Anda di halaman 1dari 3

Karangan SPM Bahagian B- Kepentingan amalan menabung

Tema : Amalan menabung [Soalan Percubaan SPM 2016]

Bentuk Soalan :

Kedah

- 5. Peribahasa-peribahasa di atas menjelaskan bahawa amalan menabung sangat penting. Bincangkan faedah-
faedah amalan menabung dalam kehidupan.

Kelantan

- 3. Menabung merupakan amalan terpuji untuk melahirkan masyarakat yang berjimat cermat. Huraikan langkah-
langkah menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat.

Melaka

- 2. Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan. Apakah peranan ibu bapa dalam
memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?

Buku kerja (m/s24)

- 2. Amalan menabung dan berjimat cermat perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan tersebut
diharapkan berterusan sehingga mereka dewasa. Berdasarkan pernyataan di atas, anda diminta menemu ramah
seseorang tokoh berkaitan dengan topik tersebut.

Tutor SPM (Edisi 27)

-Manfaat menabung.

Soalan KLON SPM

-Amalan berjimat-cermat amat penting dalam menghadapi krisis ekonomi hari ini. Berikan pendapat anda
tentang peranan keluarga dalam memupuk amalan berjimat cermat.

Kepentingan amalan menabung

                    “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Apabila mendengar sahaja peribahasa di atas, pasti
tergambar dalam fikiran kita bahawa peribahasa itu amat sinonim dengan perbuatan menabung. Cuba kita
berfikir sejenak, apakah itu menabung? Menabung merupakan perbuatan yang mulia dan dapat ditakrifkan
sebagai mengasingkan sejumlah wang demi menjamin masa depan seseorang. Namun begitu, dalam era
pascaglobalisasi ini kesedaran untuk menabung semakin menyusut dalam kalangan masyarakat kita khususnya
bagi golongan remaja. Para cendekiawan memfasiqkan bahawa wang bukan segala-galanya, tetapi tidak dinafikan
dengan wang kita dapat melakukan segala-galanya. Peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak
kata amat tepat untuk menyokong pendapat tersebut. Kini, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk
menabung. Kita boleh menabung di bank-bank tempatan yang banyak terdapat di negara kita atau melabur dalam
saham-saham yang dijamin oleh kerajaan. Sememangnya, amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak
setahun jagung kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Izharnya, amalan menabung ini mendatangkan
banyak faedah bukan sahaja kepada individu yang melakukannya tetapi juga terhadap masyarakat dan negara.
                   Pada hemat saya, kepentingan primanya ialah para pelajar dapat menyambung pelajaran dengan
menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini demikian kerana kos pengajian di peringkat
universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi pengajian sahaja pun sukar untuk
dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampng perbelanjaan persekolahan lain, seperti membeli buku-buku
rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas bimbingan luar. Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di
bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di sampng itu, kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten
setiap bulan dan wang simpanan ini tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja
pada perkara yang tidak perlu haruslah dielakkan sama sekali. Natijahnya, kita tidak perlu bersandar pada ibu
bapa ataupun pada kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi mengongkosi pengajian
kita di menara gading nanti. Dewasa ini, banyak pelajar cemerlang yang menggantungkan harapan pada biasiswa
tajaan JPA dan pada pinjaman PTPTN. Apabila gagal beroleh bantuan kewangan, mereka pun seolah-olah kaca
terhempas ke batu. Melalui amalan menabung, ibu bapa kita tidak perlu bergolok bergadai untuk membiayai kos
pelajaran anak-anak yang mahal sekali. Orang tua-tua pernah berkata bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna haruslah menjadi pedoman dalam amalan ini. Ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih
terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang
mencukupi.

                   Faedah kedua sekiranya seseorang itu melakukan tabungan ialah wang tabungan itu dapat digunakan
pada waktu kecemasan. Dana kecemasan ini cukup penting terutamanya buat individu yang sudah berkeluarga.
Dana kecemasan biasanya merupakan satu dana yang disimpan untuk membiayai perbelanjaan di luar jangkaan.
Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa malang tidak berbau, nasib buruk seseorang itu sukar dijangkakan
oleh sesiapa. Oleh itu, wang yang ditabung dapat membantu orang yang berada dalam keadaan susah sebagai
sumber kewangan. Misalnya, semasa dalam masalah kesihatan, ditimpa bencana alam dan tragedi kemalangan
jalan raya. Sudah pasti wang tabungan itu amat berguna untuk tujuan rawatan. Sebagai impaknya, wang tersebut
juga boleh membantu keluarga dan saudara kita apabila kecemasan berlaku. Dalam erti kata yang lain, wang
tersebut dapat memudahkan segala urusan pada masa hadapan. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa
sediakan payung sebelum hujan dan beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis. Hakikatnya, amalan
menabung merupakan persediaan kita untuk menghadapi saat-saat kecemasan yang tidak dapat dijangka oleh
akal sama sekali.

  

                   Selain digunakan untuk waktu kecemasan, kebaikan amalan menabung yang seterusnya ialah dapat
melahirkan insan yang menyemai tabiat berjimat cermat. Tegasnya kepada kita bahawa orang yang sering
mengalami kesempitan wang tidak berhemat dalam berbelanja. Selain itu, kita juga amat susah untuk menyimpan
wang sehinggakan kita terpaksa mengikat perut pada akhir bulan kerana sikap boros berbelanja. Dengan itu,
sikap boros berbelanja ini sepatutnya diganti dengan didikan dan amalan menabung. Selaras dengan itu, kita juga
wajarlah mengelakkan sikap suka berhutang dalam kalangan masyarakat. Menurut Dato Michael Chong, kita
tidak perlu “mengemis” dan menjadi mangsa ceti haram kerana lintah darat ini memang menangguk di air keruh
dan menjadi duri dalam daging dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita juga digalakkan untuk merekod sesuatu
perbelanjaan untuk megenal pasti wang yang kita belanjakan itu. Sebagai kesannya, kita dapat mengelakkan
diburu pemiutang atau diisytiharkan muflis apabila gagal membayar hutang. Sementara itu, sikap boros juga
tidak akan berlaku dalam perbelanjaan seharian kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap berhemah dan
bijak mengurus kewangan dalam diri sendiri akan dapat dipertingkatkan dengan amalan menabung.

                   Amalan menabung juga penting untuk kelangsungan hidup pada hari tua nanti. Hal ini berpunca
daripada masalah kesihatan pada hari tua tidak dapat dijangkakan oleh sesiapa. Oleh itu, kita perlu menyimpan
wang dari awal dan tidak boleh menunggu sehingga waktu yang sesuai. Victor Hugo ada berkata bahawa orang
yang menabung itu bagaikan bintang di langit. Seseorang yang menabung lebih awal maka wang simpanannya akan
menjadi lebih banyak. Kehidupan kita pada hari tua akan menjadi lebih selesa apabila tiada masalah kewangan
kerana kita mendapat rawatan yang baik dan sempurna. Wang yang ditabung ini amat penting digunakan untuk
kos perubatan dan sara hidup kerana sudah tidak bekerja. Amalan menabung sebenarnya mampu menjamin
kestabilan hidup kita di dunia. Di samping itu, kemaslahatan diri dan keluarga akan terpelihara melalui amalan
menabung. Amalan menabung bertepatan dengan peribahasa, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit yang
mengatakan kemaslahatan menabung. Kata aforisme bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian haruslah
menjadi panduan dalam mengamalkan amalan menabung. Tegasnya, masa depan kita untuk hari tua akan lebih
terjamin apabila menabung.      

                   Akhirulkalam, amalan menabung memberikan pelbagai manfaat kepada umat manusia
sekiranya diurus secara bijak dan berhemat. Dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah
berfikiran positif untuk memastikan amalan menabung menjadi rutin hidup seluruh masyarakat
Malaysia. Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat
tidak datang bergolek dan tidak ada gunung tinggi yang tidak dapat didaki, tidak ada luruh dalam yang
tidak dapat dituruni. Sikap bersungguh-sungguh yang berpegang kepada peribahasa Melayu, hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya perlu ada dalam diri untuk merealisasikan amalan menabung sebagai
budaya kerana genggam bara api, biar sampai jadi arang. Kesabaran dan ketekunan dapat mendaki
gunung-ganang. Seterusnya, kita wajarlah bijak merancang kewangan hidup kita dengan mengamalkan
budaya menabung wang sejak setahun jagung lagi supaya dapat merealisasikan impian diri sendiri
malahan negara. Kita juga perlu merenungi faedah-faedah amalan menabung dan menjadikan amalan
tersebut sebagai agenda utama dalam kamus hidup kita.

Anda mungkin juga menyukai