Anda di halaman 1dari 60

1

SET 1
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang inisiatif yang
perlu dilakukan oleh remaja dalam merancang kerjaya impian mereka dan sokongan yang
dapat dimainkan oleh ibu bapa. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan .

Setiap remaja di negara ini menginginkan pekerjaan yang dapat menjamin masa depan
serta dapat menyara kehidupan mereka dan keluarga. Walau bagaimanapun , terdapat juga
segelintir individu yang bertukar cita-citanya kerana pengaruh daripada faktor persekitaran.
Sehubungan dengan itu, persediaan rapi harus dibuat dalam menentukan jenis dan tujuan
kerjaya yang ingin diceburi supaya remaja dapat memahami sebab sebenar sesuatu pekerjaan
itu ingin diperolehnya. Mereka tidak perlu memilih sesuatu kerjaya kerana pengaruh atau
terikut-ikut dengan rakan sebaya.
Masalah pemilihan kerjaya sering dihadapi oleh remaja. Puncanya adalah disebabkan
oleh masalah minat yang tidak jelas. Oleh yang demikian, pihak sekolah berperanan
menerangkan kecenderungan pelajar dalam kerjaya berdasarkan analisis keputusan ujian
psikometrik mereka. Selain itu, ujian psikologi seperti ujian Myers-Briggs Type Indicator
(MBTI) masing-masing. Keputusan daripada ujian sebegini pula nanti akan membantu
seseorang itu untuk mempersiapkan diri dengan ilmu, kemahiran, dan sikap yang seharusnya
ada dalam kerjaya yang hendak diceburi.
Remaja di negara kita haruslah melatih diri agar dapat bekerja dalam pasukan, mengikut
masa yang ditetapkan, dan dapat menerima arahan. Manakala, individu yang berminat
bekerja sendiri pula harus membiasakan diri untuk bersifat berani menghadapi risiko dan
berdaya saing. Mereka tidak perlu segan jika mereka bekerja sambilan sementara menunggu
keputusan peperiksaan untuk memperoleh pengalaman kerja dan meluaskan pandangan
tentang dunia kerjaya. Di samping itu, remaja juga perlu meluangkan masa dengan
menghadiri pameran kerjaya yang diadakan oleh pelbagai pihak. Mereka haruslah berusaha
mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan individu yang sudah berada
dalam dunia kerjaya tersebut. Dengan cara ini, seseorang itu menentukan matlamat dalam
kejayaannya kelak dengan lebih keyakinan.
Remaja juga perlu mengambil peluang menyertai program mentor kerjaya. Pihak sekolah
haruslah mengatur program ini yang akan memadankan pelajar berkenanan dengan seseorang
mentor profesional dalam bidang tertentu. Mentor profesional ini menunjukkan pelajar
tentang realiti dunia kerjaya dan dapat memberikan nasihat kepada pelajar itu meneladaninya
untuk mencapai cita-cita diinginkan. Sebagai kesimpulannya, alam pekerjaan dilihat sebagai
destinasi terakhir kepada kebanyakan pelajar. Oleh itu, keputusan terletak ditangan remaja itu
sendiri apabila menetapkan matlamat dalam kerjaya dengan menilai potensi diri dan
disesuaikan dengan kerjaya pilihannya.
2

Soalan 2(a) – Petikan Umum


Berdasarkan petikan soalan 1 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri .

i) Berikan maksud rangkai kata potensi diri .


[ 2 markah ]

ii) Pengarang menyatakan beberapa inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah
untuk memberikan panduan kepada murid-murid tentang kerjaya .

Apakah inisatif-inisiatif tersebut ?


[ 3markah ]

iii) Ada pendapat mengatakan bahawa generasi muda perlu menjadi generasi yang
bijak komputer untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing .

Berikan pendapat anda.


[ 4 markah ]
3

SET 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah
pengurusan masa dengan berkesan dan kekangan untuk menguruskan masa bagi
seseorang pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan masa yang berkesan? Pengurusan masa
bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan
baik dan tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai pembahagian masa yang cekap. Dewasa ini,
kita sering mendengar berita tentang pelajar yang terjerumus dalam kancah kemaksiatan ataupun
penyalahgunaan dadah. Mengapakah hal ini boleh berlaku dalam kalangan pelajar? Hal ini berlaku
disebabkan pelajar itu mudah terpengaruh oleh anasir-anasir buruk. Pelajar yang terlibat dalam
kegiatan ini tidak dapat mengurus masa dengan cekap. Justeru, mereka sering membuang masa
dengan sia-sia sahaja. Oleh itu, pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar.
Langkah pertama untuk mengendalikan masa secara berkesan ialah pelajar digalakkan
menyediakan jadual belajar masing-masing. Jadual waktu belajar dapat membantu pelajar mengurus
masa dengan berkesan. Pelajar dapat memanfaatkan masa untuk mengulang kaji pelajaran secara
menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dapat mengelakkan pelajar
daripada kesuntukan masa untuk mengulang kaji pelajaran apabila peperiksaan sudah hampir. Pelajar
yang berjaya biasanya terdiri daripada mereka yang membuat persediaan awal. Bagi pelajar yang
tidak membuat persediaan awal kerana sibuk membuang masa tentulah tidak dapat menghabiskan
semua tajuk sebelum peperiksaan. Di samping itu, masa yang terluang dapat digunakan untuk aktiviti
yang berfaedah seperti membaca bahan ilmiah dan melayari Internet untuk mencari maklumat tentang
pelajaran. Masa jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Seperti yang kita ketahui bahawa masa itu
amat berharga bak kata pepatah 'masa itu emas'. Pelajar bukan sahaja dapat menggunakan masa
dengan berfaedah, tetapi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
Tambahan pula, pelajar dapat memanfaatkan masa dengan keluarga tersayang bagi memupuk
sikap kasih sayang dalam keluarga. Hal ini dilihat apabila masa diperuntukkan bersama-sama
keluarga melakukan aktiviti sampingan seperti bersenam, bersiar-siar, menonton televisyen, beribadat
dan sebagainya. Kebaikan menguruskan masa sebaik mungkin ialah pelajar dapat menjalankan
kegiatan riadah supaya mempunyai badan yang sihat dan otak yang cerdas. Keadaan ini dapat
menanamkan sifat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar. Melalui cara ini, pelajar
dapat mengamalkan hidup yang berdisiplin dan bermakna. Faedah menguruskan masa ialah para
pelajar berupaya menggunakan masa senggang pada hari cuti sekolah untuk membaiki kelemahan diri
dalam pelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan membuat latihan, mencari maklumat di
perpustakaan, dan menghadiri kelas tambahan. Selain itu, masa cuti sekolah bertujuan untuk memberi
pelajar peluang bagi menenangkan fikiran setelah bertungkus-lumus sepanjang tahun. Para pelajar
boleh membuat kerja kebajikan seperti melibatkan diri dalam kerja gotong-royong, aktiviti
membersihkan kawasan perumahan dan membantu orang yang perlu pertolongan. Malah mereka juga
boleh mencari kerja sambilan untuk mendapatkan kemahiran dan wang. Wang yang diperoleh dapat
menampung perbelanjaan sekolah.
Kesimpulannya, sebagai pelajar kita bukan sahaja perlu berjaya dalam pelajaran tetapi juga
perlu berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum, agama dan aktiviti kemasyarakatan. Oleh
itu, kita perlu mengurus masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan,
seterusnya melahirkan modal insan yang bermoral selaras dengan Wawasan 2020. Pelajar yang
pandai mengurus masa biasanya akan berjaya dalam kehidupan dan berani menghadapi rintangan
hidup. Hal ini akan menjamin kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

(Dipetik dan diubah suai daripada 'Pengurusan Masa Yang Berkesan'


oleh Sham al-Johori, Minda Pelajar, Januari 2008)
4

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata melahirkan modal insan.


[2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kejayaan yang harus dicapai oleh seorang pelajar
selain pelajaran.Nyatakan dua kejayaan tersebut.
[3 markah]
(iii) Jadual belajar amat penting untuk membantu pelajar menguruskan masa dengan
berkesan bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Pada pendapat anda, bagaimanakah penyediaan jadual belajar dapat membantu


kecemerlangan seseorang pelajar?
[4 markah]
5

SET 3
Baca petikan di bawah dengan telitinya, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah meningkatkan pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik dan kebaikan
menguasai mata pelajaran tersebut. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120
patah perkataan.
Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 33 mata kepada 431 mata bagi Literasi
Bacaan dalam laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2015 berbanding
hanya 398 mata pada PISA 2012. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Pembangunan
Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr Amin Senin mengatakan bahawa pencapaian bagi
domain Literasi Bacaan lebih baik berbanding dua domain lagi iaitu Literasi Matematik dan
Literasi Saintifik. Literasi Matematik Malaysia hanya meraih penambahan 25 mata daripada
421 mata pada PISA 2012, manakala Literasi Saintifik meningkat 23 mata daripada 420 mata
(PISA 2012). Oleh sebab itu, Kementerian Pendidikan melaksanakan prakarsa berkesan
untuk meningkatkan pencapaian subjek Sains dan Matematik dalam kalangan murid.
Bagi meningkatkan pencapaian mata pelajaran Sains dan Matematik, Kementerian
Pendidikan Malaysia akan memperhalusi setiap program Pendidikan. Selain itu,
pembudayaan Sains dan Matematik diterapkan dalam diri pelajar sejak kecil lagi. Dalam hal
ini, tanggungjawab memupuk minat dalam kedua-dua mata pelajaran ini bukan sahaja
terletak di pundak guru semata-mata sebaliknya pihak sekolah perlu bersinergi dengan
masyarakat untuk meningkatkan kecemerlangan mata pelajaran tersebut. Persepsi segelintir
masyarakat tentang kesukaran mempelajari mata pelajaran ini sebenarnya mampu mematikan
minat dan keinginan pelajar untuk menguasai mata pelajaran ini dengan lebih baik. Selain itu,
faktor kerisauan pelajar terhadap pencapaian mata pelajaran Sain dan Matematik dan
kurangnya pendedahan dari aspek kerja dalam bidang berkenaan menyebabkan pelajar tidak
meminati mata pelajaran tersebut. Dari aspek yang lain pula, sikap ibu bapa yang tidak
memberikan dorongan kepada anak-anak menyebabkan anak-anak tidak meminati Sains dan
Matematik.
Pendekatan seterusnya ialah kempen kesedaran tentang mata pelajaran Sains dan
Matematik dalam kalangan masyarakat perlu diperhebat. Hal ini dikatakan demikian kerana
melalui kempen akan dapat menyedarkan lebih banyak pihak akan kemaslahatan mata
pelajaran ini kepada negara. Selain itu, dalam bidang kerjaya pula, pihak industri disarankan
menjadi rakan kongsi ilmu dengan Kementerian Pendidikan. Hasil daripada kolaboratif
tersebut memudahkan percambahan idea dan pengintegrasian kepentingan mata pelajaran
Sains dan Matematik melalui pelbagai program dapat direalisasikan.
Bagi melonjakkan kecemerlangan dalam mata pelajaran tersebut, pelajar mestilah
menerima teknik pengajaran berasaskan KBAT. Mereka harus dibimbing supaya dapat
berfikir secara kreatif dan kritis untuk menyelesaikan masalah. Pengaruh rakan sebaya yang
boleh menghalang murid mempelajari Sains dan Matematik perlu dihapuskan dalam diri
mereka. Dalam hal ini,guru dan pelajar perlu bekerjasama mencapai objektif pembelajaran
yang lebih holistik. Guru juga perlu sentiasa mengemas kini pengetahuan semasa dalam
pengajaran dan pemudahcaraan supaya dapat menarik minat pelajar seterusnya meningkatkan
pencapaian mata pelajaran tersebut. Tuntasnya, prakarsa membudayakan Sains dan
Matematik perlu dilaksanakan oleh semua pihak supaya pencapaian pelajar dalam Program
Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) mata pelajaran ini pada tahun 2018 membanggakan
semua pihak.

(Dipetik dan diubah suai daripada Pencapaian Sains dan Matematik dalam PISA 2015.
Oleh Nas Norziela Nasbah. Berita Harian, Disember,2016
6

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata percambahan idea. [ 2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan terdapat beberapa sebab pelajar tidak yakin terhadap mata
pelajaran Sains dan Matematik.Nyatakan sebab-sebab tersebut. [3 markah]
(iii)
Anda memperoleh keputusan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam peperiksaan
penggal pertama yang sangat mengecewakan.

Apakah usaha yang anda lakukan untuk mengatasi kelemahan dalam kedua-dua
mata pelajaran tersebut? [4 markah]
7

SET 4
Baca petikan di bawah dengan telitinya, kemudian buat satu rumusan tentang peranan ibu
bapa menggalakkan anak-anak bersenam dan kebaikannya kepada kesihatan diri.
Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Tabiat bersenam merupakan satu tabiat yang diakui mempunyai pelbagai manfaat
bagi kesihatan diri yang menyeluruh. Namun, untuk menjadikannya sebagai amalan harian
bukan satu perkara yang mudah. Sikap ibu bapa yang memandang tinggi kepentingan aktiviti
sukan dan senaman harus dipuji. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam
memupuk tabiat suka akan senaman dalam diri anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa
disarankan untuk menghantar anak-anak ke kelas senaman sama ada yang dianjurkan oleh
pihak sekolah atau pihak swasta. Hal ini dikatakan demikian kerana sokongan untuk anak-
anak melakukan aktiviti tersebut turut mempengaruhi pembentukan tabiat ini.
Segelintir ibu bapa mempunyai persepsi yang negatif terhadap tabiat ini kerana tidak
melihat aktivit senaman sebagai satu aktiviti yang penting berbanding dengan akademik. Bagi
menggalakkan anak-anak bersenam, ibu bapa perlu mempunyai persepi positif terhadap
aktiviti senaman supaya anak-anak cenderung untuk terlibat dalam aktiviti ini. Mereka yang
mempunyai persepsi yang negatif akan bertindak sebaliknya. Anak-anak yang rajin bersenam
sebaik-baiknya diberi motivasi dan peneguhan yang berterusan seperti pujian dan hadiah
untuk menggalakkan mereka menjadikan senaman sebagai budaya. Selain galakan dan
motivasi, tabiat senaman juga dapat dipupuk melalui sokongan membelikan peralatan untuk
bersenam bagi kegunaan anak-anak.
Walaupun begitu, segelintir ibu bapa menghadapi masalah kekurangan kemudahan
dan sumber untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman. Banyak kajian saintifik yang
menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang aktif bersenam
mendorong mereka untuk mengikut perlakuan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa sendiri haruslah
melibatkan diri dalam aktiviti senaman dan fizikal. Satu pendekatan yang boleh dilakukan
oleh ibu bapa, mencari masa untuk bersama-sama melakukan aktiviti senaman ialah cabaran.
Pada masa lapang dan hujung minggu, bawalah anak-anak ke tempat rekreasi bagi bersenam.
Walaupun masa tidak boleh dicipta, ibu bapa boleh menguruskan masa untuk memberi ruang
kepada aktiviti fizikal dan senaman bersama-sama.
Di samping itu, ibu bapa patut menemani anak-anak bersenam kerana terdapat
segelintir anak-anak yang mahu bersenam bersama-sama orang yang rapat. Jika anak-anak
masih berkeras, ibu bapa seharusnya menasihati anak-anak tentang akibat kemalasan
bersenam. Tindakan ini barangkali boleh menyedarkan anak-anak. Penglibatan anak-anak
dalam senaman bukanlah untuk bersaing tetapi harus bermatlamatkan kesihatan.
Sesungguhnya, untuk menggalakkan penglibatan anak-anak dalam aktiviti senaman dan
sukan, sokongan yang berterusan akan membantu pembentukan sikap dan tabiat ini dalam
diri anak.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Sokongan Sosial Memupuk Tabiat Bersenam’, oleh Prof. Madya
Dr. Hairul Anuar Hashim, Utusan Malaysia, 24 April 2016)
8

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata memberi ruang. [2 markah]

2. Penulis ada menyatakan beberapa halangan daripada ibu bapa hingga menyebabkan
amalan senaman sukar dilaksanakan dalam kalangan anak-anak mereka. Nyatakan 3
halangan tersebut. [3 markah]

3. Pihak kerajaan turut mempunyai peranan dalam melahirkan masyarakat yang sihat
dengan menggalakkan amalan senaman. Pada pendapat anda, apakah peranan pihak
kerajaan dalam menggalakkan amalan senaman dalam kalangan masyarakat?
[4markah]
9

SET 5
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang sumbangan
industri pelancongan kepada negara dan peranan masyarakat dalam merancakkan
industri ini. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Industri pelancongan telah memberikan sumbangan yang ketara kepada ekonomi


negara sejak pengenalan Program Transformasi Negara pada tahun 2010. Sektor pelancongan
negara menjadi penyumbang keenam terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada
tahun 2014. Pada tahun tersebut, industri pelancongan kita masih mampu menarik seramai
27.44 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM72 bilion.

Sejak pengenalan Program Transformasi Negara tersebut, industri pelancongan telah


dapat memainkan peranan dalam membuka peluang baharu bagi memperkenalkan Malaysia
ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, sewajarnya kita mengucapkan tahniah kepada
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia atas kempen promosi yang agresif di
luar negara. Hasil daripada kempen promosi tersebut, negara tidak lagi dikenali sebagai
'negara antara Singapura dan Thailand. Malahan, industri ini telah berjaya menampilkan
keunikan, keharmonian dan kepelbagaian budaya di negara kita. Selain itu, Sambutan Hari
Pelancongan Sedunia 2015 pada 27 September dengan tema '1 Bilion Pelancong, 1 Bilion
Peluang' telah berupaya memberikan semangat kepada hala tuju Malaysia ke arah pencapaian
Wawasan 2020. Sektor pelancongan secara langsung memanfaatkan rakyat Malaysia pada
tahun lepas dengan industri itu mampu menarik pelaburan sebanyak RM19.4 bilion dan
mampu mewujudkan sejumlah 1.77 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Dalam merealisasikan potensi yang dimiliki Malaysia daripada keindahan pulau-


pulau di Borneo sehingga ke hutan tropika dan syurga beli belah, kerajaan akan menjadikan
industri pelancongan sebagai sumber pendapatan baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi
semasa. Pengumuman langkah-langkah proaktif ekonomi baru-baru ini telah menyaksikan
peruntukan tambahan RM80 juta untuk memperhebat aktiviti promosi pelancongan dalam
pasaran terpilih termasuk di negara-negara ASEAN, China dan India. Langkah ini melibatkan
program yang dapat membangunkan produk ikonik termasuklah memberi nafas baharu
kepada Muzium Negara, Tugu Negara dan Taman Tasik Perdana yang seterusnya,
menjadikan tempat tersebut sebagai satu destinasi yang lebih menarik dan mudah dikunjungi
oleh pelawat.

Visi Program Transformasi Nasional adalah untuk mewujudkan sebuah sistem yang
mapan bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat Malaysia. Program tersebut
telah membolehkan aspirasi kerajaan untuk tahun 2020 dicapai menerusi kaedah rasionalistik
dan terdapat keperluan untuk mempelbagaikan ekonomi negara. Oleh itu, industri
pelancongan memainkan peranan penting bagi memperkukuh kepelbagaian ekonomi
Malaysia yang telah memanfaatkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

(Dipetik dan diubah suai daripada


‘Sektor pelancongan beri sumbangan ketara kepada ekonomi negara’
Berita Harian, Oktober 2015)
10

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai merealisasikan potensi?


[2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa beberapa usaha kerajaan untuk memajukan industri
pelancongan.

Nyatakan usaha-usaha tersebut? [3 markah]

(iii) Masih terdapat kekangan-kekangan yang dihadapi oleh kerajaan dalam memajukan
industri pelancongan di Malaysia.
Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku?
Berikan tiga sebab. [4 markah]
11

SET 6

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
pelaburan kepada masyarakat serta usaha-usaha menggalakkan masyarakat membuat
pelaburan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia merupakan salah sebuah pasaran baru yang menawarkan kelebihan bagi
pelaburan langsung asing. Demi menggamit para pelabur cenderung untuk menanam modal
di negara kita, kerajaan mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang
diperlukan terutama prasarana yang lengkap. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan
perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kemudahan elektrik dan air, di samping sistem
pengangkutan yang baik demi menarik dan menjayakan projek-projek pelaburan asing.
Melalui aktiviti pelaburan ini, secara tidak langsung, rakyat dapat menikmati kemudahan-
kemudahan atau infrastruktur yang selesa yang telah disediakan oleh pihak kerajaan tersebut
terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan bandar-bandar utama.

Aktiviti pelaburan dapat menyediakan simpanan untuk masa depan atau pada usia tua
bagi masyarakat hari ini. Hal ini demikian kerana, apabila usia kita telah meningkat,
kemampuan untuk bekerja semakin berkurang. Tambahan pula, orang yang berada di
sekeliling kita sekarang belum tentu dapat menyara kita pada usia tua kelak. Dengan adanya
aktiviti pelaburan, banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Hal ini bermakna aktiviti
pelaburan mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu terutama dalam sektor
perindustrian, perhotelan dan sebagainya. Keadaan ini juga sekali gus dapat mengurangkan
kadar pengangguran dalam kalangan masyarakat. Kadar pengangguran yang tinggi dalam
kalangan masyarakat dapat mencetuskan pelbagai gejala sosial serta peningkatan kadar
jenayah. Hal ini sekali gus dapat menjejaskan imej negara di mata dunia. Selain itu,
pelaburan penting untuk pendidikan anak-anak pada hari ini. Kos untuk melanjutkan
pelajaran pada peringkat diploma dan ijazah semakin mahal. Sekurang-kurangnya, melalui
pelaburan, ibu bapa hari ini mampu mengurangkan bebanan kewangan dalam menampung
kos perbelanjaan pendidikan anak-anak

Pelaburan juga dapat mengatasi kenaikan harga barang sekali gus dapat
mengurangkan bebanan kewangan rakyat. Hal ini demikian kerana, kenaikan harga barang
boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Aktiviti pelaburan juga memberi
keuntungan kepada negara. Melabur seperti rumah, hartanah, saham dan sebagainya dapat
memberi keuntungan lumayan. Pelaburan dapat meningkatkan pembangunan infrastruktur
negara kerana teknologi dari luar negara serta kepakaran tenaga kerja dibawa masuk ke
negara kita. Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan teknologi maklumat
dan komunikasi terkini kepada masyarakat yang merupakan nadi utama untuk mempergiat
pembangunan negara. Pelaburan merupakan pemangkin pembangunan ekonomi negara.
Pelaburan dapat mengatasi kemelesetan ekonomi serta dapat meningkatkan taraf hidup
rakyat. Kesimpulannya, pelaburan amat penting bagi memenuhi tujuan dan aspirasi negara.
Pelaburan awal akan memberi keuntungan untuk masa depan kita. Oleh itu, amalan melabur
wajar diterapkan dalam kalangan masyarakat hari ini agar masa depan lebih terjamin.

(Dipetik dan diubah suai daripada


‘Manfaat pelaburan kepada masyarakat’
Oleh Nazmy Shah Sannusi, Dewan Masyarakat Januari 2013)
12

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata menimbulkan keresahan?


[2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan bahawa kadar pengangguran yang tinggi boleh mengundang
pelbagai kesan negatif.
Kemukakan kesan-kesan negatif tersebut. [3 markah]

(iii) Aktiviti pelaburan dapat memberikan keuntungan yang besar kepada masyarakat dan
negara.
Jelaskan pendapat anda tentang peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan generasi
muda hari ini melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan.
[4 markah]
13

SET 7

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-
kepentingan menabung bagi golongan remaja dan cara-cara untuk menarik minat
golongan remaja menabung. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi120 patah
perkataan.

Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mempunyai masa yang amat terhad dengan
keluarga terutamanya dengan anak-anak. Oleh sebab itu, tidak hairanlah rata-rata ibu bapa
pada hari ini memanjakan anak-anak remaja mereka dengan wang ringgit. Mereka
menganggap bahawa cara itu sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap anak-anak. Walau
bagaimanapun, tindakan ini lama-kelamaan akan menyebabkan golongan remaja ini lupa diri.
Walaupun ibu bapanya mempunyai harta yang banyak dan dapat digunakan pada bila-bila
masa tanpa had, perkara itu bukan alasan bagi remaja untuk bersikap boros dan tidak
mengendahkan amalan menabung yang dapat dijadikan sebagai simpanan masa depan.

Amalan menabung ini juga dapat mendidik golongan remaja agar berjimat cermat tatkala
tangan mereka memegang wang dengan banyak. Selain itu, amalan ini juga dapat mendidik
golongan remaja untuk merancang perbelanjaan dengan bijak. Sikap beringat-ingat semasa
senang mampu mengelakkan golongan remaja daripada menghadapi masalah kewangan. Hal
ini dikatakan demikian kerana duit simpanan amat penting terutamanya untuk digunakan
pada masa-masa kecemasan, misalnya untuk menggantikan barang-barang keperluan yang
rosak atau hilang terutamanya bagi remaja yang menuntut di kolej atau tinggal di asrama
yang jauh daripada keluarga.

Remaja yang gemar menabung dapat meringankan beban ibu bapa kerana duit simpanan
mereka dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran. Dengan cara ini, remaja dapat
berdikari dan tidak terlalu bergantung pada ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana kos
belajar di institusi pengajian tinggi agak mahal. Walaupun kerajaan menyediakan bantuan
pinjaman atau biasiswa, remaja tetap perlu menyediakan sejumlah wang yang mencecah
beberapa ribu ringgit semasa pendaftaran dan sepanjang tempoh pengajian. Sekiranya
seseorang itu mempunyai wang tabungan, mereka dapat mengurangkan beban hutang
pendidikan yang terpaksa ditanggung selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Amalan menabung dalam kalangan remaja dapat membentuk golongan remaja yang
berdisiplin dan bermaruah. Mereka dapat menilai keperluan hidup dengan bijak supaya tidak
melepasi batas keperluan sehingga berlaku pembaziran. Remaja yang terdidik dengan sikap
berjimat cermat dan suka menabung pula akan memperoleh pulangan yang lumayan
sekiranya mereka memilih untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang
mengamalkan kadar faedah tetap ataupun sistem perbankan Islam berdasarkan kaedah
perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam. Mereka juga boleh
melabur wang dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita. Pengurusan kredit
secara berhemah ini membantu golongan remaja mencapai ketenangan minda.

(Dipetik dan diubahsuai daripada‘Budaya Menabung Masih Rendah’,


oleh Mohd. Khairul Mohd. Ali, Utusan Malaysia, 22 April 2015)
14

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata lupa diri.


[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kaedah menabung yang menguntungkan remaja.

Nyatakan dua kaedah tersebut.


[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, selain memberikan alasan bergaji kecil, apakah alasan-alasan lain
yang biasanya dinyatakan oleh seseorang yang tidak mahu menabung?

[4 markah]
15

SET 8

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
disiplin dalam kalangan murid dan cabaran untuk mendisiplinkan murid. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Disiplin ialah kemahuan untuk mentaati atau menghormati peraturan baik dalam
keagamaan, etika sosial mahupun dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang berdisiplin
apabila melakukan pelanggaran terhadap disiplin, walaupun sedikit, tetapi dia tetap akan
berasa bersalah kerana mengkhianati diri sendiri yang menjatuhkan maruah dirinya.
Pelanggaran terhadap disiplin juga boleh menjejaskan hubungan antara individu berkenaan
dengan orang-orang di sekelilingnya.

Dalam konteks sekolah, disiplin adalah satu peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah untuk memastikan murid bertingkah laku baik. Perlakuan murid yang baik
mencerminkan tahap disiplin sesebuah sekolah. Sekolah yang terkawal disiplinnya menjadi
pilihan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Selain itu, murid dapat
mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Penerapan nilai murni dalam diri
murid akan memberi persepsi positif dalam kalangan ibu bapa terhadap tingkah laku anak-
anak mereka. Malah murid yang berdisiplin kelihatan berkeperibadian tinggi dan
berketerampilan. Seorang murid yang mempunyai personaliti yang baik lazimnya bersedia
untuk belajar. Disiplin yang dikenakan juga dapat mengawal murid daripada melakukan
perkara-perkara negatif. Murid akan dikawal daripada merosakkan harta benda sekolah dan
terlibat dalam pergaduhan di kawasan sekolah.

Seandainya seseorang murid berdisiplin, maka murid boleh mengawal diri di dalam kelas
semasa proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung. Murid dapat belajar dengan
tenang dan selesa kerana tiada gangguan semasa guru sedang mengajar. Lantaran itu, murid
dapat memahami kandungan pembelajaran dengan mudah dan berkesan. Pada masa yang
sama, murid tidak mudah terjebak dalam sebarang masalah disiplin di sekolah seperti
ponteng kelas atau lewat masuk ke kelas. Hal ini akan memudahkan pihak sekolah
melaksanakan semua program sekolah dengan lancar. Faktor disiplin juga memainkan
peranan utama menentukan kejayaan seseorang murid dalam pelajaran Hal ini terbukti
apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan, murid yang mempunyai tahap disiplin
tinggi dapat menempa kejayaan cemerlang.

Murid haruslah mengetepikan permasalahan peribadi agar mudah memperoleh ilmu yang
disampaikan oleh guru. Murid yang berdisiplin dapat menjamin keberkesanan dalam
pembelajaran. Oleh itu, hubungan yang baik dan harmonis antara guru dengan murid sangat
penting dalam mewujudkan suasana kondusif di sekolah. Tanpa disiplin, murid tidak akan ke
mana-mana dan sukar untuk beroleh kejayaan.

(Dipetik dan diubahsuai daripada‘Disiplin Perisai Kawalan Diri’,


oleh Izani Hj. Daud
Wadah Siswa, Januari 2013)
16

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata persepsi positif berdasarkan petikan .


[2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa kesan jika para murid tidak berdisiplin.
Nyatakan kesan-kesan tersebut.
[3 markah]

(iii) Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk disiplin anak-anak agar menjadi insan
yang berakhlak mulia dan bersahsiah baik.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk
mendisiplinkan anak-anak?
[4 markah]
17

SET 9

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kemerosotan kualiti alam sekitar dan langkah-langkah menanganinya. Panjang rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Isu kemerosotan kualiti alam sekitar telah hangat dibicarakan sejak beberapa dekad yang
lalu. Hasil kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa terdapat banyak faktor yang
menyebabkan berlakunya penurunan kualiti alam sekitar di negara kita. Penurunan ini berkait
rapat dengan pencemaran alam yang disebabkan oleh aktiviti manusia yang dilihat semakin
rakus.

Punca pencemaran udara yang utama di negara kita ialah pelepasan asap kenderaan dan
asap daripada sektor perkilangan. Dari setahun ke setahun, bilangan kenderaan bermotor di
negara kita terus meningkat sama ada kenderaan bermotor untuk kegunaan individu ataupun
komersial. Pertambahan ini menyebabkan semakin banyak asap dilepaskan ke udara.
Pelepasan asap daripada sektor perkilangan turut menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran
Udara (IPU) meningkat menyebabkan kualiti alam sekitar semakin tenat. Selain itu,
pembakaran terbuka tanpa kawalan juga menjadi punca pencemaran udara di negara kita.
Kejadian jerebu yang melanda negara pada tahun 2014 dan 2015 kerana pembakaran hutan di
negara jiran menyebabkan keseluruhan ruang udara mencatatkan IPU yang tidak sihat, malah
mencapai paras kritikal. Fenomena ini menyebabkan gangguan kepada aktiviti seharian
rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar.

Masalah pembuangan sisa toksik ke dalam sistem saliran seperti sungai dan parit
menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini ditenatkan lagi oleh sikap pemilik kapal
dagang dan bot nelayan yang membuang minyak kotor ke dalam laut. Pencemaran laut yang
keterlaluan akan menyebabkan hidupan semula jadi di dalam dan pinggir laut musnah secara
perlahan-lahan. Lebih menyedihkan terdapat segelintir pengusaha sektor perladangan
membuang baja kimia dan racun sampai ke dalam sungai. Pencemaran alam sekitar juga
dikaitkan dengan sikap individu yang membuang sampah sarap dan bahan buangan ke dalam
sungai atau sistem saliran. Kajian mendapati bahawa 9 peratus atau 43 batang sungai di
negara ini telah tercemar. Kebanyakan sungai yang tercemar terlekat di kawasan bandar.
Pembinaan taman perumahan yang semakin pesat turut menjadi penyebab kualiti alam sekitar
semakin merosot. Kawasan bukit yang dahulunya subur menghijau ditarah dan diratakan
untuk digantikan dengan bangunan konkrit. Pembangunan dan proses pembandaran yang
tidak terancang ini menyebabkan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh semakin kerap
berlaku.

Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab dan berpendidikan serta terdedah kepada


penyebaran maklumat melalui pelbagai media, kita seharusnya sedar bahawa kita sama-sama
menggalas obligasi untuk menjaga kelestarian alam ini. Alam ini perlu diwariskan kepada
generasi akan datang untuk memastikan mereka dapat menikmati keindahan dan kelebihan
yang dianugerahkan Maha Pencipta.

(Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Kemerosotan Kualiti Alam Sekitar’,


oleh Nizar Parman, Dewan Siswa, Julai 2016.)
18

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata paras kritikal .


[2 markah]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang timbul disebabkan oleh kemerosotan
kualiti alam sekitar.
Nyatakan kesan-kesan tersebut.
[3 markah]

(iii) Masyarakat terus melakukan pencemaran alam sekitar walaupun pelbagai kempen
kesedaran telah dilaksanakan.
Pada pendapat anda, mengapakah berlakunya kegagalan kempen-kempen tersebut?
[4 markah]
19

SET 10

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kemerosotan nilai kejiranan dan cara-cara mengatasi kemerosotan nilai
kejiranan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Jiran ialah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita sama ada di kanan, di
kiri, di depan atau di belakang, di tingkat atas atau di tingkat bawah hingga 40 buah rumah
dari setiap penjuru sesebuah kawasan kediaman termasuklah di taman perumahan, kampung,
dan pangsapuri. Orang tua-tua pernah berkata, jiran tetangga yang baik umpama adik-beradik
yang dapat bekerjasama dalam kalangan masyarakat serta membentuk ukhuwah yang kukuh
dan ampuh. Jiran yang baik juga dapat membentuk semangat kekitaan bagi melahirkan
semangat bersatu padu serta membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu
sama lain sehingga tercetusnya slogan “Jiran Sepakat Membawa Sepakat”. Keadaan ini
bukanlah sesuatu yang asing kerana jiran ialah orang yang paling hampir dengan kita dan
menjadi orang yang pertama datang untuk menghulurkan bantuan sebelum ketibaan adik-
beradik dan saudara-mara kerana jarang-jarang kedapatan adik-beradik duduk berjiran
terutamanya di bandar.

Namun begitu, kini keakraban terhakis dek perubahan dalam kehidupan masyarakat
akibat tuntutan hidup yang semakin mencabar dari semasa ke semasa. Kesibukan bekerja
memaksa masyarakat keluar pada awal-awal pagi dan balik pada lewat malam menyebabkan
mereka tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama-sama jiran. Hujung minggu pula
dipenuhi dengan aktiviti bersama-sama keluarga atau masa untuk berehat dan bersantai di
rumah selepas seminggu memerah keringat dan minda untuk menyelesaikan pekerjaan.
Jurang status sosioekonomi masyarakat juga menjadi penghalang untuk mengeratkan
semangat kejiranan apabila ada dalam kalangan mereka yang terlalu bersifat merendah diri
dan berasa tidak selesa untuk bergaul dengan jiran yang berpangkat besar. Sebaliknya,
memang ada golongan berstatus yang tidak mahu bergaul dengan golongan yang berpangkat
rendah kerana menganggapnya tidak layak bergaul dengan mereka disebabkan latar belakang
sosioekonomi yang berbeza.

Kemerosotan nilai kejiranan juga berlaku kerana sikap mengutamakan perkauman.


Sikap saling tidak mengenali antara jiran yang berlainan kaum dan agama selalu wujud malah
sesama bangsa dan agama juga berlaku sikap tidak mempedulikan antara satu sama lain
kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Keadaan akan menjadi semakin teruk
apabila ditambah dengan sikap dengki atau benci-membenci dalam kalangan penduduk
setempat. Selain faktor yang wujud dalam kalangan masyarakat , perkembangan teknologi
maklumat dan komunikasi menjadikan masyarakat semakin kurang berkomunikasi secara
langsung. Dengan pelbagai gajet dan aplikasi yang terkini, masyarakat lebih taasub untuk
berkomunikasi secara dalam talian. Tambahan pula, struktur reka bentuk perumahan moden
yang berhalangan dengan pagar, tembok, dan pengawal keselamatan menambahkan sikap
individualistik yang sememangnya sudah tersemai dalam diri.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana


Kemerosotan Nilai Kejiranan
oleh Samat Buang,
Dewan Siswa, Mac 2017)
20

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata keakraban terhakis.


[2 markah]
(ii) Pengarang menyatakan beberapa kepentingan mengamalkan semangat kejiranan
dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Apakah kepentingan-kepentingan tersebut?


[3 markah]
(iii) Jiran sepakat membawa berkat, jiran keparat membawa mudarat.
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan sikap tidak menghormati jiran?
[4 markah]
21

SET 11

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha
melestarikan permainan tradisional dan kekangan-kekangan untuk memajukannya.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 perkataan.

Permainan tradisional merupakan permainan yang dicipta oleh masyarakat tradisional, iaitu
merujuk permainan budaya yang sudah diamalkan oleh masyarakat itu untuk satu tempoh yang
tertentu. Permainan tradisional ini juga sebagai pelengkap alam kanak-kanak pada masa silam untuk
berkongsi keriangan dan kegembiraan. Mereka cuma perlu berkawan, namun bukan lagi resam
kepada kanak-kanak masa ini yang begitu terdedah kepada peralatan telekomunikasi yang amat
mengasyikkan dan menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang tersohor pada suatu
ketika dahulu. Ekoran daripada itu, permainan tradisional semakin dilupakan, namun masih terdapat
prakarsa untuk terus melestarikan sekali gus mengembalikan nostalgia warisan budaya ini.

Permainan tradisional ini bukanlah semata-mata mengisi masa lapang, tetapi juga
meningkatkan daya kreativiti, memupuk semangat berpasukan dan melatih kekuatan mental dan
fizikal. Secara tegasnya, permainan tradisional memang wajar diketengahkan pada peringkat negara
dan serantau. Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak
raga dan gasing tidak cukup sekiranya tiada kemudahan untuk permainan ini. Bagi menangani isu ini,
kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional.
Berkaitan dengan pembinaan gelanggang, kerajaan boleh memajukan permainan ini dengan
menyediakan jurulatih di setiap gelanggang yang telah disediakan. Pada masa yang sama, masyarakat
tempatan juga boleh berganding bahu mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan
perumahan atau kampung mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat menarik perhatian penduduk
sekitar untuk beriadah bagi mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Di samping itu, hotel tempatan dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita juga patut
menyediakan ruang dan tapak serta alat permainan tradisional kepada pelancong asing. Sempena
Tahun Melawat Malaysia, setiap negeri perlu mengetengahkan permainan tradisional dalam acara
yang disusun bagi menyerlahkan warisan seni budaya yang penuh nilai estetika bagi menggamit
pelancong. Sebagai contoh, kerajaan Kedah merancang menganjurkan program sukan, Eagle Cup
Sepak Takraw bersempena Tahun Melawat Kedah 2016. Selain itu, Festival layang-layang Sedunia
Pasir Gudang yang dianjurkan setiap tahun perlu diteruskan untuk menarik lebih banyak pengunjung
dari dalam dan luar negara.

Usaha menghidupkan kembali permainan tradisional boleh dilakukan oleh pihak sekolah
dengan menganjurkan Kelab Permainan Tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Permainan ini amat
penting untuk kehidupan generasi muda kerana dapat membantu perkembangan diri. Melalui
permainan tradisional mereka mempelajari cara mematuhi peraturan, menyesuaikan diri dan
menyelesaikan masalah. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) turut memperuntukkan seni, warisan dan budaya dalam aktiviti kokurikulum. Seni,
warisan dan budaya bangsa Malaysia yang dimaksudkan termasuklah tarian, muzik, kraf, tulisan jawi
syair, permainan tradisional dan seni pertahanan diri.. Penyebaran maklumat tentang permainan
tradisional kepada masyarakat melalui media massa juga tidak harus dipandang remeh. Hal ini kerana
media merupakan saluran utama dalam pencarian maklumat terutama dalam kalangan remaja. Jabatan
Warisan Negara atau kerajaan negeri perlulah lebih kerap menganjurkan festival, pertandingan dan
kempen bagi mengetengahkan permainan tradisional kepada masyarakat agar dapat menanamkan rasa
cinta terhadap warisan negara kepada generasi muda.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada‘Melestarikan Permainan Tradisional Warisan Negara’


Oleh Samat Buang,Dewan Siswa, Jun 2015)
22

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengembalikan nostalgia. [2 markah]

(ii) Permainan tradisional mampu merapatkan hubungan silaturahim antara anggota


masyarakat.
Apakah kepentingan-kepentingan lain permainan tradisional dalam kehidupan?
[3 markah]
(iii) Permainan tradisional mampu merangsang perkembangan minda kanak-kanak.

Nyatakan peranan ibu bapa bagi menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam
permainan tersebut. [4 markah]
23

Set 12

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca kurang
suburnya perasaan kesetianegaraan dan langkah-langkah mengatasinya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rakyat negara ini sentiasa mengalu-alukan setiap langkah yang diambil kerajaan
untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Namun begitu, kita harus berwaspada
kerana kemewahan pun boleh melalaikan kita daripada mengentalkan perasaan patriotik.
Sekalipun banyak tafsiran tentang patriotisme, namun kesetianegaraan itu tidak dapat lari
daripada maksud kecintaan atau rasa tanggungjawab dan kesediaan berkorban untuk negara
dan bangsa.

Jika dihuraikan dengan lebih spesifik, kesetiaan negara itu merupakan suatu ungkapan
simbolik yang menyatakan bahawa setiap rakyat perlu memiliki rasa bangga terhadap negara
tempat tumpah darahnya. Sebagai warganegara, seseorang itu wajib menjunjung tinggi nama
baik negaranya. Perkara yang mendorong berlaku hal sebaliknya daripada perbincangan di
atas berpunca daripada sikap kita yang tidak menyanjung tinggi bahasa kebangsaan baik
dalam majlis rasmi atau ketika menggunakannya dalam urusan awam. Kini, sudah banyak
rungutan bahawa anggota masyarakat kurang memberikan tumpuan terhadap penggunaan
bahasa kebangsaan secara meluas. Kecuaian itu memperlihatkan kita sendiri kurang bersikap
patriotik terhadap bahasa kebangsaan. Jika kita mengambil mudah tentang perkara ini, maka
sukarlah kita hendak mengharapkan orang asing menghormati bahasa kita.

Satu persoalan lain yang hangat diperkatakan ialah masalah rasuah yang didakwa
berlaku di negara kita. Gejala ini merebak jika tidak dibendung kerana perasuah tidak takut
melakukannya. Mereka ini tidak ubah seperti barah yang harus dibanteras agar tidak
melumpuhkan keseluruhan sistem kenegaraan yang kita sanjung selama ini. Berlakunya
penularan rasuah ini berpunca daripada semangat patriotik membenci rasuah yang tidak
menonjol dalam kalangan rakyat kita. Sebagai sebuah negara yang bergerak ke arah
mencapai status negara maju, kita sukar membendung kemewahan yang kian menular dalam
masyarakat. Di samping itu, budaya kepenggunaan yang tinggi dan materialisme yang
mencengkam hidup rakyat turut menyebabkan masyarakat alpa akan kesetianegaraan.
Walaupun sebahagian anggota masyarakat kita prihatin akan kesetianegaraan dan berharap
agar ada langkah yang diambil untuk menyuburkannya, namun harapan itu kurang berkesan
kerana tidak ada kesungguhan untuk menggerakkannya. Kesetianegaraan mempunyai ciri
ritualnya yang ditanamkan ke dalam sanubari rakyat khususnya golongan muda.

Pada masa ini, agensi kerajaan dan rakyat kurang menggembleng tenaga untuk
menghidupkan norma kesetianegaraan itu semula. Tambahan pula, generasi pascamerdeka
tidak begitu menghayati semangat hari kebangsaan. Ramai daripada mereka tidak memahami
pengertian hari kebangsaan. Perkara ini akan menghakis rasa kesetianegaraan dalam kalangan
golongan pewaris ini. Kita harus ingat bahawa rasa kesetianegaraan sebagai salah satu jati
diri bangsa kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, dan kebudayaan. Jika rasa
kesetianegaraan dapat disebatikan dalam jiwa setiap rakyat, sudah tentu perpaduan rakyat
menjadi lebih kukuh dan utuh.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana
Suburkan Perasaan Kesetianegaraan
oleh Abdul Samad, Utusan Malaysia)
24

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengentalkan perasaan patriotik. [2 markah]

(ii) Mengapakah perasuah dianggap sebagai musuh negara? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh kerajaan bagi
memupuk semangat kesetianegaraan dalam kalangan generasi muda?

[4 markah]
25

SET 13

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang ciri-ciri remaja
dan cara-cara remaja mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120
patah kata.

Zaman remaja sering kali dikaitkan dengan alam yang penuh pancaroba kerana inilah
alam yang perlu dilalui oleh setiap insan sebelum menginjak ke alam dewasa. Ahli psikologi
memberikan takrifan usia bagi remaja adalah dalam lingkungan 13 hingga 21 tahun. Usia
remaja merupakan usia perubahan atau transisi kanak-kanak kepada remaja sebelum mereka
menjadi dewasa. Fasa transisi merupakan cabaran yang amat getir buat remaja. Sekiranya
mereka gagal mengawal minda atau membuat pertimbangan yang sewajarnya, hal yang
negatif amat mudah terjadi. Remaja akan mudah terkesan dengan perkara yang berlaku di
sekeliling mereka. Sifat memberontak wujud dalam diri remaja sekiranya keinginan mereka
tidak dipenuhi. Ahli keluarga seharusnya berperanan mendekati para remaja dengan penuh
hikmah sewaktu mereka melalui fasa transisi ini.

Kebanyakan remaja mudah terdorong dengan perkara yang berkaitan dengan seksual.
Selain itu, pada waktu tertentu, emosi remaja mudah menjadi tidak stabil. Malahan, ketika ini
juga mereka mula berkonflik dengan diri sendiri, keluarga atau rakan sebaya. Ada kalanya,
semua yang berlaku serba tidak kena dengan jiwa mereka. Dalam era teknologi maklumat
dan komunikasi ini, remaja dilihat sebagai kelompok usia yang paling berisiko terhadap
ancaman sosial yang negatif. Mereka memiliki sifat ingin tahu yang menebal dan mahu
mencuba pelbagai perkara yang dianggap sebagai tindak balas semula jadi yang wujud dalam
diri remaja. Kadang kala, fikiran remaja menjadi keliru dan bercelaru disebabkan oleh
pelbagai faktor, termasuklah keluarga, rakan sebaya dan persekitaran yang kurang
memberangsangkan. Lumrahnya, remaja juga tidak suka dikongkong oleh orang yang lebih
tua daripadanya. Seharusnya para ibu bapa perlu menjadi sahabat terhadap anak remaja
mereka. Namun, situasi inilah yang jarang sekali berlaku dalam kalangan masyarakat.

Sikap sudah terhantuk baru tengadah perlu dihindari atau dijauhi oleh setiap ahli
masyarakat kerana bimbang akan membawa impak yang lebih buruk. Potensi atau masa
depan remaja pasti akan terjejas sekiranya terlibat dengan gejala yang negatif. Bukanlah
sesuatu yang mudah jika remaja itu ingin kembali ke pangkal jalan, melainkan mereka
mempunyai semangat yang cukup kuat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
gunanya. Sokongan dan dorongan daripada orang yang lebih dewasa seharusnya hadir pada
saat-saat mereka memerlukannya. Sesungguhnya remaja hari ini memerlukan perhatian dan
bukannya kritikan semata-mata. Hal ini demikian kerana remaja merupakan modal insan
yang bakal memacu kecemerlangan negara pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubah suai daripada


‘Cabaran dan Halangan Semasa Transisi Remaja’
oleh Md Nizar Parman
Dewan Siswa, Disember 2016)
26

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata impak yang lebih buruk.


[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa peranan pelbagai pihak amat diperlukan sewaktu
para remaja melalui fasa transisi dalam kehidupan mereka.

Nyatakan peranan-peranan tersebut.


[3 markah]

(iii) Remaja yang hebat merupakan aset bernilai yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan
negara pada masa hadapan.

Pada pendapat anda, apakah peranan pihak kerajaan dalam melahirkan remaja yang
hebat di negara kita?
[4 markah]
27

SET 14

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan alam
sekitar dan masalah-masalah yang dihadapi untuk menjaganya. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Alam sekitar yang bersih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian manusia di
dunia. Alam sekitar yang bersih akan menghasilkan suasana yang selesa dan menyamankan untuk
kehidupan. Aktiviti-aktiviti pembangunan negara akan terjejas sekiranya alam sekitar tidak dijaga
dengan baik. Amalan menjaga kebersihan alam sekitar merupakan tuntutan semua pihak. Persekitaran
yang bersih sangat penting untuk mewujudkan kehidupan yang sihat dari segi mutu kesihatan.
Alam sekitar sangat penting kepada manusia dalam sistem pernafasan untuk menyedut udara
yang segar. Udara yang segar amat penting untuk kesihatan manusia. Kawasan yang segar dan bersih
lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuhan-tumbuhan membebaskan oksigen ke
udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya. Selain itu, alam sekitar
membolehkan manusia menikmati keadaan cuaca dan suhu yang nyaman setiap hari. Melalui
persekitaran yang segar dan nyaman itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan
aktiviti riadah secara selamat.
Alam sekitar sangat penting kerana dapat menjamin keseimbangan ekosistem dalam
kehidupan sejagat. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan membantu menjamin
sumber air. Sebagai contoh, hutan dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan. Kehadiran hutan-
hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Alam
sekitar terutama sumber hutan yang tebal akan mendapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi
kegunaan domestik. Selain itu, hutan akan membantu manusia menakung air dalam empangan-
empangan yang dilengkapi teknologi canggih untuk menghasilkan kuasa hidroelektrik.
Pemulihan terhadap alam sekitar amat penting untuk mengelakkan kepupusan flora dan fauna
di dunia ini. Kedua-duanya memainkan peranan dalam mengekalkan alam semula jadi dan setiap
satunya mempunyai rantaian yang mengikat antara satu sama lain. Kepupusan salah satu daripadanya
akan menjejaskan kitaran alam semula jadi. Penebangan hutan yang tidak terancang akan
menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering. Keadaan ini akan menjejaskan pertumbuhan flora
manakala fauna pula akan kehilangan habitatnya.
Alam sekitar yang dijaga secara terancang akan dapat mengurangkan pemanasan global yang
serius. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan sekiranya
kawasan tumbuhan hijau dapat dikawal. Beberapa buah negara di dunia termasuk negara kita dijangka
akan mengalami pemanasan global yang serius dalam tempoh 20 tahun akan datang jika penebangan
hutan dilakukan secara tidak terancang.
Keindahan alam sekitar juga dapat meningkatkan ekonomi dalam sektor pelancongan. Hal ini
demikian kerana kawasan yang indah akan dapat memberi peluang kepada pelancong untuk
mengunjungi tempat-tempat menarik terutama di kawasan hutan rekreasi, air terjun, jeram, tasik,
pinggir pantai dan taman negara. Dalam aktiviti pelancongan, kita akan mendapatkan hasil daripada
pendapatan luar negara untuk menambah sumber kewangan negara. Ini akan dapat meningkatkan
pertukaran wang asing. Dalam jangka panjang, pertumbuhan ekonomi juga akan meningkat. Melalui
aktiviti itu, peluang pekerjaan untuk orang tempatan juga akan meningkat dan secara tidak langsung
akan dapat mengurangkan pengangguran di sesebuah negara.
Kita mestilah sedar akan kepentingan memelihara alam semula jadi yang masih ada pada hari
ini. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat akan kepentingan alam sekitar terus dilakukan oleh
pelbagai pihak seperti kempen kebersihan, perkhemahan alam sekitar bagi belia, seminar, bengkel,
pameran dan penerbitan bahan bercetak. Semuanya adalah untuk meningkatkan pengetahuan,
kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi memelihara alam sekitar. Pemuliharaan alam sekitar
menjadi tanggungjawab bersama setiap generasi agar pembangunan lestari dapat dikekalkan.

(Dipetik dan diubah suai daripada


‘Menjaga alam sekitar’ oleh Dr. Hazwan bin Harun,
Berita Harian, Mac, 2016
28

Soalan 2(a) – Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata dijaga secara terancang.


[2 markah]

(ii) Penulis menyatakan bahawa hutan mempunyai banyak fungsi kepada manusia.
Apakah fungsi hutan tersebut?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah impak negatif pemanasan global kepada kehidupan di
dunia?

[4 markah]
29

SET 15

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
menguruskan kewangan dan peranan pelbagai pihak mendidik masyarakat supaya
berbelanja secara berhemat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Umumnya, hanya sebilangan kecil generasi di negara kita yang bijak menguruskan
kewangan. Kebanyakan daripada mereka gagal menguruskan kewangan atas pelbagai faktor.
Antaranya, mereka lebih mementingkan gaya hidup tanpa memikirkan kesannya terhadap
kemampuan kewangan mereka. Amalan suka memiliki telefon pintar atau alat berteknologi
tercanggih di pasaran dan bertukar-tukar model terbaharu menjadi trend generasi kini. Hal ini
menunjukkan generasi muda perlu mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan lebih-
lebih lagi semasa berlakunya kegawatan ekonomi. Sewajarnyalah, generasi muda dinasihati
supaya tidak membazir ketika berbelanja. Hal ini dikatakan demikian kerana sebilangan
daripada mereka gemar membeli barangan berjenama yang mahal harganya yang
menyebabkan mereka menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan. Mereka
sepatutnya menyediakan senarai perbelanjaan untuk memastikan kewangan sentiasa terurus.

Kebanyakan generasi muda yang baru memasuki alam pekerjaan perlu membayar
balik wang pinjaman pembiayaan pelajaran. Dalam hal ini, mereka sepatutnya
memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk membayar balik wang
pinjaman tersebut. Perkara ini sangat penting bagi memastikan mereka dapat menguruskan
kewangan masing-masing. Dalam hal perkahwinan pula generasi muda gemar memilih pakej
perkahwinan yang terdapat di pasaran. Mereka seharusnya memilih pakej perkahwinan
mengikut kemampuan masing-masing. Pada masa yang sama, kos yang tinggi diperlukan
untuk memulakan penghidupan baru dalam berkeluarga. Oleh hal yang demikian, pasangan
yang baru berkahwin disarankan supaya tinggal bersama-sama ibu bapa sebagai langkah
penjimatan. Dalam tempoh berkenaan, pasangan tersebut dapat menabung untuk dijadikan
wang pendahuluan bagi membeli rumah. Sebenarnya,pembelian rumah pada usia muda
adalah lebih baik untuk mendapatkan tempoh pembiayaan yang lebih anjal. Bagi pasangan
yang menyewa rumah, mereka perlulah memastikan kadar sewaan rumah tidak melebihi 30
peratus pendapatan bulanan isi rumah.

Pengurusan kewangan juga perlu diberi perhatian sebelum sesebuah keluarga


merancang untuk melancong. Kebanyakan keluarga di Malaysia akan melancong sekurang-
kurangnya sekali dalam setahun kerana pelancongan merupakan aktiviti yang dapat
mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sehubungan dengan itu, perancangan awal untuk
menguruskan kewangan bagi tujuan melancong perlu dilakukan. Kita juga janganlah
mengikut nafsu ketika berbelanja terutamanya apabila kita mempunyai wang yang lebih.
Sebagai contoh, apabila mendapat bonus, pelbagai keinginan akan terlintas dalam fikiran
seperti kereta baharu, perabot baharu dan percutian. Pengurusan kewangan menjadi semakin
mencabar apabila kad kredit mudah dimiliki. Penggunaan kad kredit secara sewenang-
wenangnya menyebabkan penggunanya menanggung beban hutang. Oleh itu, perbelanjaan
dengan menggunakan kad kredit perlu dikawal. Sesungguhnya kejayaan dalam pengurusan
kewangan seseorang bergantung pada usaha masing-masing.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Gen Y Suka Membazir’ oleh Alzahrin Alias,
Berita Harian, 15 Mac 2014)
30

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mengeratkan hubungan.


[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan bahawa generasi muda gagal menguruskan kewangan atas
pelbagai faktor.

Nyatakan faktor-faktor tersebut.


[3 markah]

(iii) Aktiviti melancong bersama-sama keluarga memerlukan kos yang agak tinggi.
Jelaskan pendapat anda tentang cara-cara untuk memastikan aktiviti melancong
bersama-sama keluarga tidak membebankan kewangan.

[4 markah]
31

SET 16

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cabaran-cabaran
mengembangkan produk kraf dan langkah-langkah mempopularkan produk kraf.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakat. Sebagai


tamsilnya, masyarakat Melayu sangat sinonim dengan seni ukiran kayu dan tenunan.
Masyarakat Cina popular dengan seni tembikar dan kaligrafi. Kolam pula sering disebut-
sebut sebagai seni masyarakat India dan kelompok peribumi pula sangat berkait rapat dengan
seni anyaman. Umum mengetahui bahawa seni kraf sangat popular dalam kalangan penduduk
luar bandar dan pedalaman. Situasi ini berlaku kerana pengusaha lebih mudah mencari bahan
utama bagi pembuatan produk kraf. Walaupun begitu, pelbagai cabaran yang perlu diatasi
dengan sebaik-baik mungkin.

Cabaran utama yang mengganggu perkembangan produk kraf di kawasan bandar ialah
lambakan produk berteknologi moden dalam pasaran. Kuantiti produk berteknologi moden
yang dihasilkan pada satu masa juga sangat tinggi jika dibandingkan dengan produk buah
tangan. Produk buatan tangan pula menawarkan harga yang agak tinggi sedikit kerana produk
kraf menggunakan bahan semula jadi. Kemunculan bahan kimia dan sintetik juga
merancakkan pengeluaran produk yang berasaskan plastik. Pada zaman yang serba maju ini,
sangat sukar untuk mencari bahan utama pembuatan produk kraf. Sungguhpun begitu,
pembangunan yang pesat mampu menjejaskan habitat semula jadi flora, iaitu kawasan rimba.

Sememangnya produk kraf tangan pada hari ini sukar untuk diketengahkan. Hal ini
demikian kerana masyarakat pedalaman kurang mendapat pendidikan dan tidak mengikuti
perkembangan semasa tetapi produk yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi. Di
samping itu, ketiadaan pewaris dalam kalangan generasi muda juga menyukarkan
perkembangan dan kemajuan produk kraf. Sebetulnya, golongan muda perlu lebih menonjol
dan memainkan peranan bagi mempopularkan produk kraf. Kekurangan promosi atau
pameran sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa juga menjadi punca pengamal seni
kraf sukar untuk menonjolkan bakat mereka.

Cabaran lain ialah kekurangan penawaran program latihan yang berteraskan seni di
pusat pengajian tinggi. Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pihak yang kurang
memikirkan kepentingan dan nilai sesuatu karya seni. Tidak kurang juga, pengamal seni kraf
pada hari ini tidak mempunyai modal yang cukup untuk memajukan perusahaan mereka.
Teknologi maklumat dan komunikasi merupakan cabang perniagaan yang terpenting pada
hari ini. Walau bagaimanapun, pengusaha kraf yang tinggal di kawasan pedalaman
terutamanya masih kurang arif mengenai penggunaan teknologi. Sewajarnya, usaha
mengembangkan produk kraf tidak boleh dipandang sebelah mata kerana seni ini warisan
turun-temurun dan mempunyai nilai estetik yang amat tinggi.

(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Kekangan dalam industri kraf’


oleh Aliff Ishak,Dewan Budaya, Julai 2016)
32

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pengeluaran produk dalam petikan.


[2 markah]

(ii) Pengarang ada menyatakan beberapa faktor produk kraf amat sesuai dikembangkan
oleh pengusaha kraf tangan.

Nyatakan tiga faktor tersebut.


[3 markah]

(iii) Pengarang ada menyebut bahawa golongan muda kurang berminat dalam kemahiran
menghasilkan kraf sehinggan ketiadaan pewaris.

Huraikan punca-punca golongan muda kurang berminat untuk mewarisi kemahiran


tersebut.
[4 markah]
33

SET 17

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan guru di
sekolah dan langkah-langkah kerajaan untuk meningkatkan kualiti guru. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sentuhan keramat guru telah melahirkan banyak cendekiawan, golongan profesional,


usahawan dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada
pembangunan dan kemajuan negara. Guru juga merupakan penggerak proses transformasi
pendidikan yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara kita. Di pundak guru-
guru letaknya harapan semua pihak untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke
tahap yang terbaik. Bahkan ibu bapa juga berharap guru dapat membimbing dan mendidik
anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Di sekolah, didikan guru kepada para murid dapat melahirkan modal insan berkualiti
yang akan menjadi aset pembangunan negara pada masa hadapan. Hal ini selaras dengan
aspirasi negara untuk menjadi negara maju mengikut acuan sendiri. Semasa mengajar, guru
harus memberi penekanan kemahiran berfikir dalam kalangan murid agar mereka mampu
menggunakan ilmu yang dipelajari. Murid perlu diajar berfikir di luar kotak fikiran mereka
untuk memperoleh idea yang lebih relevan dan bernas. Murid dapat mengaplikasikan ilmu
tersebut untuk memajukan diri sendiri dan keluarga. Guru juga perlu merangsang murid
untuk memiliki pemikiran kreatif dan kritis. Hal ini sesuai dengan perkembangan pesat dunia
globalisasi yang memerlukan modal insan yang berani menghadapi cabaran, mampu
menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis. Malahan guru harus memberi fokus
kepada matlamat pendidikan untuk melahirkan murid yang berilmu pengetahuan.

Transformasi kurikulum yang dilaksanakan dapat membuka lembaran baharu kepada


guru meneroka strategi pengajaran yang lebih berkesan bagi mengasah bakat serta daya
kreativiti murid. Kepelbagaian strategi pengajaran dapat menarik minat murid untuk
mengikuti proses pembelajaran. Golongan guru sendiri harus meningkatkan tahap
profesionalisme keguruan. Usahlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran
di dalam kelas. Penambahbaikan ini perlu agar selari dengan hasrat kerajaan meningkatkan
pendidikan ke arah berprestasi tinggi dan berkualiti. Selain itu, guru perlu berfikiran terbuka
mendengar pendapat murid. Murid akan berasa dihargai apabila idea mereka diterima dan
dapat meningkatkan motivasi mereka untuk mengikuti pembelajaran di dalam kelas.

Secara tuntas, walaupun telah banyak pencapaian yang terhasil dalam bidang
pendidikan, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan proses
pemantapan kualiti pendidikan negara berlaku secara berterusan. Berkat komitmen warga
guru, kita telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan. Kerjasama
semua pihak amat diperlukan untuk menggembleng tenaga dan idea bagi mengangkat
pendidikan negara ke arah kecemerlangan.

(Dipetik dan diubah suai daripada


‘Guru Inovatif Lonjak Transformasi Pendidikan Negara’ oleh Samad bin Buang,
Wadah Siswa, Januari 2013)
34

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata meneroka strategi berdasarkan petikan.


[2 markah]

(ii) Penulis ada menyatakan ciri-ciri modal insan yang diperlukan oleh negara pada masa
hadapan.
Nyatakan ciri-ciri tersebut.
[3 markah]

(iii) Guru telah banyak melakukan pengorbanan kepada murid.


Sebagai murid yang bertanggungjawab, jelaskan cara-cara anda membalas segala
pengorbanan guru anda.
[4 markah]
35

SET 18

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor kegagalan
pengukuhan nilai jati diri dalam kalangan remaja dan kesan-kesan kegagalan pengukuhan nilai
jati diri. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Asas pembentukan sesebuah negara bergantung pada kekuatan jati diri rakyatnya. Jati diri
merujuk kepada sifat dalaman seseorang yang berpengaruh menentukan hubungannya dengan orang
lain. Jati diri berkaitan dengan nilai yang ada dalam diri seseorang yang merangkumi aspek bahasa,
budaya, ekonomi, politik dan sosial masyarakat. Remaja merupakan kumpulan besar dalam
masyarakat dan terarah kepada nilai yang didukung oleh mereka. Nilai yang baik membentuk jati diri
yang hebat dan meyakinkan jika nilai ini dimiliki oleh golongan remaja tetapi nilai yang kurang baik
juga akan menerima cemuhan masyarakat.

Masalah sosial yang sering berlaku dalam kalangan remaja sememangnya berkaitan dengan
pelanggaran sistem nilai yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Mereka melakukan perkara yang
tidak sesuai dan salah dalam masyarakat seperti bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan serta
bersekedudukan. Remaja juga merupakan generasi yang berisiko tinggi untuk melakukan perkara
yang menyeronokkan walaupun perkara tersebut merupakan satu kesalahan. Remaja senang
dipengaruhi oleh keadaan persekitaran di empat mereka membesar. Remaja yang berada di kawasan
yang sering berlaku jenayah serta masalah sosial yang lain terdedah kepada aktiviti yang sama.

Di kawasan sempadan sesebuah negara seperti kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand
sering berlaku masalah sosial. Perkara ini berlaku kerana perubahan sosiobudaya antara kedua-dua
buah negara di kawasan sempadan tersebut. Transisi antara satu budaya dengan budaya yang baharu
seperti isu pergaduhan antara kumpulan samseng yang sering berlaku di negara jiran mempengaruhi
remaja di Malaysia. Selain itu, terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan
dadah dan pelacuran. Isu pemerdagangan manusia yang melanggar hak asasi manusia juga berleluasa.
Keadaan ini mengganggu pembentukan nilai yang baik dalam kalangan remaja yang berada di sekitar
sempadan.

Kawasan sempadan juga merupakan tempat pertembungan pelbagai budaya. Pertembungan


antara budaya tempatan yang sedia ada dan budaya asing akan meresap masuk bersama-sama
kemasukan pendatang dari luar negara. Sekiranya budaya tempatan tidak kukuh terpelihara sehingga
menjadi jati diri masyarakat, budaya tempatan akan lebih mudah dipengaruhi oleh pelbagai budaya
lain. Keadaan ini secara tidak langsung akan menggugat jati diri golongan remaja kerana golongan ini
merupakan golongan yang mudah terpengaruh. Selain itu, remaja juga keliru antara sistem nilai yang
telah ditetapkan oleh lima syarikat dengan sistem nilai yang dilarang. Kekeliruan ini menjadikan
mereka tidak dapat membezakan nilai baik atau sebaliknya.

Remaja juga sering dilabelkan sebagai peringkat usia yang sukar dikawal. Mereka menjadi sasaran
utama pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan mereka sebagai perantaraan untuk
melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang. Selain itu, didikan dan perhatian yang kurang
daripada ibu bapa menyebabkan asas pengukuhan jati diri dalam kalangan remaja gagal untuk
direalisasikan. Pokok pangkalnya, jati diri remaja perlu sentiasa teguh dan sentiasa bersemangat untuk
lebih berdaya saing. Penerapan nilai ini perlu dipupuk dalam diri remaja pada peringkat awal lagi dan
diteruskan dengan proses pengukuhan oleh semua pihak.

(Dipetik dan diubahsuai daripada


“ Pengukuhan Nilai Jati Diri Elak Masalah Sosial”
oleh Noor Azam Abdul Rahman, Dewan Siswa Jilid 37 Bil. 04 2015.)
36

Soalan 2(a)- Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan


ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata meresap masuk


[2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa isu yang sering berlaku di sempadan Malaysia
dengan Thailand. Nyatakan isu-isu tersebut.
[3 markah]

(iii) Jelaskan pendapat anda tindakan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan
untuk merealisasikan pengukuhan nilai jati diri dalam kalangan masyarakat di
Malaysia.
[4 markah]
37

SET 19

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan
pengambilan minuman berfungsi kepada masyarakat dan halangan untuk mengambil
minuman berfungsi. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada masa ini, bahan semula jadi lebih cenderung digunakan berbanding dengan bahan kimia.
Oleh sebab itu, produk pelengkap atau alternatif dicari untuk membaiki kesihatan dan penampilan
diri. Satu daripada produk yang dicari ialah minuman berfungsi. Minuman berfungsi ialah minuman
yang diperkaya dengan bahan tambahan untuk memberikan manfaat kesihatan tertentu, Ada pelbagai
bentuk minuman berfungsi dalam pasaran. Sebagi contoh, minuman berasaskan susu, jus, minuman
isoton, minuman bertenaga dan minuman herba.

Pelbagai bahan tambahan digunakan dalam minuman berfungsi seperti oligosakarida, kacang
soya dalam minuman ringan, bifidobacteriun breve yakult ke dalam susu fermentasi, serabut diet
seperti psilium husks dalam minuman serbuk dan isoflavon soya dalam minuman teh. Minuman
berfungsi berupaya menenangkan dan membantu menghalang atau merawat penyakit jantung. Bagi
golongan dewasa pula, minuman tersebut mampu menurunkan masalah berat badan, kawalan
kolesterol, pengurangan tekanan dan peningkatan metabolisme. Manakala bagi golongan muda pula,
minuman ini dapat meningkatkan kecergasan mental dan mereka mampu memberi tumpuan ketika
belajar. Ada juga minuman yang dihasilkan khusus untuk wanita mengandung atau wanita lepas
menopaus untuk keseimbangan dalaman.

Di Eropah dan Asia, masalah obesiti makin meningkat disebabkan oleh amalan pemakanan
yang tidak sihat. Jus buah yang diperkaya dengan vitamin dan mineral, serta pebiotik dan probiotik
minuman coklat ringan dihasilkan untuk membantu golongan remaja dan kanak-kanak bagi mengatasi
masalah obesiti. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada golongan bayi dan kanak-kanak kecil.
Minuman berfungsi dalam bentuk makanan cecair gantian yang diperkaya, minuman serbuk dan jus
buah dihasilkan dengan tujuan untuk meningkatkan kecerdasan mental dan prestasi serta menambah
baik penghidratan semula kanak-kanak kecil. Sehubungan dengan itu, minuman berfungsi menjadi
segmen paling pesat berkembang disebabkan oleh beberapa faktor seperti mesra pengguna dan
memenuhi permintaan pengguna dari segi kandungan, saiz, bentuk dan rupa. Seterusnya, minuman
berfungsi juga mudah diedarkan dan disimpan oleh pengguna.

Kini, trend baharu timbul dengan pelbagai ubat herba didapati dalam bentuk minuman.
Minuman yang mengandungi vitamin, mineral dan ekstrak botani dan herba ,seperti ginko dan
echinacea menjadi sangat popular dalam kalangan pengguna. Di Malaysia, minuman berfungsi yang
makin mendapat tempat di hati pengguna ialah minuman herba. Minuman berherba ini mampu
mencantikkan wajah dan mengelakkan penuaan. Di samping itu, kebaikan minuman berherba dapat
merawat pelbagai penyakit seperti diabetes, kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Minuman herba ini boleh didapati di kedai herba, kedai ubat tradisional dan kebanyakan
farmasi atau secara dalam talian. Kesimpulannya, pengambilan minuman berfungsi sangat penting
dalam kehidupan masyarakat. Namun demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati
pengguna agar sentiasa menyemak status produk bagi memastikan keselamatan produk minuman
yang diambil.
(Dipetik dan diubah suai daripada
“Minuman Berfungsi Peningkat Kecergasan”
Oleh Nurraihana Hamzah
Dewan Kasmik, Januari 2016)
38

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pesat berkembang.


[ 2 markah]

(ii) Pengarang mengatakan beberapa faktor yang menyebabkan minuman berfungsi paling
pesat berkembang di pasaran..

Apakah faktor-faktor tersebut?


[3 markah]

(iii) Kesedaran masyarakat terhadap pengambilan minuman berfungsi semakin tinggi.

Pada pendapat anda, apakah peranan media massa dalam menggalakkan masyarakat
mengambil minuman berfungsi?
[4 markah]
39

SET 20

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca
kemusnahan ekosistem hutan dan langkah-langkah untuk mengawal kemusnahan
ekosistem hutan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kejadian banjir besar yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur pada
penghujung 2014 masih segar dalam ingatan. Namun, malangnya bencana yang telah
meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda itu seolah-olah tidak mampu memberi
pengajaran dan menyedarkan segelintir daripada kita tentang kepentingan menjaga
kelangsungan ekosistem. Antara khazanah alam yang sering menjadi mangsa pencabulan
ekoran sikap tamak haloba manusia adalah ekosistem hutan. Ekosistem ini bukan sahaja
diteroka secara berterusan untuk mendapatkan sumber bahan mentah bagi memenuhi
keperluan industri, bahkan turut digondolkan untuk tujuan pembangunan kawasan perumahan
dan pertanian. Keadaan ini sekali gus mengakibatkan kawasan hutan sedia ada semakin
mengecil dan terhakis dari sehari ke sehari.

Lebih membimbangkan apabila tuntutan pembangunan yang kian pesat pada hari ini
telah mengakibatkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tergamak melakukan
penerokaan ke atas kawasan hutan simpan. Malah, pencerobohan ke atas kawasan hutan
simpan di segenap pelosok negeri semakin berleluasa. Kayu-kayan merupakan hasil penting
yang dihasilkan oleh hutan. Kayu mempunyai pelbagai kegunaan seperti bahan api, perabot,
kegunaan kertas dan pembinaan rumah. Hal ini menjadi tumpuan pembalak haram untuk
membalak di kawasan ini yang turut menyumbang kepada berlakunya kemusnahan ekosistem
hutan. Di Kuching, kegiatan pembalakan haram di Kawasan Matang Lot terus berleluasa
sehingga menyumbang kepada kepupusan spesies kayu berkualiti tinggi. Sama ada kita sedar
atau tidak, penerokaan kawasan-kawasan hutan boleh memusnahkan atau mengecilkan
habitat haiwan seperti harimau dan gajah. Selain itu, pembakaran hutan secara terbuka juga
turut memusnahkan ekosistem hutan yakni spesies haiwan di hutan selama-lamanya.

Industri pelancongan merupakan sebahagian punca kemusnahan hutan. Hal ini


disebabkan oleh pembukaan tempat pelancongan yang baru memerlukan aktiviti penebangan
hutan bagi pembukaan kawasan yang baru. Pembinaan kemudahan infrastruktur seperti jalan
raya dan lebih rakyat turut memusnahkan ekosistem hutan. Pembangunan yang terlalu
mendadak di kawasan pelancongan akan memusnahkan ekosistem hutan tanpa kita sedari.
Hal ini disebabkan kekurangan pelaksanaan yang terancang dan pemantauan yang berterusan
daripada pihak yang berkenaan sebelum mereka melakukan penerokaan atau penebangan
hutan. Perlu kita sedari bahawa hutan merupakan satu komuniti untuk hidupan liar iaitu untuk
pokok-pokok besar serta haiwan liar. Hutan berperanan penting kepada manusia kerana hutan
membekalkan sumber bahan mentah dan penyumbang kepada sosioekonomi serta kestabilan
ekologi kepelbagaian hayat sesebuah negara. Pendek kata hutan merupakan khazanah
berharga dan perlu dijaga secara sistematik demi kestabilan ekosistem negara kita.
(Dipetik dan diubah suai daripada
“Sains dan Teknologi dalam kehidupan manusia”
Oleh Shasidan Abdullah
Dewan Siswa, September 2015.)
40

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata habitat haiwan.


[ 2 markah]

(ii) Hutan bukan sahaja merupakan satu komuniti untuk hidupan liar iaitu untuk pokok-
pokok besar serta haiwan liar tetapi juga berperanan penting kepada manusia.

Nyatakan kepentingan-kepentingan hutan kepada manusia.


[3 markah]

(iii) Hutan sebagai khazanah alam yang perlu dipelihara.

Pada pendapat anda, apakah kesan kemusnahan hutan kepada manusia?


[4 markah]
41

SET 21

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang tanggungjawab
pelbagai pihak dalam mempertahankan kedaulatan negara dan halangan-halangan dalam
melaksanakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apabila mengimbau sejarah lampau, kita tahu betapa peritnya pejuang kemerdekaan
mahu memerdekakan negara ini daripada penjajahan dan sekali gus menjadikan Malaysia
sebagai negara yang berdaulat. Namun begitu, sejauh manakah kita sebagai generasi masa ini
dapat bertanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara?

Setiap warganegara perlu mengukuhkan jati diri yang disulami semangat patriotik dan
nasionalisme dalam diri masing-masing. Jati diri perlu disertakan dengan ketinggian akhlak,
nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, nilai rasionalisme dan disalutkan dengan kekuatan
mental dan spiritual. Sebagai negara yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya,
perpaduan antara kaum perlu terus dikekalkan. Sikap etnosentrisme, iaitu menganggap
bahawa cara hidup dan budaya etnik sendiri lebih unggul berbanding dengan cara hidup dan
budaya warisan etnik lain dalam diri setiap warganegara harus ditolak.

Kita tahu bahawa generasi muda sekarang sangat terdedah kepada globalisasi dan
dunia tanpa sempadan. Keluasan dan kecepatan dunia Internet dan pendedahan kepada media
sosial seperti facebook, twitter dan instagram, mendedahkan generasi muda kepada
penjajahan bentuk baharu, iaitu penjajahan pemikiran. Tiada lagi peluru atau mortar dan
serangan berdarah untuk menjajah generasi muda. Oleh itu, mereka perlu cakna dengan
serangan bentuk penjajahan fikiran dan pemahaman ideologi. Atas sebab itulah generasi
muda perlu memainkan peranan penting sebagai perwira negara untuk menangkis segala
serangan penceroboh kedaulatan negara. Gerakan penjajahan pemikiran dan penanaman
ideologi yang berbahaya memerlukan setiap warganegara mempunyai benteng diri,
terutamanya dalam pemahaman agama yang betul.

Pemimpin negara perlu memastikan perlembagaan negara tidak dicabuli dan


kedaulatan negara terjamin. Dalam hal ini, kerajaan dan pembangkang seharusnya
berganding bahu demi memastikan Malaysia terus maju dan dihormati di mata dunia.
Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 menyedarkan kita bahawa
kerajaan juga perlu memastikan sistem pertahanan dan keselamatan negara diperkukuh.

Kita seharusnya berusaha untuk menjadi negara pengeluar atau negara pembuat bahan
dan bukannya hanya beraksi sebagai negara pengguna. Peristiwa kemelesetan ekonomi pada
tahu 1997 menunjukkan kedaulatan negara boleh terancam. Tindakan spekulator yang rakus
merampas ekonomi dan kewangan negara mampu menggugat kestabilan ekonomi dan politik
negara. Dalam hal ini Malaysia perlu mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara
luar, merangkumi bidang ekonomi, politik, sosial dan budaya. Apalah gunanya ada negara
untuk kita diami sekiranya negara tersebut tidak mempunyai kedaulatan dan senang
dihenyak-henyak oleh musuh.

(Dipetik dan diubah suai daripada


“Tanggungjawab Mempertahankan Kedaulatan Negara”
Oleh Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop,
Dewan Siswa, Ogos 2016.)
42

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata budaya warisan etnik.


[ 2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa bentuk ancaman terhadap kedaulatan negara.

Apakah ancaman-ancaman tersebut?


[3 markah]

(iii) Ada pendapat mengatakan bahawa generasi muda kurang semangat patriotik dalam
diri mereka.

Berikan pendapat anda.


[4 markah]
43

SET 22
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan sekolah
sebagai agen pemupukan budaya yang luhur dan kekangan yang dihadapi untuk
melaksanakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Tunjang pendidikan tidak berpasak secara total berdasarkan prestasi akademik
sebaliknya perlu melihat kepada budaya yang luhur dan seimbang. Walaupun transformasi
pendidikan dikatakan bergerak ke arah landasan yang betul namun isu berkaitan dengan
permasalahan sosial yang dicetuskan oleh pelajar perlu diselesaikan. Penyelesaian ini penting
untuk memastikan pelajar dapat dibentuk serta dibimbing untuk menjadi entiti negara yang
berkaliber, bervisi, mampu mendepani segala cabaran dan memiliki perwatakan yang terpuji.
Sebagai agen atau unsur yang membawa kepada perubahan masyarakat, sekolah dilihat
sebagai lokasi tumpuan untuk mengawal tingkah laku dan membentuk personaliti pelajar.
Sekolah sebagai satu institusi pendidikan yang ditubuhkan bertujuan memenuhi keperluan
anggota masyarakat untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi keperluan
kemajuan dan perkembangan individu secara holistik. Sekolah sebagai institusi pendidikan
mempunyai strategi tersendiri untuk meningkatkan kualiti dalaman dan luaran bagi
melahirkan pelajar yang berkualiti dan berketerampilan. Pada asasnya, sekolah ditubuhkan
dengan tujuan untuk mendidik para pelajar dengan ilmu pengetahuan yang berlandaskan
pelbagai bidang. Pembentukan keperibadian pelajar merupakan satu inti pati penting dalam
matlamat penubuhan sekolah kerana guru-guru dipertanggungjawabkan untuk mendidik
pelajar yang seimbang dalam semua bidang. Sekolah perlu mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif dan harmoni agar pelajar terus belajar secara konsisten.
Pencapaian sahsiah dan emosi pelajar dapat menentukan pencapaian akademik pelajar secara
langsung.
Selain terus mengekalkan matlamat sebagai agen penyebaran pengetahuan, sekolah
turut merupakan wahana untuk merealisasikan matlamat pendidikan negara yang berfokuskan
pembentukan pelajar yang berilmu, berbudi pekerti dan berpotensi. Matlamat pendidikan
seterusnya menampung tenaga kerja pada masa hadapan. Sekolah kini turut dilihat sebagai
institusi pendidikan yang berperanan teguh untuk mendidik generasi yang bertamadun tinggi.
Seterusnya, pihak sekolah dilihat memainkan peranan penting sebagai pemangkin dan agen
perubahan sosial melalui kemajuan dalam bidang pendidikan. Selain menggalakkan
penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum yang sihat dan mantap sekolah juga
menerapkan nilai murni dan agama sebagai asas keperibadian yang syumul. Di samping itu,
sekolah turut menerapkan aspek perpaduan dan patriotisme dalam kalangan pelajar berbilang
agama dan etnik. Sekolah mengajar mengekalkan corak kehidupan yang dianggap baik.
Sebagai contoh, perkara yang berkaitan dengan moral seperti budi bahasa, sopan santun dan
sifat hormat menghormati. Selain itu, sekolah turut mengajarkan kebudayaan kebangsaan
seperti bendera negara, lagu kebangsaan dan bahasa kebangsaan. Pendidikan di sekolah perlu
mementingkan nilai kemasyarakatan dan perkembangan sifat perseorangan pelajar. Hal itu
selari dengan tuntutan perubahan semasa dan sekolah sebagai institusi moral yang perlu
mengawasi perkembangan dan perubahan tingkah laku pelajar agar tidak terpesong daripada
amalan yang sepatutnya.
Dipetik dan diubah suai daripada,
’Peranan Sekolah Sebagai Agen Pemupukan Budaya yang Luhur dan Seimbang’.
oleh Azhar Salleh. Dewan Siswa, Ogos 2017
44

Soalan 2(a) – Petikan Umum


Petikan umum Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
i) Berikan maksud rangkai kata mampu mendepani segala cabaran. [2 markah]

ii) Pengarang telah menyatakan beberapa sebab penubuhan sesebuah sekolah. Berikan
sebab-sebab sesebuah sekolah ditubuhkan.

[3 markah]
iii) Gejala sosial dalam kalangan pelajar semakin meruncing.

Pada pendapat anda, apakah implikasi yang akan dihadapi sekiranya masalah ini
tidak ditangani dengan segera?
[4 markah]
45

SET 23
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor
berlakunya longgokan sampah dan kesan-kesan longgokan sampah. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Secara purata, setiap rakyat Malaysia membuang dua kilogram sampah sehari. Kira-
kira 45 peratus daripada sampah tersebut ialah sisa makanan, 25 peratus plastik dan 30
peratus bahan-bahan lain. Hal ini bererti hampir setengah daripada jumlah sampah di negara
kita terdiri daripada sisa makanan. Keadaan ini disebabkan oleh sikap kebanyakan rakyat
Malaysia yang suka membeli makanan mengikut nafsu, bukan mengikut keperluan. Sampah
terhasil apabila isi rumah membuang apa-apa yang tidak perlukan oleh mereka. Apabila
sistem kutipan sampah tidak sempurna, sampah mula bertimbun di tempat sendiri.

Terdapat orang ramai yang gagal menguruskan sampah mereka dan tidak
melupuskannya mengikut cara yang betul, sehingga menyebabkan berlakunya longgokan
sampah. Selain itu, amalan penggunaan pinggan mangkuk dan bungkusan pakai buang seperti
polisterina dan beg plastik yang semakin berleluasa pada masa ini turut menjadi penyumbang
kepada longgokan sampah sarap. Oleh itu, kerajaan seharusnya menguatkuasakan larangan
penggunaan polisterina dan beg plastik kerana penguraiannya memakan masa yang sangat
lama. Selain itu, terdapat juga sesetengah barangan dibungkus secara berlebih-lebihan untuk
menarik minat pengguna. Namun demikian, tanpa disedari bahan pembungkusan barangan
yang dibuang begitu sahaja boleh menyebabkan timbunan sampah semakin bertambah.
Masalah tersebut menjadi semakin serius apabila terdapat pihak yang dipertanggungjawab
untuk mengutip dan melupuskan sampah tidak menjalankan tugas secara berkesan.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan bahawa sikap pembaziran dalam kalangan
rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi khususnya semasa musim perayaan. Masyarakat kita
yang gemar membeli barangan baharu dan membuang barangan lama menjadikan masalah
longgokan sampah tiada penyelesaiannya. Perkara ini tidak akan berlaku jika amalan kitar
semula dilaksanakan dalam kalangan rakyat. Malangnya, amalan kitar semula di negara kita
kurang mendapat sambutan. Keadaan ini diburukkan lagi apabila tempat pengumpulan bahan
kitar semula yang ada di seluruh negara tidak mencukupi. Seharusnya, tong kitar semula
disediakan di banyak tempat dan ada pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskannya
secara berkesan.

Di samping itu, sikap masyarakat yang tidak ada kesedaran akan pentingnya menjaga
alam sekitar dengan membuang bahan buangan domestik sewenang-wenangnya turut
menyebabkan masalah longgokan sampah yang tidak terkawal. Contohnya, penggunaan
lampin pakai buang yang menjadi gaya hidup masyarakat moden pada hari ini telah
menambahkan lagi masalah longgokan sampah. Seharusnya, penggunaan lampin bayi jenis
kain yang boleh dicuci menjadi pilihan kerana lampin pakai buang amat sukar untuk
dilupuskan. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu segera beralih kepada penggunaan
bahan mesra alam. Dalam hal ini, pendidikan memainkan peranan utama untuk melahirkan
masyarakat pengguna yang bijak demi kesejahteraan hidup manusia.

Dipetik dan diubah suai daripada


‘Longgokan Sampah Masalah yang Tiada Noktah’
oleh Amlir Ayat,
Dewan Masyarakat, November 2011
46

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata semakin serius. [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa cara menangani masalah pembuangan


sampah yang tidak terkawal. Nyatakan cara-cara tersebut.
[3 markah]

(iv) Kerajaan mengadakan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Sabtu.
Pada pendapat anda, bagaimanakah kempen ini dapat dijayakan dengan lebih
berkesan?
Berikan tiga cara. [4 markah]
47

SET 24
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang
manfaat pemakanan petai kepada kesihatan dan usaha-usaha untuk mempopularkan
amalan pemakanan petai. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Mendengar saja perkataan petai, pasti ada yang terus memikirkan bau nafas yang
kurang menyenangkan apabila kita menikmatinya. Oleh itu, berkemungkinan besar ada yang
tidak menjamahnya sekiranya menjadi menu makanan pada siang hari ketika waktu bekerja.
Petai merupakan sejenis tanaman yang berasal dari negara tropika, seperti di negara kita
Malaysia dan juga Indonesia. Dengan nama saintifik parkia speciosa dan dimakan sebagai
ulam ini, di sebalik ketidakenakan bau nafas, sebenarnya petai sejenis ulam yang banyak
memberikan manfaat kesihatan kepada kita.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh pakar kesihatan, petai ialah sumber gizi penting
terhadap kesihatan manusia. Penelitian menunjukkan bahawa buah petai memiliki
kandungan sukrosa, fruktosa, dan glukosa. Ketiga-tiga jenis zat ini ialah sumber gula semula
jadi yang boleh menghasilkan tenaga segera bagi mereka yang memakannya. Bahkan,
kandungan protein dalam petai empat kali lebih banyak daripada buah epal. Kandungan zat
besi yang tinggi dalam petai sangat bermanfaat untuk mengurangkan masalah anemia dalam
badan manusia. Petai memiliki kandungan kalium yang cukup tinggi untuk mengatasi stres
dan depresi yang kita alami. Kalium dalam petai juga dapat meningkatkan konsentrasi dan
kemampuan otak seterusnya berfungsi untuk meningkatkan daya ingatan semasa belajar.

Di samping kandungan kalium yang tinggi, ciri-ciri petai yang rendah garam mampu
menstabilkan degupan jantung sekali gus mengurangkan penyakit kardiovaskular. Tekanan
darah yang terjaga akan menurunkan risiko diserang sakit jantung dan merendahkan risiko
gejala strok di samping mengurangkan masalah migrain. Dalam jurnal perubatan baharu
edaran The New England Journal of Medicine, hasil penelitian turut mengatakan bahawa
pemakanan petai secara teratur mampu melancarkan sistem pencernaan dalam usus.Serat
yang banyak terkandung dalam petai berguna melancarkan proses penghadaman dan
perkumuhan. Bagi yang sering mengalami gangguan pencernaan seperti sembelit, pemakanan
petai akan dapat membantu mengurangkan penderitaan sembelit. Dengan amalan pemakanan
petai, toksin tubuh yang mengganggu kesihatan dapat diatasi segera.

Petai juga memiliki manfaat yang pelbagai. Kementerian Kesihatan Malaysia harus
menjalankan kajian yang lebih mendalam untuk mengenal pasti khasiat petai kepada
kesihatan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana khasiat dalam petai yang mudah dicari
di Malaysia mampu memberikan impak baharu kepada bidang perubatan tradisional. Amalan
pemakanan yang sihat mampu memberikan nikmat kesihatan yang baik dan menyejahterakan
kehidupan manusia.

(Dipetik dan diubah suai daripada


rencana Khasiat Petai kepada Manusia
dalam blog akademik www.cikgutancl.blog.spot.com)
48

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata toksin tubuh.


[2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kebaikan daripada penjagaan tekanan darah. Nyatakan
kebaikan-kebaikan tersebut
[3 markah]

(iii) Anak-anak kecil kurang meminati makanan tradisional seperti petai, jering, ulam-ulaman,
dan herba dalam amalan pemakanan mereka.

Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka
mengamalkan pemakanan makanan tradisional?

[4 markah]
49

SET 25
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kerancuan bahasa berlaku dalam kalangan pengguna bahasa Melayu dan kesan-
kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita. Perkara 152 dalam Perlembagaan
Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan
hak bahasa lain untuk digunakan di Malaysia, dipelajari oleh murid, dan dikembangkan oleh
rakyat sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh
dipadamkan kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-
Raja diperlukan sekiranya Perkara 152 hendak dipinda. Walau bagaimanapun, kerancuan
bahasa yang berlaku di negara kita makin hari makin mendukacitakan.
Dalam kajian bahasa yang dilakukan terhadap pengguna bahasa Melayu di Malaysia,
kesalahan ejaan dan bahasa daripada sari kata dalam siaran televisyen telah menjadi punca
utama kerancuan bahasa berlaku. Pada masa yang sama, ketaasuban pengguna bahasa
terhadap bahasa Inggeris juga mengeruhkan keadaan. Maklumlah, ibu bapa pada zaman ini
semakin lama semakin mengagung-agungkan bahasa Inggeris daripada bahasa kebangsaan
kita. Mereka yang kekurangan ilmu dan pengetahuan tentang bahasa Melayu juga
mengeruhkan keadaan yang sudah parah menanti retak. Dalam era penjajahan bahasa asing
ini, pengguna bahasa semakin tidak berminat untuk meningkatkan penguasaan bahasa
Melayu.
Di sebalik itu, ada yang menyalahkan kesilapan daripada ajaran guru sekolah rendah
hingga terbawa-bawa hingga ke peringkat sekolah menengah. Fenomena ini dikeruhkan lagi
oleh pengguna bahasa yang mempercayai dan meyakini bahasa yang digunakan dalam
majalah picisan yang banyak membuat kesalahan ejaan, frasa, imbuhan, dan struktur ayat.
Akhbar arus perdana turut mencemarkan bahasa Melayu dengan kesalahan bahasa yang
kritikal sehingga menggores hati dan mengecewakan pengkaji bahasa. Segelintir pengguna
bahasa juga dikatakan kurang caknaakan perubahan dan pemantapan bahasa Melayu yang
gramatis. Wartawan bukan graduan dalam bidang bahasa meracun bahasa Melayu.
Yang paling menyedihkan ialah pemimpin masyarakat yang menggunakan bahasa
Melayu tidak gramatis mencerminkan ketidakprihatinan mereka terhadap bahasa Melayu.
Sikap pemimpin yang kurang peka akan kesilapan bahasa Melayu ini seolah-olah
mencerminkan kurangnya semangat cinta akan negara dalam diri mereka. Janganlah kita
berasa hairan sekiranya ejaan makanan yang betul seperti “kuetiau” dieja “koeytiao”,
“martabak” pula dieja “murtabak”, dan “sate” dieja “satey” oleh pengguna bahasa Melayu.
Akhir kata, bahasa jiwa bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa. Janganlah kita lupa akan
hakikat bahawa menunjukkan bangsa.

(Dipetik dan diubah suai daripada


rencana Kadar Rancu Kita Berbahasa
dalam blog akademik www.cikgutancl.blogspot.com)
50

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata kurang cakna. [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa hak bahasa lain di negara kita.


Nyatakan hak-hak tersebut. [3 markah]

(ii) Selain guru-guru sekolah yang harus mendidik anak murid supaya menggunakan bahasa
Melayu dengan betul, peranan pelbagai pihak juga penting untuk mendaulatkan bahasa
kebangsaan kita agar dapat mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Pada pendapat anda, apakah peranan kerajaan untuk mengantarabangsakan bahasa


Melayu?
[4 markah]
51

SET 26
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
semangat kejiranan semakin luntur dan kesannya.Panjangnya rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Hubungan baik sesama
jiran mesti dijaga bagi membina kehidupan yang harmoni, menjamin keselamatan berkekalan dan
memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Pada zaman dahulu,
hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata peribahasa Melayu hidup sandar-menyandar 'seperti aur
dengan tebing'. Kini, hubungan sesama jiran semakin renggang walaupun pada hakikatnya rumah
mereka sangat dekat. Punca utama yang sering dijadikan alasan yang membatasi pergaulan dan
kelunturan semangat kejiranan ialah tuntutan hidup yang serba mencabar di kawasan bandar.
Ada jiran tetangga yang saling tidak mengenali, malah tidak pernah bertegur sapa. Setiap
anggota masyarakat asyik sibuk dengan kerja dan tanggungjawab masing-masing sehingga mereka
tidak dapat meluangkan masa dengan jiran kerana masing-masing mengambil sikap tidak
mempedulikan antara satu sama lain. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sibuk dengan
pekerjaan masing-masing sehingga terpaksa keluar sebelum matahari terbit dan pulang pada lewat
malam. Selain itu, kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga
kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan dan kesuntukan masa untuk bergaul
atau bertegur sapa sesama jiran.
Fenomena tersebut bertambah parah dengan proses urbanisasi yang menyebabkan masyarakat
lebih bersikap individualistik atau tidak mahu mengambil tahu hal orang lain. Sikap individualistik
dan sibuk dengan hal sendiri hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar. Perubahan
sikap ini telah menghilangkan semangat kekitaan yang selama ini menebal dalam kalangan
masyarakat. Tambahan pula, keadaan masyarakat di bandar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan
bangsa telah menyukarkan mereka berinteraksi dengan lebih mesra dan dekat. Ada pula dalam
kalangan mereka yang bersifat merendah diri dan memang tidak suka bergaul dengan orang lain
kerana perbezaan pangkat dan latar belakang sosioekonomi. Orang yang berpangkat tinggi mungkin
tidak selesa bergaul dengan jiran yang berpangkat rendah. Ada pula yang bersifat dengki, benci-
membenci dan berpaling muka sesama jiran menyebabkan semangat kejiranan semakin jauh.
Faktor teknologi maklumat dan komunikasi turut menyebabkan masyarakat hari ini kurang
menghiraukan semangat kejiranan. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan perkembangan
teknologi maklumat yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan anggota
masyarakat yang lain. Dengan penggunaan telefon, faksimile dan Internet, masyarakat kita seolah-
olah tidak perlu bertemu secara bersemuka untuk berhubung. Tambahan pula, struktur dan reka
bentuk perumahan moden juga menyulitkan hubungan semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat kita. Kebanyakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok dan pagar yang
tinggi serta halangan daripada kawalan pengawal keselamatan berbayar. Sesetengah anggota
masyarakat pula bersikap materialistik. Mereka kurang membuat kebajikan sesama iran dan tidak
akan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dapat merapatkan hubungan silaturahim
antara jiran. Mereka lebih mengutamakan pembangunan material daripada pembangunan kerohanian
kerana menganggap perkara itu tidak mendatangkan sebarangan keuntungan.

Dipetik dan diubah suai daripada


'Kemerosotan Nilai Kejiranan'
oleh Samat Buang,
( Dewan Siswa, Mac 2016
52

Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata membatasi pergaulan.


[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kepentingan menjaga hubungan baik sesama jiran.
Apakah kepentingan-kepentingan tersebut.?
[3 markah]

(iii) Semangat kejiranan tidak akan berkembang dengan hanya bersembang pendek.
Pada pendapat anda, apakah cara-cara untuk mengenali jiran kita dengan lebih
mendalam?
[4markah]
53

SET 27
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha
menangani rasuah dan kesan-kesan negatif gejala rasuah kepada negara. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Rasuah bukanlah suatu fenomena baru yang wujud dalam masyarakat moden.
Kewujudannya telah dikesan sejak ribuan tahun yang lalu dan masalah ini berlaku dalam
semua masyarakat sejak manusia mengenal erti peradaban serta membina ketamadunan.
Rasuah boleh diertikan sebagai penyuapan, pemerasan dan juga nepotisme. Dalam
masyarakat kita rasuah juga dikenali sebagai sogokan, duit kopi, duit bawah meja dan makan
suap. Perbuatan dan amalan ini dilakukan secara sembunyi dan rahsia dengan melibatkan
sekurang-kurangnya dua orang ataupun dua pihak. Amalan ini melibatkan elemen timbal
balik dan juga melibatkan pihak yang mampu mempengaruhi sesuatu keputusan. Rasuah
selalunya mengandungi unsur-unsur penipuan yang melibatkan masyarakat umum dan
pelanggaran undang-undang yang dilakukan secara sedar bertujuan untuk mendapat
keuntungan. Atas kesedaran itu, langkah dan tindakan kerajaan kita untuk memerangi serta
membenteras rasuah secara habis-habisan hingga peringkat akar umbi amatlah dialu-alukan.
Dalam menangani gejala rasuah ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia
(SPRM) perlulah berperanan lebih aktif. SPRM mestilah bersikap lebih tegas dan komited
dalam melaksanakan tugasnya, di samping pihak kerajaan memperketat undang-undang
terhadap golongan yang terlibat dengan rasuah. Penubuhan Institut Etika Awam dan Pelan
Integriti Nasional adalah antara cadangan yang baik untuk memerangi rasuah,
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pada pelbagai peringkat pentadbiran. Hal ini
demikian kerana jika tidak dibendung dengan segera, rasuah sudah pasti akan menular dalam
seluruh kehidupan masyarakat. Rasuah bolehlah diibaratkan virus yang hinggap pada tubuh
badan manusia dan akhirnya merebak sebagai kanser yang membunuh mangsa itu sendiri.
Di samping itu, kakitangan sektor awam ataupun sektor swasta mestilah mempunyai
jati diri yang mantap dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pekerja yang telus
dan ikhlas selaras dengan slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Pada masa yang sama, sikap
menghindari rasuah perlu disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu
menjadi teladan dan membimbing anak-anak agar mereka menjauhi rasuah. Selain itu, pihak
sekolah perlu memberi pendedahan tentang keburukan rasuah. Guru-guru hendaklah sentiasa
menerapkan nilai-nilai positif kepada pelajar melalui semua mata pelajaran terutamanya mata
pelajaran Pendidikan Islam ataupun Moral. Di samping itu, masyarakat juga perlu prihatin
dengan gejala rasuah yang berlaku di persekitaran mereka. Mereka sepatutnya membuat
laporan kepada pihak yang bertanggungjawab jika mengetahui wujudnya gejala rasuah agar
sesuatu tindakan dapat diambil dengan segera.
Untuk menyelesaikan masalah ini, komitmen dan sokongan daripada semua pihak,
khususnya anggota masyarakat itu sendiri sangat diperlukan. Rasuah merupakan masalah
masyarakat dan berpunca daripada masyarakat. Jadi, penyelesaian terhadap masalah ini harus
melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa sebarang pengecualian.

(Dipetik dan diubah suai daripada Cabaran ke Arah Rasuah Sifar :


Berita Harian Julai 2010)
54

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, dan jawab soalan-soalan yang berikut menggunakan
ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata hingga peringkat akar umbi.


[2 markah]

(ii) Nyatakan cara-cara yang berkesan yang dapat dilakukan untuk membanteras gejala
rasuah?
[4 markah]

(iii) Pada pendapat anda, nyatakan tindakan-tindakan yang boleh dikenakan terhadap individu
yang terlibat dalam gejala rasuah. [4 markah]
55

SET 28
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
membendung masalah jenayah dan faedahnya. Panjang rumusan tidak melebihi 120
perkataan.

Kita perlu berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan kerana kejadian jenayah


boleh berlaku tanpa diduga. Kes seorang eksekutif pemasaran wanita berusia 25 tahun
dipercayai dirogol sebelum dibunuh di Sungai Petani, Kedah dan banyak lagi kejadian
jenayah yang dilaporkan media massa hampir setiap hari sejak kebelakangan ini secara tidak
langsung menimbulkan kebimbangan kepada kita. Kita mungkin masih ingat kejadian
jenayah kes berat seperti kes rogol dn bunuh yang pernah menggemparkan seluruh negara
sebelum ini, seperti kes pembunuhan Canny Ong pada Jun 2003, Norita Shamsudin pada
Disember 2003 serta kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani
yang juga dibunuh selepas dirogol pada Januari 2004.
Rentetan kes jenayah ini, serta kejadian samseng jalanan, samun, rompak, culik,
pembunuhan hinggalah k ekes ragut, semuanya jelas mencalarkan reputasi negara yan aman
dan toleransi ini. Kita tidak bertujuan menakutkan orang ramai atau cuba membesar-besarkan
kes jenayah yang berlaku. Kita tidak mahu terus hidup dalam kebimbangan, takut berjalan
bersendirian diluar rumah sama ada siang atau malam, malah berfikir dua kali sebelum keluar
berjogging dan beriadah. Apa yang penting kita bersama-sama menjaga keselamatan kawasan
perumahan kita. Selain itu, kita perlu mengenali lebih rapat jiran supaya mudah untuk kita
memerlukan pertolongan jika menghadapi sesuatu musibah. Dalam pada itu, kita hendaklah
sentiasa berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali atau mereka yang berkelakuan
mencurigakan di kawasan persekitaran kita.
Apakah sebenarnya yang mendorong penjenayah ini sehingga mereka sanggup
membunuh dan melakukan kekejaman ke atas orang yang tidak bersalah, sedangkan budaya
kita tidak pernah dikaitkan dengan sebarang bentuk keganasan dan kekerasan? Mungkinkah
kebanjiran begitu ramai warga asing kini menyumbang kepada peningkatan kes jenayah? Jika
diteliti kebanyakan kes culik dan bunuh ada kaitan dengan kes rogol. Apakah mungkin ini
berlaku kerana adanya terlalu banyak ubat peransang seks di pasaran sehingga manusia
hilang pertimbangan akal demi memuaskan nafsu mereka? Kita tidak boleh membiarkan
penjenayah terus mencemarkan imej negara, terutama di mata pelancong asing. Jangan
kerana tindakan mereka ini, pelancung takut mengunjungi Malaysia, sekaligus meruntuhkan
industri pelancongan kita.
Setelah mengkaji punca berlakunya jenayah, sewajarnya kita mengetahui cara untuk
mengatasinya. Bagi yang berjalan kaki, elakkan melalui kawasan sunyi untuk mengelakkan
kejadian jenayah seperti gejala ragut. Dalam waktu yang sama masyarakat hendaklah
perihatin apabila mendengar jeritan orang yang tidak dikenali, yang kemungkinan mahu
meminta pertolongan. Bagi taman perumahan yanag terdedah kepada jenayah, kita
mengharapkan polis membuat rundaan lebih kerap. Kita akui polis mempunyai tugasan yang
perlu diselesaikan dan tidak mungkin mampu membuat rondaan di setiap taman
perumahan. Oleh hal yang demikian, penduduk boleh mengumpul wang dan seterusnya
mendapatkan khidmat pengawal keselamatan secara tetap. Penduduk juga boleh
menghidupkan semula konsep Rukun Tetangga yang bertugas mengawal taman perumahan
pada waktu malam. Ingatlah, jenayah akan datang ketika kita sedang dalam keadaan leka.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana pengarang,


Kerjasama Masyarakat Penting Banteras Jenayah, Berita Harian, 17 Januari 2006
56

Soalan 2: Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan


ayat anda sendiri

(i) Berikan maksud rangkaikata Renteten kes jenayah. [2 markah]

(ii) Apakah kesan jenayah yang banyak berlaku sejak akhir-akhir ini?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah seseorang itu sanggup melakukan jenayah?
[4 markah]
57

SET 29
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor
pengangkutan awam semakin tidak popular dan kewajaran masyarakat mengutamakan
perkhidmatannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Pengangkutan awam merupakan satu alternatif untuk sampai ke destinasi yang biasa
dilihat terutamanya di kota-kota besar. Walau bagaimanapun, sering juga terdengar rungutan
tentang masalah masa perjalanan pengangkutan awam di negara kita yang tidak tetap. Perkara
inilah yang mendorong sebilangan pekerja menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja
daripada menaiki pengangkutan awam. Selain itu, ada yang beranggapan bahawa
pengangkutan awam disediakan hanya untuk golongan yang kurang mampu. Oleh hal yang
demikian, mereka tidak mahu untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.
Sikap suka meremehkan perkhidmatan pengangkutan awam harus dikikis daripada
pemikiran kita semua. Hal ini demikian kerana pengangkutan awam mempunyai kepentingan
dan peranannya yang tersendiri dalam membantu orang ramai sampai ke destinasi. Di negara-
negara maju pengangkutan awam telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyatnya.
Senario seumpama ini belum wujud sepenuhnya di negara kita kerana pengangkutan awam
bukan saja dianggap tidak cekap, malah sering disalahkan kerana tidak menyediakan
perkhidmatan yang mampu memenuhi keperluan para pengguna. Selain itu, mutu
pengangkutan awam di Malaysia dikatakan ketinggalan jika dibandingkan dengan mutu
pengangkutan awam di negara-negara lain. Sebagai akibatnya, pengangkutan awam menjadi
semakin tidak popular di kalangan masyarakat kita dan kepentingannya hilang di tengah-
tengah arus pembangunan negara. Selain itu, ada dakwaan lain yang menyebut bahawa
banyak terdapat perkhidmatan teksi dan bas yang dijadikan pengangkutan awam sudah uzur
dan tidak layak bergerak di atas jalan raya. Di samping itu, terdapat juga kereta sewa yang
beroperasi sebagai pengangkutan awam tetapi kebanyakannya dalam keadaan yang cukup
uzur dan usianya melebihi sepuluh tahun.

Kesulitan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam pada waktu
puncak sudah berlarutan beberapa Iama dan perkara ini melemahkan semangat mereka untuk
menggunakannya. Oleh sebab itu, langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ini
jika kerajaan mahu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Perkhidmatan bas misalnya, perlu ditambah dan diperkemas jadual perjalanannya supaya
tidak terus menimbulkan kesulitan kepada orang ramai yang terpaksa menunggu ketibaan bas
secara tidak menentu sebelum mereka sampai ke tempat yang dituju. Dalam tempoh terdekat
ini suatu kempen besar-besaran perlu dilakukan untuk menarik minat orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. Syarikat pengangkutan awam pula wajar menyediakan
insentif kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh mereka,
misalnya dengan memberikan potongan harga bagi perjalanan jangka masa panjang.
58

Soalan 2 :Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

i. Apakah maksud alternatif untuk sampai ke destinasi dalam petikan di atas?


[2 markah]

ii. Bagaimanakah perkhidmatan pengangkutan awam dapat dibaiki? [3 markah]

iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah masalah penumpang yang dikenakan bayaran yang
mahal oleh pemandu teksi dapat ditangani?
[6 markah]
59

SET 30
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu isi rumusan tentang peranan
sekolah memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan faedahnya kepada negara.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Sekolah dalam apa-apa jua keadaan harus sentiasa menjadi penggalak kepada pelajar
agar mempunyai tanggapan yang positif terhadap negara sendiri. Pepatah 'hujan emas di
negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri', seharusnya
dibincangkan dengan mendalam di sekolah. Sebagai agen perpaduan, sekolah pada dasarnya
bertanggungjawab menerapkan nilai murni kepada pelajar. Sifat yang wujud dalam nilai ini
diharapkan dapat mengubah persepsi pelajar terhadap kepentingan kewujudan masyarakat
majmuk di negara ini. Satu perkara lagi yang seharusnya dipupuk dalam kalangan pelajar di
negara ini ialah pengetahuan dan sikap positif pelajar terhadap negara Malaysia yang tercinta
ini. Pelajar hendaklah diberi kefahaman bahawa mereka seharusnya mempunyai identiti
rakyat Malaysia yang sebenar. Sementara itu, sekolah juga merupakan agen sosialisasi yang
sangat berkesan. Dalam hal ini, sekolah hendaklah memastikan bahasa Melayu digunakan
sebagai bahasa pengantar dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran.
Pada masa yang sama, pembelajaran di sekolah seharusnya menekankan kaedah yang
membolehkan pelajar memahami roh dan prinsip Rukun Negara. Perkara ini semakin tidak
dihiraukan oleh kebanyakan pihak. Begitu juga halnya dengan proses pemasyarakatan
pelajar. Pelajar perlu dilatih, diasuh, dikawal dan dikehendaki mengikuti dan mengamalkan
nilai-nilai murni yang menjurus ke arah perpaduan dalam kalangan masyarakat. Selain itu,
sekolah juga mampu menerapkan nilai-nilai murni ketika guru dan pelajar melaksanakan
aktiviti-aktiviti secara kolektif. Perkara ini boleh dilaksanakan ketika sekolah mengadakan
aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan harian, nyanyian lagu Negaraku, pembacaan ikrar Rukun
Negara dan upacara menaikkan bendera. Seterusnya, peranan guru di sekolah amatlah besar
dalam merealisasikan hasrat murni ini. Mereka perlu memastikan setiap aktiviti menerapkan
proses menghayati dan mengamalkan perpaduan, semangat kenegaraan, kebersamaan, dan
patriotisme. Sikap guru itu sendiri perlu menunjukkan bahawa perpaduan sangat penting
kerana tindakan guru boleh mempengaruhi para pelajar di sekolah.
Sistem pendidikan semata-mata tidak akan mampu mewujudkan perpaduan yang
menjadi asas gagasan 1Malaysia. Ibu bapa sepatutnya menyokong dan membantu guru
merancang serta melaksanakan apa-apa jua program yang boleh memenuhi hasrat dan cita-
cita murni ini. Di rumah, ibu bapa seharusnya menyambung segala tugas guru untuk
memupuk perpaduan supaya tidak wujud pertembungan nilai, di samping menjadi suri
teladan ketika berinteraksi dengan masyarakat sekeliling yang berlainan kaum. Jika kedua-
dua pihak memainkan secara kolektif peranan ini secara sedar dan bersungguh-sungguh,
sudah pasti gagasan ini akan menjadi kenyataan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Merealisasikan Gagasan 1Malaysia"
oleh Mohd. Saleh Ismail, Dewan Masyarakat, September 2009)
60

Soalan 2 :Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata tanggapan yang positif. [2 markah]

(iii) Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu pihak sekolah merealisasikan hasrat untuk
mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar? [3 markah]

(iv) Pada pendapat anda, apakah halangan-halangan yang dihadapi oleh pihak sekolah
dalam menjayakan agenda perpaduan negara?
[4 markah]

Anda mungkin juga menyukai