Anda di halaman 1dari 6

Sambung Cerita

Hari sudah jauh malam. Adik-adik aku sudah tidur, namun ibu bapa aku belum juga pulang. Aku menjadi bimbang dan risau.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu. Malam semakin sejuk, hendak lelapkan mata, aku tidak rasa mengantuk. Aku ingin bangun dari tempat tidurku, namun pelbagai andaian bermain dikepalaku. Aku berasa tidak sedap hati.

Bunyi itu semakin jelas. Setahuku, jiranku telahpun pulang ke kampungnya. Dari manakah datangnya bunyi itu? Aku memberanikan diri untuk mengintai dari celah pintu. Aku dapat melihat dengan jelas kelibat dua orang pencuri sedang mundar-mandir di dapur. Aku segera menutup lampu kalau-kalau pergerakkanku diperhatikan. Kedua-dua mereka nampak mencurigakan. Mereka berjalan terbongkokbongkok. Mereka membawa beberapa peralatan rumah ke sudut halamman.

Menyedari kejadian itu, aku segera menelefon polis. Tidak lama kemudian, pihak polis pun tiba. Kedua-dua pencuri itu telah ditangkap. Kedua-duanya ialah kumpulan pencuri yang dikehendaki polis. Aku juga terdengar bunyi deruan enjin kereta ayah. Rupa-rupanya ibu dan ayahku telahpun pulang. Aku amat gembira dan berasa lega. Ibu dan ayah tercengang melihat polis disekeliling kawasan rumah. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku. Ibu dan ayahku tersenyum mendengar cerita itu. Tiba-tiba, ibu datang memelukku. Ibu dan ayah bangga denganku. Aku akan mengingati peristiwa itu sebagai kenangan manis buatku.

Syarahan Cara-cara Membalas Jasa Guru


Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang berbahagia ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk "Cara-cara Membalas Jasa Guru". Hadirin sekalian, Guru ialah insan yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Ilmu yang diberikan tidak terbatas dalam bidang pendidikan sahaja, malahan merangkumi keperibadian seseorang. Justeru itu sewajarnyalah sebagai manusia yang tahu mengenang budi, jasa mereka patut dibalas. Cara terbaik untuk membalas jasa dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Di sekolah kita hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap acuh tak acuh semasa proses pengajaran sedang dijalankan. sikap sebegini menyebabkan kita juga yang mengalami kerugian. Hadirin yang dikasihi, Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Malahan janganlah bersikap berat tulang untuk menawarkan bantuan kepada mereka seperti mengangkat buku dan membersihkan kelas. Apabila sudah berjaya, jangan sesekali melupakan jasa guru kita. Jika ada kesempatan, kirimkanlah kad kepada mereka terutamanya pada Hari Guru. Malahan jika berpeluang kunjungilah mereka untuk bertanyakan khabar. Akhir sekali, hadiah paling bermakna bagi membalas jasa guru ialah dengan menjadi murid yang berjaya dan cemerlang dalam bidang akedimik serta menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.

Perkelahan Saya di Pantai


Saya telah berkelah di pantai pada minggu lepas. Perkelahan ini diadakan pada hari Sabtu, 2 Jun 2010. Saya bertolak pada pukul 3:00 petang dengan menaiki kereta.

Lokasi perkelahan pada kali ini ialah Pantai Batu Hitam. Pantai ini terletak berhampiran dengan Kampung Beserah. Jaraknya kira-kira 15 kilometer sahaja dari rumah saya.

Perkelahan ini disertai ahli keluarga saya. Mereka terdiri daripada ibu, ayah, abang, dan dua orang adik saya. Selain itu, nenek saya juga turut bersama.

Kami ke sana semata-mata untuk bersantai dan menenangkan fikiran. Hal ini kerana saya baharu sahaja selesai menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Lagipun, panorama pantai ini indah nian.

Kami melakukan pelbagai aktiviti ketika berada di situ. Antaranya, kami membina istana pasir dan mengutip kulit siput. Setelah itu, kami bermandi-manda sepuas hati.

Perkelahan pada kali ini memang menyeronokkan. Saya berharap, kami akan dapat datang ke pantai ini lagi pada suatu masa kelak.

CONTOH SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI


No. 74, RPS Merapoh, 28000 Merapoh, Pahang. Darul Makmur. 6 Februari 2013 Assalamualaikum. Menemui kakandaku yang kini berada di Universiti Azhar semoga dalam keadaan sihat sejahtera. Kakanda yang dikasihi, Apa khabar kakanda sekarang? Adinda berharap agar kakanda sihat hendaknya. Adinda serta keluarga di sini sihat-sihat sahaja. Surat kakanda telahpun adinda terima pada 31 Januari 2011 yang lalu. Adinda bersyukur kerana peperiksaan UPSR telah selesai. Alhamdulillah semua soalan yang dikemukan dapat adinda jawab dengan mudah. Sekarang ini adinda sedang menanti keputusannya dengan penuh debaran. Adinda berharap dan berdoa akan mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut. Diharap kakanda juga demikian, selalu mendoakan adinda agar berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan itu nanti. Sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan, adinda menghabiskan masa dengan membaca pelbagai buku terutamanya novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau daripada rakan-rakan yang ingin bertukar-tukar buku bacaan. Adinda ingin menggunakan masa yang banyak terluang ini dengan menambahkan ilmu pengetahuan. Pada hujung minggu nanti, adinda akan mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur. Adinda akan melawat Zoo Negara, Petrosains, Planetarium dan Masjid Negara. Dengan melawat ke tempat-tempat tersebut, adinda berharap akan dapat memberi pengalaman yang berguna, di samping menikmati pemandangan yang indah di sepanjang lawatan tersebut. Bilakah kakanda akan pulang ke kampung? Adinda dan keluarga di sini amat rindu akan kakanda. Adinda berharap kakanda dapat pulang dengan segera. Setakat inilah sahaja yang dapat adinda coretkan buat tatapan kakanda. Sambutlah salam sayang daripada adinda dan keluarga. Adindamu,

HasifZakwan.

Melengkapkan cerita: Menolong Nurul


Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati ..... *** *** *** *** ***

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati melihat budak itu.
Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku. Rupa-rupanya budak itu ialah anak jiranku, Nurul. Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul menceritakan apa yang telah berlaku. Ruparupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba mententeramkannya dan berjanji akan membawanya pulang. Kemudian, aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Nurul kelihatan gembira dengan pelawaanku itu. Selepas itu, aku pun mengayuh basikalku di bawah terik cahaya matahari menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ. Walaupun memenatkan kerana terpaksa mengayuh basikal lebih berat daripada hari-hari biasa tetapi aku gembira kerana dapat menolongnya. Setiba di rumahnya, bajuku telah basah lencun dengan peluh. Aku memberhentikan basikalku lalu menyuruhnya turun. Nurul kelihatan amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum masuk ke rumahnya. Selepas itu, aku terus menuju ke rumahku yang hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya. Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku menceritakan peristiwa tersebut, mereka kelihatan gembira akan sikapku itu. Kata ayahku. "Kita haruslah menolong orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara sendiri".

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku hilang


Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba ..... *** *** *** *** ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikal aku hilang. Aku berasa
sungguh bimbang. Aku mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya kunci basikalku tiada. Jam tangan aku menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Aku berasa sangsat takut. Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran.Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku menelefon ibuku. Aku memberitahu ibu tentang kehilangan kunci basikalku. Ibuku menyuruhku menunggu di sekolah. Tidak lama kemudian, ibuku pun datang. Ibu dan aku mengangkat basikal lalu memasukkan ke dalam kereta. Ibuku membawa aku ke kedai membuat kunci. Ibuku menempah kunci baru untuk basikalku. Selepas beberapa minit, kunci baru siap dipasang. Aku berasa sungguh gembira. Ibuku menasihati aku agar tidak cuai lagi. Semenjak kejadian itu menimpaku, ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke sekolah lagi. Aku dihantar oleh ayah ke sekolah. Aku berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berbasikal ke sekolah bersama rakan-rakanku lagi.

Anda mungkin juga menyukai