Anda di halaman 1dari 1

Karangan 3

“ Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Apabila mendengar sahaja peribahasa itu, pasti tergambar dalam
fikiran kita bahawa peribahasa itu amat sinonim dengan perbuatan menabung. Cuba kita berfikir
sejenak, apakah itu menabung?

 Menabung merupakan perbuatan yang mulia dan dapat ditakrifkan sebagai mengasingkan sejumlah
wang demi menjamin masa depan seseorang. Namun begitu, dalam zaman atom ini, kesedaran untuk
menabung semakin menyusut dalam kalangan masyarakat kita khususnya bagi golongan remaja. Kini,
terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menabung. Kita boleh menabung di bank-bank
tempatan yang banyak terdapat di negara kita atau melabur dalam saham-saham yang dijamin oleh
kerajaan.

 Sememangnya, amalan baik ini haruslah dididik oleh ibu bapa sejak kecil lagi. Secara lazimnya, amalan
menabung ini mendatangkan banyak faedah bukan sahaja kepada individu yang melakukannya tetapi
juga terhadap masyarakat dan negara. Kepentingan perbuatan ini ialah para pelajar dapat menyambung
pelajaran dengan menggunakan wang tabungan sekiranya diperlukan. Hal ini demikian kerana kos
pengajian di peringkat universiti semakin meningkat. Bagi golongan miskin pula, wang pendaftaran sesi
pengajian sahaja pun sukar untuk dibayar. Jika kita menabung, kita dapat menampung perbelanjaan
persekolahan lain, seperti membeli buku-buku rujukan, membayar yuran sekolah dan yuran kelas
bimbingan luar. 

Dalam hal ini, kita wajarlah membuka akaun di bank dengan bantuan daripada ibu bapa. Di samping itu,
kita haruslah menabung dalam jumlah yang konsisten setiap bulan dan wang simpanan ini tidak
dibelanjakan untuk kepentingan peribadi. Sikap boros dan berbelanja pada perkara yang tidak perlu
haruslah dielakkan sama sekali. Oleh itu, kita tidak perlu bersandar pada ibu bapa ataupun pada
kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan ataupun biasiswa demi menampung pengajian kita di
menara gading nanti. Melalui amalan menabung, ibu bapa kita tidak perlu bersusah payah bergadai
untuk membiayai kos pelajaran anak-anak yang mahal sekali. 

Ringkasnya, kehidupan masa hadapan lebih terjamin dengan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan
landasan untuk berjaya sekiranya ada tabungan yang mencukupi.

[ 300 patah perkataan ]

Anda mungkin juga menyukai