Anda di halaman 1dari 5

Yang Berhormat,

Datuk Amar Douglas Uggah Embas


Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Yang Berhormat,
Datuk Lee Kim Shin
Menteri Muda Keselamatan dan Pengangkutan Darat dan Udara

Dif-dif kehormat
Rakan- rakan media
Dato-dato, Datin- datin, tuan-tuan dan puan-puan, golongan-golongan belia serta hadirin yang
dihormati sekalian

Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran semua pada hari
ini untuk bersama-sama di majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat
Negeri Sarawak 2017.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) dan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta pihak
swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di atas komitmen yang diberikan dalam
menjayakan majlis ini.

Hadirin sekalian,

Sesungguhnya, isu berkaitan keselamatan jalan raya sering kali diperkatakan oleh semua pihak.
Pelbagai program, langkah dan inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak
swasta dalam usaha menurunkan kadar kes kemalangan jalan raya pada setiap tahun. Para
pengguna jalan raya diingatkan agar berhati-hati dan mengikut undang-undang jalan raya yang
telah ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Walau bagaimanapun, pada realitinya amat menyedihkan kerana kadar kemalangan dan
kematian akibat kemalangan terus meningkat pada setiap tahun. Menjelang setiap musim
perayaan dan cuti sekolah, sering kali kita mendengar pelbagai berita tentang kemalangan yang
mengorbankan banyak nyawa. Mengikut statistik yang dikeluarkan, Sarawak telah
mencatatkan sebanyak 19130 kes kemalangan jalan raya pada tahun 2015 berbanding 17693
kes pada tahun sebelumnya.
Isu peningkatan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan ini amat membimbangkan
dan seharusnya membuka mata banyak pihak untuk mengamalkan sikap sentiasa berhati-hati
dan berwaspada ketika berada di jalan raya.

Bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, pengguna jalan raya harus mematuhi
peraturan dan undang-undang jalan raya. Oleh itu, setiap pengguna jalan raya terutamanya
pemandu harus mempunyai lesen memandu yang diiktiraf dan sah di sisi undang-undang. Hal
ini bermakna pemandu tersebut harus berdaftar di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan
mengambil ujian KPP (Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu). Melalui ujian KPP, pengguna
jalan raya akan diterapkan dengan pengetahuan tentang peraturan jalan raya seperti
penggunaan lampu isyarat, simbol-simbol yang ada di tepi jalan raya serta penetapan had
kelajuan bagi setiap zon. Manakala, undang-undang jalan raya pula dikuatkuasakan di bawah
Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sebagai contoh, tidak menelefon, tidak mengambil alkohol
atau dadah semasa memandu, dan mengambil lesen yang diiktirafkan serta sah di sisi undang-
undang.

Tanggungjawab pengguna jalan raya ialah sikap pengguna sendiri bagi mengelakan kesilapan
dan kesalahan demi kesejahteraan besama. Hal ini bermakna pengguna perlu mempunyai sikap
bertoleransi terhadap pengguna yang lain. Pengguna tersebut mesti memberi lalu kepada pihak
yang memerlukan tanpa mementingkan diri sendiri seperti pihak ambulan, polis, bomba atau
orang kenamaan. Perkara seperti ini biasanya akan melibatkan kecemasan. Apabila pengguna
jalan raya yang tidak memberi kerjasama dan tolenransi kepada pihak yang sedang
memerlukan, maka perkara yang tidak diingini akan berlaku. Sebagai contoh yang
mengakibatkan kematian, hal ini bermakna jika sebuah ambulan tengah meminta laluan
kecemasan tetapi sesetengah pengguna jalan raya tidak memberi kerjasama untuk memberi
laluan kepada pihak tersebut. Seperti kejadian pada 22 May 2016, mangsa kemalangan jalan
raya di Alor Gajah, Melaka terlewat menerima rawatan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan.
Hal ini kerana sesetengah pengguna jalan raya menggunakan lorong kecemasan dan
mementingkan diri sendiri. Mereka juga tidak memberi laluan kecemasan kepada pihak
ambulan yang hendak memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan jalan raya
tersebut.

Sehubungan itu, kewarasan akal pemandu juga amat penting untuk menentukan nasib
penumpang dan pengguna jalan raya yang lain. Kewarasan akal dalam konteks ini bermaksud
pemandu hendaklah dipastikan bersedia dari segi mental serta tidak berkeadaan khayal
sebelum diberi kebenaran memandu. Baru-baru ini, pada Mac 2017 di Pulau Pinang telah tular
di media sosial hingga membangkitkan kemarahan netizen apabila seorang remaja yang
didapati positif dadah memandu secara melawan arus dan meragut nyawa seorang lelaki di
Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan, serta mengancam nyawa beberapa pengguna lain.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Jabatan Keselamatan Trafik PLUS, 38% kemalangan
kenderaan berat di Malaysia berpunca daripada pemandu yang mengantuk. Tumpuan pemandu
untuk mengawal kenderaan akan terganggu dan mereka cenderung berhalusinasi apabila
mereka mabuk, kurang tidur atau dalam pengaruh ubat-ubatan yang menyebabkan rasa
mengantuk. Oleh itu, saya ingin berpesan kepada para hadirin agar jangan sesekali memandu
dalam keadaan begini. Saya akui, jarak perjalanan yang jauh dan waktu pemanduan yang
panjang boleh membuatkan pemandu bosan, terlelap, hilang kawalan, dan akhirnya
mencetuskan kemalangan. Oleh itu, para penumpang hendaklah memberikan kerjasama
dengan memastikan pemandu mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan
perjalanan dan berada dalam keadaan segar semasa memandu. Pemandu dinasihatkan berhenti
sebentar di bahu jalan sekiranya keadaan sekeliling selamat atau di warung berdekatan untuk
melelapkan mata dan menyegarkan diri sebelum meneruskan pemanduan. Seboleh-bolehnya,
perjalanan hendaklah dirancang terlebih dahulu dengan membawa pemandu tambahan yang
boleh menggantikan pemandu utama terutama apabila memandu jauh seperti kata pepatah,
sediakan payung sebelum hujan.

Tanggungjawab pengguna jalan raya yang seterusnya ialah memastikan sifat fizikal kenderaan
dalam keadaan sempurna. Para hadirin yang dikasihi, pengguna jalan raya yang bijak tidak
akan memandang enteng perkara ini dengan mempraktikkan garis panduan tersebut. Misalnya,
keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, tayar, dan lampu tidak boleh diabaikan
kesempurnaannya. Penyelenggaraan kenderaan perlu dilakukan mengikut piawaian dan jangka
masa yang telah ditetapkan supaya kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan
pemanduan lancar. Setiap pemandu juga perlu mengetahui serba sedikit mengenai komponen
alat ganti kenderaan. Hal ini demikian supaya mereka tidak menjadi mangsa penipuan terhadap
barangan tiruan alat ganti kenderaan mereka yang sudah tentu tidak menepati kualiti yang
disarankan oleh pakar permotoran. Selain itu, para hadirin hendaklah menggantikan tayar yang
bunganya telah haus atau dengan kekerapan sekurang-kurangnya 2 tahun sekali. Tambahan
pula, tayar kereta yang sudah haus mempunyai daya cengkaman kenderaan yang kurang
terutamanya ketika hujan kerana air akan mengurangkan geseran yang sedia ada antara tayar
dan jalan raya. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya nahas jalan raya.
Lampu kereta yang tidak berfungsi sepenuhnya juga boleh menimbulkan kekeliruan
terutamanya pada waktu malam di sepanjang lorong yang tidak mempunyai tiang lampu.
Pernah terjadi kepada pemilik sebuah kereta yang hanya membiarkan lampu di sebelah kiri
belakang keretanya berfungsi dan berlaku perlanggaran apabila pemandu yang datang dari arah
belakang menggesel kereta berkenaan ketika memotong kerana ia menyerupai sebuah
motosikal dari jarak jauh. Oleh itu, saya ingin menegaskan sekali lagi pentingnya memeriksa
keadaan teknikal kereta sebelum memulakan perjalanan kerana kemalangan diibaratkan
peribahasa malang tidak berbau.

Para hadirin yang saya hormati,

Bersempena dengan kempen keselamatan jalan raya ini, saya ingin menyeru semua pengguna
jalan raya agar mengamalkan pemanduan berhemah untuk merancang perjalanan dengan
sempurna bagi mengelakkan memandu dalam keadaan yang tergesa-gesa. Pemanduan
berhemah membawa maksud pemanduan yang dapat mengelakkan dan menyelamatkan
daripada berlakunya kemalangan dengan meliputi pengetahuan, kemahiran dan sikap yang
betul ketika memandu. Walaupun pelbagai usaha telah dikuatkuasai oleh kerajaan untuk
menangani isu kemalangan jalan raya, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya yang gagal
mematuhi peraturan jalan raya.

Pada tahun 2016, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memilih tema Berhati-hati
dalam Perjalanan, Selamat ke Destinasi untuk menunjukkan betapa pentingnya sikap
berhati-hati semasa berada di jalan raya yang perlu diamalkan oleh semua pengguna pada
setiap masa. Pemaduan berhemah telah dipupuk bukan sahaja untuk mengelakkan kemalangan
yang merugikan diri sendiri dan orang lain, namun sifat ini juga membolehkan semua pengguna
jalan raya sampai ke destinasi dengan selamat. Undang-undang dan peraturan-peraturan
diwujudkan bagi menjaga keselamatan para pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko
berlakunya kemalangan. Di samping itu, pengguna jalan raya tidak seharusnya sahaja
mementingkan diri sendiri manakala digalakkan supaya bertimbang rasa dan bertolak ansur
antara satu sama lain di jalan raya. Hal ini juga membawa impak yang penting kepada urusan
pengangkutan di jalan raya agar dapat berjalan lancar.

Undang-undang, penguatkuasaan serta penganjuran kempen kesedaran keselamatan jalan raya


tidak akan memberikan makna dan kesan sekiranya pengguna jalan raya masih mengamalkan
sikap tidak berhemah, tidak berdisiplin dan tidak beretika semasa menggunakan jalan raya.
Oleh itu, sebagai pemandu yang bertanggungjawab, kita semestinya berusaha gigih untuk
menangani masalah keselamatan jalan raya ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai kesimpulannya, setiap pengguna harus mengetahui keutamaan mereka dalam hal ini
kerana setiap tindakan yang melulu dan tidak rasional akan mendatangkan masalah kepada diri
sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Pengguna harus menerapkan sikap
bertanggungjawab dalam diri mereka dan perlu mengelakkan sikap keras kepala dalam diri
mereka kerana sikap tersebut boleh menyebabkan kemalangan berlaku. Pihak berkuasa juga
harus memperketatkan lagi undang-undang jalan raya agar setiap pengguna jalan raya tidak
sewenang-wenangnya melanggar peraturan yang ditetapkan dan kesannya boleh menimbulkan
kemalangan.

Akhir kata, saya menyeru semua pengguna jalan raya dan lebuh raya, pandulah dengan
berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan statistik
kemalangan jalan raya.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan
kempen ini serta semua kementerian, jabatan, agensi awam, agensi swasta dan pihak NGO
yang terlibat.

Maka dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya
Peringkat Negeri Sarawak 2017.

Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.

Pandu Cermat, Sampai Cermat

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai