Anda di halaman 1dari 2

Tulis sebuah karagan untuk menceritakan aktiviti anda semasa cuti sekolah.

Cuti persekolahan akhir tahun untuk sesi 2014 bermula pada 22 November
dan berakhir pada 5 Januari 2015. Walaubagaimanapun, tempoh cuti tersebut
dilanjutkan sehingga 11 Januari 2015 berikutan kejadian banjir yang melanda
beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Tempoh cuti yang lama ini
membolehkan saya melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang.
Pada minggu awal cuti, saya dibawa oleh ibu bapa pulang bercuti di kampung
datuk yang terletak di Baling, Kedah. Saya dan keluarga berada di sana lebih
kurang dua minggu. Banyak aktiviti yang menyeronokkan telah saya lakukan.
Paling memikat hati saya ialah menyaksikan keindahan sawah padi yang saujana
mata memandang. Kebetulan pada masa itu ialah musim menuai padi. Saya
mengambil peluang tersebut untuk membantu datuk menuai padi. Jika dahulu
aktiviti ini banyak menggunakan tenaga manusia tetapi kini jentera moden
digunakan untuk menggantikan tugas manusia. Saya tidak sabar untuk berkongsi
pengalaman tersebut bersama rakan apabila sekolah dibuka nanti. Pengalaman ini
amat berguna untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Geografi.
Selepas pulang dari Kedah , saya mengambil kesempatan untuk berehat di
rumah. Waktu itu saya banyak menghabiskan masa bermain permainan komputer
sahaja. Ibu bapa saya tidak suka melihat masa saya dan adik dihabiskan dengan
sia-sia sahaja. Oleh itu, ibu bapa saya telah membawa kami ke Pesta Buku
Antarabangsa di Putrajaya. Semasa sampai di sana, saya menyaksikan lautan
manusia memenuhi ruang pameran tersebut. Jika mengikut iklan yang saya baca,
terdapat puluhan ribu buah buku dijual di situ. Pelbagai jenis buku ada di situ. Saya
yang meminati bidang komputer telah membeli beberapa buah buku tentang
komputer di samping novel terbaru.
Selain itu, masa saya diisi dengan mengulang kaji pelajaran. Memandangkan
pada tahun hadapan saya akan mengambil peperiksaan PT3, ibu bapa saya telah
menghantar saya mengikuti kelas tuisyen. Kelas tuisyen itu diadakan setiap hari
Selasa dan Rabu. Saya juga membuat latihan dalam buku latihan PT3 yang dibeli
oleh ibu saya. Semua ini saya lakukan dengan rela hati kerana saya berazam untuk
menjadi pelajar terbaik di sekolah saya.
Akhir sekali, saya dan adik telah dibawa oleh ibu bapa saya ke Mydin
Seremban untuk membeli peralatan sekolah. Hal ini demikian kerana sesi
persekolahan akan dibuka semula. Banyak barangan yang dibeli seperti beg, baju
sekolah, seluar sekolah, kasut sekolah dan peralatan lain. Ibu bapa saya tidak lokek
untuk mengeluarkan wang demi keselesaan saya dan adik apabila bersekolah nanti.
Jadi, saya bertekad untuk mendapatkan keputusan peperiksaan PT3 yang
cemerlang sebagai membalas pengorbanan ibu bapa saya.

Kesimpulannya, saya berazam bahawa saya akan menggunakan peluang


setiap kali cuti sekolah untuk mengisi masa dengan aktiviti yang berfaedah. Saya
tidak mahu lagi masa saya dihabiskan begitu sahaja kera bagi saya masa itu emas.

Anda mungkin juga menyukai