Anda di halaman 1dari 2

KARANGAN 6

Soalan: Pada cuti sekolah yang lalu, bapa membawa kami sekeluarga pulang ke kampung untuk
melawat datuk dan nenek. Tulis pengalaman kamu semasa berada di kampung.

Pada cuti sekolah yang lalu, kami sekeluarga telah pulang ke kampung untuk melawat datuk dan
nenek. Kami bertolak dengan menaiki kereta baharu ayah. Pemandangan di sepanjang perjalanan ke
kampung sungguh indah.

Dua jam kemudian, kami pun tiba di destinasi. Kedatangan kami disambut oleh datuk dan
nenek dengan tangan terbuka. Nenek telah menyediakan lauk-pauk yang sedap untuk kami. Makanan
yang dihidangkan sungguh menyelerakan.

Selepas menjamu selera, kami bersantai di ruang tamu. Datuk dan ayah berbual-bual sambil
menikmati kopi yang dibancuh oleh nenek. Saya dan kakak bermain congkak dengan gembiranya.

Pada hari kedua di kampung, nenek membawa kami ke kebun sayurnya di belakang rumah.
Nenek telah menanam pelbagai jenis sayur seperti kacang panjang, timun, tomato dan sebagainya.
Kami juga membantu nenek menyiram sayur-sayuran, membubuh baja dan mencabut rumput. Kami
berpeluang mengenali pelbagai jenis nama sayur yang ditanam oleh nenek.

Semasa di kampung, datuk juga mengajak kami memancing ikan di sungai. Saya berasa amat
gembira kerana inilah kali pertama saya memancing ikan. Kami telah mendapat banyak ikan kerana
datuk mahir memancing ikan.

Kami juga tidak melepaskan peluang melawat ke dusun datuk. Kebetulan pada masa itu ialah
musim buah-buahan. Kami dapat merasai buah-buahan tempatan seperti buah durian, buah manggis
rambutan dan sebagainya. Kami telah membantu datuk mengumpulkan buah-buahan dan
menjualnya di gerai.

Cuti sekolah hampir berakhir, kami terpaksa pulang ke bandar. Saya berasa sungguh gembira
kerana mendapat banyak pengalaman baharu semasa bercuti di kampung.

KARANGAN 7
Soalan: Kamu dikehendaki menulis catatan harian tentang aktiviti yang kamu lakukan bersama-
sama keluarga semasa hujung minggu.

Sabtu, 27 Ogos 2022


7:00 pagi
Saya bangun agak lewat pada hari ini kerana tidak perlu pergi ke sekolah. Setelah mencuci muka dan
menggosok gigi, saya bersiap memakai pakaian sukan. Saya berjoging bersama keluarga di taman
rekreasi berdekatan.

9:00 pagi
Kami sekeluarga bersarapan dengan nasi goreng yang sedap. Selepas itu, kami bergotong-royong
untuk membersihkan rumah. Saya dan ayah mengemas ruang tamu manakala ibu dan kakak menyapu
lantai. Walaupun keletihan, saya berasa gembira apabila melihat rumah yang bersih dan ceria.
11:00 pagi
Kakak menolong ibu untuk menyediakan makanan tengah hari di dapur. Ibu memasak kari untuk
makan tengah hari. Saya pula membantu ayah mencuci kereta.

2:00 petang
Setelah makan tengah hari, saya menonton rancangan kegemaran saya di televisyen. Ayah membaca
surat khabar di ruang tamu. Kakak pula menemani adik untuk membuat kerja sekolah.

8:00 malam
Setelah makan malam saya mengulangkaji pelajaran untuk membuat persediaan awal. Saya ditemani
oleh ibu. Ibu mengajar saya topik yang tidak difahami.

9:30 malam
Saya mengemas meja belajar dan menyusun buku mengikut jadual sekolah di dalam beg sekolah.
Kemudian, saya menggosok gigi lalu tidur.

KARANGAN 8
Soalan: Tulis karangan yang menghuraikan maksud peribahasa "Berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing".

Maksud peribahasa "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing" ialah menanggung sesuatu perkara
bersama-sama tidak kira senang ataupun susah.

Pengajaran yang terkandung dalam peribahasa ini dapat mewujudkan persefahaman dan
perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat. Oleh itu, peribahasa ini amat sesuai diamalkan
dalam kehidupan kita.

Sebagai contoh, ketika kegiatan gotong-royong di kampung, amalan ini harus dipraktikkan
dengan menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum. Berkat kerjasama, semua perkara akan dapat
disiapkan dalam masa yang singkat.

Antara peribahasa yang sama maksudnya dengan peribahasa ini termasuklah "Ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni" dan "Bagai aur dengan tebing". Kedua-dua peribahasa membawa erti
perhubungan yang akrab sama ada dalam keadaan senang ataupun susah.

Selain itu, amalan kerjasama yang dititikberatkan oleh peribahasa ini juga dapat mengeratkan
hubungan dalam kalangan masyarakat. Malah, amalan ini juga dapat mengukuhkan perpaduan dalam
kalangan rakyat dan mewujudkan negara yang aman damai.

Oleh itu, nasihat yang terkandung dalam peribahasa "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"
wajar diamalkan terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum. Dengan cara itu,
kesejahteraan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara kita dapat dikekalkan.

Anda mungkin juga menyukai