Anda di halaman 1dari 3

CONTOH KARANGAN KEPENTINGAN AMALAN BERJIMAT CERMAT

Dasawarsa, negara kita telah dilanda oleh gelombang inflasi secara global. Setiap pengguna tidak
dapat melepaskan diri daripada kepompong inflasi. Sehubungan dengan itu, segenap masyarakat
diseru supaya mengimplementasikan amalan berjimat cermat dalam rutin hidup mereka untuk
menghadapi keperitan itu. Semua ajaran agama mengajar penganutnya agar berjimat cermat dan
tidak membazir dalam kehidupan. Filosofer Laotze berkata, Kehidupan membazir dan tamak
akan mendorong manusia ke arah kebinasaan. Hal ini memanifestasikan bahawa betapa
pentingnya amalan berjimat cermat dalam kehidupan sehari-harian kita.
Seperti pepatah , malang tidak berbau, iaitu manusia tidak dapat menduga segala bencana atau
kecemasan yang terdiri daripada menghidap penyakit, kemalangan , kebakaran dan sebagainya.
Ketika berlakunya sesuatu kecemasan, wang sering menjadi faktor utama untuk kita
menyelesaikan banyak masalah. Di manakah kita dapat memperoleh jumlah wang yang banyak
untuk menghadapi sesuatu yang tidak diingini, terutama menjalani pembedahan? Adakah kita
perlu menghulurkan tangan untuk meminta bantuan? Sebaliknya segala masalah dapat dikekang
atau diminimumkan jika kita dapat berjimat cermat dan sentiasa bertabung dalam kehidupan
sehari-harian. Kita perlu sentiasa mengingati peribahasa Melayu, Sediakan payung sebelum
hujan. Tuntasnya, amalan berjimat cermat merupakan tindakan berjaga-jaga untuk membuat
persediaan sebelum berlakunya sesuatu kecemasan kerana panas tidak sampai ke petang.
Tidak dapat dinafikan bahawa amalan berjimat cermat merupakan mangkin yang efektif untuk
memelihara dan memulihara alam sekitar. Hal ini demikian kerana manusia sedang
mengeksploitasikan sumber alam semaksimumnya tanpa memikirkan akibat yang bakal
dihadapi. Jika manusia dapat mengubah kehidupan mereka dengan berjimat cermat dari segi
makanan, penggunaan bekalan air dan elektrik serta kertas dan lain-lain lagi, kita sedang menuju
ke arah menyelamatkan bumi kita daripada mengalami kemusnahan. Gara-gara manusia
mengejar kemewahan hidup dan bersikap boros, banyak khazanah alam telah diteroka
terutamanya bahan galian dan hutan. Bayangkan suatu hari nanti, manusia terpaksa bunuh
membunuh dan berperang kerana merebut bekalan air. Bak kata peribahasa, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna dan jangan terhantuk baru tengadah, kita perlu
berjimat cermat dalam penggunaan setiap benda sebagai langkah mencintai alam kita.
Saban hari isu ceti haram atau along sering menghiasi dada akhbar sehingga mangsa tersebut
membunuh diri malah membunuh sekeluarga kerana tidak larat lagi menghadapi penganiayaan
along yang bermaharajalela. Ketika mengamati berita ini, kita dapat mengetahui bahawa mangsa
berkenaan tidak mahir mengurus pendapatan mereka. Lazimnya mereka tidak bersikap ukur baju
pada badan sendiri tetapi membesarkan kerak nasi dalam perbelanjaan. Walhasil, mereka
sentiasa berhutang keliling pinggang. Sebaliknya jika kita sentiasa berbelanja secara hemat tanpa
boros, kita pasti dapat menyimpan wang yang berlebihan dalam simpanan bank atau melabur
dalam skim amanah saham untuk keperluan masa depan. Ternyata amalan berjimat cermat
berupaya menguruskan perbelanjaan secara teliti bagai menarik rambut dalam tepung daripada
berhutang
Bukan itu sahaja, amalan berjimat turut menjamin masa depan yang lebih cerah. Setiap umat
perlu pandai merancang masa depan mereka sejak kecil lagi. Kita perlu berjimat cermat dalam
segala perbelanjaan kita dan menyimpan wang untuk kegunaan masa kelak kita. Bak kata
peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa, jika kita berbelanja berdasarkan nafsu, pendapatan
kita akan habis pada hujung bulan. Bagaimana kita dapat merancang masa tua setelah pencen?
Bagaimanakah kita dapat membayar kos pendidikan anak kita. Jika kita dapat menjimatkan
setiap perbelanjaan yang tidak diperlukan, nescaya kita dapat menyimpan sejumlah wang dalam
tabung. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Wang yang dijimatkan itu dapat dirancang
demi masa depan yang lebih cerah. Oleh itu ketika berbelanja, kita perlu mengingati peribahasa,
ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
Natijahnya / Akhirulkalam, amalan berjimat cermat merupakan nilai murni yang diajarkan oleh
setiap agama di dunia ini. Berpaksikan amalan ini, kita dapat hidup dengan kesederhanaan tanpa
membazir. Sehubungan dengan itu, kehidupan kita akan lebih harmoni, sentosa dan bahagia
sehingga mewujudkan masyarakat sakinat.

CONTOH KARANGAN
Sekolah ialah tempat kita belajar dan menimba ilmu. Lantarannya alam sekitar kawasan
sekolah yang kondusif akan mempengaruhi pelajar menuntut ilmu dan menelaah pelajaran.
Sebagai pelajar, kita seharusnya menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan
berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Bak kata peribahasa, Hendak seribu
daya, tak hendak dalih. Oleh itu, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang dominan untuk
menceriakan kawasan sekolah.

Salah satu langkah yang dominan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah mengadakan
program bergotong-royong. Aktiviti bergotong royong harus diadakan berkala untuk
membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seisi warga sekolah. Gotong-
royong bertujuan untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk menjaga
kebersihan sekolah. Selain itu, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah, bak kata
pepatah,yang berat sama dipikul, yang ringan sama dengan dijinjing. Pada hujung
minggu,pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Contohnya, pelajar
dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang.

Tindakan yang seterusnya adalah mengadakan taman bunga di sekolah. Program Sekolah dalam
Taman patut diadakan dengan menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang
menghijau di kawasan sekolah. Lantarannya persekitaran sekolah lebih nyaman dan berudara
segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk
ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah juga patut dilengkapi dengan kolam ikan dan
gunung-gunungan serta pondok atau bebalai untuk membaca. Nescaya pelajar lebih selasa dan
minat untuk menuntut ilmu dalam persekitaran seperti taman daripada bangunan konkrit yang
kaku.

Di samping itu pihak sekolah boleh mengecat bangunan semula. Mengecat bangunan boleh
mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-
seri. Cogan kata ada menyatakan , sekolahku syurgaku. Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa
dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama
bagai ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk mengecat pagar dan dinding bangunan
sekolah. Kelab atau persatuan kokurikulum juga digalakkan melukis di dinding sekolah. Mereka
boleh melukis gambar landskap, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata. Dalam
konteks ini, sekolah kelihatan lebih cantik dan lebih sesuai untuk belajar.

Dalam pada itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan setiap minggu. Melalui aktiviti
ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka,
seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi. Guru
bertugas harian akan memantau dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Kelas terbersih dan
terkotor akan diumumkan dalam perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan sijil
penghargaan. Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada
petang, seperti mencuci tandas dan kantin. Secara anjakan paradigma, pelajar akan
mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Selain itu, sekolah juga perlu menjalankan Program 3K. Program 3K bermaksud mengutamakan
Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dalam program ini, pihak sekolah perlu memastikan
kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat. Hal ini demikin kerana pihak
sekolah sentiasa mengadakan pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa. Lebih-lebih
lagi, pihak Kementerian Pelajaran akan membuat pemantauan terhadap sekolah tersebut. Hal ini
akan memangkinkan semangat pihak sekolah untuk memastikan program berjaya
diadakan. Sebagai impaknya, program 3K perlu diadakan di sekolah.

Intihanya, semua warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan sekolah. Dalam hal
ini, guru,pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama menjaga persekitaran
sekolah supaya bersih dan ceria.

dipetik daripada:contohkaranganbahasamelayu20.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai