan sektor industri, petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang
canggih demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil
tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari
baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat menjamin
penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat
transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu menjalankan
penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat
Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan
teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir
dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat
dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan
kosmetik dan sebagainya. Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat
serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang
canggih.
Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah
rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro untuk pekebun kecil . Dengan modal yang
mencukupi, pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja
kimia untuk menjalankan pertanian mereka. Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal
Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang
berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,”
oleh itu, dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau
penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani
tidak akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.

Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita
tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba. Penubuhan koperasi peladang
digalakkan untuk memainkan peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani
kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan
itu, pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan.
Tindakan ini dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa
“serampang dua mata.” Rentetan daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan)
harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung untuk
menjamin pemasaran produk pertanian kita. Sistem pengagihan yang teratur dapat memantapkan harga
produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga
borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak
bertanggungjawab.

Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian.
Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk
memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan. Penginapan yang
lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain
menghayati penghidupan kaum petani, pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat,
memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung serta berpeluang untuk
mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini bagai menyelam sambil minum air.
Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan
Malaysia, seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web
kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan
luar negara.

Natijahnya, sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini berprestij kepada generasi
muda. Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat
mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian
mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,
jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk
menjanakan 1 Malaysia.

(Karangan ini telah diubahsuaikan daripada karangan dalam blog ini pada tahun 2009)
Teknik mencari isi tersurat dan tersirat dalam rumusan

Semasa mencari isi tersurat, calon mesti mengamati atau meneliti fokus pertama yang ada dalam
kehendak soalan rumusan itu, misalnya “Rumuskan kekangan-kekangan untuk…” . Calon perlu mencari isi
yang sedia ada dalam petikan yang berkaitan dengan fokus pertama itu. Lantarannya calon diminta
memahami kata-kata kunci yang sering wujud dalam soalan rumusan, seperti

-kesan, impak, implikasi, akibat

-keburukan, risiko, kelemahan, akibat yang negatif

-kebaikan, kelebihan, kepentingan, faedah, manfaat, kesan positif

-punca, faktor, sebab

-langkah, kaedah, cara, tindakan, usaha, alternatif, pendekatan, formula, strategi,

-kekangan, cabaran, halangan, masalah, kemusykilan

-peranan, fungsi, tanggungjawab.

Semua isi tesurat mesti berdasarkan isi yang ada dalam petikan dan jangan ada pandangan sendiri. Isi
yang telah diambil perlu lengkap tetapi membuangkan huraian dan contoh, iaitu ” misalnya, contoh,
umpama, seperti, iaitu…..” . Sebaliknya jika terdapat “terutamanya, khususnya” bahagian isi dikehendaki.

Sebaliknya, ketika mencari isi tersirat, calon hanya mengamati fokus kedua sahaja. Amalkan prinsip
berikut:

a. isi yang tidak terdapat dalam petikan.

b. isi itu mesti konkrit.


(-*”Anak perlu menyayangi ibu bapa.”- tidak konkrit dan abstrak. Sepatutnya, “Anak perlu sentiasa
menziarahi ibu bapa dan menghubungi mereka melalui telefon” – konkrit

-*”Jiran harus tolong-menolong untuk menghapuskan jenayah.”-tidak konkrit. Sepatutnya, “Kita perlu
menjaga keselamatan rumah jiran ketika mereka balik ke kampung.”- konkirt).

c. positif

(-*”Pihak polis harus menembak mat rempit yang melanggar undang-undang.” -negatif. Sepatutnya,
“Pihak polis harus mengadakan sekatan jalan raya untuk menahan mat rempit.”-positif”)

Semua isi tersurat dan tersirat boleh ditulis dengan satu isi satu ayat atau digabung dengan dua isi. Ketika
menggabung dua isi, calon mesti memastikan bahawa kedua-dua isi itu mempunyai subjek atau prediket
yang sama.
Karangan Rangsangan: Permainan Tradisional
Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang kepentingan permainan
tradisional . Panjang huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah kata.

Berdasarkan bahan rangsang berikut, huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengembangkan
permainan tradisional . Panjang huraian anda hendak antara 200 hingga 250 patah kata.

Kepentingan permainan tradisional

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal
yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita,
terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya
hidup yang moden ini ialah permainan tradisional kita yang terdiri daripada congkak, wau, gasing dan
sebagainya. Oleh itu, generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional
kepada bangsa dan negara.

Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan aset budaya
bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang
melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan
permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni
budaya yang amat unik dan terunggul. Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-
warni yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan tradisional kita telah lenyap di
bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa,
“sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”

Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam industri
pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah
yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni.
Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia.
Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta“, setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya
mereka akan berminat dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan
daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita patut
menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja
dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada
bangsa lain, seperti peribahasa, “serampang dua mata.” Ternyata, permainan tradisional merupakan
salah satu tarikan dalam industri pelancongan.

Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang
bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan adanya permainan tradisional itu,
pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya,
terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-layang. Peminat
itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka
corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak hairanlah akan
tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan
dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri. Senario ini jauh lebih baik daripada individu
yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.

Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh itu generasi
muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada generasi kepada generasi, seperti
peribahasa, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Walaupun zaman beredar, tetapi segala
warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak
berakar umbi dan sentiasa terhanyut oleh arus globalisasi.

Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga mengalami
pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng
dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan
perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan
belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran
zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera. Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu
mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di negara kita semula,
seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.”

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh
untuk mengembang permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa,
terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak
berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional
di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara
bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional
terhadap masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti
peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, “
tak kenal maka tak cinta.” Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan
berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di
sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau
persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional, pelajar boleh diajar tentang
cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan
berminat untuk melibati permainan tradisional tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang bakal
mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan pelajar secara
langsung dalam permainan tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada
membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan”, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam
medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan
sebagai kegiatan riadah.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan
tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah, manusia memang suka
bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan
Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net
dan Maxis untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah,
kebangsaan hingga antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang
Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat
permainan tersebut dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan
pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, “menyelam
sambil minum air”.

Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang
dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah
budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna.”

Anda mungkin juga menyukai