Anda di halaman 1dari 5

Contoh Karangan Bahagian A

JAWAPAN CONTOH

Bahagian A

Karangan berpandu : Berdasarkan pelbagai bahan rangsangan

Markah : 30 markah

Masa : 45 minit

PERENGGAN 1 : PENDAHULUAN

Dalam meniti arus modenisasi yang kian rancak, masyarakat pada zaman millenium ini sudah
semakin ‘ketagih’ mengejar kemewahan duniawi sehinggakan mereka alpa terhadap kesihatan tubuh
badan mereka. Senario ini jika dibiarkan menular dalam kalangan masyarakat kita akan
mengakibatkan hasrat kerajaan untuk menjayakan dan merealisasikan Wawasan 2020 hatta gagasan
1Malaysia sekalipun terbantut. Apakah peranan kita sebagai rakyat yang prihatin terhadap kemajuan
negara dalam mengatasi kemelut ini? Usaha yang dapat kita lakukan bagi menyelesaikan krisis ini
adalah dengan menjalani kehidupan yang sihat. Belakangan ini, banyak adpertensi disiarkan oleh
pihak media bagi memaparkan cara-cara mengemudikan kehidupan agar sihat dan sejahtera.

PERENGGAN 2 : ISI UTAMA

Amalan mendapatkan tidur dan rehat yang mencukupi merupakan antara cara yang unggul
bagi menjalani hidup yang sihat (Apa : isi utama). Rehat dan tidur yang mencukupi amatlah
diperlukan bagi mendapatkan tubuh badan yang sihat. (BAGAIMANA : CARA). Kita tidak mahu nanti
keadaannya bak nasi sudah menjadi bubur atau sudah terhantuk baru terngadah. Kita memerlukan
rehat dan tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari bagi memastikan otak dan fizikal kita dapat
digunakan semula (BAGAIMANA : CARA). Sebagai tamsilnya, kita kerap kali melihat berita di rubrik
akhbar yang melaporkan calon-calon peperiksaan awam masih gah menjawab kertas peperiksaan
walaupun mengambil masa yang agak lama (CONTOH). Oleh yang demikian, kita haruslah
mengamalkan gaya hidup sihat iaitu mendapatkan rehat dan tidur yang mencikupi (AYAT
PENEGASAN)

PERENGGAN 3 : ISI KEDUA

Selain itu, metode lain yang harus kita cakna dan asimilasikan dalam kehidupan kita adalah
menjalani pemeriksaan kesihatan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liew Tiong Lai mengajak rakyat
Malaysia agar tidak berat tulang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat-pusat kesihatan
yang berdekatan kerana tindakan ini akan ‘menyelamatkan’ kita daripada menghidap penyakit-
penyakit kronik bak kata orang tua-tua , mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Setiap individu
seharusnya menjalani pemeriksaan setiap enam bulan bagi mengetahui kondisi kesihatan diri.
Masyarakat pada masa ini sering menghidap penyakit kronik walaupun pada usia yang muda iaitu
sekitar 30 hingga 40 tahun. Tegasnya, seyogialah kita mengamalkan budaya menjalani pemeriksaan
kesihatan agar tubuh badan kita sentiasa berada dalam keadaan baik.

PERENGGAN 4 : ISI KEEMPAT

Amalan cara hidup sihat adalah tidak sukar sekiranya kita mengikut garis panduan yang
betul. Langkah terpenting yang menjadi faktor perdana atau tunjang kepada amalan hidup sihat
adalah mempraktikkan pemakanan seimbang diperlukan oleh badan mengikut sukatan yang betul.
Keadaan ini dapat dilihat melalui piramid makanan yang menempatkan karbohidrat di lapisan
terbawah yang bererti nutrisi tersebut diperlukan oleh badan dalam kuantiti yang banyak.
Pengambilan nutrisi secara berkurangan ataupun berlebihan akan menyebabkan seseorang itu
menghidap penyakit-penyakit tertentu. Sebagai contohnya, terdapat penyakit yang melanda
masyarakat di negara miskin seperti Haiti disebabkan kurangnya protein dalam badan. Oleh yang
demikian, amalan pemakanan seimbang adalah sangat penting dalam kita menjalani kehidupan yang
sihat.

PERENGGAN 5 : PENUTUP

Akhirulkalam, jelaslah kepada kita bahawa kehidupan manusia dan kesihatan memang
tidak dapat dipisahkan. Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Datuk
Seri Mohd Najib Tun Razak agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat
agar misi Malaysia untuk mencapai status negara maju dan menjadi contoh kepada negara lain
tercapai. Maka secara realitinya menunjukkan bahawa betapa penting cara atau langkah dalam
menjana kehidupan yang lebih sihat. Sediakan payung sebelum hujan merupakan peribahasa yang
amat bersesuaian dengan maaduk cara menjaga kesihatan, jadi di sini mencegah adalah lebih baik
daripada mengubatinya. Secara kesinambungannya, pelbagai usaha mestilah diimplementasikan
oleh semua pihak kerana ‘kehidupan yang bermakna adalah kehidupan yang sihat’.

Markah : 28/30

Ulasan
Takrif : Menepati dan menjawab tugasan

Bahasa : Gramatis, luas & tepat penggunaan kosa kata,

Pengolahan : Menarik, berkesan,huraian isi jelas dan matang


Contoh Karangan Bahagian B
Soalan 1

Dalam meladeni arus pascamodenisme yang semakin mencabar dari semasa ke semasa ini,
nusa yang kita cintai ini semakin utuh dan terkenal di persada antarabangsa. Jelas bahawa
pembangunan negara kita semakin rancak dan selaras dengan negara-negara maju yang lain bak
aforisme yang sering diperkatakan, ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’. Namun begitu, dari segi
pembangunan atau pembinaan jati diri murid yang berdisiplin, negara kita masih belum berjaya
sepenuhnya. Semakin negara kita berusaha mencapai status negara maju, semakin meningkat
peratus pelajar sekolah yang terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Hal ini telah diakui oleh
Datuk Ahmad Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran dalam satu program temu bual tv. Usaha
telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini. Saya
sebagai seorang pengawas yang telah diberikan mandat oleh pihak sekolah, mempunyai cara yang
tersendiri untuk membentuk murid yang berdisiplin. Izharnya, seseorang individu yang bergelar
pengawas berperanan penting dalam membantu pihak sekolah dalam membentuk murid yang
berdisiplin.

Peranan utama saya untuk membantu pihak sekolah dalam membentuk murid yang
berdisiplin adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sekolah dengan sebaik mungkin.
Hal ini saya anggap afdal kerana pengawas telah diklasifikasikan sebagai orang kedua selepas guru
dalam membentuk peribadi murid yang mulia dan mengharmonikan sekolah. Soal membentuk dan
melahirkan murid yang berdisiplin amat penting kerana Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata,
‘Jika kamu ingin mengetahui masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi muda yang berada di
hadapan anda’. Maka,kata-kata ini menunjukkan bahawa generasi muda yang berdisiplin, berdedikasi
dan beriltizam dalam setiap aspek amat penting kepada negara dan jatuh bangun sesebuah negara
bergantung kepada generasi muda itu. Jadi, saya sebagai pengawas akan menguatkuasakanundang-
undang dan peraturan sekolah dengan melakukan beberapa tindakan yang sewajarnya
diimplementasikanoleh seorang pengawas sekolah seperti menegur pelajar-pelajar yang berambut
panjang, memantau mereka yang berpakaian tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya dan
meleraikan pergaduhan antara mana-mana pelajar sekiranya difikirkan tindakan itu tidak
membahayakan nyawa. Tindakan-tindakan seperti ini penting atau adiwarna diambil demi
memastikan keadaan sekolah aman, sesi pembelajaran (P&P) berjalan lancar dan perhubungan
pelajar sentiasa terkawal. Tuntasnya, penguatkuasaan peraturan sekolah merupakan elemen yang
penting dalam membentuk modal insan yang madani dan syumul.

Selain itu, modus operandi lain yang sepatutnya saya lakukan adalah menunjukkan
teladan yang baik kepada semua pihak terutama rakan murid dalam semua aspek termasuk
pemakaian, pertuturan, pembelajaran dan yang paling penting, sikap dan perwatakan. Hal ini
demikian kerana para pelajar atau murid merupakan insan yang baru sahaja mengenali dunia
sebenar. Ramai pelajar atau murid yang masih ‘mentah’ dan mudah terpengaruh dengan sesuatu
perkara terutama. Jika persekitarannya baik, maka baiklah seseorang itu. Jika persekitaran
sebaliknya pula muncul, natijah yang membawa impak negatif akan ‘menjuarai’ tindakan seseorang.
Jadi, para pengawas seharusnya berupaya menjadi suri teladan kepada orang lain dan seharusnya
memantapkan diri lagi dengan sifat-sifat yang mulia dan berkarisma. Keupayaan untuk melakukan
pengawasan dan pengawalan secara berhikmah merupakan aset berharga seorang pengawas. Saya
yakin dan percaya bahawa para pengawas yang mempunyai keperibadian mulia seperti ini sentiasa
didambakan oleh para murid justeru menjadikan para pengawas ini sebagai kawan. Jadi, kita
seharusnya mendekati para murid itu dengan harapan agar mereka akan menjadi seperti diri kita
sendiri. Dengan itu, murid yang berdisiplin dapat dibentuk manakala beban sekolah untuk
memastikan semua murid berdisiplin dapat dikurangkan. Senario ini persis slogan ,’Hulurkan tangan
ringankan beban’. Oleh itu, melalui peranan ini, saya berharap agar dapat membantu sekolah
membentuk murid yang berdisiplin di samping mengekalkan nama baik sekolah.

Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah
sentiasa bersama dengan para murid yang bermasalah dengan nawaitu ingin memberi nasihat dan
panduan kepada mereka. Langkah turut serta ini menurut seorang motivator terkenal , Dr. Hushim
Yahaya merupakan langkah ‘turun padang’ yang akan merapatkan dan memantapkan hubungan
pemimpin dengan pihak yang dipimpin. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, ‘Anak-anak yang
dilahirkan ibarat sehelai kain putih yang bersih lagi suci. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa untuk
membentuk akhlak anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Majusi atau Nasrani’. Melalui sabda
Rasulullah S.A.W. ini, dapatlah kita simpulkan bahawa anak-anak ataupun para murid merupakan
manusia yang memerlukan bimbingan dan dorongan daripada semua pihak. Ibu bapa memainkan
peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak. Sesetengah murid yang mempunyai masalah
tidak mendapat perhatian daripada ibu bapa yang sibuk bekerja akan melepaskan perasaan tidak
puas hati mereka itu di sekolah dengan melanggar peraturan sekolah bermotifkan dendam untuk
menyakitkan hati kedua ibu bapa. Saya berpendapat bahawa dengan cara mendekati para murid
serta bertanyakan masalah mereka, akan mengurangkan rasa ingin memberontak dalam diri mereka.
Dengan memberi nasihat dan menyelesaikan masalah mereka melalui kaedah yang betul, hal ini
secara tidak langsung akan menarik minat mereka untuk menjadi murid-murid yang berdisiplin dan
berwawasan. Oleh itu, peranan seperti ini perlulah dimainkan agar masyarakat kamil dapat
diwujudkan.

Dalam pada itu, mengajak dan mendorong rakan-rakan melakukan kebaikan merupakan
satu tanggungjawab yang sepatutnya saya lakukan bersama dengan murid-murid yang lain. Allah
swt. amat menyukai hamba-Nya melakukan kebaikan dengan penuh ketakwaan. Justeru kita boleh
memberi panduan, bimbingan dan dorongan serta perangsang kepada para murid yang ingin
melakukan kebaikan dengan harapan mereka akan seronok dan teruja melakukan amalan murni ini
kerana ada orang atau pihak yang menyokong setiap perbuatan yang dilakukan mereka di samping
mereka mendapat ganjaran daripada Allah swt. Selain itu, saya akan berusaha sedaya upaya untuk
sentiasa menanamkan sifat-sifat mahmudah dalam diri mereka. Ramai pemikir termashyur seperti
Confucius dan Socrates juga amat menekankan penyemaian nilai-nilai moral dalam diri setiap
manusia. Jadi, dengan langkah itu, para murid akan lebih tertarik untuk melakukan kebaikan
berbanding keburukan. Izharnya, modus operandi seperti ini seharusnya saya lakukan demi
memastikan murid yang berdisiplin dapat dibentuk bak kata pepatah, ‘Di mana ada kemahuan, di siru
ada jalan’.

Peranan saya yang terakhir adalah memastikan bahawa saya berfungsi sebagai perantara
yang berkesan antara para murid dengan pihak sekolah. Saya seharusnya berupaya menyampaikan
maklumat yang jelas kepada murid tentang pelaksanaan peraturan dan undang-undang sekolah agar
murid memahami dan menerima perkara tersebut dengan sebaik mungkin. Manakala pihak sekolah
yang terdiri daripada pengetua dan lembaga disiplin sekolah serta kaunselor akan saya dan rakan-
rakan pengawas yang lain nyatakan permasalahan murid dengan penuh hikmah dan sempurna. Saya
merasakan bahawa kemampuan berkonikasi secara berkesan dengan rakan murid dan guru
merupakan suatu aset penting. Apabila bercakap dengan murid yang nakal, seharusnya saya
menunjukkan sikap yang tegas. Apabila menyampaikan pengumuman semasa perhimpunan, saya
akan berusaha menyampaikan informasi dengan jelas. Dengan ini, mesej pihak sekolah akan dapat
difahami oleh semua pihak. Jelasnya, peranan ini akan memantapkan hubungan murid dengan pihak
sekolah yang akhirnya membentuk disiplin murid.

Kesimpulannya, tiada penyakit yang tiada ubatnya, dan tiada racun yang tiada penawarnya.
Maka, modus operandi yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu diimplementasikan secara
berterusan agar murid yang berdisiplin dapat dibentuk. Saya dan beberapa pihak yang lain seperti
badan pengawas dan pihak sekolah akan sentiasa menacri jalan atau alternatif untuk memastikan
murid yang berdisiplin dapat dibentuk dan hasrat kerajaan untuk melihat ‘sifar masalah disiplin’ dapat
direalisasikan pada tahun 2020. Hasrat kerajaan untuk memperkukuh gagasan 1Malaysia akan
tercapai dengan terbentuknya murid yang berdisiplin berteraskan nilai perpaduan dan ketaatan. Saya
berharap agar peranan yang saya kemukakan tadi akan dapat saya realisasikan dan diadaptasi oleh
rakan pengawas yang lain serta pihak-pihak yang lain.

Markah : 89/100

Ulasan
Takrif : Menepati dan menjawab tugasan

Bahasa : Gramatis, luas & tepat penggunaan kosa kata,

Pengolahan : Menarik, berkesan,huraian isi jelas dan matang Wacana lengkap.


Ada kesinambungan idea yang jelas antara perenggan

Anda mungkin juga menyukai