Anda di halaman 1dari 8

KISAHNYA BERMULA DI SINI

Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka sembap,
perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh abang, baju
terakhir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju itu
tidak muat untuk melalui perut abang yang buncit.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh mak cium baju
itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh abang
ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah
abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan
mak yang menjiruskan air buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air matanya tumpah,
mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan sasanya. Bang,
jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan terkahir, begitulah kata
mak pada abah. Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan
jenazah abang. Pun hanya kami berdua juga, biar tangan kami saja yang
memakai dan membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam tu! Itu pesan mak
semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat kali terakhir. Abah
pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh
memalingkan muka. Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi
pipi. Dan buat kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum,
lantas kucup dahi abang. Mak bisikkan: Abang tunggu mak di syurga ya!
Akhirnya, wajah abang ditutup. Kami sembahyangkan abang buat kali
terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa abang
ke tanah perkuburan. Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut
jenazah abang. Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah
selamat di sana. Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu
yang datang.
Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak. Soalan
itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya mereka: Kakak uruskan
jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata tak jatuh ke pipi? Kenapa
kakak tidak menangis? Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak tidak

lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat


memangku sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu?
Petang itu, mak duduk di satu sudut di ruang tamu rumah. Mak terfikir
tentang soalan mereka itu. Mak tak tahu nak jawab macam mana.
Kemudian, mak nampak sebuah diari di atas para di sudut ruang tamu.
Lantas mak capai diari kecil itu. Di dalamnya tercatat peristiwa yang berlaku
sepanjang empat tahun dua bulan mak membesarkan abang. Mak selak
helaian demi helaian paparan kertas dalam diari yang sedikit usang itu.
Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di dalamnya.
Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan
perjalanan derita abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir.
Mata mak terpaku pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum
abang pergi. Mak rasa, di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari.
Jawapan untuk soalan yang mereka tanya kenapa mak tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu kenapa mak
tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut abang semakin membusung kerana hati membengkak.
kata doktor, semua organ dalaman abang sudah rosak, sudah reput. Tak
boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak
akan ada lagi pembedahan untuk abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari sebelum itu,
mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, Nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu
setiap pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah.
Puas mak dan abah melilau sekitar Kuala Lumpur, tapi tak jumpa kek
macam tu. Tak ada yang sanggup buat kek macam yang abang minta. Mak
kecewa! Selama ini, mak tunaikan apa saja permintaan abang, tapi kali ini
mak gagal. Mak belikan kek coklat strawberi sebagai pengganti.
Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar bernafas, abang
masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang datang,
sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak
sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.

7 Mac 2011- Keadaan abang makin kritikal. Perut abang semakin besar.
Abang tak mampu nak bergerak, lebih banyak terbaring dan asyik sesak
nafas. Mak tak tahan lihat keadaan abang. Mak bawa abang ke IJN, rumah
kedua abang sepanjang tempoh hayat abang. Kata doktor, tiada apa yang
boleh dilakukan lagi.
Abang hanya menanti waktu. mak angguk perlahan. Mak redha. Dalam hati
mak juga sudah berkata, masa abang tidak lama lagi. Para ibu di wad
tersebut asyik bertanya pada mak, Macam mana dengan abang? Mak
jawab:InsyaAllah, abang akan sihat! Mak terpaksa cakap begitu pada
mereka, sebab mak tak mahu mereka semua lemah semangat jika mereka
tahu abang sudah tiada harapan lagi.
Mereka pun sama, masing-masing bertarung dengan ujian apabila anak
yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah jawapan yang mak beri itu
kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya, biarlah mak sendiri telan.
13 Mac 2011- Hari Ahad. Mak pinta kebenaran doktor untuk bawa abang
pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah abang habiskan waktu-waktu
terakhir bersama keluarga. Dan di saat-saat akhir ini, mak mahu tunaikan
apa saja permintaan abang.
Di rumah, setiap hari mak akan tanya: Abang nak apa hari ni? Mak masih
ingat pada suatu pagi, abang menjawab: Mak, abang nak naik kereta
bomba! Mak termenung dengar permintaan abang. Bila abah pulang ke
rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya, Pergi mana? Mak jawab:
Balai bomba!
Sampai di situ, mak minta izin pegawai bomba. Mak kata, abang teringin nak
merasa naik ke dalam trak bomba. Pegawai itu garu-garu kepala,
kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala. Belum sempat pegawai
bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju abang ke paras dada. Separuh
berbisik, mak beritahu pegawai itu: Encik, ini anak bongsu saya dan hanya
menanti masa untuk pergi! Benarkan saya tunaikan impian terakhirnya
ini!
Bila lihat perut abang yang buncit dan dada dipenuhi kesan parut dan
jahitan, pegawai itu tak tunggu lama. Terus dicapainya kunci, dibuka pintu
salah satu trak bomba itu. Dia dukung abang, letakkan ke atas tempat
duduk bahagian pemandu. Abang nampak gembiru sangat biarpun cuma 15
minit abang di dalam trak itu. Abang tak perasan, mak palingkan muka lima
saat. Sekadar mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.

Hari lain, mak tanya lagi: Abang nak apa? Abang jawab: Abang nak naik
lori sampah! Mak dukung abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah
lalu pagi itu menjalankan rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori
itu.Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan sebentar? Pekerja
itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak angkat baju abang
dan beritahu perkara sama. Berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada
antara pekerja itu yang memalingkan muka, tak sanggup lihat abang lamalama. Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya
pertanyaan yang sama. Abang kalau nak tengok gajah, mak bawa abang
pergi zoo. Walaupun abang tak larat jalan, tak apa. Mak dan abah tidak
kisah, kami silih berganti dukung abang.
Abang kata nak tengok burung, mak bawa ke taman burung. Abang kata nak
main permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada
permainan seperti itu. Ke mana saja abang nak pergi, semuanya mak
tunaikan!
Setiap hari juga mak tanya abang nak makan apa. Macam-macam abang
teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air
bandung, rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun
makanan itu abang pinta pada pukul 3.00 pagi!
Apa saja yang teringin oleh tekak abang, semua mak cari walaupun abang
sekadar menjamahnya sesudu dua. Apa saja abang pinta, kami tunaikan.
Mak tahu, mak faham, masa abang bersama mak dan abah semakin suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Nak bercakap pun terlalu lemah,
apatah lagi untuk bergerak. Mata kuyu, hanya terbaring sambil memeluk
Aina, anak patung kesayangan abang. Mak ajak abah bawa abang ke
hospital.Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan keluar
dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!Itu kata-kata mak pada
abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika apaapa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk
pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama kakak yang sulung di Seremban.
Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan kakak pulang. Adik
tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di sampingnya pada saat
terakhir!Itu kata-kata mak pada cikgu dan akak diizinkan pulang pada hari

ini. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang datang
melawat. Mak memang rajin bercerita dengan Dr. Adura. Kebetulan mak
ceritakan yang mak terkilan tak dapat tunaikan permintaan abang mahukan
kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat abang. Kemudian Dr. Adura
beritahu ada surprise untuk abang tengah hari ini. Rupa-rupanya, tengah
hari itu datang tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura
membawa kek lori yang abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek mereka
bawa. Mak tak sangka, Dr Adura tulis di dalam blognya kisah abang dan
ramai yang mahu menyediakan kek yang abang pinta.
Sekali lagi, para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu
selamat ulang tahun untuk abang. Tapi abang kurang ceria, wajah abang
tampak letih dan nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang membawa kek
berbentuk lori warna pink untuk abang. Tapi abang sekadar lemah. Abang
sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat
mengambil tekanan darah abang, bacaanya meningkat naik. Tapi hati mak
dapat rasakan abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam
itu, hanya mak berdua dengan abang di dalam bilik.
Mak pandang sayu wajah abang yang semakin lesu dan pucat. Mak duduk
di sebelah abang, mak peluk dan usap rambut abang. Mak menangis
teresak-esak bagai anak kecil. Dalam tangis itu, mak katakan pada abang:
Mak tahu abang nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu.
Mak tahu abang nak pergi. Jangan tahan-tahan abang. Pergilah. Mak sudah
sedia. Mak redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa saja hajat
yang abang pinta. Mak juga bangga kerana Allah hadirkan abang dalam
hidup mak walaupun seketika!
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan ketika
itu mak menangis sepuas-puasnya. Dan mak berjanji tidak akan menangis
lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah
tiada lagi di dunia ini.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua anak-anak
datang ke hospital. Masa abang dah dekat sangat. Mak lihat abang dah
kritikal. Wajah abang sudah tampak biru, lebam! Dada berombak,
tercungap-cungap menarik nafas. Abang dah tak mampu bercakap lagi
sejak malam tadi. Makan minum pun tak mahu.

Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak sampai. Mak suruh kak long bacakan
Yaasin di sebelah abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah
tersekat-sekat kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, abang makin lesu. Lantas mak ajak abang keluar
berjalan-jalan.
Abang, nak tengok matahari tak? Jom kita turun kantin minum sambil
tengok matahari! Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung abang
dan kita satu keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi
abang hanya minum seteguk. Kemudian, abang lentukkan kepala pada bahu
mak. Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari tu?
Cantikkan? Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di celahcelah rintik hujan yang turun waktu itu.
Abang angkat kepala melihat ke arah matahari itu. kemudian, abang
menguap. Abang ngantuk! Itu kata abang dan kemudian abang terlentuk
semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang. Bang,
jom naik. Abang nak tidur! Mak terus ajak abah dan kakak naik semula ke
wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja. Mak
tahu, masa abang sudah hampir tiba! Sampai di wad, mak baringkan abang
atas katil. Dan abang terus merintih dalam nada yang lemah: Makkk..sakit
perut..! Dan abang terus memanggil: Makkkkk!. Suara abang perlahan
dan amat sayu bunyinya. Lantas mak letak tapak tangan mak atas dahi
abang.
Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan abang pergi. Mak halalkan segala
makan minum abang. Mak halalkan air susu mak untuk abang. Pergilah
abang. Mak izinkan abang pergi! Mak ucapkan kata-kata itu sambil
merenung jauh ke dalam mata abang yang semakin kuyu. Saat abang
sedang nazak itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup abang selagi
abang masih bernafas. Mereka kucup pipi abang bertalu-talu dan mula
meraung dan menangis.
Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik ini. Mak tak
mahu abang dengar kamu menangis! Jangan seksa abang dengan tangisan
kamu!
Mak marah mereka buat begitu pada abang. Mak tak mahu abang lihat kami
menangisi pemergian abang. Mak tahu, abang akan jadi lebih sedih dan
berat hati untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir
sakaratulmaut menjemput abang.

Mak tak mahu tambahkan lagi kesedihan abang untuk meninggalkan kami.
Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara
tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh
jururawat keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak
tak mahu ada orang menangis di saat abang akan pergi. Setitis dua
mengalir juga air mata mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
Pergilah abang. Mak izinkan. Mak izinkan.. pergilah..! Dan perlahan-lahan
mata abang yang layu tertutup rapat, genggaman tangan abang pada jari
mak semakin lemah dan akhirnya terlepas
Pukul 3.50 petang, akhirnya abang meninggalkan dunia fana ini. Innalillah
Mak kucup dahi abang. Mak bisikkan di telinga abang: Tenanglah abang di
sana. Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti jejak abang. Abang
tunggu mak di sana ya! Di syurga!
Abang, sekarang mak dah dapat jawapanyya. Mengapa mak tidak
menangis?
Pertama, abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan membantu
mak di sana nanti.
Kedua, apa saja keinginan abang semasa hayat abang telah mak tunaikan.
Tiada lagi rasa terkilan di hati mak.
Ketiga, segala hutang sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa
hayat abang. Mak telah sunatkan dan buat akikah untuk abang.
Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab sepenuhnya, sentiasa
berada di sisi abang dan menggembirakan abang setiap saat dan waktu.
Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti abang.
Mak jadi kaya dengan kehadiran abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk,
kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya
pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi 100% untuk abang. Mak telah beri
yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu
mak tak perlu menangis lagi. Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah
terasa sunyi dan kosong tanpa abang ta[i mak akan sentiasa tersenyum
mengenangkan saat-saat terindah kehadiran abang dalam hidup kami

biarpun cuma sebentar.


Abang dalam kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu
daripada lima beradik. Abang masuk hospital seawal usia dua minggu
akibat menghidapi lima jenis kompilasi jantung termasuklah kekurangan
injap, jantung berlubang dan saluran sempit. Abang telah menjalani
pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan dan ada antara
pembedahan seawal usai dua bulan dan ada antara pembedahannya gagal,
malah abang pernah disahkan mati apabila jantungnya berhenti berdenyut.
Walaupun pada awalnya doktor mengjangkakan hayat abang tidak lama
selepas lahir ke dunia, namun ternyata anak kecil ini mampu bertahan
sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan kenangan terindah dalam
hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
Semoga kisah ini memberi pengajaran kepada kita. Lakukan yang terbaik.
1) Balaslah segala jasa kedua ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Jika
mereka sudah tiada, doakan kepada mereka setiap kali selepas solat. Minta
diampunkan segala dosa mereka.
2) Jagalah anak anak kita sebaiknya. Lakukan yang terbaik untuk mereka di
dunia dan di akhirat.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Anda mungkin juga menyukai