Anda di halaman 1dari 3

TEKNIK MENJAWAB BAHASA MELAYU KERTAS 1

(BAHAGIAN A)
Pendahuluan terdiri daripada:

1)Tema
2)Kumpulan/Golongan sasaran
3)Bahasa Indah/ Ungkapan Menarik
4)Tugasan  

Contoh ayat:

Sejak akhir-akhir ini, isu membaca kian menjadi polemik dalam kalangan mujtamak seantero
Malaysia.(Tema)Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam
mendidik anak-anak untuk membaca bermula daripada peringkat rendah lagi.(Kumpulan
sasaran) Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.(Bahasa Indah/Ungkapan
Menarik) Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak
anak untuk membaca? (Tugasan)

Isi terdiri daripada:

1)Ayat Topik
2)Ayat Huraian
3)Ayat Contoh
4)Bahasa Indah/Ungkapan Menarik
5)Ayat Penegas

Contoh ayat:

Pada pendapat saya, aktiviti membaca dapat mengisi masa lapang kita (Ayat Topik). Hal ini dikatakan
demikian kerana kita dapat memanfaatkan masa lapang dengan membaca yang mana boleh
mengelakkan masa lapang kita terbuang begitu sahaja (Ayat Huraian). Membaca juga boleh
menghindarkan kita daripada melakukan perkara-perkara onar seperti melepak, merokok,
menghabiskan masa di pusat kafe siber dan bersembang perkara yang sia-sia (Ayat Contoh) seperti
membuang garam ke laut (Ungkapan Menarik). Sudah terang lagi bersuluh, amalan membaca dapat
memanfaatkan masa lapang kita.(Ayat Penegas)
Penutup terdiri daripada:

1) Ayat Pandangan
2) Ayat Cadangan
3) Bahasa Indah
4) Ayat Harapan

Contoh Ayat "

Sebagai pengitlakan, murid-murid sepatutnya menyertai aktiviti kokurikulum bagi memperoleh


faedahnya (Ayat Pandangan). Murid-murid dapat mengelakkan diri daripada terpengaruh oleh rakan-
rakan yang berfikiran sempit dengan mengambil langkah yang proaktif seperti bijak memilih rakan
sebaya (Ayat Cadangan). Pepatah Arab ada menyatakan, jika kita berkawan dengan saudagar
minyak wangi, kita akan dapat bau wanginya, jika kita berkawan dengan tukang besi, kita akan terasa
bahangnya (Bahasa Indah). Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu mengambil prakarsa yang
pragmatik dengan mewajibkan semua murid menyertai aktiviti kokurikulum (Ayat Harapan).
TEKNIK MENJAWAB BAHASA MELAYU KERTAS 1
(BAHAGIAN B)
Bahagian B merupakan soalan yang wajib para pelajar skor untuk mendapatkan markah yang
cemerlang kerana bahagian B mewakili 100 markah daripada 130 markah pada kertas 1.
Bahagian B juga perlu ditulis melebihi 350 patah perkataan.

Cadangan Buat para pelajar:


•Buat 6 perengaan yang terdiri daripada 1 pendahuluan, 4 isi dan 1 penutup
•Anggarkan 70 patah perkataan bagi setiap perenggan
•Pastikan setiap perenggan seimbang kerana perenggan yang tidak seimbang  menunjukkan bahawa
para pelajar  tidak kreatif dalam menulis karangan.

Pendahuluan Terdiri Daripada:


•Definisi
•Ayat Huraian- Para pelajar boleh menulis 2 atau lebih huraian mengikut kreativiti para pelajar
•Ayat Contoh 
•Ayat Arah/Ayat Tuju

Contoh Ayat:

        Dalam meranduk gelombang modenisasi pada abad ke-21 ini, dunia menyaksikan iktisad negara
membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikin dasawarsa ini, isu faedah
kokurikulum kian menjadi polemik dalam kalangan mujtamak, ibu bapa khususnya. Secara
konsepnya, aktiviti kokurikulum diasaskan oleh kerajaan untuk melahirkan modal insan yang
seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelektual yang bakal menjadi pemimpin pada masa
hadapan (Definisi). Remaja boleh diibaratkan seperti satu kertas putih yang perlu dicorak atau dilakar
oleh ibu bapa untuk menjadikan seseorang remaja itu mencapai kejayaan pada masa hadapan. Ibu
bapa perlu cakna terhadap perkembangan anak-anak mereka (Ayat Huraian). Menurut mantan
Perdana Menteri kita, Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk melahirkan masyarakat Hadhari, kita perlu
memupuk perpaduan dari akar umbi persis aforisme Melayu, melentur buluh biarlah dari
rebungnya (Ayat Contoh). Persoalannya, apakah kebaikan yang diperoleh remaja jika menyertai
aktiviti kokurikulum ini?(Ayat Arah)

Isi Terdiri Daripada:


•Ayat Topik
•Ayat Huraian - Para pelajar boleh menulis 2 atau lebih huraian mengikut kreativiti para pelajar
•Ayat Contoh
•Ayat Penegas

Contoh Ayat:     

       Antara faedahnya ialah aktiviti kokurikulum dapat mengisi masa lapang remaja. Dengan adanya
aktiviti ini, mereka dapat mengelakkan diri daripada membuang masa kerana sesungguhnya masa itu
emas (Ayat Topik). Hal ini dikatakan demikian kerana mereka akan menghadiri aktiviti kokurikulum
yang biasanya diadakan pada setiap petang hari rabu (Ayat Huraian). Dengan ini, mereka tidak akan
menggunakan masa terluang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti melepak.
merokok, menghabiskan masa di kafe siber dan merempit. Sementelahan itu, remaja dapat
mengelakkan diri daripada terpengaruh oleh persekitaran yang tidak baik. Tamsilnya, seseorang
remaja akan menjadi liar dan tidak terkawal jika sering menghabiskan masa terluangnya dengan
berkunjung ke tempat-tempat yang tidak bermoral. Hal ini juga boleh disifatkan sebagai serampang
dua mata kerana remaja juga dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi ketika mentelaah
pelajaran. Menurut kajian yang dijalankan, di India kes bunuh diri yang paling banyak dicatatkan
melibatkan remaja yang tidak tahu mengatasi tekanan ketika belajar(Ayat Contoh). Dalam konteks ini,
remaja atau belia boleh mengambil prakarsa dengan menghadiri aktiviti kokurikulum yang mempunyai
pelbagai aktiviti riadah yang boleh dijalankan. Izharnya, aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti yang
boleh mengisi waktu senggang remaja (Ayat Penegas).

Penutup Terdiri Daripada:


•Ayat Kesimpulan
•Ayat Cadangan
•Ayat Harapan

Contoh Ayat:
   
      Sebagai pengiktilakan, murid-murid sepatutnya menyertai aktiviti kokurikulum bagi memperolehi
faedahnya (Ayat Kesimpulan). Murid-murid tidak seharusnya terpengaruh oleh rakan-rakan yang
mempunyai pemikiran negatif mengenai aktiviti kokurikulum. Pepatah Arab ada menyatakan, jika
kamu berkawan dengan seorang saudagar minyak, kamu akan dapat bau wanginya, jika kamu
berkawan dengan tukang besi, kamu akan dapat bahangnya. Oleh itu, remaja haruslah bijak dalam
memilih rakan (Ayat Cadangan). Bukan itu sahaja, ibu bapa tidak wajar mempunyai persepsi yang
buruk terhadap aktiviti kokurikulum. Sepatutnya, mereka perlu menggalakkan anak-anak mereka
menyertai aktiviti ini. Ibu bapa yang melarang anaknya menyertai aktiviti ini tidak ubah seperti katak di
bawah tempurung kerana tidak berfikiran di luar kotak. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu
mengambil prakarsa yang pragmatik dengan mewajibkan semua murid menyertai aktiviti
kokurikulum (Ayat Harapan).

Anda mungkin juga menyukai