Anda di halaman 1dari 11

TEMA:

1. CERITA: BERBUAT BAIK TERHADAP ORANG LAIN


Pada suatu petang, aku dan dan jiranku Amin bermain layang-layang di tengah padang di
hadapan rumahku. Aku ingin mencuba layang-layang yang baru dibeli oleh ayah semalam.
Kebetulan pula masa itu cuaca cerah dengan angin bertiup kencang tentu amat sesuai untuk
bermain layang-layang.

Sedang kami leka berusaha menaikkan layang-layang tersebut, tiba-tiba kedengaran satu
jeritan di jalan raya. Aku menoleh dan mendapati seorang nenek jatuh terjelepok di tepi jalan.
Manakala, sebuah motosikal pula memecut laju meninggalkannya.

Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkan nenek tersebut. Setibanya di situ, kami segera
membantunya bangun tetapi dihalang olehnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan
raya. Kasihan sungguh melihatnya, apatah lagi apabila medengar dia mengerang kesakitan.

Aku meminta Amin mengutip barang-barang nenek yang bertaburan sementara aku
pulang ke rumah untuk memberitahu keluargaku tentang kejadian tersebut. Setelah melihat
keadaan nenek itu, ayahku segera menelefon ambulan bagi membawanya ke hospital.

Kira-kira 20 minit selepas itu, ambulan pun tiba. Sebelum bertolak ke hospital, nenek itu
sempat mengucapkan terima kasih kepada kami semua. Dia sangat terharu dengan bantuan yang
kami berikan kerana dengan bantuan tersebut, nyawanya dapat diselamatkan.

Selepas itu, aku bermain layang-layang semula dengan perasaan bangga kerana dapat
menolong nenek itu. Aku bertekad, agar sentiasa membantu mereka yang memerlukan, serta
menghindari sikap zalim dan tidak bertanggungjawab.

2. PERBUALAN: BERBUAL-BUAL DENGAN RAKAN KARIB KERANA


TERPILIH SEBAGAI PESERTA TERBAIK KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH
Amira : Selamat pagi, Ainnur. Silakan duduk.
Ainnur : Terima kasih. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudari kerana
telah terpilih sebagai peserta terbaik Kejohanan Sukan Sekolah tahun ini.
Amira : Terima kasih. Saya berasa bersyukur atas kejayaan saya ini.
Ainnur : Siapakah yang banyak mendorong saudari untuk mencapai kejayaan
dalam bidang sukan?
Amira : Guru-guru dan ibu bapa yang banyak mendorong saya mencapai
kejayaan ini. Guru-guru telah melatih saya dan rakan-rakan tanpa
mengenal penat dan lelah serta banyak berkorban untuk memastikan
kami mendapatkan latihan yang mencukupi. Ibu bapa saya pula
sentiasa memberi sokongan dan motivasi pada saya.
Ainnur : Bagaimanakah saudari boleh terpilih sebagai peserta terbaik Kejohanan
Sukan Sekolah tahun ini ?
Amira : Saya telah mendapat tiga pingat emas menerusi acara lompat jauh, lari
200 meter, dan 4x100 meter bersama pasukan saya. Selain itu saya juga
mencipta rekod baru dalam acara lari 200 meter, dan mendapat pingat
perak dalam acara 80 meter lari berpagar.
Ainnur : Apakah nasihat saudari kepada rakan-rakan yang ingin berjaya dalam
bidang sukan?
Amira : Nasihat saya kepada rakan-rakan supaya mendengar nasihat guru dan
ibu bapa serta menumpukan perhatian semasa latihan. Jangan mudah
berputus asa, sentiasa menjaga disiplin diri sewaktu latihan dan
mengamalkan pemakanan seimbang.
Ainnur: Apakah perancangan dan harapan saudari dalam bidang sukan ini?
Amira: Selepas ini, saya akan mewakili sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah
peringkat daerah. Saya mengharapkan pingat emas bagi acara yang
saya sertai seterusnya bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.
Ainnur : Saya berharap saudari akan sentiasa berjaya dalam bidang sukan ini.
Terima kasih atas kesudian saudari untuk berbual dengan saya.
Amira : Sama-sama. Semoga kita dapat berbual lagi.

3. SYARAHAN: LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENANGANI PENCEMARAN


ALAM SEKITAR

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru penolong
kanan, guru-guru, dan rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah “ Langkah-
langkah untuk Mengatasi Pencemaran Alam Sekitar”.

Hadirin sekalian,
Antara langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar ialah menguatkuasakan
undang-undang. Pihak berkuasa mestilah mengenakan tindakan yang tegas dan berat terhadap
mereka yang mencemarkan alam sekitar. Tindakan tegas pihak berkuasa menyebabkan mereka
serik untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Masyarakat mestilah diberi kesedaran secara berterusan akan tanggungjawab menjaga


alam sekitar. Contohnya, aktiviti seperti ceramah dan gotong-royong. Aktiviti ini dapat
membantu orang ramai menjadi lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Di samping itu, masyarakat juga perlulah bersikap prihatin dan bertanggungjawab. Jika
mendapati ada pihak yang mencemarkan alam sekitar, mereka perlulah melaporkan kepada pihak
berkuasa. Dengan ini pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Akhir sekali, masyarakat perlu menjaga kebersihan di tempat awam, seperti taman
permainan, pusat rekraesi, dan pusat membeli belah. Mereka perlu membuang sampah di tempat
yang disediakan, agar persekitaran sentiasa bersih. Sekiranya perkara ini menjadi amalan,
masalah longgokan sampah, parit tersumbat dan sebagainya dapat diatasi.

Hadirin sekalian,

Kesimpulannya, tanggungjawab menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kita


bersama. Jika Alam sekitar yang terpelihara atau dijaga dengan baik akan menjadikan hidup kita
lebih baik akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan sihat.

Sekian, terima kasih.

Salah satu langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah
mengurangkan penggunaan bahan kimia seperti penggunaan racun serangga dan pendingin hawa. Bahan
kimia ini dapat penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat
berbahaya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak
mata, barah kulit dan sebagainya.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan
persekitaran. Kilang-kilang yang tidak mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan contohnya,
pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut perlu diberi
tindakan. Hal ini menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang
mengurangkan peratusan oksigen di dalam air.

Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh
mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah
disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan
pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu. Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum
air”.
Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang
berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah
daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam
sekitar.

4. MENGAKHIRI CERITA:...aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku


memelukku sambil menitiskan air mata.

Pada hujung minggu itu, aku, Danish dan Daniel akan mewakili sekolah dalam pertandingan badminton
peringkat daerah. Setelah beberapa bulan berlatih, perlawanan itu sesuatu yang amat kami nantikan. Kami
telah berlatih dengan gigih dan penuh disiplin.

Sebelum pertandingan bermula, murid-murid dan sebahagian daripada penonton mula berkumpul
di sekeliling gelanggang. Mereka masing-masing kelihatan amat teruja untuk menyaksikan perlawanan
tersebut. Pasukan yang bertanding pula kelihatan sungguh bersemangat untuk memenangi perlawanan itu.
Aku dan rakan-rakan berasa amat gementar dan berharap pasukan kami akan memenangi perlawanan
tersebut.     

Orang ramai bangun dan bertepuk tangan sebaik sahaja nama pemain yang bakal bertanding
diumunkan. Aku dan Danish bergabung dalam acara beregu menentang pasukan dari SK.Seri Jaya.
Dalam perlawanan pertama ini kami bersyukur kerana menang dengan mudah. Kejayaan ini melayakkan
kami ke peringkar suku akhir.

Semasa perlawanan suku akhir, kami bermain dengan bersugguh-sungguh. Tepukan dan sorakan
kedengaran di sekeliling gelanggang. Pasukan lawan menunjukkan aksi yang sungguh hebat kerana
pasukan ini adalah naib johan bagi pertandingan badminton sekolah rendah daerah pada tahun lepas.
Setelah berhempas pulas, akhirnya kemenangan berpihak kepada kami.
Pada peringkat akhir kami bertemu dengan pasukan yang menjadi johan pertandingan ini pada
tahun lepas. Pada perlawanan set pertama, kami ketinggalan 2 mata dengan pihak lawan. Namun, kami
bangkit pada perlawanan set yang kedua dan perlawanan menjadi sengit pada set penentuan.

Perlawanan ini berakhir apabila pengadil meniupkan wisel penamat. Kami memenangi
perlawanan pada saat-saat akhir. Aku bersyukur kepada Tuhan. kedua-dua rakanku memelukku sambil
menitiskan air mata.

5. LAPORAN: SEBAGAI SETIAUSAHA, KAMU DIMINTA MENULIS LAPORAN


TENTANG PERKHEMAHAN TAHUNAN UNIT BERUNIFORM.

Laporan Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform

Pada 12 April 2019 yang lalu, seramai 105 orang murid SK.Pekan Telupid telah menyertai program
Perkhemahan Tahunan Unit Beruniform. Terdapat empat unit beruniform yang terlibat iaitu, Persatuan
Pengakap, Bulan Sabit Merah, Persatuan Puteri Islam Malaysia, dan Tunas Kadet Remaja Sekolah.
Perkhemahan ini diadakan di Tawai Rain Forest, Telupid selama 3 hari dua malam.

Tujuan Perkhemahan ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan semangat kepimpinan dan sikap
berdikari dalam kalangan murid. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memberi pelbagai
kemahiran dan pengetahuan kepada murid seperti kemahiran membuat ikatan, dan memberi pertolongan
cemas.

Pada setiap pagi, murid-murid akan berkumpul di hadapan kawasan perkhemahan untuk
mendengat taklimat dan melakukan senaman pagi. Selepas melakukan senaman, murid-murid akan
bersarapan dan mengemaskan kawasan perkhemahan.

Berbagai-bagai aktiviti dijalankan. Antaranya ialah berkawad, pertandingan memasak,


pertandingan menghias khemah, dan mendengar ceramah. Setiap ahli menyertai aktiviti dengan seronok.

Pada majlis penutupan, majlis penyampaian hadiah telah dilaksanakan. Setiap kumpulan juga
telah mempersembahkan persembahan masing-masing. Guru Besar, Encik Dominic Nara telah
merasmikan majlis penutupan ini dan mengucapkan syabas kepada semua murid kerana berjaya
mengikuti aktiviti perkhemahan ini dengan jayanya.

Setelah majlis penutupan selesai, semua murid dibenarkan pulang. Semua murid berasa seronok
kerana dapat mengikuti perkhemahan ini dan berharap agar aktiviti ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun
hadapan.
Laporan disediakan oleh, 20 APRIL 2019

_______________________
(AHMAD BIN AHIMIN)

6. GAMBARAN/CERITA: KEMERIAHAN KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN


SEKOLAH KAMU.

Pada 14 Julai 2019, Sekolah Kebangsaan Pekan Telupid telah mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan
yang ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Tujuan Kejohanan Sukan Tahunan ini adalah untuk mencungkil bakat murid-murid dalam bidang
sukan, membina keyakinan dan disiplin diri. Selain itu, aktiviti sukan ini juga dapat mengeratkan
hubungan dalam kalangan warga sekolah.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah
dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja sekolah, guru
dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat markah rumah-rumah sukan
diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah sukan, bendera Negeri Sabah dan Jalur
Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin
termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah astaka. Acara
dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Pegawai Pendidikan
Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang
dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00 pagi dan
disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi acara kemuncak sukan
pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat.

Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah
disampaikan oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar. Pasukan yang
menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning.

Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua hadirin
dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin. Semua warga sekolah bersyukur dan
gembira kerana kejohanan sukan tahunan sekolah kali ini berjalan dengan jayanya.
7. MEMULAKAN CERITA..

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi
jalan. Aku .... *** *** *** *** ***

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku
berasa simpati melihat budak itu. Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku.
Rupa-rupanya budak itu ialah anak jiranku, Nurul.

Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul menceritakan apa yang telah
berlaku. Rupa-rupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba mententeramkannya dan berjanji akan
menghantarnya pulang.

Aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Dalam keadaan panas terik, aku terpaksa mengayuh
basikalku lebih berat daripada biasa menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ.
Perjalanan ini sungguh memenatkan. Namun, aku gembira kerana dapat menghantarnya pulang ke rumah.

Bajuku telah pun basah lencun dengan peluh setibanya kami di halaman rumahnya. Nurul kelihatan
amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum ia beredar ke rumahnya.

Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku
menceritakan peristiwa tersebut, mereka memuji tindakanku itu. Kata ayah, "Kita haruslah menolong
orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara sendiri".

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju
ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan .....

*** *** *** *** ***

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu
pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan pulang, aku terdengar suara wanita menjerit.
Rupa-rupanya beg tangan wanita itu diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal. Apa yang mengejutkan
wanita itu ialah jiranku Mak Cik Nadia.

Aku terus mencatat nombor plat motosikal yang ditunggang oleh dua orang peragut tersebut. Aku
memujuk Mak Cik Nadia supaya bersabar. Nasib baik Mak Cik Nadia tidak mengalami kecederaan yang
teruk. 

Aku terus ke pondok telefon yang berhampiran untuk menelefon pihak polis. Tidak lama kemudian,
beberapa orang polis datang. Meraka membawa aku dan Mak Cik Nadia ke balai polis untuk membuat
laporan. Aku memberitahu nombor plat motosikal dan jenis motosikal peragut itu. Aku juga memberitahu
yang mereka melarikan diri ke Jalan Sulaiman. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku.

Setelah beberapa jam, pihak polis berjaya memberkas dua orang lelaki tersebut. Pihak polis
menghantar aku dan Mak Cik Nadia pulang ke rumah. Ibu bapaku berasa terkejut sebaik sahaja melihat
aku keluar daripada kereta polis. Pihak polis menceritakan kepada ibu bapaku apa yang terjadi.

_____________________________________________________________________________________

SOALAN:

ku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal.
Tiba-tiba .....

*** *** *** *** ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak
basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam tanganku
sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana kawasan itu mulai sunyi.

Aku terus ke pondok pengawal keselamatan yang berhampiran. Mujurlah ada pengawal di situ. Aku
meminta pertolongan pengawal itu untuk menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan
tenang, ibuku memintaku jangan ke mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.

Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal
untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat kunci untuk
menempah kunci baru basikalku.

Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih
kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas tambahan. Ibu
dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana bimbang akan keselamatanku
jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan dihantar oleh ayah setiap kali ada kelas
tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai.

____________________________________________________________________________________

Keseronokan meneroka Hutan Simpan itu menyebabkan kami lupa akan kepenatan yang kami
alami. Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…

Mulakan cerita kamu dengan, ‘Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…’

--------------------------------------------------------------------------------
Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit meminta tolong. Kami semua amat terkejut lantas
menoleh ke arahnya. Alangkah terkejutnya apabila terlihat Anita terbuai-buai pada seutas tali yang
tergantung pada sebatang dahan pokok. Tanpa berlengah, kami terus berlari menghampirinya. Rupa-
rupanya kaki kanan Anita telah terkena jerat yang mungkin dipasang oleh pemburu. 

Anita menangis dan meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada lilitan jerat tersebut. Cikgu Ali
segera mententeramkan Anita kerana bimbang kaki Anita akan tercedera teruk.

Kemudian, Cikgu Ali melihat jerat itu dengan teliti untuk mencari jalan melepaskan Anita.
Akhirnya, kami menemui punca ikatan jerat itu yang diikat pada pangkal pokok tersebut. Bolehlah Anita
diturunkan dengan melepaskan ikatan itu nanti. 

Cikgu Ali menyuruh kami bersedia di bawah tempat Anita tergantung untuk menyambutnya.
Manakala beberapa orang murid lagi diminta untuk memegang tali yang akan dihuraikan oleh Cikgu Ali
supaya Anita dapat diturunkan dengan perlahan-lahan.

Setelah kami semua bersedia, Cikgu Ali pun membuka ikatan jerat itu dengan berhati-hati.
Kemudian, Anita diturunkan dengan perlahan-lahan. Akhirnya, Anita berjaya diturunkan dengan selamat.

Kami semua berasa amat bersyukur atas kejayaan itu. Kemudian, Cikgu Ali meminta kami
berwaspada kerana di dalam hutan begini, banyak perkara yang tidak diduga boleh berlaku.

8. SYARAHAN: FAEDAH BERSUKAN

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan,
guru-guru, dan rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah “Faedah Bersukan”.

Hadirin sekalian,

Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Salah
satu daripada faedahnya ialah dapat menyihatkan tubuh badan. Apabila kita berakreasi seperti
berbasikal, bermain badminton dan sebagainya, badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran
lemak dalam tubuh kita. Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika
belajar di dalam kelas.

Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita
dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya,
ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan
itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.

Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti mengisi masa lapang secara bermanfaat. Sesi latihan 
permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang. Kesibukan kita menyertai sesi latihan
dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.

Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah. Sekiranya kita berbakat
dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah,daerah, negeri mahupun negara. Apabila
kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama
sekolah. Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.

Hadirin sekalian.

Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan. Marilah kita bersama-sama
menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

Sekian, terima kasih.

SOALAN FAEDAH/KEPENTINGAN/KEBAIKAN: 3. MENGERATKAN HUBUNGAN


4. MENAMBAH PENGETAHUAN
1. MENGISI MASA LAPANG DENGAN 5. MENERAPKAN AMALAN BAIK DAN
PERKARA BERMANFAAT NILAI MURNI DALAM DIRI
2. MENGHINDARI PENGARUH NEGATIF

9. KARANGAN BERDASARKAN PERIBAHASA, “BAGAI AUR DENGAN TEBING”.

Peribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama
serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula
memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup
bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat dan
menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.

Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar
dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman
mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung
akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut.

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit”.

Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di
bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka.

Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas.

1. “Bagai Aur Dengan Tebing” bermaksud tolong-menolong.

2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya.

3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja.

4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar.

5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.

Anda mungkin juga menyukai