Anda di halaman 1dari 2

Langkah-langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing


sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar-akhbar
tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila
banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru,
sebelum, nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu
diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini.

Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan


lebih tegus dan tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan
dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan
pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang
seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam
seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya
seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Menurut Ibu Pejabat Polis
Daerah Bukit Aman, kes kemalangan melibatkan bas ekspres
menurun dengan rancaknya sebanyak 15.7 peratus dari tahun 2007 ke
2008 selepas undang-undang tersebut dilaksanakan. Hal ini jelas
menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-
undang, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan


kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan
itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan kondisi
kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu
menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan
pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan
sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga
perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja
diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, satu
system pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan
dilaksanakan mulai penggal kedua tahun 2009. Maka jelaslah,
pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat vital bagi
menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi


menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus
operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan
nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam kelangan rakyat.
Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi
sekoalh, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal
kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika
inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak
kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Maka tidak
hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu
dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program
“Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya” yang dianjurkan saban
tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut
berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.

Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius


oleh pucuk pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu,
semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi
masalah ini secara total. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”

Anda mungkin juga menyukai