Anda di halaman 1dari 6

Sambung cerita Hari sudah jauh malam.

Adik-adik aku sudah tidur, namun ibu bapa aku belum juga pulang. Aku menjadi bimbang dan risau. Tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu. Malam semakin sejuk, hendak lelapkan mata, aku tidak rasa mengantuk. Aku ingin bangun dari tempat tidurku, namun pelbagai andaian bermain dikepalaku. Aku berasa tidak sedap hati. Bunyi itu semakin jelas. Setahuku, jiranku telahpun pulang ke kampungnya. Dari manakah datangnya bunyi itu? Aku memberanikan diri untuk mengintai dari celah pintu. Aku dapat melihat dengan jelas kelibat dua orang pencuri sedang mundar-mandir di dapur. Aku segera menutup lampu kalau-kalau pergerakkanku diperhatikan. Kedua-dua mereka nampak mencurigakan. Mereka berjalan terbongkok-bongkok. Mereka membawa beberapa peralatan rumah ke sudut halamman. Menyedari kejadian itu, aku segera menelefon polis. Tidak lama kemudian, pihak polis pun tiba. Kedua-dua pencuri itu telah ditangkap. Kedua-duanya ialah kumpulan pencuri yang dikehendaki polis. Aku juga terdengar bunyi deruan enjin kereta ayah. Ruparupanya ibu dan ayahku telahpun pulang. Aku amat gembira dan berasa lega. Ibu dan ayah tercengang melihat polis disekeliling kawasan rumah. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku. Ibu dan ayahku tersenyum mendengar cerita itu. Tibatiba, ibu datang memelukku. Ibu dan ayah bangga denganku. Aku akan mengingati peristiwa itu sebagai kenangan manis buatku.

Syarahan Cara-cara Membalas Jasa Guru


Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, barisan hakim, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Pada pagi yang berbahagia ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk "Cara-cara Membalas Jasa Guru". Hadirin sekalian, Guru ialah insan yang mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Ilmu yang diberikan tidak terbatas dalam bidang pendidikan sahaja, malahan merangkumi keperibadian seseorang. Justeru itu sewajarnyalah sebagai manusia yang tahu mengenang budi, jasa mereka patut dibalas. Cara terbaik untuk membalas jasa dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Di sekolah kita hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap acuh tak acuh semasa proses pengajaran sedang dijalankan. sikap sebegini menyebabkan kita juga yang mengalami kerugian. Hadirin yang dikasihi, Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Malahan janganlah bersikap berat tulang untuk menawarkan bantuan kepada mereka seperti mengangkat buku dan membersihkan kelas. Apabila sudah berjaya, jangan sesekali melupakan jasa guru kita. Jika ada kesempatan, kirimkanlah kad kepada mereka terutamanya pada Hari Guru. Malahan jika berpeluang kunjungilah mereka untuk bertanyakan khabar. Akhir sekali, hadiah paling bermakna bagi membalas jasa guru ialah dengan menjadi murid yang berjaya dan cemerlang dalam bidang akedimik serta menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Sekian, terima kasih.

Karangan Peribahasa "Seperti Kacang Lupakan Kulit"


Pak Utih sedar dia tidak bersekolah. Hendak berniaga, dia tiada modal. Hendak menjadi tukang rumah, dia tiada kemahiran. Apatah lagi hendak bekerja di jabatan kerajaan. Jadi, hanya buruh kasar pekerjaan yang sesuai untuk orang seperti dirinya. Begitupun, Pak Utih bertekad. Dia tidak mahu anak-anaknya menjadi seperti dirinya. Dia mahu melihat anak-anaknya berjaya. Mudah-mudahan, kejayaan mereka nanti dapat meringankan beban yang ditanggung selama ini. Saban hari, Pak Utih melakukan pelbagai pekerjaan. Dia sanggup mengambil upah menebas rumput, memanjat pokok kelapa, menanam pokok koko, dan memetik buah sawit semata-mata untuk menyekolahkan Karim dan Salim. Dia sanggup berlapar, dia sanggup tidak bersalin pakaian asalkan anak-anaknya dapat belajar. Kini, dia dan isterinya boleh berbangga. Betapa tidak, Karim dan Salim satu-satunyanya anak masyarakat kampungnya yang berjaya ke menara gading. Setelah tamat pengajian,Karim dan Salim bekerja di Kuala Lumpur. Gajinya pula cukup lumayan. Jadi, mereka mampu membeli kereta mewah dan rumah banglo. Rupa-rupanya, keseronokan di kota menjadikan mereka lupa diri. Mereka langsung tidak menziarahi ibu bapa mereka di kampung pedalaman. Pak Utih betul-betul tidak menyangka bahawa anak-anaknya yang disanjung kini "seperti kacang lupakan kulit". Apabila teringat akan anak-anak itu, air mata mereka bercucuran ke pipi.

Usaha Tangga Kejayaan


Rayyan berumur 12 tahun. Dia berasal daripada keluarga yang berada. Dia bersekolah di Sk Taman Silver. Dia berada di kelas Tahun 6 Cemerlang. Rayyan seorang yang lemah dalam dalam pelajaran. Dia tidak suka belajar dan sering tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Oleh sebab itu, kerja rumahnya tidak pernah selesai.Dia sering dimarahi oleh guru-gurunya kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Dia selalu membuli murid-murid yang lebih kecil darinya. Suatu hari, dia membuli seorang murid di belakang tandas. Ketika itu, Cikgu Amran sedang meronda sekeliling sekolah. Cikgu Amran ternampak Rayyan membuli. Beliau terus menangkap Rayyan lalu membawanya berjumpa dengan guru besar. Cikgu Amran menceritakan kepada guru besar tentang kejadian itu. Selepas mendengar penerangan Cikgu Amran, guru besar terus menghubungi ibu bapa Rayyan. Beliau memberitahu kepada mereka tentang kejadian tersebut. Apabila Rayyan pulang ke rumah, dia dimarahi oleh ibu bapanya. Dia berjanji akan insaf dan tidak akan mengulanginya lagi. Sejak dimarahi, dia belajar bersungguh-sungguh dan menyiapkan semua kerja rumahnya. Dia juga tidak lagi membuli murid yang lebih kecil darinya. Peperiksaan UPSR sudah tiba. Rayyan menjawab peperiksaan itu dengan bersungguh-sungguh. Apabila keputusan diumumkan, Rayyan mendapat 5A dalam UPSR dan dia adalah murid yang mendapat markah tertinggi dalam semua matapelajaran. Dia berterima kasih kepada guru-gurunya kerana telah mengajarnya sehingga mendapat keputusan yang cemerlang. Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan.

Perkelahan Saya di Pantai

Perkelahan Saya di Pantai

Saya telah berkelah di pantai pada minggu lepas. Perkelahan ini diadakan pada hari Sabtu, 2 Jun 2010. Saya bertolak pada pukul 3:00 petang dengan menaiki kereta. Lokasi perkelahan pada kali ini ialah Pantai Batu Hitam. Pantai ini terletak berhampiran dengan Kampung Beserah. Jaraknya kira-kira 15 kilometer sahaja dari rumah saya. Perkelahan ini disertai ahli keluarga saya. Mereka terdiri daripada ibu, ayah, abang, dan dua orang adik saya. Selain itu, nenek saya juga turut bersama. Kami ke sana semata-mata untuk bersantai dan menenangkan fikiran. Hal ini kerana saya baharu sahaja selesai menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Lagipun, panorama pantai ini indah nian. Kami melakukan pelbagai aktiviti ketika berada di situ. Antaranya, kami membina istana pasir dan mengutip kulit siput. Setelah itu, kami bermandi-manda sepuas hati. Perkelahan pada kali ini memang menyeronokkan. Saya berharap, kami akan dapat datang ke pantai ini lagi pada suatu masa kelak.

Surat Kiriman Rasmi

SURAT KIRIMAN RASMI

F8, Klinik Kesihatan Chini, 26690 Chini, Pahang.

0123456789

Cikgu Hariza bt Kabol Sekolah Kebangsaan Chini Dua, 26690 Chini, Pahang. Puan, Tidak Dapat Hadir ke Sekolah

23 MEI 2010

Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa anak saya, Adawiyah binti Muhamad Zafri dari Tahun 4 Cemerlang tidak dapat hadir ke sekolah selama dua hari mulai 15 April 2010 hingga 16 April 2010 kerana demam denggi. 2. Kerjasama dan perhatian pihak puan amat saya hargai. Sekian, terima kasih. Yang benar,

(ROHAIDA BINTI ABDUL RAHIM)

Rohaida

Anda mungkin juga menyukai