Anda di halaman 1dari 8

MENUAI EMAS

Salina Ibrahim

“CANTIK, ya abah!"

"Memang cantik."

"Kuningnya seperti emas, kan abah?"

"Inilah hasilnya berbudi kepada tanah. Kita akan menuai emas nanti!"

Sayup mata memandang. Tenang hati Alif ketika menyeluruhi petak


emas di hadapannya. Suara abah acap kedengaran di cuping telinga. Wajah
tenang abah serasa-rasa mesra di penjuru mata. Ya abah, tidak lama lagi kita
akan menuai emas, hatinya berbisik.

Kesyukuran terjarum menusuk hati. Ini ganjaran daripada sebuah


kesabaran. Ini imbuhan daripada sebuah keredaan. Datang pula suara emak
melantun-lantun di telinga. Terima kasih yang tidak terkimah, emak, kerana
selalu mendidik anakmu ini akan makna syukur, sabar dan reda.

Alif tersentak ketika gegendangnya ditujah bunyi hon singkat tetapi


keras. Sebuah motosikal hampir melanggarnya. Dia berundur selangkah
seraya mengelopak senyuman apabila bersabung pandang dengan si
penunggang motosikal.

"Hah anak muda! Awal-awal pagi lagi sudah di petak bendang?"

Nada Tuk Ketua tegas tetapi sebagaimana biasa berbaur kemesraan


yang hangat dalam suara yang seperti sengaja dikeraskan itu.

"Alhamdulillah, elok awal-awal, tuk!"

Alif membalas sambil merenung wajah orang penting kampung itu


yang berbaju melayu, berkain pelekat dan berkopiah putih. Barangkali Tuk
Ketua dari masjid selepas berjemaah subuh. Hari limun benar. Pagi masih
berasap embun.

"Bila jentera tuai sampai?"

"Insya-Allah esok tuk. Kita akan mulakan kerja menuai esok!"

"Baguslah. Tahniah atas usaha kamu."


"Terima kasih, tuk. Apa-apa pun, saya rasa elok juga kalau disimpan
ucapan tahniah tu sampai kita habis menuai!"

Ada kerutan di wajah Tuk Ketua. "Macam-macamlah kamu ni!" ujarnya


sambil tersenyum.

Dari ban berturap tanah merah, Alif melangkah menyusuri permatang


sawah. But getah yang dipakainya basah oleh embun. Dalam dingin yang
mencengkam,dia merasai nikmat yang sukar diterjemah dengan bahasa kata.
Puas, tetapi jauh di sudut hati, dia terasa diri amat kerdil berada di tengah
petak emas yang amat bernilai ini.

Inilah hasilnya jika kita berbudi kepada tanah. Ujaran abah masih
terngiang-ngiang di telinga. Dia cuba memutar pita ingatan semula. Lebih
setahun lalu, petak emas ini membuak dengan rasa geram, marah dan
dendam yang berkacuh dengan air mata pilu dan jiwa yang luka berdarah.
Dia sangka dia sudah mengalah ketika itu. Dia hampir mahu angkat bendera
putih. Apatah lagi kala melihat air mata yang luruh daripada mata layu emak.

"Apa yang nak dipertahankan sangat tanah tu? Semua orang dah
setuju. Dia seorang saja yang tak beri kata putus. Budak ini memang nak
menyusahkan orang!"

Abang Man bersuara lantang. Beberapa orang lain kelihatan ikut


terangguk-angguk dan bersemangat.

Anjung rumahnya jadi ruang perbicaraan. Dia berusaha menenangkan


hati yang terasa seperti mahu luruh. Emak kelihatan bersusah payah
berusaha menjadi hakim yang adil. Tetapi dia tidak tahu sejauh mana emak
akan terus bertahan.

"Semua orang dah setuju, Mak Wan. Anak Mak Wan seorang saja yang
tolak tuah. Dek sebab dua petak tu, semua kerja tergendala. Mak Wan
tolonglah nasihatkan anak bujang Mak Wan ni!"

Kali ini Abang Man bersuara lembut sambil merenung wajah emak.

Emak masih menekurkan pandangan ke lantai. Tuk Ketua yang


tersandar di dinding sekadar menelinga, seboleh-boleh mungkin tidak mahu
campur tangan. Dia masih kekal sebagai pendamai dan pemerhati.

Ada debar bertebaran dalam dada Alif apabila melihat emak diam
membatu begitu. Entah emak berfikir, entah emak buntu, tiada siapa dapat
menduga. Semua orang tiba-tiba bagaikan disua bahang api.
"Kami semua mahukan kemajuan. Walaupun kami tak berapa muda
macam Alif ni, kami pun nak juga menikmati kemajuan. Nak tengok
pembangunan, nak melangkah ke depan. Bukannya berpatah balik ke
belakang,"

Suara Abang Man terasa berisi gula-gula, kedengaran lunak


bahasanya.

Emak masih bergeming, tidak mengalihkan tekurannya walau segarit.

"Anak Mak Wan ini kan belajar di universiti? Dengarnya ada ijazah
ekonomi. Tak kan budak universiti macam dia nak buat kerja kampung
begini? Eh, betulkah dia tamat belajar? Entah-entah dia tak lulus periksa, itu
yang beria-ia sangat nakkan petak tu … sebab tak dapat kerja lain!"

Suara Abang Man kali ini berubah nada cabul. Terangkat kepala emak.
Terpanggung kepala Tuk Ketua.

Alif membulatkan mata. Terpandang Abang Man yang tersengih-sengih


berasa menang, terasa seperti mahu menghadiahkan penumbuk sebutir dua
ke muka lelaki itu, biar dia tersungkur membaham tanah. Beberapa orang
lelaki lain yang berada di anjung itu turut sama tersenyum-senyum kambing.

"Beginilah, kamu semua balik dulu. Kata datang sini mahu berbincang
elok-elok. Tapi kalau sudah sudah terkeluar tajuk sampai menyakitkan hati
orang, Mak Wan rasa eloklah kamu balik dulu. Biar Mak Wan berbincang
secara anak-beranak dengan Alif!"

Emak akhirnya mengambil kata putus. Ada ketegasan dalam nadanya.

Tetamu berundur pulang dengan muka kelat. Menungan emak


berlarut-larutan. Kemuncaknya Alif nampak emak mengelus pipi yang beranak
sungai. Hati emak terhiris. Air mata itu tanda emak terluka dengan tajamnya
pisau kata-kata orang. Tidak sanggup dia melihat air mata emak menitik lagi.

"Kalau emak mahu saya lepaskan dua petak tu, saya akan lepaskan."

Dalam lemah mengalah, Alif kuatkan hati untuk bersuara.

"Siapa kata mak suruh lepaskan?" emak menjegil.

"Saya tak mahu tengok mak sedih. Saya tak mahu tengok emak
menangis. Saya tak sanggup biarkan mak dengar orang kata saya tak lulus
universiti," kata Alif dengan nada merendah.
"Mak boleh fikir sendiri, Alif. Kan mak sendiri yang hadir waktu kamu
ambil ijazah di atas pentas tahun lepas. Cuma emak ni teringatkan arwah
abah kamu," balas emak, makin lirih.

Lalu kata-kata emak itu jadi penawar terbaik buat Alif. Dia mesti
mempertahankan dua petak tanah itu. Sekalipun terpaksa berparang bertajak
seorang mempertahankan diri, dia sudah nekad. Tak kan dia pejam mata
membiarkan dua petak itu terkorban walaupun atas nama pembangunan.
Sedangkan hasratnya yang tertanam lama dalam sanubari ini pun diluruskan
atas niat kemajuan juga.

Tidak tergamak rasanya dia mahu menyaksikan petak-petak yang telah


menyajikan ruji semangat leluhurnya berganti dengan jaluran rumah teres
kos rendah. Tidak sampai hatinya membayangkan landskap desa yang selama
ini tenang dengan hamparan permaidani hijau berganti dengan hutan batu.
Andai inilah pembangunan, maka usaha yang dia sedang rancangkan itu,
adakah tidak layak digelar pembangunan juga?

"Niat kamu nak jadi petani memang sangat baik, Alif. Tapi apa usaha
kamu? Dua petak kita betul-betul di tengah, sedangkan petak kiri kanan
semua sudah nak dilepaskan dek tuan masing-masing."

Lagi, emak bersuara lirih.

"Ada beberapa tuan tanah yang belum setuju. Pak Nik yang berselang
dua petak dengan kita masih bersikap tunggu dan lihat. Tuk Ketua juga. Mak
Lang Munah pun masih berfikir. Kita masih boleh pujuk mereka."

Alif berusaha untuk tenang. Dia mencongak-congak dalam kepala.


Wajah-wajah tua itu tertayang dalam minda. Semua warga emas itu memang
sudah tidak berkudrat hendak mengerjakan tanah. Bukan mereka sahaja,
malah majoriti tuan tanah sudah angkat bendera putih. Alif faham jika para
tuan tanah kalangan warga emas ini sudah terlalu letih. Tiada waris yang sudi
menyambung tugas mereka. Anak-anak mereka kebanyakannya sudah
berhijrah ke bandar menjadi warga industri di kilang yang terus bercambah.
Lalu apabila ada yang datang menawarkan sesuatu, pasti tawaran itu sukar
ditolak.

Wajah Abang Man datang mendadak menyerang benak. Dua petak


sawah Alif bersempadan dengan petak Abang Man. Jika dia enggan
melepaskan petaknya, petak Abang Man juga akan bermasalah. Dia faham
jika Abang Man amat naik angin dengannya. Dia tidak marah jika Abang Man
kata dia menolak kemajuan. Tetapi apa pula usahanya mahu memahamkan
Abang Man bahawa dia sendiri sedang mengerjakan sesuatu yang juga
dinamakan kemajuan?

Alif masih di petak emas, berembun pada pagi yang masih dingin. Dia
menyedut nafas dalam-dalam. Diri terasa kerdil di tengah petak emas yang
menguning. Tetapi jauh di ufuk batin, dia berasa syukur dan bangga kerana
semakin memahami makna kemajuan yang mahu dibawa.

"Varieti padi baru MR220 CL1 dan MR220 CL2 yang dikacukkan
daripada variety MR220 ini dijangka dapat mengawal masalah padi angin dan
rumput-rumpai yang menjejaskan tanaman padi. Kita jangka ini dapat
memberi perolehan beras 73.8 peratus dan 75.4 peratus. Tentunya ini lebih
baik daripada MR220 yang beri pulangan 61.7 peratus. Sudah terbukti dalam
uji kaji, hasilnya antara 8480 sehingga 8690 kilogram sehektar."

Alif terhimbau perbualan dengan pegawai pertanian yang sentiasa


tidak lokek maklumat dengannya.

Dia hafal kebaikan yang bakal diperoleh daripada dua variety padi yang
diusahakan ini. Benih variety ini kebal terhadap racun rumpai imidazolonone,
dapat menjimatkan penggunaan air melalui pembanjiran sawah yang
dilewatkan, dan keadaan ini sekali gus dapat mencegah satu lagi masalah
perosak utama, iaitu siput gondang emas. Dengan kos tidak melebihi RM600
sehektar, nilai tuainya cukup berbaloi, iaitu dengan pulangan lima kali ganda.

"Jangan pandang rendah bidang ini, Alif. Bidangan pertanian cukup


menjanjikan. Awah dah ada modal … petak bendang itulah modalnya. Kita
tidak perlu beli beras dari luar kalau kita serius usahakan tanah sendiri.
Sekarang kita beli beras dari Thailand … kalau negara itu berdepan krisis,
misalnya banjir atau kemarau dan hasilnya terjejas, kita nak bergantung pada
siapa pula?"

“bayangkan pila kalua nilai ringgit jatuh dan bath melambug, tentu
teruk kita menanggung kos mengimport beras.”

Penyataan sekali gus kata-kata motivasi daripada mulut pegawai


pertanian separuh usia itu dalam menukik ke hati Alif. Dan patah kalimah
pegawai yang berpengalaman itu yang seterusnya membuatkan dia berasa
tambah seru dan bersemangat.

"Orang berdarah muda seperti kamulah yang patut ambil bahagian


kerana masa depan negara di tangan kamu..."

Jelas dalam mindanya akan petak-petak sawah berbuah emas di


Seberang Perak yang pernah dikunjunginya dalam usaha mengumpul
pengalaman dan maklumat. Betapa perasaan bangga menusuk hati ketika
menggenggam buah padi keemasan itu. Waktu menghidu harum wangi padi
yang baru dituai, ingatannya melayang pada abah. Kenangan dia membantu
abah menuai padi waktu kecil-kecil dahulu masih ranai dalam ingatan. Abah,
anak abah ini akan kembali menyambung tugas abah tetapi dengan kaedah
yang lebih canggih dan terancang.

Ini zaman moden, zaman serba maju. Alif berazam membawa


kemajuan dengan cara tersendiri. Menjadi petani alaf baharu ini tidak perlu
lagi bertajak, berkubang dan berselut badan merambas menerung yang degil
liat. Kerja itu semua dapat dilaksanakan dengan mudah oleh mesin pembajak,
tanpa harus mengotorkan tubuh. Tidak lagi terbongkok-bongkok mengerat
padi, sebelum dibanting di dalam tong bertutup separuh layar. Dengan
jentera tuai, petak sawah akan terang lapang dalam masa yang singkat.

"Tak sangka ya. Tengoklah petak-petak ni sekarang, dipenuhi emas


belaka!"

Suara Tuk Ketua menypa gegendang telinga Alif. Rupa-rupanya dia


juga menurut langkah anak muda itu meniti permatang.

Alif menarik nafas lega. "Alhamdulillah. Ini benar-benar bantuan Allah


dan berkat doa yang tak putus."

Ini benar-benar bantuan Allah.

Demikianlah keyakinannya yang itu. Jika ini hadiah atas sabar dan
redanya, dia amat-amat bersyukur. Jika ini nikmat, dia berterima kasih juga
amt bersyukur. Jika ini yang bakal menjadi cabaran buatnya, dia akan
bersedia menerima dan tetap bersyukur.

Sedih, tangis dan luka jiwa semakin terubat. Dia pernah dihina, dikutuk
dan dimarahi kerana beria-ia memujuk para tuan tanah supaya menolak
tawaran menjual petak masing-masing kepada syarikat pemaju perumahan.
Dia malah nyaris diparang oleh Abang Man kerana dituduh menghasut. Dia
sabar, dia reda dengan semua itu. Dia bersyukur kerana dia masih selamat.
Inilah hasil keyakinan pada doa, dan berdoa dengan yakin, dia kira.

"Puaslah hati kamu tiba-tiba mereka batalkan projek tu? Puaslah hati
kamu!"

Suara Abang Man serasa-rasa masih memetir di telinga. Petang itu, kali
kedua Abang Man dan beberapa orang jiran sekampung jadi tetamu tidak
diundang menjarah laman rumahnya.
"Tentu mereka ada sebab kenapa tiba-tiba tak jadi," balas Alif, cuba
bertenang.

"Kamu buat apa sampai mereka batalkan projek?" Abang Man masih
menuduh.

"Ada. Saya memang ada buat sesuatu!" Dia menyahut, berani.

"Kamu buat apa?" Makin lantang sergahan Abang Man.

"Saya berdoa. Saya minta pada Allah agar projek itu batal. Kalau itu
salah, Abang Man laporkan kepada polis, suruh polis penjarakan saya!" Alif
nekad.

Abang Man tergamam. Wajahnya merah padam.

"Kami yang tua-tua ni tak terdaya nak terus bertani. Itu sebab kami
nak lepaskan daripada langsung tidak diusahakan. Sekarang syarikat itu dah
batalkan rancangan mereka, nampaknya terus tinggal terbiarlah tanah tu, jadi
tempat tikus bertandak!"

Terdengar keluhan dalam kalangan tetamu tidak diundang itu.

Alif menarik nafas. Dia bersabung pandang dengan mata emak. Dia
nampak emak mengejipkan mata semacam memberi isyarat. Tidak semena-
mena dia nampak wajah abah terselit dalam kerumunan orang ramai itu.

"Saya ada rancangan untuk petak-petak tu. Saya minta izin dan restu
semua tuan tanah."

"Buat apa?"

Ada suara mencelah laju.

"Estet padi!"

Petak-petak itu kini menguning berbuah emas. Projek estet padi mini
berkeluasan 58.609 hektar dengan penglibatan 15 orang tuan tanah semakin
menampakkan hasil.

Saujana mata memandang. Inilah ganjarannya jika kita berbudi kepada


tanah, dia teringat semula akan kata-kata abah. Dia tetap sabar menunggu
esok untuk menuai emasnya.
Sumber:
Mingguan Malaysia, 20 November 2011,

daripada antologi Cerita Akhir Tahun,


(peny.) Rozlan Mohamed Noor & Wan Faizatul Hilir Yasak,
Utusan publications & Distributors, Kuala Lumpur, 2012.

Anda mungkin juga menyukai