Anda di halaman 1dari 1

Syarahan “Cara-cara Menjadi Murid yang Cemerlang”

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar,
para guru serta rakan sekalian. Izinkan saya menyampaikan satu syarahan
yang bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid yang Cemerlang”.
Hadirin,
Kecemerlangan pasti mampu meningkatkan imej seseorang muriD
tersebut. Oleh itu, setiap murid harus tahu cara-cara tertentu untuk
mencapai kecemerlangan pendidikan ini. Langkah awal ialah murid perlu sedar
akan kelemahan diri mereka. Kefahaman akan kelemahan diri ini membolehkan
murid menyedari subjek yang perlu diberi penekanan lebih mendalam. oleh itu,
murid akan belajar secara sistematik bagi menangani kelemahan tersebut.
Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar yang efektif. Kewujudan
jadual sebegini menjadikan murid tahu masa yang sesuai untuk melakukan
pelbagai aktiviti yang bukan sahaja berkaitan dengan pelajaran tetapi aktiviti
lain yang turut penting seperti berbual-bual dengan rakan dan bersukan.
Kepatuhan mematuhi jadual ini menjadikan murid akan mengalami satu
kehidupan belajar yang seimbang.
Hadirin yang budiman,
Setiap murid juga semestinya memiliki satu teknik ulang kaji yang
berkesan. Semua subjek harus diteliti dan latihan yang cukup dilaksanakan
untuk memastikan murid memahami subjek itu secara mendalam. Latihan yang
sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.
Malah, aspek kesihatan diri secara peribadi harus ditekankan. Amalan
pemakanan seimbang bersama-sama ketenangan emosi penting dalam kejayaan
seseorang murid itu. Keadaan ini boleh menjadikan murid lebih yakin dan
tenang menghadapi sebarang cabaran peperiksaan yang muncul.
Sesungguhnya, kecemerlangan tidak mungkin diperoleh dengan mudah
sahaja. Semua murid harus berusah dan mematuhi amalan-amalan positif
tertentu. Tanpa usaha sudah pasti kejayaan tidak akan muncul begitu sahaja.
Sekian sahaja syarahan saya pada kali ini. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai