Anda di halaman 1dari 3

Soalan :

Jumlah kemalangan jalan raya dicatat sepanjang program Ops Sikap dilancarkan
menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan. Jelaskan cara-cara untuk
mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang perlu diamalkan oleh setiap pengguna jalan
raya di negara ini.
Sampel Jawapan
Setiap tahun, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Operasi Ops Sikap telah dilancarkan
oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Langkah ini dilaksanakan untuk mengawal berlakunya
kemalangan jalan raya ketika sambutan perayaan ini. Program ini dilancarkan sebagai
sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengawal jumlah kemalangan jalan
raya yang tercatat sepanjang musim perayaan Apakah langkah-langkah yang terbaik yang
perlu diamalkan oleh pengguna sendiri untuk mengelakkan kemalangan jalan raya ini berlaku?
Langkah yang pertama, pemandu yang hendak memulakan sesuatu perjalanan perlulah berada
pada tahap fizikal dan mental yang baik. Oleh itu, pemandu disarankan untuk mendapat rehat
yang secukupnya sebelum memandu. Pemandu hendaklah berehat seketika jika berasa letih
atau mengantuk ketika memandu. Hal ini demikian, pemandu akan dapat mengawal diri dan
kenderaan mereka dengan sempurna dalam usaha mengelakkan kemalangan.

Pengguna jalan raya juga disarankan untuk memastikan kenderaan mereka dalam keadaan
yang baik dan sempurna .Sebelum memulakan sesuatu perjalanan yang jauh pengguna
digalakkan untuk menyelenggara kenderaan mereka. Selain itu, brek, lampu brek, lampu utama
dan sebagainya perlulah juga dipastikan dapat berfungsi dengan baik. Semua perkara ini
penting dilakukan demi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Semasa pemandu sedang menggunakan jalan raya, mereka hendaklah sentiasa berhati-hati
dan peka akan keadaan sekeliling. Pemandu perlulah memandu secara berhemah dan
berdisiplin. Sekiranya berlaku keadaan kecemasan, pemandu akan dapat bertindak dengan
pantas dan selamat. Bak kata-kata hikmah pandu cermat jiwa selamat

Pengguna jalan raya juga hendaklah mematuhi peraturan jalan raya. Sebagai contoh, mematuhi
had laju yang ditetapkan, mematuhi lampu isyarat di persimpangan jalan ,sentiasa memakai tali
pinggar keledar atau topi keledar. Hal ini penting untuk menjamin keselamatn diri sendiri serta
pengguna jalan raya yang lain.

Dengan mengamalkan langkah-langkah yang telah dinyatakan, diharapkan kemalangan jalan


raya sewaktu musim perayaan dapat dielakkan dan banyak nyawa dapat diselamatkan.
Langkah-langkah Mengurangkan Kadar Kemalangan di Malaysia.

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi
fokus perbincangan dan tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini
semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa
berlaku. Justeru, sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif dan pragmatik
perlu diambil bagi menangani masalah ini.

Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegas.


Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi
memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-
undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya
dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di
tangga sahaja. Pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya perlu disaman.
Sehubungan dengan hal ini, pihak berwajib perlulah telus dan menjalankan
tanggungjawab dengan penuh komitmen tanpa menerima rasuah. Maklumlah rasuah
lebih bahaya daripada dadah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya
penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan konsisten, kadar kemalangan dapat
diminimumkan.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan kenderaan awam
cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada
kecekapan pemandu dan keadaan kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak
pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan
pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat
kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka
yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan
Malaysia, satu sistem pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan
dilaksanakan. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat
penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan


kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini
dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam
kelangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekolah,
negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal kepada kanak-kanak
misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut
acuan yang sebenar, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka
tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu dengan
Kementerian Pengangkutan melaksanakan program Keselamatan Lalu Lintas dan
Jalan Raya yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh,
kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.

Kerajaan juga perlu menaik taraf jalan raya yang terdapat di seluruh negara. Hal ini
penting kerana masih terdapat jalan raya yang berlubang dan berliku-liku. Jabatan
Kerja Raya (JKR) baru-baru ini telah mengenal pasti beberapa lokasi yang dikenali
sebagai kawasan maut. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk
mengambil tindakan yang sewajarnya seperti menurap jalan itu semula, meluruskan
jalan yang berliku-liku, memasang papan tanda amaran yang jelas dan memasang
lampu isyarat di simpang-simpang jalan yang sibuk. Janganlah kita tertunggu-tunggu
dan bertangguh-tangguh sehingga negara mengalami kerugian dari segi harta dan
nyawa. Justeru, kerajaan Malaysia dengan tradisi membela rakyat perlu bertindak
dengan segera. Jangan sudah terhantuk baru tengadah. Jelaslah bahawa prasarana
jalan raya yang baik dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara kita.

Bidang pendidikan juga boleh memainkan peranan dalam hal ini. Kata peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, pendidikan tentang keselamatan jalan
raya harus diperkenalkan kepada kanak-kanak sejak mereka di bangku sekolah lagi.
Sehubungan dengan hal ini, Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah
memperkenalkan mata pelajaran keselamatan jalan raya di sekolah rendah dan
menengah. Generasi muda harus dipupuk dengan nilai mematuhi undang-undang jalan
raya dan menghargai nyawa manusia kerana saban hari berpuluh-puluh nyawa
melayang begitu sahaja. Kesannya bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah
dalam jangka panjang, negara kita kerugian dari segi sumber tenaga dan kepakaran.
Maklumlah pendidikan diperingkat sekolah mampu mengubah sikap pengguna jalan
raya dalam jangka panjang.

Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius oleh pucuk
pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama
menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Sekiranya hal ini
mendapat perhatian semua rakyat, kita dapat merealisasikan Wawasan 2020. Ingatlah,
pandu cermat, jiwa selamat!

Anda mungkin juga menyukai