Anda di halaman 1dari 4

http://bmssbj.blogspot.com/2012/07/faktor-faktor-yang-mendorong.

html
Faktor-Faktor Yang Mendorong Peningkatan Masalah
Disiplin Pelajar
Labels: Karangan Contoh

Faktor-faktor yang mendorong kepada masalah disiplin pelajar.

- Ibu bapa tidak mendidik anak-anak.
- Ibu bapa sibuk bekerja.
- Pengaruh rakan sebaya.
- Pengaruh media massa.

Dewasa ini kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang berlaku
dalam kalangan remaja. Hal ini pastinya amat membimbangkan banyak pihak
kerana remaja merupakan tiang negara pada masa hadapan. Keruntuhan moral
ini boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan modal insan yang
berkualiti dalam memacu negara ke era negara maju. Jika diperhalusi, pelbagai
faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.


Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu bapa yang
tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Jika ibu atau bapa tidak
boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik, pada siapakah lagi
tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa belakangan ini juga
bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelas, ibu
bapa perlu memainkan peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.

Di samping itu, faktor yang mendorong kepada
permasalahan ini ialah berpunca daripada ibu bapa yang sibuk mencari nafkah
sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan hidup ini memang tidak boleh
dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anak. Namun
demikian, sering kali anak-anak yang masih mentah ini mengambil peluang
yang ada untuk berseronok dengan rakan-rakan sehinggakan timbul masalah
yang lain. Dalam hal ini ibu bapa perlu bijak dalam membahagikan masa
dengan anak-anak.


Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama
dalam peningkatan masalah disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan
remaja kini banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan sebaya
berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat ingin tahu, mereka pasti akan
mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh
menggelapkan masa depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, remaja atau
pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika tidak mahu terlibat dalam masalah
ini.

Selain itu, pengaruh media massa turut
menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi permasalahan disiplin ini. Lihat
sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca televisyen yang banyak
menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara
seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema
keganasan yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Sedikit
sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan mengikut
aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.

Izharnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan
masalah sosial dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh
diatasi jika semua pihak memainkan peranan masing-masing serta saling
berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara tidak langsung, hasrat
kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi pada tahun 2020
bakal terlaksana.
Posted by Pencinta Bahasa


This page
is safe
Bitdefender Total Security 2012

Anda mungkin juga menyukai