Anda di halaman 1dari 5

Wednesday, 25 June 2014

Perkaitan Kurikulum dan Kokurikulum

Dalam sistem pendidikan Malaysia dan global, kokurikulum adalah pelengkap kepada
kurikulum.  Kokurikulum dan kurikulum merupakan dua sistem yang menjana tenaga sumber manusia
yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.  Kokurikulum ada peranan dan
pengaruh sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembangunan individu. Namun begitu,
daripada segi keseimbangan kepentingan, kerap terjadi peranan dan kepentingan kokurikulum
diabaikan sama ada secara disengajakan atau tidak disengajakan.

             Hal ini sangat mendukacitakan kerana peranan dan kepentingan kokurikulum mencakupi skop
ruang lingkup yang cukup luas. Antaranya ialah membina negara menerusi pemupukan integrasi
nasional di kalangan pelajar, membantu perkembangan hidup masyarakat dan pembentukan
pembangunan diri individu melalui pelbagai kemahiran yang terkandung dalam proses pengajaran dan
pembelajaran kokurikulum itu sendiri. Justeru itu, adalah diyakini bahawa kokurikulum mempunyai
pertalian yang rapat dengan kurikulum di kalangan pelajar. Oleh itu, sewajarnya kokurikulum diletakkan
di tempatnya yang ‘hak’ dalam sistem pendidikan di Malaysia.

                Pendidikan adalah salah satu daripada sektor yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan
generasi masa depan. Oleh itu kualiti kehidupan rakyat dalam sesebuah negara dapat diukur melalui
tahap pendidikan rakyatnya.  Kurikulum dan kokurikulum adalah sangat berkait rapat.  Sebab itulah
kegiatan pendidikan di sekolah terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu kurikulum dan kokurikulum
(Laporan Razak, 1956).

            Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menggariskan keseimbangan perkembangan murid dari
segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani semasa berada di peringkat alam persekolahan. Melalui Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, kurikulum sekolah digubal bagi memenuhi keperluan mental, fizikal dan sosial
murid dengan penekanan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran formal yang melibatkan sukatan
dan kandungan mata pelajaran aktiviti kokurikulum sebagai lanjutan dari yang di atas, seperti
penglibatan murid dalam persatuan-persatuan dan kelab, sukan dan permainan dan badan-badan
beruniform. Segala aktiviti yang disediakan dalam sistem pendidikan bertujuan menggalakkan
perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek murid selain dari menggalakkan pembentukan daya
kepimpinan dan sahsiah kepimpinan yang boleh membina keperibadian murid.

            Mohd Najib (2007) menyatakan pendidikan seimbang seharusnya menekankan kepada kedua-dua
aspek akademik dan aktiviti kokurikulum.  Penekanan yang seimbang ini akan dapat mewujudkan satu
bangsa Malaysia yang harmonis dan seimbang. Umum menerima hakikat bahawa generasi hari ini
merupakan pemimpin masa depan. Apa yang menarik untuk kita ketahui daripada kenyataan ini ialah
sejauh manakah generasi muda hari ini sedar akan hakikat bahawa untuk berjaya, kurikulum dan
kegiatan kokurikulum haruslah diseimbangkan?  Justeru, apakah perkaitan di antara kurikulum dan
kokurikulum di dalam membantu kepada kesinambungan hal ini?

            Ramai murid berpendapat aktiviti kokurikulum hanyalah merupakan satu aktiviti bebas atau
aktiviti sampingan tanpa memperlihatkan matlamat dan objektif yang nyata (Faridah, 1988). Tumpuan
serta keutamaan hanya diberikan kepada pemburuan keputusan akademik yang cemerlang sahaja. Ada
juga murid berpendapat murid yang aktif dalam kokurikulum akan menjejaskan kecemerlangan prestasi
akademik.

            Walau bagaimanapun kenyataan ini telah disangkal oleh Lim (1988) dalam kajiannya yang
menyatakan tidak ada hubungan yang signifikan dalam pencapaian akademik bagi murid yang aktif dan
kurang aktif dalam aktiviti kokurikulum. Pengkaji berpendapat, walaupun ramai murid mengakui akan
kepentingan aktiviti kokurikulum dalam pembangunan modal insan yang mempunyai kemahiran dan
menghayati nilai-nilai murni seterusnya memupuk semangat menguasai kemahiran dan kompetensi,
namun sebenarnya mereka kekurangan penjelasan dan penegasan yang sewajarnya dalam
mengimbangi antara kepentingan akademik dengan aktiviti kokurikum.

            Hasrat untuk mewujudkan satu generasi muda yang mempunyai daya kepimpinan yang unggul
bagi mewarnai kepimpinan bangsa dan negara pada masa akan datang tidak akan tercapai (Hamzah
Rahman, 1996) sekiranya penekanan yang lebih hanya diberikan kepada bidang akademik. Oleh itu
murid-murid seharusnya diberikan pendidikan yang mengintegrasikan kecemerlangan kedua-dua aspek
kurikulum dan kokurikulum supaya lebih ramai tenaga profesional dan separuh profesional dapat
dilahirkan bagi memastikan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran negara.

            Menurut Azizah (1991), kokurikulum memberi ruang kepada murid untuk mengembangkan
minat, bakat dan daya kreativiti, di samping dapat menyemai, memupuk dan menanam semangat
kerjasama, bertolak ansur dan perasaan kekitaan di kalangan murid. Ia juga bertujuan melatih murid
supaya bersikap berdisiplin, berdikari, dan berkemahiran dalam sesuatu bidang yang mereka ceburi
(Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Muridan, 1979).

            Asiah (1985) mendapati ada pihak menyuarakan kebimbangan mereka tentang keadaan sebenar
yang berlaku di sekolah dan berpendapat fenomena penglibatan yang tidak seimbang dalam aktiviti
kokurikulum di kalangan murid berlaku kerana kegagalan pihak pengurusan sekolah melibatkan murid
secara menyeluruh dalam aktiviti kokurikulum. Ini secara langsung telah menjejaskan peluang murid
memupuk sifat kepimpinan dan membentuk daya kepimpinan di kalangan murid.

            Berdasarkan kepentingan di atas, ternyata kokurikulum mempunyai peranan dan pengaruh
secara langsung atau tidak langsung di dalam pembentukan diri dan personaliti murid.  Namun, haruslah
diingatkan bahawa kurikulum tidak boleh dipisahkan dengan kokurikulum.  Omardin (1996) menyatakan
bahawa aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah-sekolah bertujuan melahirkan pemimpin di
kalangan masyarakat murid untuk menjadi pengganti kepimpinan pada masa depan.

            Secara umumnya kita menyedari bahawa daya kepimpinan dalam diri seseorang tidak wujud
secara semulajadi. Menyedari realiti ini pihak berwajib telah berusaha untuk menyemai dan
menyuburkan pembentukan daya tersebut dalam aktiviti kokurikulum.  Hal ini kerana, melalui kegiatan
kokurikulum nilai kepimpinan dapat dibentuk dalam diri seseorang.

            Dalam membina satu perkaitan antara kurikulum dan kokurikulum yang seimbang, guru
merupakan agen yang memainkan peranan penting dalam mereaalisasikannya. Langkah-langkah yang
boleh di ambil oleh guru dalam bidang kurikulum dan kokurikulum bagi memantapkan sistem
pendidikan negara ialah untuk melaksanakan sesuatu kurikulum dengan berjaya, guru hendaklah
terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum, struktur dan organisasi
kurikulum serta sukatan pelajarannya.  
            Di samping itu, guru harus mempunyai pengetahuan tentang mata pelajaran pengkhususannya
serta mempunyai kemahiran mengajar termasuk menghubungkan pengetahuan, kemahiran  dan nilai di
antara satu sama lain, mengendalikan pengajaran bagi pelajar-pelajar pelbagai kebolehan, dan
mempunyai ciri- ciri keguruan yang positif dan kreatif untuk melaksanakan dan menjayakan kurikulum
yang terbentuk.  Apabila perkara ini sudah berjaya dilaksanakan, barulah penyerapan nilai-nilai murni
dalam kegiatan kokurikulum dapat diserap oleh pelajar.

            Di negara kita, hubungan kurikulum sekolah dengan kokurikulum adalah rapat. Selain memberi
ilmu pengetahuan, kurikulum boleh membentuk keperibadian dan perwatakan pelajar yang baik serta
membawa ke arah kokurikulum yang seimbang.  Di setiap sekolah, guru perlu merancang dan
melaksanakan pelbagai aktiviti kokurikulum yang melibatkan semua pelajar agar boleh memberi
manfaat kepada semua kumpulan etnik. Melalui aktiviti yang dijalankan seperti sukan, kelab dan
persatuan pelajar akan dapat bergaul dan berdamping dengan pelajar yang berlainan etnik. Guru perlu
memastikan pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum dapat menyertai aktiviti yang dijalankan. Pergaulan
yang erat ini akan mendorong pelajar untuk menghormati dan menerima adat, agama dan kebudayaan
enik yang lain demi kebaikan bersama. Seperti contoh, sukan tahunan yang dijalankan perlu disertai oleh
semua murid tanpa membataskan perbezaan agama atau budaya.

            Guru juga dikatakan boleh menhubungkan perpaduan kaum dengan melalui kegiatan kurikulum
dan kokurikulum, serta menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan prinsip-prinsip Rukun
Negara. Contohnya ketika diadakan kegiatan kokurikulum guru hendaklah memastikan pelajar pelbagai
kaum dapat menyertainya. Dalam permainan bola keranjang yang biasa disertai oleh pelajar-pelajar
kaum Cina, guru hendaklah menggalakkan pelajar-pelajar Melayu dan India untuk mengambil bahagian.
Dalam permainan sepak takraw pula, guru hendaklah menggalakkan lebih ramai bukan Melayu untuk
menyertainya.

            Kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dan perasaan kekitaan di
kalangan pelajar-pelajar daripada pelbagai keturunan dan kaum. Usaha untuk menanam semangat
perpaduan merupakan salah satu agenda utama negara. Melalui kegiatan kokurikulum di sekolah,
semangat perpaduan dapat dipupuk dan diperkembangkan ke dalam masyarakat.  Aktiviti-aktiviti di
dalam kegiatan kokurikulum boleh melatih pelajar supaya bertanggungjawab, berdikari dan berdisiplin.
Pelajar-pelajar akan terlatih dengan sifat-sifat tersebut melalui kegiatan kokurikulum di sekolah. Sifat-
sifat tersebut perlu dibekalkan kepada pelajar yang merupakan generasi penerus masyarakat akan
datang.

            Kegiatan kokurikulum yang terdiri daripada aktiviti pasukan pakaian seragam, kelab dan sukan
adalah penting untuk menyemai, memupuk dan menanam perasaan kekitaan di kalangan pelajar
pelbagai kaum. Sifat-sifat seperti bertanggungjawab, berdisiplin, berdikari  dan kemahiran dalam
sesuatu lapangan akan dapat dipupuk.  Di dalam kegiatan kokurikulum ini guru berperanan
mengendalikan aktiviti ko-kurikulum dengan cara yang menarik dan menggalakkan penglibatan pelajar
secara aktif.  Aktiviti-aktiviti seperti latihan kawat, gotong-royong, berkhemah dan  latihan
kecemasan  boleh dijalankan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti kerjasama, keberanian, berdikari,
kejujuran, taat setia kepada ketua serta semangat bermasyarakat. Aktiviti sukan diperingkat sekolah,
daerah, negeri dan kebangsaan perlu dipergiatkan supaya matlamat perpaduan antara kaum dapat di
capai.
            Bukan itu sahaja, penerimaan kurikulum yang baik disekolah dapat membantu murid-murid
melibatkan diri dalam aktiviti kelab, persatuan dan permainan. Penglibatan ini adalah mengikut
kebolehan dan kecenderungan atau minat murid-murid. Maka melalui aktiviti kelab, persatuan dan
permainan, mereka dapat saling kenal mengenali antara kaum dan etnik, dengan ini dapat mengeratkan
silaturahim apabila wujudnya sikap tolong menolong semasa menjalankan aktiviti.

            Pihak sekolah pula boleh mengadakan perlawanan persahabatan antara sekolah-sekolah dengan
lebih kerap untuk memantapkan corak permainan selain mengeratkan hubungan sesama kaum. Melalui
perlawanan persahabatan antara sekolah-sekolah ini pelajar-pelajar lebih didedahkan dengan pelbagai
kaum. Etnik dan bangsa, hal ini dapat mewujudkan ukhwah dan hubungan persahabatan antara mereka.

            Bertitik tolak daripada itu, sebagai seorang guru, kita seharusnya menjadikan bidang kurikulum
dan kokurikulum sebagai langkah-langkah bagi memantapkan integrasi pelajar pelbagai kaum dalam
sistem pendidikan negara dan seterusnya mewujudkan keseimbangan diantara kedua-duanya.  Dengan
pelaksanaan pelan integrasi nasional, adalah diharapkan kita dapat merealisasikan cita-cita wawasan
2020, iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bebas merdeka, berakhlak mulia, utuh,
toleransi, daya saing dan cinta kepada negara.

            Sesungguhnya wawasan 2020 meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara yang maju dalam semua aspek dan demensi ekonomi, politik, sosial kerohanian, psikologi dan
budaya.  Menjelang tahun 2020, Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu padu dengan
masyarakat Malaysia mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi oleh nilai-nilai moral dan etika yang
utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratif liberal lagi bertolak ansur,
berbudi bahasa, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai
ekonomi yang mampu bersaing dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan.

            Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan kecergasan fizikal murid atau pelajar di
sekolah rendah dan menengah. Kata-kata, “Otak yang cerdas terletak pada tubuh badan yang sihat”
membuktikan bahawa kecerdasan otak banyak bergantung pada keaktifan seseorang murid atau pelajar
dalam bidang sukan dan permainan yang diceburinya.  Hal ini amat penting bagi keseimbangan fizikal
dan rohani dalam perkembangan pendidikan di sekolah pada masa akan datang. Sukan juga penting
dalam membentuk gaya hidup yang sihat dan dapat mengurangkan masalah obesiti di kalangan pelajar
di sekolah.  Dasar tersebut memberi peluang setiap murid atau pelajar melibatkan diri dalam bidang
sukan yang digemari selain memantapkan aktiviti berkenaan di sekolah.

            Dasar 1 Murid 1 Sukan untuk mengembalikan kegemilangan sukan ke peringkat sekolah selain
meningkatkan semangat kesukanan dan kesepakatan masyarakat bermula dari bangku sekolah dilihat
sesuatu yang baik bagi menunjukkan perkaitan diantara kepentingan kurikulum dan juga kokurikulum.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Profesor Madya
Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya menyambut baik dasar itu dalam menghasilkan
masyarakat holistik dan tidak meminggirkan sukan.  Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian
Pelajaran menyediakan jurulatih sukan sepenuh masa di setiap sekolah bagi menjayakan dasar tersebut.
Ini lebih praktikal dan dapat menjayakan program ini pada masa depan demi kejayaan sukan di
sesebuah sekolah.

            Menurutnya, jawatan Penolong Kanan Sukan di sekolah juga perlu diwujudkan dalam
melaksanakan dasar ini supaya perancangan aktiviti sukan lebih sistematik untuk jangka panjang dan
merasakan dasar itu tidak akan membebankan ibu bapa dan murid kerana percaya sekolah mampu
menyeimbangkan keperluan sukan dan akademik mengikut kesesuaian seseorang murid atau pelajar. 

            Sementara itu, ibu bapa seharusnya memahami bahawa sukan adalah aktiviti fizikal yang
memerlukan pelakunya menggunakan tenaga dan bertindak tangkas seperti berenang, bermain bola
dan berlumba lari. Aktiviti sukan tertentu seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, badminton
memerlukan suatu pasukan yang terdiri daripada beberapa orang individu.  Pasukan yang dibentuk pula
memerlukan paduan tenaga antara anggota pasukan. Hal ini menunjukkan kewujudan perpaduan
masyarakat dalam aktiviti sukan tersebut. Gabungan tenaga fizikal dan fikiran juga diperlukan untuk
mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan sukan.  Dasar 1Murid 1Sukan 1Malaysia bukan saja
dapat meningkatkan mutu sukan di sekolah dan negara, malah dapat memfokuskan bidang sukan yang
perlu dimajukan di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi. 

            Dalam hal ini, Malaysia harus terus berazam dan berusaha untuk menjadi sebuah negara maju
yang teguh, bersatu dan kekal utuh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Sukan dapat
meningkatkan tahap fizikal dan kualiti kesihatan di kalangan murid dan pelajar.  Usaha membangunkan
modal insan perlu dibuat secara holistik dengan menekankan terhadap penguasaan sukan dan ilmu
pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu, pembudayaan sikap progresif dengan pengamalan nilai,
etika dan moral yang baik. Melalui bidang sukan pembangunan modal insan juga dapat direalisasikan. 
Kita tidak mahu melahirkan golongan intelektual yang lemah tubuh badannya.  Sebab itulah kurikulum
sangat berkait rapat dengan kokurikulum.

            Pembudayaan 1 Murid 1 Sukan 1 juga dapat menjadi nilai budaya yang baik dalam mengekalkan
kesihatan di peringkat sekolah rendah dan menengah ke arah memupuk minda kelas pertama.  Sebagai
kesimpulan, Kecemerlangan dalam aspek kurikulum juga banyak bergantung pada kecemerlangan
kokurikulum yang melibatkan murid dan pelajar.  Jelaslah bahawa, melalui pelaksanaan dasar yang
merapatkan jurang diantara kurikulum dan kokurikulum, kita akan dapat meningkatkan kecemerlangan
sekolah dengan melahirkan rakyat yang mampu menghadapi cabaran baru dalam era globalisasi. Bidang
sukan juga adalah bidang penting dalam meningkatkan nama negara di mata dunia pada masa depan.
Melalui generasi yang terdidik dan mempunyai ilmu dalam bidang sukan, negara bukan sahaja dapat
melahirkan ahli sukan yang hebat, malah golongan intelektual juga turut seimbang fizikal dan
mentalnya.  Hal ini hanya boleh berlaku sekiranya kurikulum dan kokurikulum tidak dipisahkan di antara
keduanya.

Anda mungkin juga menyukai