Anda di halaman 1dari 2

Kebaikan dan Keburukan Menggunakan  Internet

            Internet merupakan sistem komunikasi yang direka cipta untuk menyampaikan maklumat dari serata
dunia. Sistem ini boleh dicapai melalui komputer dan televisyen. Dengan kecanggihan teknologi masa kini,
internet boleh juga dilayari melalui telefon bimbit.

            Melalui internet, kita akan dapat mengetahui sesuatu maklumat dari serata dunia dengan lebih cepat
terutamanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal semasa. Oleh itu, minda kita akan
lebih terbuka dan sentiasa terkini dengan berita-berita dari seluruh pelosok dunia.

            Kita juga boleh menambahkan pengetahuan dengan menjadikan internet sebagai tempat untuk
mencari maklumat yang ingin kita ketahui. Contohnya kita dapat mengetahui perkembangan dalam bidang
sains dan teknologi melalui laman sesawang tertentu. Ini boleh menjadi satu sumber rujukan dan membantu
proses pembelajaran di dalam kelas.

            Namun begitu, keburukan internet tidak dapat disangkal terutama tentang budaya kuning. Bagi
mereka yang mudah terpengaruh, mereka akan meniru bulat-bulat perkara negatif yang dipaparkan. Hal
demikian akan menyebabkan perkara-perkara negatif meresap masuk dalam budaya masyarakat kita hari ini.
            Bagi sesetengah golongan murid pula, internet akan menyebabkan mereka membuang masa dengan
sia-sia . Kerana terlalu asyik dengan internet, mereka malas untuk mengulang kaji pelajaran. Akibatnya,
pelajaran mereka merosot dan keputusan peperiksaan mereka terjejas.

            Sistem komunikasi internet ini sememangnya ada kebaikan dan keburukannya. Teknologi ini perlu
dipelajari dan digunakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, kita perlu pandai memilih dan menilai untuk
mendapat manfaat daripadanya.
Contoh Soalan:

Rajah di bawah menunjukkan  punca-punca pencemaran alam.

Tulis ulasan tentang tentang punca pencemaran alam dalam bentuk perenggan

Pencemaran alam semakin mengancam kehidupan seharian kita. Banyak punca yang
menyumbang kepada berlakunya pencemaran alam.

    Penebangan hutan secara berleluasa untuk pembalakan atau pertanian adalah salah satu
punca berlakunya pencemaran alam. Selain  itu, pembakaran terbuka juga menjadi punca
berlakunya pencemaran alam. Asap daripada pembakaran terbuka boleh menyebabkan
berlakunya jerebu yang mengancam kesihatan kita. Selain itu,  asap daripada kenderaan
bermotor juga menyebabkan udara tercemar. karbon monoksida yang dilepaskan oleh kenderaan
bermotor amat berbahaya kepada kita.  Kilang-kilang perusahaan juga menjadi punca
pencemaran alam. Sebagai contoh, kilang-kilang ini membuang sisa toksik ke dalam sungai atau
longkang. Hal ini menyebabkan  berlakunya pencemaran air.
  
     Kesimpulannya, kita perlu bekerjasama mengatasi masalah pencemaran alam ini demi
kesejahteraan hidup kita.

Anda mungkin juga menyukai