Anda di halaman 1dari 2

Faedah-faedah Bersukan kepada Masyarakat

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada
masyarakat. Panjang huraian mestilah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Faedah-faedah Bersukan kepada Masyarakat

Kesihatan mental dan Mengisi masa lapang Memupuk perpaduan Menambah


fizikal nasional pendapatan
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai
riadah kecil mengeluarkan peluh. Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia
dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan
dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak
membawa manfaat. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat
bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada
masyarakat?

Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan
fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.
Golongan profesional dan separa profesional dalam membangunkan negara sering kali terpaksa
mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan
masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak,
remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan.
Kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan dalam
mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga
dapat membantu mereka yang telah menghidap penyakit untuk kembali pulih. Penglibatan masyarakat
dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental.
Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan
dalam salur darah dan jantung, membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh
badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat
yang sihat.

Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa lapang sebenarnya amat
berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan juga
adalah satu cara mengisi masa lapang dengan berfaedah. Masa itu emas, walaupun hanya ada beberapa
minit, masa itu sangat berharga. Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi
mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang
sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti
gangsterisme, vandalisme, melepak, merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik
masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan
mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antarabangsa
walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan
masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan
perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat
kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui
penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat
menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan
ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan
melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru, kegiatan
sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu
dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya
yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan
yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana
keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama
perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang
berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka.
Pemain bola sepak profesional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli
masing-masing menjadikan badminton dan boling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi
kerjaya baharu kepada masyarakat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada
masyarakat. Oleh itu, semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan
diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan
juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Sesungguhnya, sukan berfaedah kepada
individu, masyarakat dan negara. Tegasnya, kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan
masyarakat. Majulah Sukan untuk Negara.

Anda mungkin juga menyukai