Anda di halaman 1dari 20

.

KARANGAN GAMBARAN (BERDASARKAN PENGALAMAN)


Selepas UPSR, sekolah anda telah mengadakan perkhemahan di sebuah hutan.
Kamu telah menyertai perkhemahan itu. Gambarkan keadaan hutan yang kamu lihat.
Pada hari pertama di tempat perkhemahan pelbagai pengalaman yang amat dahsyat
kurasakan. Aku berasa terasing apabila mengingatkan keadaan di rumahku yang serba mewah
tetapi tinggal di hutan apa yang ada?
Aku teringat kata-kata ayah sebelum menyertai perkhemahan ini. Pergilah untuk
menambah pengetahuan dan pengalaman hidup berdikari. Kata-kata ayah membuatku
bersemangat untuk meneruskan perkhemahan.
Teman-temanku makan dengan berselera tetapi aku hanya mampu mengisi perut ala
kadar sahaja. Aku lebih senang duduk di atas sebatang kayu tumbang sambil memandang
persekitaran. Di sekitar kulihat pokok-pokok cengal dan meranti sebesar sepemeluk menjulang
tinggi bagai menyentuh awan.
Siulan burung-burung hutan kudengar bersahut-sahutan. Demikian juga bunyi cengkerik.
Aku kagum mendengar dan melihat keadaan hutan yang sebenarnya. Keadaan itu menyebabkan
aku berasa tenang sekalipun badan letih setelah seharian berkawad.
Hutan di pinggir bukit itu kelihatan dijaga dengan rapi dan terpelihara. Kulihat kehijauan
daun-daun pokoknya. Di sana-sini oula kelihatan daun-daun kering berguguran apabila ditiup
angin.
Apa yang difikirkan tu? tanya Jamil. Pertanyaan Jamil itu membuatkan lamunanku
terhenti. Aku tersenyum sambil berkata,Hutan ini perlu terus dipelihara. Jamil mengangguk
tanda bersetuju dengan kata-kataku.

4.KARANGAN GAMBARAN (BERDASARKAN PENGALAMAN)

Hujan turun dengan lebatnya. Waktu persekolahan pada hari itu sudah selesai. Anda telah
ketinggalan bassekolah. Tuliskan sebuah karangan tentang Pengalaman Anda
Ketinggalan Bas Sekolah.
Petang itu keadaan sungguh menakutkan. Petir sabung menyabung dengan tiupan angin
kencang. Hujan pula turun semakin lebat. Suasana gelap seperti malam. Aku ke tandas untuk
membuang air.
Ramai kawan-kawanku telah pulang. Mereka dijemput oleh ibu bapa masing-masing.
Aku masih belum pulang kerana menunggu bas sekolah. Malangnya ketika itu semua kawanku
yang menaiki bas sudah tiada. Aku ketinggalan bas sekolah.
Perasaanku semakin resah dan takut kerana aku keseorangan. Nasib baik pakcik jaga
sekolahku masih ada. Aku berjumpa dengannya dan menceritakan apa yang telah berlaku.
Beliau mententeramkan fikiranku dan berjanji akan menolong. Lega rasa hatiku. Jam
tanganku menunjukkan hampir pukul lapan malam tetapi hujan masih juga tidak berhenti.
Aku terfikir untuk menelefon jiranku. Aku segera meminta kebenaran pakcik jaga
menggunakan telefon sekolah untuk menelefon jiranku. Masalahku hampir selesai. Bapaku akan
datang mengambilku tidak lama lagi.
Tidak lama kemudian bapaku sampai. Aku bersyukur kerana dapat pulang dengan
selamat. Sesungguhnya pengalaman itu tidak dapat kulupakan.

Melengkapkan cerita: Menolong Nurul

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi
jalan. Aku berasa simpati .....
*** *** *** *** ***
Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di
tepi jalan. Aku berasa simpati melihat budak itu.
Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku. Rupa-rupanya budak itu
ialah anak jiranku, Nurul. Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul
menceritakan apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba
mententeramkannya dan berjanji akan menghantarnya pulang.
Aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Dalam keadaan panas terik, aku terpaksa
mengayuh basikalku lebih berat daripada biasa menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 2
kilometer dari situ. Ini sungguh memenatkan. Namun, aku gembira kerana dapat menghantarnya
pulang ke rumah.
Bajuku telah pun basah lencun dengan peluh setibanya kami di halaman rumahnya. Nurul
kelihatan amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum ia beredar ke
rumahnya.
Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku
menceritakan peristiwa tersebut, mereka memuji tindakanku itu. Kata ayah, "Kita haruslah
menolong orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara
sendiri".

Melengkapkan cerita: Membantu Mak Cik Nadia

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke
pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan .....
*** *** *** *** ***
Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju
ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan pulang, aku terdengar suara
wanita menjerit. Rupa-rupanya beg tangan wanita itu diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal.
Apa yang mengejutkan aku, wanita itu ialah jiranku Mak Cik Nadia.
Aku terus mencatat nombor plat motosikal yang ditunggang oleh dua orang peragut tersebut.
Aku memujuk Mak Cik Nadia supaya bersabar. Nasib baik Mak Cik Nadia tidak mengalami
kecederaan yang teruk.
Aku terus ke pondok telefon yang berhampiran untuk menelefon pihak polis. Tidak lama
kemudian, beberapa orang polis datang. Mereka membawa aku dan Mak Cik Nadia ke balai polis
untuk membuat laporan. Aku memberitahu nombor plat motosikal dan jenis motosikal peragut
itu. Aku juga memberitahu yang mereka melarikan diri ke Jalan Sulaiman. Pihak polis
mengucapkan terima kasih kepadaku.
Setelah beberapa jam, pihak polis berjaya memberkas dua orang lelaki tersebut. Pihak polis
menghantar aku dan Mak Cik Nadia pulang ke rumah. Ibu bapaku berasa terkejut sebaik sahaja
melihat aku keluar dari kereta polis. Pihak polis menceritakan kepada ibu bapaku apa yang
terjadi.

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku hilang

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak
basikal. Tiba-tiba .....
*** *** *** *** ***
Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat
letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.
Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam
tanganku sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana
kawasan itu mulai sunyi.
Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran. Mujurlah aku mempunyai wang syiling.
Aku terus menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan tenang, ibuku memintaku
jangan ke mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.
Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal
untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat
kunci untuk menempah kunci baru basikalku.
Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih
kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas
tambahan. Ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana
bimbang akan keselamatanku jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan
dihantar oleh ayah setiap kali ada kelas tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai.

Berita: Banjir

PAHANG, 16 NOVEMBER 2009 - Kampung Bangau Parit telah dilanda banjir. Tiga hari
sebelum kejadian, hujan turun mencurah-curah dikebanyakan kawasan di daerah Temerloh.
Penduduk kampung tersebut tidak menduga kampung mereka akan dilanda banjir kerana jarang
sekali banjir berlaku di kampung mereka. Oleh itu, ramai yang tidak bersedia bagi menghadapi
keadaan tersebut.
Setelah air naik ke paras yang berbahaya, pihak penyelamat mengarahkan penduduk kampung
mengemaskan barang-barang penting dan berharga untuk berpindah ke tempat yang selamat.
Kanak-kanak pula dilarang bermain air banjir yang hampir mencecah lantai di kebanyakan
rumah penduduk kampung.
Banjir berpunca apabila air Sungai Pahang telah melimpah lalu menenggelami beberapa tempat
di kampung tersebut. Penduduk kampung telah dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan
motobot dan ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Harun sehingga banjir surut.
Penduduk kampung dijangka akan mengalami kerugian besar kerana banyak tanaman dan
haiwan ternakan mereka mati. Namun begitu, penduduk kampung bersyukur kerana setakat ini
tiada kes kehilangan nyawa dilaporkan.
Ketua kampung, Encik Anuar bin Abu Hassan memberitahu bahawa pihak kerajaan negeri akan
menyumbangkan sedikit bantuan kewangan bagi meringankan beban penduduk kampung yang
terlibat. Selain itu, penduduk kampung juga dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan
berwaspada bagi menghadapi situasi banjir.

Berita: Kempen Mengindahkan Kawasan Sekolah

Sekolah kamu telah menganjurkan Kempen Mengindahkan Kawasan Sekolah. Tuliskan berita
tentang kempen tersebut.
** ** ** ** **
TEMERLOH, 14 JULAI - Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan Kempen
Mengindahkan Kawasan Sekolah. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memastikan
kawasan sekolah sentiasa cantik, menarik dan indah. Guru Besar iaitu Encik Awang Satip bin
Mat Salleh menyatakan bahawa kempen ini merupakan aktiviti tahunan sekolah. Kempen ini
melibatkan semua warga dan masyarakat setempat.
Kempen itu dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan
persekitaran sekolah. Antara aktiviti yang dijalankan semasa gotong-royong ini ialah menanam
pokok-pokok bunga, membina taman sains, membersihkan longkang-longkang dan menebas
semak-samun. Para ibu bapa diminta membawa sendiri peralatan yang bersesuaian seperti
cangkul, parang, dan sabit untuk aktiviti tersebut.
Murid-murid dan guru-guru pula diminta membawa sebatang pokok bunga setiap seorang untuk
ditanam di perkarangan sekolah. Kaum ibu turut membantu mereka membaja dan menyiram
pokok-pokok bunga yang telah ditanam.
Selain itu sebuah taman sains telah berjaya diwujudkan melalui kempen ini. Selain ditanam
dengan pelbagai jenis pokok herba dan sayur-sayuran, di tengah-tengahnya juga dibuat sebuah
kolam untuk memelihara pelbagai jenis haiwan seperti ikan dan kura-kura.
Hampir 100 orang ibu bapa yang menyertai kempen ini. Sebelum kempen ini berakhir, satu
jamuan makan tengah hari telah diadakan di kantin sekolah. Pihak sekolah berasa bangga atas
kerjasama yang ditunjukkan oleh masyaarakat setempat dan warga sekolah. Mereka
mengharapkan Sekolah Kebangsaan Seri Tualang sentiasa bersih, cantik, dan ceria.

Laporan: Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang


Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang temasya sukan tahunan yang dijalankan di
sekolah kamu. Sediakan laporan itu selengkapnya.
Contoh Rangka Karangan :
Pendahuluan
- temasya sukan kali yang ke-10
- diadakan di padang sekolah
Perenggan ke-2
- sehari sebelum; gotong-royong untuk kerja-kerja persiapan terakhir
- khemah didirikan dan dihias
- papan markah dipasang
- bendera-bendera dikibarkan
Perenggan ke-3
- cuaca pagi temasya sangat baik
- penonton memenuhi ruang tempat duduk
- tuan pegawai daerah tiba dan disambut oleh Guru Besar
- dimulakan dengan perbarisan lintas hormat
- merasmikan temasya
Perenggan ke-4
- acara sukan dilangsungkan
- berjalan lancar dan teratur
- rehat pada pukul 10.00 pagi sebelum disambung semula
- larian 400 meter menjadi acara kemuncak
- acara selesai; penyampaian hadiah dilakukan oleh pegawai pendidikan daerah
Penutup
- rumah kuning johan keseluruhan
- temasya tamat
- hadirin menghadiri jamuan di kantin sebelum bersurai
** ** ** ** ** **
Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang
Pada 14 Mac 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan termasya sukan yang
ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.
Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah
dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja

sekolah, guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat
markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah
sukan, bendera Negeri Pahang dan Jalur Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.
Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin
termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah astaka. Tuan
Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi disambut oleh Guru
Besar sekolah iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh serta Pengerusi PIBG. Acara dimulakan
dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Pegawai Pendidikan
Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan sukan tersebut.
Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang
dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00 pagi
dan disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi acara
kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat. Seterusnya, acara
penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah disampaikan oleh Tuan
Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar.
Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning.
Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua
hadirin dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin.
Laporan disediakan oleh,
..............................................................
(Nur Rafhanah Izzah binti Ahmad Zaidee)

16 Mac 2010

Laporan: Laporan Bulan Merdeka 2010


Laporan Bulan Merdeka 2010 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang
Pada 1 hingga 30 Ogos 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan
Bulan Merdeka. Tujuan bulan ini diadakan adalah untuk menanamkan rasa kecintaan muridmurid kepada negara.
Pada minggu pertama, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan aktiviti
mewarnakan bendera Jalur Gemilang. Murid-murid Tahap Satu dan Tahap Dua telah menyertai
aktiviti ini. Bendera yang siap diwarnakan dipasang atau digantung di beberapa tempat seperti di
pagar sekolah. Sekolah Kebangsaan Seri Tualang kelihatan lebih ceria dengan dihiasi benderabendera Jalur Gemilang ini.
Pada minggu kedua, pementasan drama telah diadakan. Drama ini bertajuk Warga
Merdeka. Drama ini dicipta dan diarahkan oleh Cikgu Hamidi Wahid. Drama ini telah
melahirkan perasaan cinta pelajar kepada negara.
Pada minggu ketiga, satu pameran tentang tokoh-tokoh telah diadakan di perpustakaan
sekolah. Antara wajah perjuang negara yang dipamerkan ialah Tunku Abdul Rahman, Dato
Hussien Onn, Dr. Burhanudin bin Helmi dan lain-lain lagi.
Pada minggu keempat, Larian Merdeka telah diadakan. Larian ini sejauh 3 kilometer.
Murid-murid berlari sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan kalimat keramat
'Merdeka!'.
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Seri Tualang berasa sangat gembira kerana dapat
menjayakan Bulan Merdeka. Sesungguhnya Bulan Merdeka yang diadakan telah dapat
melahirkan atau menambahkan rasa cinta murid-murid kepada negara.
Laporan disediakan oleh,
2010
.....................................
(NUR ANIS NATASYA BINTI ALWI)

2 September

Laporan: Pelancaran Kempen Bulan Membaca Sekolah Kebangsaan Seri


Tualang.
Sekolah kamu telah mengadakan Kempen Bulan Membaca peringkat sekolah. Tuliskan laporan
tentang pelancaran kempen tersebut.
*** *** *** *** ***
Pelancaran Kempen Bulan Membaca Sekolah Kebangsaan Seri Tualang
Pada 25 Julai 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan "Kempen
Bulan Membaca" peringkat sekolah. Pelancaran ini telah diadakan di dewan sekolah. Tujuan
kempen ini diadakan adalah untuk meningkatkan minat membaca di kalangan murid-murid.
Majlis pelancaran ini diadakan pada pukul 8.00 pagi. Majlis ini dimulakan dengan
perhimpunan dan ucapan perasmian daripada guru besar sekolah kami iaitu Encik Awang Satip
b. Mat Salleh.
Pada pukul 8.45 pagi, pertandingan bercerita oleh murid-murid tahap 1 telah diadakan.
Pertandingan bercerita ini telah dimenangi oleh Nurul Wahida. Selepas itu, pertandingan
berpidato telah diadakan yang disertai oleh murid-murid tahap 2. Pertandingan ini telah
dimenangi oleh Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi.
Kemudian, acara melepaskan belon yang tertulis "Mari Membaca" diadakan pada pukul
10.00 pagi sebagai tanda pelancaran kempen tersebut. Selepas itu, diikuti pula dengan
pertandingan kuiz yang disertai oleh murid-murid tahap 1 dan 2. Bagi pelajar Tahap 1,
pertandingan itu dimenangi oleh Siti Hajar, manakala pelajar Tahap 2 pula ia dimenangi oleh
Husain.
Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada pukul 11.30 pagi. Hadiah-hadiah telah
disampaikan oleh guru besar sekolah kami kepada para pemenang. Selepas itu, murid-murid
dijemput ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan.
Laporan disediakan oleh,
2009
..........................................
(Shamsul b. Kamal)

Laporan: Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun

27 Julai

Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda


dikehendaki menyediakan laporan tentang lawatan ke sebuah kilang yang telah dijalankan oleh
persatuan tersebut. Sediakan laporan itu selengkapnya.
Contoh rangka karangan.
Pendahuluan
- Persatuan Kemahiran Hidup mengada lawatan ke kilang sabun
- jumlah peserta dan guru yang terlibat dalam rombongan
- tujuan lawatan; mendedahkan tentang proses membuat sabun
- menambahkan ilmu pengetahuan
- memupuk semangat keusahawanan
Perenggan ke-2
- bertolak dengan menaiki bas
- tiba di kilang sabun dengan disambut oleh pegawai kilang
- mendengar taklimat
Perenggan ke-3
- dibawa ke bahagian memproses sabun
- proses dijalan dengan mesin berteknologi tinggi
- pekerja kilang memakai pakaian seragam dan sarung tangan khas
- peserta menyoal pekerja kilang dan dilayan mesra
Perenggan ke-4
- dibawa ke bahagian pembungkusan sabun
- pelbagai jenis sabun sedang diproses
- mesin yang canggih
- diberi jamuan ringan
Penutup
- setiap peserta diberi cenderamata sebelum pulang
- cenderamata kepada pihak kilang sebagai tanda penghargaan
- peserta sangat seronok dan mendapat banyak pengetahuan
*** *** *** *** ***

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun


Pada 23 Januari 2010, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Merapoh telah

mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli
persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat
sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat
keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang
disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka
disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang
tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.
Selepas itu para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian
besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja
di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika
bekerja. Di situ, ramai peserta mengambil kesempatan menyoal beberapa orang pekerja kilang
yang sedang bertugas dan mereka dilayan dengan mesra.
Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ
terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang
canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di
kantin kilang tersebut.
Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap
seorang sebagai cenderamata oleh pihak kilang. Guru pengiring iaitu Cikgu Aisyah telah
menyampaikan cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Para peserta
dilihat sangat seronok menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta
dapat melihat sendiri cara-cara membuat sabun.
Laporan disediakan oleh,
..................................................
(Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi)
Setiausaha,
Persatuan kemahiran Hidup

Fakta: Cara-cara membasmi pembiakan nyamuk Aedes

25 Januari 2010

Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam denggi
dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi
masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus
meningkat dari tahun ke tahun.
Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk
membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh
membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan
kolam mandi. Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan
airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.
Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada
bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong
sampah atau ditanam.
Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang
menyekat air daripada mengalir.
Di samping itu, jika menggunakan takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke
meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk
mencegah pembiakan nyamuk.
Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi dan
puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar
bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik
dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.
Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Justeru,
setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan
nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi
tempat pembiakan nyamuk Aedes

Fakta: Kebaikan-kebaikan Membaca

Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di
kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Apatah lagi pada masa ini bahan bacaan yang sesuai
seperti surat khabar, majalah dan sebagainya sangat mudah kita dapati seperti di kedai-kedai
berdekatan rumah atau melalui internet.
Antara kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu
pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa
di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi. Ini
tentu akan meningkatkan mutu karangan kita kerana banyak fakta yang kita ketahui.
Selain daripada itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu
membaca akan mampu menulis karangan dengan ayat yang lebih gramatis kerana lebih banyak
perkataan yang mereka ketahui atau kuasai.
Di samping itu, orang yang rajin membaca akan memperoleh banyak pengajaran dan
pengalaman daripada pembacaan. Ini boleh dijadikan pedoman untuk kebaikan mereka dalam
kehidupan sehari-harian.
Membaca juga dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar. Ini kerana banyak bahan
bacaan ringan yang baik dan menghiburkan kita seperti komik, cerpen dan lain-lain lagi.
Bagaimanapun, kita harus lebih cermat dalam memilih bahan bacaan berunsur hiburan ini kerana
ada juga yang tidak sesuai atau tidak elok untuk dibaca.
Kesimpulannya, mengamalkan budaya membaca amatlah penting terutama kepada para pelajar.
Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka terjebak dengan
gejala-gejala yang tidak sihat. Oleh itu, kita haruslah amalkan sikap suka membaca supaya kita
cemerlang dalam pelajaran dan menjadi kebanggaan guru-guru dan ibu bapa.

Rencana: Kebaikan-kebaikan Perpustakaan

Perpustakaan ialah suatu tempat terkumpulnya bahan-bahan bacaan. Ramai orang mengunjungi
perpustakaan kerana di situ mereka boleh membaca bahan-bahan bacaan seperti buku rujukan,
majalah, surat khabar dan lain-lain lagi secara percuma. Oleh itu, sudah tentulah perpustakaan
memberi banyak kebaikannya kepada kita semua.
Di perpustakaan, kita akan dapat menambah ilmu pegatahuan. Melalui pembacaan di situ, sudah
tentu pengetahuan kita akan bertambah seperti mengetahui peristiwa semasa yang berlaku di
dalam dan di luar negara.
Selain itu, kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang lebih berfaedah dengan
mengunjungi perpustakaan. Ini mengelakkan kita daripada membuang masa secara sia-sia serta
menghindarkan diri daripada terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti melepak dan
sebagainya.
Perpustakaan juga dapat membentuk disiplin para pelajar. Ini kerana di perpustakaan terdapat
pelbagai peraturan antaranya mesti senyap, memulangkan buku dalam tempohnya dan menjaga
kebersihan perpustakaan. Peraturan ini akan mendisiplinkan diri kita kerana jika ingkar, mungkin
kita akan didenda.
Di samping itu, pembacaan bahan-bahan bacaan di perpustakaan akan dapat menambah
pembedaharaan kata kita. Ini pasti akan membantu kita bertutur dan menulis karangan dengan
lebih baik.
Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap suka
mengunjungi perpustakaan agar kebaikan-kebaikannya itu dapat kita perolehi.

Biografi: Penoreh Getah


Pada cuti semester yang lalu, anda telah tinggal bersama-sama pakcik anda. Pakcik anda itu
penoreh getah. Ceritakan kehidupan seharian pakcik anda itu dalam bentuk karangan.

Rangka Karangan :
Pendahuluan - rumahnya tidak jauh dari kebun getah
-setiap hari dia pergi menoreh
-pergi dengan berbasikal
Perenggan ke-2 - memakai topi berlampu
- dapat menoreh walaupun suasana masih gelap
- menoreh dengan pisau getah tajam
Perenggan ke-3 - selesai menoreh pukul 10
- sentiasa pastikan kebunnya terjaga
Perenggan ke-4 - menjual hasil seminggu sekali
- mengutip getah skrap dan dikumpulkan
- getah dijual
Penutup - dapat menanggung keluarga
- menanam tanaman lain dan ternakan sebagai sampingan
- bangga dengan sikapnya yang rajin
** ** ** ** **
Pakcik saya seorang penoreh getah. Kebun getahnya terletak tidak berapa jauh dari rumahnya.
Setiap pagi, sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang Subuh, dia akan segera ke kebun
getahnya dengan menunggang sebuah basikal.
Sebelum menoreh, pakcik saya akan memakai topi yang berlampu suluh kerana keadaan waktu
itu masih gelap. Dia menoreh dengan sebilah pisau getah yang sentiasa diasah tajam supaya
kerjanya dapat dilakukan dengar lancar serta lebih banyak susu getah dapat dihasilkan.
Kerja-kerja menoreh itu selesai kira-kira pukul 10.00 pagi. Sebelum pulang ke rumah, pakcik
saya akan memastikan kebunnya berkeadaan baik. Jika perlu, dia akan menebas dan sebagainya
dahulu sebelum pulang ke rumah.
Kira-kira seminggu menoreh, pakcik saya akan menjual hasil kebunnya. Dia akan membawa
guni atau baldi untuk mengutip getah skrap yang berlonggok di pangkal pokok-pokok getah,
sebelum dikumpulkan di satu tempat sementara menunggu lori pembeli getah tiba.
Hasil daripada jualan getahnya itu, dapatlah pakcik saya menanggung perbelanjaan keluarganya.
Selain menoreh getah, pakcik saya juga ada menanam sayur dan menternak kambing sebagai
pendapatan sampingan. Saya sungguh bangga melihat kerajinan pakcik saya mencari nafkahnya
seisi keluarga.

Karangan UPSR : Cerita Lemas Di Sungai SOALAN : Kamu dan rakan kamu telah memancing
di sungai. Tanpa diduga, rakan kamu telah tergelincir lalu lemas. Tulis cerita kamu
selengkapnya.
Aku dan Hasan tinggal berjiran. Kami berkawan sejak kecil lagi. Hubungan kami sangat
akrab. Kami mempunyai hobi yang sama iaitu memancing ikan.
Pada suatu hari, aku dan Hasan merancang untuk memancing ikan di sungai berdekatan.
Setelah menyiapkan semua peralatan seperti joran dan umpan, kami pun bertolak ke lokasi yang
ditetapkan. Aku dan Hasan menunggang basikal untuk ke sungai yang terletak di hujung
kampung kami.
Setibanya kami di lokasi, aku dapati banyak kanak-kanak sedang mandi-manda di sungai
itu. Aku mencadangakan kepada Hasan supaya mencari lokasi yang lebih sesuai dan jauh
daripada riuh-rendah kanak-kanak. Kami meletakkan peralatan di bawah pokok, kemudian terus
melabuhkan punggung untuk memancing.
Lokasi yang kami pilih memang sesuai. Dalam beberapa minit sahaja, kami sudah
berjaya memancing pelbagai jenis ikan seperti ikan talapia, ikan lampam dan ikan puyu.Oleh
sebab terlalu asyik memancing, kami tidak sedari hari sudah semakin senja. Ketika bersiap-siap
untuk pulang, tiba-tiba pancing Hasan ditarik sesuatu. Hasan cuba menarik pancingnya tetapi
tidak berjaya.
Hasan masih terkial-kial menarik pancingnya. Tiba-tiba, Hasan tergelincir lalu terjatuh ke
dalam sungai. Dia cuba berenang ke tepi tebing tetapi tidak berjaya kerana arus deras. Aku cuba
menghulurkan joranku untuk dicapai olehnya tetapi gagal. Aku segera menjerit meminta tolong
apabila melihat Hasan semakin lemah.
Jeritanku didengari oleh seorang pemuda yang kebetulan memancing di lokasi
berhampiran. Dia bergegas terjun ke dalam sungai dan menarik Hasan ke tepi tebing. Hasan
berjaya diselamatkan. Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada pemuda berkenaan. Sejak
hari itu, kami berdua lebih berhati-hati apabila memancing di sungai .

Contoh Karangan - Cerita Pengalaman

Sewaktu anda pulang dari sekeloh, anda terlihat sebuah lori sampah
sedang membuang sampah ke dalam sungai. Nyatakan tindakan yang
anda lakukan.
Pada hari Jumaat yang lalu, saya berbasikal pulang dari sekolah bersendirian. Tibatiba, saya ternampak sebuah lori sampah sedang menuju ke arah sebatang sungai
yang terletak di hujung kampung.
Tidak lama kemudian, lori sampah itu berhenti di tepi sungai itu. Saya cepat-cepat
bersembunyi di sebalik semak-semak untuk mengintai gerak-geri mereka. Saya
mendapati mereka sedang membuang sampah ke dalam sungai itu.
Saya segera membuat keputusan untuk memberitahu ketua kampung. Beliau telah
membawa saya ke balai polis untuk membuat laporan. Saya memberitahu seorang
pegawai polis tentang kejadian itu.
Setelah itu, beberapa orang pegawai polis mengejar ke tempat kejadian itu dengan
segera. Apabila kami tiba di sana, pemandu lori sampah itu dan kawan-kawannya cuba
melarikan diri tetapi tidak berjaya. Akhirnya, mereka berjaya ditangkap oleh pegawai
polis.
Pihak polis telah mendenda mereka seebanyak RM5000 dan memberi amaran
kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut. Mereka menyesal dan
mengaku kesalahan yang mereka lakukan. Mereka juga berjanji akan membersihkan
sungai itu.
Ketua kampung dan pengawai polis telah memuji keberanian saya. Saya berasa
sangat gembira kerana dapat mengelakkan sungai itu daripada tercemar. Selepas itu,
saya pun pulang ke rumah.

PUNCA KEMALANGAN

Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara kita.Kemalangan jalan


raya berpunca daripada pelbagai sebab.
Kemalangan jalan raya akibat sikap pemanadu yang suka
cuai,leka,tidak berhati-hati dan mementingkan diri sendiri.Mereka
juga sering memandu dengan cara yang berbahaya dan tidak
berhemah.Terdapat pemandu yang memotong kenderaan sesuka hati
terutama di selekoh atau di garisan berkembar
Selain itu,kemalangan jalan raya disebabkan oleh pemandu yang
memandu kenderaan dengan laju atau melebihi had laju.Selain
itu,kemalangan jalan raya juga disebabkan sikap pemandu suka
melanggar peraturan jalan raya.Kemalangan jalan raya juga,berlaku
disebabkan oleh sikap pemandu yang suka berbual-bual dan bergurau
senda ketika sedang memandu kereta.
Pemandu-pemandu di negara kita juga mempunyai sikap yang suka
tidur lewat dan ini mengakibatkan mereka mudah tertidur,Jadi semasa
memandu mereka akan hilang tumpuan dan ini boleh mengakibatkan
kemalangan jalan raya .
Kemalangan jalan raya juga boleh disebabkan kerosakkan jalan raya
seperti tidak rata,berlubang dan lain-lain lagi.Ini menyebabkan
pemandu-pemandu sering terbabas dan terlibat dalam kemalangan.
Selain itu, sebelum ke mana-mana kita mestilah memeriksa kereta
supaya dalam keadaan yang sempurna.Ini boleh mengelakkan
kemalangan jalan raya.
Kesimpulannya, kemalangan dapat dielakkan dan dikurangkan jika
semua pemandu sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu.

Anda mungkin juga menyukai