Anda di halaman 1dari 2

Tajuk: Huraikan ciri-ciri murid cemerlang.

Serindit seiring terbang pulang,


Mawar disisip hiasan si dara,
Murid dituntut berperibadi cemerlang,
Menjadi tunjang aspirasi negara.

Maksud pantun tersebut jelas menunjukkan harapan negara terhadap murid yang
cemerlang. Murid cemerlang diharapkan mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya
bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap murid perlu
mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang kerana kalau tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya. Sebagai usaha untuk menjadi murid yang cemerlang, pelbagai kriteria
positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan mereka.

Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang murid cemerlang adalah mempunyai sahsiah
dan peribadi yang unggul. Seorang murid yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa
menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama-sama dengan keluarga, guru
mahupun rakan-rakan. Murid yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka.
Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong
dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup murid yang cemerlang. Sahsiah dan peribadi
unggul mereka disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka bersikap seperti padi yang
semakin tunduk semakin berisi. Lantas, pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang
dapat diteladani oleh murid-murid lain.

Murid yang cemerlang juga sentiasa bijak menggunakan masa. Menyedari hakikat bahawa
masa itu emas, maka murid yang cemerlang tidak akan mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya .
Mereka juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dengan membaca buku pada masa
senggang kerana membaca itu jambatan ilmu. Selain itu, mereka akan mengisi masa terluang
dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti mengulang kaji pelajaran, membantu ibu
bapa di rumah, dan beriadah. Setiap tugasan yang diberikan juga akan disiapkan tanpa bertangguh
kerana mereka menyedari bahawa bertangguh itu pencuri masa. Jelaslah kepada kita semua
bahawa murid yang cemerlang sentiasa mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka
dengan melakukan perkara yang bermanfaat agar tidak berakhir dengan penyesalan.

Seterusnya, ciri murid yang cemerlang adalah mempunyai pencapaian akademik yang
membanggakan. Kebiasaannya, murid yang cemerlang tidak mempunyai masalah dalam
pembelajaran. Murid yang cemerlang biasanya mempunyai otak cair yang mudah untuk menyerap
apa-apa sahaja yang dipelajari. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika mereka sentiasa mengungguli
tempat teratas dalam pencapaian akademik di sekolah. Tambahan pula, murid cemerlang ini juga
merupakan ayam tambatan guru-guru dalam menaikkan prestasi akademik sekolah. Oleh itu,
jangkaan awal bahawa mereka akan memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan
awam seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM juga tidak pernah meleset.

Menghormati ibu bapa juga merupakan ciri murid yang cemerlang . Hal ini demikian kerana ,
ibu bapa berasa lebih tenang dan gembira apabila anak-anak menghormati mereka. Kegembiraan
ibu bapa adalah kunci keberkatan hidup anak-anak. Maka, tidak hairanlah apabila ibu bapa
diletakkan oleh murid yang cemerlang ini sebagai insan yang teragung dalam hidup mereka.
Menurut pakar motivasi terkenal Dato Dr Fadzillah Kamsah, keredaan daripada ibu bapa adalah
cahaya yang sentiasa bersinar dan akan menerangi hidup anak-anaknya. Oleh itu , murid yang
cemerlang sentiasa menghormati ibu bapa mereka agar mendapat keberkatan di dunia dan di
akhirat .

Selain itu, murid yang cemerlang bukan hanya gah dalam pencapaian akademik malah
mampu menyerlahkan potensi mereka dalam kokurikulum. Aktiviti kokurikulum dijadikan sebagai
wahana untuk mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran mereka. Murid cemerlang menjadikan
aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan untuk menggilap bakat kepimpinan, melakukan aktiviti
kebajikan dan mengamalkan nilai-nilai murni. Jati diri serta ketahanan mental dan fizikal mereka
juga diuji melalui pelbagai aktiviti kokurikulum seperti pertandingan bahas, pertandingan catur,
perkhemahan, kawad kaki dan sebagainya. Impaknya, aktiviti ini bukan sahaja dapat menyihatkan
tubuh badan malah dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada
badan yang cergas.

Konklusinya, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai
murid cemerlang. Hal ini sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan
yang mempunyai minda kelas pertama. Untuk itu, komitmen serta peranan ibu bapa dan institusi
pendidikan merupakan landasan utama untuk memastikan kemenjadian murid. Falsafah Pendidikan
Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah
juga dapat direalisasikan.

Anda mungkin juga menyukai